Ahad, 27 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Bekas pelatih PLKN disaran jadi askar

Posted: 26 Oct 2013 12:01 PM PDT

PADANG BESAR 26 Okt. - Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah menamatkan latihan masing-masing disarankan menyertai pasukan beruniform seperti Askar Wataniah sama ada secara langsung atau sebaliknya bagi membantu mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ini kerana cara tersebut mampu meningkatkan penyertaan rakyat, khususnya dalam Askar Wataniah.

"Bagi bekas pelatih yang berminat menyertai tentera tetapi mempunyai komitmen lain, mereka masih berpeluang menyertai Askar Wataniah.

"Semangat patriotisme yang diterapkan semasa dalam PLKN akan menjadi pemangkin untuk menyertai bidang ketenteraan," titah baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah.

Baginda bertitah demikian dalam majlis Titian Kasih Mega di Kem PLKN Taman Meranti, Wang Kelian, di sini semalam.

Titah baginda, bekas pelatih PLKN boleh berperanan sebagai 'mata dan telinga' untuk Askar Wataniah yang berpangkalan di tempat masing-masing,

"Ini sekali gus dapat membantu Tentera Darat Malaysia untuk melaksanakan tugas-tugas tertentu, selain berperanan sebagai 'first respondent' terhadap sesuatu insiden ataupun aktiviti melibatkan angkatan bersenjata," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin menggesa bekas pelatih PLKN memberikan tumpuan terhadap beberapa aspek melibatkan bencana, kemasyarakatan dan sosial, projek, alam sekitar, penerangan dan publisiti, akademik, sukan, mengurangkan indeks jenayah, mengukuhkan integrasi nasional serta mengekalkan keamanan negara.

Baginda bertitah, bekas pelatih PLKN juga dinasihatkan supaya jangan melibatkan diri dengan gejala negatif seperti gangsterisme, penyalahgunaan najis dadah dan salah laku sosial yang kian mudah mempengaruhi remaja di luar.

"Diharap semua warga Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) khasnya dan warga Kem PLKN Tasik Meranti amnya, sama-sama menggembleng tenaga demi menjayakan hasrat murni kerajaan bagi mendidik dan melahirkan generasi wira dan wirawati sebagaimana diharapkan," titah baginda.

Mohd. Akhmar pemuda hebat - Ali

Posted: 26 Oct 2013 12:01 PM PDT

ALI Yahya (kanan) berbual dengan tiga orang nelayan yang terselamat dalam tragedi bot karam semasa dalam perjalanan pulang dari laut ke jeti Kota Kuala Muda, Sungai Petani, kelmarin.

SUNGAI PETANI 26 Okt. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Ali Yahya menyifatkan Mohd. Akhmar Mat Zain, 19, sebagai seorang pemuda hebat kerana sanggup menghadapi risiko ombak besar setelah bot dinaiki bersama empat rakannya terbalik tidak jauh dari jeti pendaratan ikan di Kota Kuala Muda, di sini Isnin lalu.

Menurutnya, bukan mudah bagi sesiapa sahaja untuk menyelamat diri setelah bot dinaiki terbalik dalam masa 24 jam, kemudian ditemui semula.

Mohd. Akhmar ditemui semula di Pulau Batu Keramat dekat Tanjung Tokong, Pulau Pinang sehari selepas itu, setelah dia berpaut pada sebuah pelampung yang ditemuinya.

Empat rakannya, termasuk pemilik bot itu, Ridzuan Hashim, 42; Mat Jais Mat, 41; Mohd. Abdullah Bhasir, 19, dan Mohd. Ashraf Rosli, 15, terselamat naik ke darat.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana Mohd. Akhmar terselamat semasa menghadapi ujian luar biasa itu," kata Ali ketika ditemui semasa berkunjung ke rumah ibu Mohd. Akhmar, Che Norma Othman, 58, di Kampung Keda, Kota Kuala Muda, dekat sini semalam.

Bersimpati dengan nasib menimpa mereka itu, Ali mewakili kerajaan negeri Kedah menghulur sumbangan RM300 kepada semua mangsa bot karam itu.

"Pelbagai tragedi tidak diingini boleh berlaku pada nelayan semasa ombak besar di laut dan mereka boleh ceria semula apabila menerima bantuan yang tidak seberapa itu.

"Saya berharap pihak-pihak lain juga bersimpati dan menghulurkan bantuan yang sama," katanya lagi.

Kelmarin, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Negeri Kedah, Mohd Noor Had turut menghulurkan sumbangan RM200 kepada setiap mangsa.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Ridzuan Ismail, 30, dari Sungai Deraka di sini mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak kerana menghulur sumbangan setelah bot yang dinaiki bersama, Nazaril Ismail, 25, dari Kampung Haji Kudung turut terbalik pada hari sama di antara Teluk Bahang dan Pulau Sayak di sini.

"Dengan sumbangan itu, bolehlah kami membeli pelbagai barang makanan setelah tidak turun ke laut menangkap ikan beberapa hari kerana masih lagi berada dalam keadaan trauma," katanya.

Pemimpin, ahli UMNO diseru kembali bersatu

Posted: 26 Oct 2013 12:01 PM PDT

IPOH 26 Okt. - Semua kepemimpinan UMNO dan ahlinya diseru bersatu dan membuka lembaran baharu bagi memastikan parti itu terus kuat dan kukuh selepas pemilihan parti baru-baru ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri. Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihak-pihak berkenaan tidak kira yang kalah atau menang juga seharusnya sudah kembali bekerja dan melupakan segala yang berlaku semasa pemilihan tempoh hari.

Menurut Zambry, apa yang berlaku dalam pertandingan 'keluarga' itu sepatutnya dijadikan pengajaran dan tanggungjawab kepada semua ahli dalam mengembalikan perpaduan dan bukannya menjadikan UMNO semakin lemah.

"Berkasih-kasihlah, bersalam-salam kerana inilah waktu untuk kita bertaut kembali. Jangan lagi ada perkara-perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama kita.

"Seperti yang saya tekankan berkali-kali bahawa pertandingan UMNO adalah pertandingan keluarga. Jadi soal suka tidak suka ataupun siapa yang kalah atau siapa yang menang perlu kita lupakan sebaik pemilihan selesai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan anugerah pada sambutan Hari Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Perak 2013, di sini semalam.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd. Gazali Jalal; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Shamsudin Abu Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria.

Zambry berkata, perebutan jawatan dalam pemilihan UMNO baru-baru ini juga tidak sepatutnya menjadikan parti itu semakin lemah.

"Jadi marilah kita kembali berkhidmat dan mencurahkan bakti demi kelangsungannya untuk generasi masa depan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved