Ahad, 27 Oktober 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Obses patung kain

Posted: 27 Oct 2013 05:43 AM PDT

SUAMINYA, Tony amat menyokong hobi pelik isterinya.

JIKA anda ingin tahu apa yang membuatkan Robyn Amato, 58, dari Florida, Amerika Syarikat (AS) sentiasa tersenyum, lihat saja di sekeliling rumahnya.

Patung kain yang terkenal dengan rambut merah, hidung tiga segi dan senyuman yang menenangkan kanak-kanak iaitu Raggedy Ann itu berada merata-rata di dalam rumahnya.

Raggedy Ann memenuhi ruang tamu, dapur, bilik tidur malah laman belakang rumahnya kecuali bilik air dan bilik ibunya.

Jumlah anak patung dan memorabilia Raggedy Ann yang mula diperkenalkan pada tahun 1918 di dalam rumahnya mencapai 3,000!

Walaupun telah berbelanja lebih AS$20,000 (RM63,000) sepanjang 18 tahun mengumpulnya, ujar Amato, dia masih mahu memburu patung kain tersebut.

Malah kegilaannya dengan Raggedy Ann hingga ke tahap berpakaian seperti patung tersebut lengkap dengan pakaiannya dan solekan yang serupa.

Kadang-kadang, dia akan membawa patung-patungnya berjalan-jalan dengan berpakaian sedemikian malah Amato juga sering mengadakan 'jamuan teh' untuk rakan-rakannya di dalam bilik khas di rumahnya.

Setiap pagi, Amato yang digelar Raggedy Robyn akan memasuki bilik khas tersebut yang menyimpan koleksi kesayangannya dan bersembang dengannya.

Bukan itu saja, suami Amato yang menyokong penuh hobi pelik isterinya itu turut bersetuju dibakar mayatnya suatu hari nanti dan abu mayatnya akan dimasukkan ke dalam patung Raggedy Ann sebagai tanda kenangan untuk isterinya nanti.

Cerita Amato, dia tidak pernah memiliki patung tersebut ketika kecil, sehinggalah dia berusia 40 tahun apabila dia membelinya kerana warnanya yang menyerupai tema di satu ruang di rumahnya.

Sejak itu, dia terus obses dengan patung tersebut dengan membuat rujukan di Internet lalu memburunya di eBay serta pasar lambak.

Amato mendakwa senyuman dan wajah Raggedy Ann itu memberi ketenangan kepadanya dan membuatkan dia tabah menghadapi dugaan dalam hidup sejak beberapa tahun lalu.

Amato memiliki antara patung yang terawal pernah dihasilkan iaitu sekitar 1920-an dan dia menyimpannya di dalam peti kaca di ruang tamunya.

Suami suka berhibur sendiri

Posted: 27 Oct 2013 05:43 AM PDT

SAYA ingin bertanya kepada pembaca khususnya lelaki, ada tak wanita yang berkahwin tak mahu bahagia?" soal Nurnaziela dalam e-melnya dan ketika kami berbual panjang di telefon.

''Saya bekerja dan sudah berkahwin lebih sembilan tahun, ada seorang anak sebab selepas melahirkan, suami saya AZ kurang beri perhatian kepada saya sebaliknya lebih senang menyendiri dan keluar mencari hiburan dengan kawan-kawannya.

''Maksud saya keluar bukan ke kelab, pub atau sepertinya tetapi suka lepak di warung hingga lewat malam. Bila balik dia tak masuk ke bilik sebaliknya lebih senang tidur sendirian di sofa. Hinggakan sofa jadi tempat tidur abadinya.

''Mula-mula dulu bila dia suka keluar malam, saya tunggu hingga dia balik sampai mengantuk. Bila saya tanya dia marah, dituduh kaki control. Jadi saya diam tak mahu dia meninggikan suara tengah malam, malu pada jiran. Saya masuk tidur dan biarkan di mana dia nak tidur. Sudah pasti dia tidur di sofa.

''Kerana tak puas hati, saya sering bertanya semasa nak pergi kerja atau ketika balik rumah. Jawapannya, dia panas dan nak bebas tidur di luar. Bila tidur berasingan maka kami jarang bersama, sebab dia tak berminat dan kekenyangan sebab makan minum di luar.

''Pernah saya angkat tilam tidur bersamanya di luar dekat sofa, tapi dia marah dan suruh saya tidur dalam bilik. Kalau sekali dua kena marah tak ada masalah tetapi kalau memanjang dihalau, terasa juga malu dan sakit hati... macam kita tak ada maruah, macam dia tak sudi tidur dengan kita, macam saya terhegeh-hegeh mencarinya. Memang malu.

''Akhirnya saya tak tunggu kalau dia balik lewat dan saya tak bawa tilam tidur di luar. Saya buat kesimpulan dia tidak perlukan saya, kalau dia perlu tentu dia masuk bilik.

Mula-mula dulu memang sakit hati dan saya sering menangis memikirkan mungkin dia ada kekasih gelap. Kini saya dah tak peduli lagi.

''Lebih malang lagi, hubungan saya dengan mertua tidaklah begitu baik. Saya buat macam-macam untuk menarik perhatian mertua tapi sambutannya terhadap saya tetap dingin. Dulu saya ada beri hadiah bila ke rumahnya di pinggir bandar di Johor, tapi dia tak sudi.

''Contoh, kalau saya hadiahkan mertua saya pakaian atau kain batik ketika dia duduk di kerusi, dia akan letakkan di atas meja. Hingga saya pulang nanti, dia tidak akan ambil simpan. Dia macam tak sudi terima hadiah saya. Nak ucap terima kasih jauh sekali. Dia ambil dan letak di meja dan terus bertanya khabar dengan anaknya AZ.

''Saya sedar mertua saya tak berkenan dengan saya malah pernah menolak cadangan AZ untuk melamar saya, hinggakan dia tidak menyertai rombongan meminang sebaliknya mewakilkan kakaknya. Alasannya tak sihat badan. Tetapi sebenarnya saya sedar dia tak sukakan saya kerana sudah ada pilihan lain.

''Tetapi ketika itu cinta AZ terhadap saya memang menebal. AZ tetap mahu ambil saya jadi isteri dan ibunya terpaksa mengalah. Namun bencinya terhadap saya sukar dikikis hingga kini.

''Pelbagai cara saya lakukan untuk memujuk hatinya, tetapi saya masih gagal. Kalau ketika dia sedang berbual dengan AZ dan saya datang atau melintas, maka perbualan tersebut akan terhenti hinggalah saya beredar. Memang malu dibuatnya tetapi saya tetap sabar, manalah tahu satu hari nanti mertua akan berubah.

''Malangnya bencinya makin bertambah. Saya pernah bertengkar dengan AZ kerana hobinya suka melepak, tanpa saya sedari AZ buka telefon untuk didengar oleh emaknya. Apa lagi sejam kemudian saya terima panggilan daripada mertua, katanya apa salah AZ keluar minum dengan kawan, bukan dia cari perempuan atau kahwin lagi?

''Terkejut beruk saya. Setelah disiasat tahulah saya AZ buka telefon untuk emaknya dengar. Sejak itu hubungan kami makin tegang. Saya terasa sangat kehadiran saya langsung tak diterima, hinggakan anak saya pun tidak dilayan seperti cucu-cucunya yang lain.

''Oleh kerana hubungan kami semakin tegang, tahun lepas saya beritahu AZ jika dia tak suka saya lagi atau ingin kahwin lain dengan calon pilihan ibunya, saya tak larang tetapi AZ mesti ceraikan saya dulu.

''Lagipun AZ langsung tidak mesra dengan ibu bapa saya. Kalau balik kampung saya, lekas-lekas dia ajak balik. Malah AZ pernah kata kalau saya nak duduk lama dia tak mahu ikut. Bila hari raya, dia datang pagi dan balik petang dengan pelbagai alasan. Emaknya buat kendurilah, tahlil dan entah apa lagi.

''Kerana nak jaga hati suami, saya terpaksa ikut kehendaknya. Tetapi akhir-akhir ini saya rasa sudah tidak ada faedah saya bersabar. Harapan saya supaya dia adil sebaliknya dia semakin menjauhkan diri daripada keluarga saya.

Akhirnya saya ikut hati sendiri. Jika terasa nak balik rumah emak, saya balik. Begitu juga kalau giliran beraya dengan emak saya, saya akan duduk tiga atau empat hari, kalau AZ tak mahu ikut, dia baliklah ke rumah emaknya. Saya dah penat bersabar.

''Kami sudah buat hal masing-masing. Saya sudah setahun tak masak kecuali masak nasi sebab AZ memang tak makan dengan kami kecuali hari Ahad, dia akan makan di rumah dengan membeli makanan di gerai untuk saya dan anak kami. Makan malam pandai-pandai sayalah, sebab dia akan lepak dengan kawannya.

''Saya rasa semakin lama hubungan kami semakin tawar, langsung tidak harmoni. Berbual pun jika ada hal penting. Itupun dengan anak untuk beberapa jam pada hari Ahad sebelum dia keluar dengan kawannya. Kini dia ada hobi baru ikut kawannya makan angin sambil memancing, walaupun dia tak suka memancing. Tapi dia suka berhibur sendiri.

''Kata AZ dia bukan jenis lelaki suka duduk rumah dikongkong bini dan dengar cakap bini, dia ada hak sendiri dan selagi dia tak jumpa calon yang sesuai untuk berkahwin dia tidak akan ceraikan saya. Jika dia berkahwin lagi pun belum tentu dia akan ceraikan saya jadi jangan harap saya dapat kahwin lain.

''Kata-katanya memang menyakitkan hati, dia ego. Kadang terfikir untuk apa perkahwinan ini? Sehingga kini saya masih menyewa meskipun boleh beli rumah sendiri kerana saya tak mahu rumah jadi masalah jika jodoh kami pendek.

''Saya ikut nasihat kawan baik, lebih baik saya simpan duit untuk masa depan kerana jika diceraikan, duit simpanan saya tidak boleh dibahagi dua.'' Itu cerita Nurnaziela yang sudah bosan dengan ego suami dan mertua yang tak pernah hendak belajar menerimanya sebagai menantu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved