Rabu, 30 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Misi 92 Pahang semakin hampir

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Pasukan Pahang yang bakal beraksi dalam perlawanan final Piala Malaysia menentang Kelantan, Ahad ini.

KUANTAN 30 Okt. - Jika diingat kembali, kali terakhir Pahang mendakap Piala Malaysia adalah pada 1992 dan kini skuad Tok Gajah pimpinan jurulatih, Dollah Salleh semakin hampir untuk mengulangi kejayaan memenangi piala berprestij itu.

Sememangnya Pahang sudah lama mengimpikan untuk mengulangi misi 1992 itu dan kini mereka telah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 bertemu Kelantan di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Kali pertama Pahang menjulang piala paling berprestij dalam arena bola sepak tanah air itu adalah pada 1983 apabila mereka memenangi Piala Malaysia dengan menewaskan Selangor.

Tetapi era yang paling berjaya adalah pada 90-an apabila mereka layak ke final Piala Malaysia sebanyak empat kali, namun nasib tidak menyebelahi apabila hanya sekali bergelar juara pada 1992.

Tahun 1992 boleh dikatakan tahun yang terbaik bagi Pahang apabila skuad itu berjaya memenangi dua kejuaraan iaitu Piala Malaysia dan liga.

Pasukan tersebut pada ketika itu dibarisi oleh pemain hebat seperti Dollah, Zainal Abidin Hassan, Khairul Azman Mohamed, Abdul Mubin Mokhtar, Ahmad Yusuf, Alan Davidson dan Fandi Ahmad.

Pahang juga merupakan pemenang pertama bagi format baharu liga Malaysia yang dikenali sebagai Liga Super pada 2004 dan berjaya memenangi Piala FA pada 2006.

Sebagai salah satu pasukan bola sepak yang berjaya di Malaysia dari 1980-2007, Pahang berjaya melahirkan ramai pemain tempatan yang berbakat dari akademi tersendiri.

Antaranya seperti Khairul Azman Mohamed, Azizul Kamaluddin, Mohd. Fadzli Saari, Muhammad Juzaili Samion dan pemain paling lama berkhidmat bersama Pahang dan sehingga kini masih bermain ialah Jalaluddin Jaafar.

Bagaimanapun bermula pada 2008 skuad Pahang sedikit terumbang-ambing dengan ramai pemain bintang pasukan itu berhijrah ke pasukan lain, meninggalkan pasukan yang dibarisi oleh pemain muda dan baharu.

Akibatnya, dengan pasukan yang sedikit terumbang ambing itu, pada 2012, skuad Tok Gajah buat pertama kalinya terhumban ke Liga Perdana.

Beraksi di Liga Perdana, Pahang menunjukkan peningkatan yang besar dalam musim 2012 apabila mereka layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Pahang juga menjadi naib juara Liga Perdana 2012 sekali gus layak beraksi ke saingan play-off untuk ke Liga Super, pasukan itu akhirnya berjaya bermain di Liga Super 2013 apabila menewaskan Kedah.

Beraksi dalam Liga Perdana pastinya sesuatu yang berbeza dengan saingan dalam Liga Super, tetapi Tok Gajah mempunyai pemain berbisa seperti Azamuddin Akil, R. Gopinathan dan juga Hafiz Kamal.

Antara pemain lain yang membarisi skuad itu adalah Fauzi Rozlan, R. Surendran, Faizol Hussein selain turut dikukuhkan dengan kehadiran tiga pemain dari Selangor iaitu Mohd. Amirul Hadi Zainal, Mohd. Razman Roslan dan Azidan Sarudin.

Di sebalik kecemerlangan Pahang pada awal saingan Liga Super 2013, prestasi dua penyerang import skuad itu, Nikolce Kleckarovski dan Mohamed Borji agak mengecewakan.

Pada April 2013, Pahang menamatkan kontrak dua pemain import tersebut dan menggantikan dengan pemain baharu iaitu Matias Conti dari Argentina yang bermain di bahagian serangan dan Damion Stewart dari Jamaica (pertahanan).

Kedua-dua pemain import ini ternyata bukan tersalah pilih apabila menunjukkan prestasi yang boleh dibanggakan terutama Stewart yang berjaya menyebabkan penyerang pasukan lawan gerun apabila berhadapan dengannya.

Skuad Pahang 2013 tidaklah dibarisi oleh pemain bintang namun berbekalkan semangat bermain secara berpasukan dan aksi tidak mengenal lelah hingga ke wisel penamat, skuad ini berjaya menunjukkan permainan bertenaga sehingga layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2013.

Berdasarkan rekod bertemu Kelantan bukan suatu yang mudah untuk Tok Gajah menewaskan The Red Warriors, namun berkat kesungguhan dan komitmen seluruh pemain skuad itu, Pahang pasti memberikan saingan sengit.

Misi 1992 Pahang kini semakin hampir dan skuad Tok Gajah yang sebelum ini tidak diberikan harapan tinggi untuk layak sehingga ke tahap ini telah pun membuktikan mereka mampu biarpun tidak dibarisi oleh pemain bintang.

Di atas kertas mungkin Kelantan pasukan pilihan, namun penyokong Tok Gajah tetap meletakkan harapan tinggi kepada pasukan kesayangan mereka.

Sokongan padu penyokong Tok Gajah atau lebih dikenali dengan jolokan Elephant Army musim ini juga ibarat pemain ke-12 buat skuad Pahang apabila tanpa jemu menghadirkan sokongan padu buat skuad kendalian Dollah.

Dan minggu lalu mereka turut sama membanjiri Stadium Darul Makmur menyaksikan perlawanan persahabatan antara Mahkota United yang rata-ratanya dibarisi pemain daripada skuad yang menjulang Piala Malaysia 1992 termasuk bintang import, Alan Davidson dengan pasukan KP Pahang.

Nyata, kesemua penyokong Tok Gajah cukup dahagakan untuk melihat skuad yang diketuai Jalaluddin mampu mengulangi memori manis 1992.

Hulu Tembeling akan dibangunkan

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Adnan Yaakob merasmikan calet Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang sambil disaksikan Lias Mohd. Noor (kanan) semasa lawatan beliau ke Kampung Pagi, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 30 Okt. - Anak syarikat kerajaan negeri terutama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Yayasan Pahang akan terus terlibat merancang dan membangunkan sektor perladangan dan pelancongan di Hulu Tembeling di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, terbaru PKNP membangunkan calet dan bakal melaksanakan projek jeti Sungai Pengau dan ruang meletak kenderaan di Kampung Pagi untuk kemudahan pelawat singgah dan mengunjungi destinasi menarik di Hulu Tembeling.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi PKNP dan Jabatan Perikanan juga merintis projek ternakan ikan air tawar di kawasan tersebut berasaskan sistem tagal dan projek ikan sturgeon yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

"Kesemua projek ini direalisasikan bagi mengubah kehidupan penduduk menerusi limpahan pendapatan keluarga masing-masing serta mewujudkan pemain dan usahawan yang proaktif serta berjaya dalam sektor pertanian dan pelancongan," katanya kepada pemberita selepas program bertemu dengan ketua masyarakat dan penduduk lima buah kampung mukim Hulu Tembeling di Kampung Pagi, dekat sini kelmarin.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak; Ketua Eksekutif PKNP, Datuk Lias Mohd. Noor; Pegawai Kemajuan Negeri Pahang, Datuk Dzul-kifly Osman dan Pegawai Daerah Jerantut, Datuk Syed Ab. Mutalib Syed Hassan.

Sementara itu, Adnan meminta penduduk Hulu Tembeling menaruh keyakinan kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan usaha pembangunan di kawasan pedalaman daerah ini, sekali gus mampu mencorakkan perubahan ekonomi selari dengan transformasi pembangunan kerajaan.

"Jangan percaya pihak tertentu khususnya pembangkang sebaliknya yakin kepada kepimpinan BN negeri dan wakil rakyat yang dipilih dalam apa juga permohonan dan aduan mengenai program pembangunan di tempat masing-masing," ujarnya.

Tambahnya, bagaimanapun penduduk perlu bersabar kerana setiap usaha pembangunan perlu menerusi terma perancangan dan peruntukan yang memerlukan sedikit masa khususnya manfaat untuk generasi akan datang.

36 mahasiswa dekati masyarakat melalui Program Kembara UMP 2013

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Sebahagian mahasiswa yang menyertai Program Kembara UMP 2013 di Felda Chemomoi, Temerloh, baru-baru ini.

KUANTAN 30 Okt. - Seramai 36 mahasiswa termasuk lapan penuntut antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai Program Kembara UMP 2013 di Felda Chemomoi, Temerloh dekat sini, bagi mendekati dan bermesra dengan masyarakat di situ.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, UMP amat berbesar hati kerana berpeluang menabur bakti seterusnya menjayakan program kerjasama antara UMP dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Felda Chemomoi itu.

"Dalam program tersebut mahasiswa UMP berpeluang bertemu dan bermesra dengan penduduk kampung. Program kesukarelaan ini dapat memasyarakatkan UMP dengan masyarakat di situ.

"Pihak universiti sentiasa menyokong pelajar supaya menyertai program kemasyarakatan supaya dapat menambah pengalaman sepanjang perlaksanaan program.

''Malah, program sebegini begitu signifikan bagi mahasiswa UMP sama ada di dalam dan luar negara," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian penutup program tersebut di Felda berkenaan, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengurus Felda Chemomoi, Ahmad Kamal Hussain; Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Felda Chemomoi, Abdul Ghani Taib dan Pengarah Program, Hani Abdullah.

Menurut Yuserrie, antara pengisian program itu ialah projek keluarga angkat, kem Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, forum dan pameran bagi mempromosikan UMP.

"Saya berharap program seperti ini dapat memanfaatkan kedua-dua pihak seterusnya menjalin hubungan baik antara universiti dan masyarakat," jelasnya.

Sementara itu, menurut Ahmad Kamal, pihaknya gembira atas kesudian warga UMP memilih Felda Chemomoi untuk program kemasyarakatan tersebut.

"Aktiviti yang dijalankan dapat memberi manfaat terutama dalam memberi suntikan semangat kepada anak-anak kampung, malah mahasiswa sendiri dapat mengeratkan hubungan bersama keluarga angkat masing-masing," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved