Utusan Online - Kota |
Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN Pangsapuri Saga Suria di Taman Saga, Ampang, Selangor mula dibina pada 2005 masih belum dapat diduduki sehingga kini walaupun kelihatan telah siap. - UTUSAN/WAHIDIN SALIM KUALA LUMPUR 30 Okt. - Sebuah bangunan besar yang berdiri megah di atas bukit di Taman Saga, Ampang dekat sini menimbulkan tanda tanya kepada penduduk sekitar kerana masih tidak dimasuki sedangkan pembinaannya telah terlalu lama iaitu sejak 2005. Ini menyebabkan penduduk sekitar itu tertanya-tanya apakah projek itu terbengkalai sedangkan dari pandangan mata kasar projek perumahan Pangsapuri Saga Suria itu telah siap. Difahamkan pangsapuri itu mempunyai sebanyak 468 unit rumah. Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia ke situ selepas menerima aduan penduduk sekitar mendapati masih terdapat pekerja sedang membuat kerja-kerja pembinaan kecil di pangsapuri setinggi 12 tingkat itu. Didapati, kerja-kerja pembaikan seperti membaik pulih bumbung, tangki air selain kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan. Lokasi bangunan itu amat strategik kerana terletak di atas bukit yang akan memberikan penghuninya kelak pemandangan kota raya dari situ. Selain itu, pangsapuri itu juga dikelilingi dengan kawasan hutan hijau selain faktor cuaca yang mengasyikkan. Apa yang dapat dilihat, pangsapuri itu tidaklah terbiar dan usang sebaliknya pihak pemaju masih menjalankan kerja-kerja di situ. Penduduk sekitar memberitahu, mereka difahamkan pangsapuri itu kelak akan turut dilengkapi lapan buah kedai, dua buah dewan, sebuah surau dan taman permainan kanak-kanak. Sementara itu, seorang pekerja yang ditemui berkata, dia tidak tahu jika pembinaan pangsapuri itu mengalami masalah. "Apa yang saya tahu, projek ini tidak terbengkalai cuma agak lambat sahaja. "Difahamkan, projek pembinaan flat ini telah dilaksanakan agak lama. Saya rasa pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) lebih arif mengenai perkara ini," katanya yang enggan dikenali. |
Pemaju belum penuhi syarat MPAJ Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT KUALA LUMPUR 30 Okt. - Pangsapuri Saga Suria masih perlu menjalani sedikit kerja-kerja pembaikan untuk membolehkan Sijil Kelayakan Menduduki (CF) dikeluarkan kepadanya untuk diduduki, menurut Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). Pengarah Jabatan Perancangan Korporat MPAJ, Rosliza Mohd. berkata, ini kerana pihak pemaju belum mematuhi semua ulasan-ulasan Jabatan Teknikal MPAJ berkaitan pengeluaran CF untuk projek pangsapuri di Taman Saga, Ampang itu. Menurut beliau, pemaju masih belum mengemukakan semua pelan yang diperbetulkan berdasarkan ulasan yang dikeluarkan oleh MPAJ pada 15 Mac dan 9 September lalu. "Lawatan pemeriksaan tapak bagi permohonan CF telah dilaksanakan oleh pihak MPAJ dan ulasan tapak telah dikeluarkan pada 4 April lalu. Berdasarkan ulasan lawatan tapak itu, kerja-kerja baik pulih terutamanya lapisan kalis air sedang dijalankan di tapak. "Sehingga kini, kerja-kerja terbabit masih belum disiapkan oleh pemaju. Pihak MPAJ akan membuat pemeriksaan akhir sebelum surat sokongan CF dikeluarkan kepada pemaju," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini. Menurut Rosliza, projek itu merupakan pembangunan rumah pangsa harga rendah dan harga seunit adalah kira-kira RM42,000. "Projek bermula pada 2003 dengan kelulusan kerja tanah. Tetapi, kemudian pemaju ada membuat pindaan pelan kerja tanah yang memerlukan kelulusan semula," ujarnya. Katanya, disebabkan oleh pindaan tersebut, kerja-kerja tanah disambung semula pada 2005 dengan kerja-kerja menanam cerucuk. |
Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT Oleh ABDUL RAZAK IDRIS GRO yang ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di Lebuh Gopeng, Klang, Selangor, semalam dikumpulkan untuk disiasat lebih lanjut. KLANG 30 Okt. - Keseronokan pelanggan yang sedang berhibur di dalam sebuah pub bertemankan gadis seksi Vietnam terbantut apabila premis berkenaan diserbu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor malam tadi. Dalam Op Cantas Khas pukul 11.30 malam melibatkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) itu, sebanyak 20 gadis pelayan pelanggan (GRO) berasal dari Vietnam ditahan. Operasi diketuai oleh Inspektor Lee Robert dengan kekuatan dua pegawai dan sepuluh anggota dari tiga jabatan di bawah IPK Selangor. Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), IPK Selangor, Deputi Supritendan Rohan Shah Ahmad yang dihubungi berkata, Op Cantas Khas tersebut dilaksanakan selaras dengan arahan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan untuk mempertingkatkan pelaksanaan operasi membanteras jenayah. Rohan berkata, selain menahan GRO warga asing tersebut, pegawai dan anggota polis yang terlibat turut menahan seorang lelaki dipercayai penjaga premis yang terletak di Lebuh Gopeng itu. Katanya, kesemua GRO terbabit akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen, Seksyen 55B Peraturan Imigresen dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen. "Pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi tersebut turut memeriksa seramai 37 orang pelanggan lelaki yang berada di premis berkenaan. "Hasil penyiasatan lanjut mendapati premis itu memiliki lesen sah yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk beroperasi," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan