Rabu, 30 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Rompakan nekad empat minit

Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusanp.pinang@utusan.com.my

beberapa pegawai dan anggota polis keluar dari kedai emas selepas melakukan siasatan kes samun melibatkan penggunaan senjata api di Jalan Perak, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

KEPALA BATAS 29 Okt. - Dua lelaki bersenjatakan sepucuk pistol mengambil masa empat minit untuk melarikan empat dulang emas bernilai RM70,000 dalam rompakan di sebuah kedai emas di persimpangan lampu isyarat di Jalan Perak di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 1.38 petang itu, seorang suspek bersenjatakan sepucuk pistol meluru masuk ke dalam kedai terbabit lalu mengugut untuk menembak pemilik kedai berkenaan jika enggan mengikut arahannya.

Ketika kejadian, pemilik kedai itu hanya ditemani isteri dan seorang anak perempuannya. Kedai emas yang telah lebih 20 tahun beroperasi itu juga tidak menggunakan khidmat pengawal keselamatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi berkata, suspek dipercayai datang ke premis berkenaan menaiki sebuah motosikal bersama seorang rakannya.

Menurutnya, siasatan mendapati salah seorang suspek bertindak menekan loceng di luar premis itu dan sebaik sahaja pintu automatik dibuka, dia yang memakai topi keledar penutup penuh masuk sambil mengacukan pistol kepada pemilik kedai terbabit.

"Bimbang diapa-apakan, pemilik kedai emas berkenaan menurut arahan suspek itu dengan mengambil empat dulang berisi emas dan memasukkan ke dalam beg yang dibawanya," katanya.

Abdul Rahman berkata, kejadian itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) dalam premis tersebut dan pihaknya sedang meneliti untuk membantu siasatan.

"Siasatan polis percaya suspek yang dianggarkan berusia 30-an melarikan diri menaiki motosikal yang diletakkan di luar premis bersama dengan seorang lagi suspek yang berada di luar.

"Kita menyiasat kes ini di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata," katanya.

UMNO Nibong Tebal bantu mangsa kebakaran

Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT

Zainal Abidin Osman (tengah) menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada Hasnah Othman di Kampung Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.

NIBONG TEBAL 29 Okt. - UMNO bahagian Nibong Tebal menyumbangkan barangan makanan kepada seorang mangsa kebakaran di Kampung Permatang Tok Mahat, di sini semalam.

Sumbangan itu disempurnakan oleh Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Zainal Abidin Osman kepada anak mangsa, Hasnah Othman, 43.

Zainal Abidin berkata, sumbangan itu sebagai tanda simpati kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam kebakaran.

Kita juga akan berbincang dengan beberapa agensi kerajaan untuk membantu meringankan keluarga berkenaan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 12 tengah hari semalam, sebuah rumah separuh papan musnah dalam kebakaran itu.

Hasnah berkata, ketika kebakaran, ibunya, Yeasah Eusope, 83, yang tinggal di rumah itu berada di Johor Bahru.

Politeknik Balik Pulau operasi Dis. ini

Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT

Kampus Politeknik Balik Pulau (PBP) berkonsepkan kampus hijau dan bakal beroperasi sepenuhnya Disember ini.

BALIK PULAU 29 Okt. - Politeknik Balik Pulau (PBP) di sini, yang siap dibina dengan kos RM98.88 juta dan mampu menampung sehingga 2,000 penuntut bakal memulakan operasinya Disember ini.

Kampus moden berkonsepkan bangunan hijau itu siap dibina pada 7 Ogos lalu dan majlis penyerahannya disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Mohd. Noor Yaacob semalam.

Dalam majlis itu, Mohd. Noor menyerahkan bangunan yang dilengkapi kemudahan sukan bertaraf dunia seperti padang bola sepak, ragbi, gelanggang skuasy, bola keranjang dan futsal tersebut kepada Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pendidikan, Datuk Nasir Mat Dam.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar berkata, pihaknya bersyukur kerana PBP berjaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan tanpa sebarang pertambahan kos luar jangka.

"Kita berpuas hati dengan pembinaan PBP yang akan memberi keselesaan kepada sebanyak 222 pelajar yang kini sedang belajar di kampus sementara di Bayan Baru sejak tujuh tahun lalu.

"Buat masa ini, kampus ini menawarkan pengajian dalam bidang teknologi maklumat dan pengambilan pelajar baharu hanya akan dibuat pada Jun tahun depan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambah Mohlis, PBP juga dilengkapi dengan blok pentadbiran, blok akademik, perpustakaan, dewan serbaguna, Pusat Islam, kuarters kakitangan serta asrama pelajar.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, pembinaan PBP adalah anugerah daripada kerajaan Pusat kepada penduduk di Balik Pulau yang berpotensi sebagai hab pendidikan dengan pembinaan beberapa institusi termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jelasnya, dengan adanya instiusi pengajian tinggi (IPT) itu pastinya akan membawa banyak peluang perniagaan seperti perusahaan makanan, penjualan alat tulis, pembukaan kedai buku dan lain lain perniagaan kepada penduduk tempatan.

"Hasrat kerajaan untuk meningkatkan pembangunan modal insan di Balik Pulau semakin terserlah dengan pembinaan PBP ini serta membawa elemen baharu kepada masyarakat setempat.

"Saya juga berharap penduduk Balik Pulau dapat menerima kedatangan pelajar ini di sini dan memberi pendedahan kepada mereka semua mengenai budaya dan adat resam penduduk Balik Pulau dan sama-sama belajar menghormati antara satu sama lain," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved