Utusan Online - Agrobiz |
Pakej Projek Usahawan Lebah bantu generasi muda jadi usahawan Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT ISMAIL Sabri Yaakob melihat rumah lebah dan madu selepas majlis pelancaran Pakej Projek Usahawan Lebah di Dewan Majlis Daerah Bera, Padang Luas, Bera, Pahang, semalam. Turut kelihatan Baharom Jani (dua dari kanan). - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN BERA 27 Okt. - Pakej Projek Usahawan Lebah mampu menarik minat generasi muda menjadi usahawan dalam bidang ternakan itu yang menawarkan pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui pakej itu generasi muda yang berminat akan diberi latihan jangka pendek dan sederhana di pusat latihan tertentu termasuk di Pusat Apiari Nasional di Batu Pahat, Johor. Menurut beliau, pihaknya akan menyediakan khidmat nasihat berhubung penyediaan keperluan penternakan seperti tanah, rumah lebah dan persekitaran sesuai ke arah melahirkan usahawan bidang itu yang berjaya. "Selain bimbingan dan pemantauan berterusan oleh agensi di bawah kementerian, kemudahan pembiayaan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Agrobank juga disediakan bagi mereka yang berminat. "Bermula hari ini, Pahang menjadi lokasi projek perintis dan kita akan ke seluruh negara bagi memberi penerangan mengenai pakej ini," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan pakej itu di Dewan Majlis Daerah Bera, di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Dr. Baharom Jani. Ismail Sabri berkata, nilai import madu mentah negara tahun ini dijangka mencecah RM50 juta iaitu meningkat daripada RM26.7 juta pada 2008 dan RM40.8 juta (2011). Nilai itu, tambah beliau, hanya membabitkan madu mentah dan tidak termasuk keperluan madu untuk produk hiliran yang dijangka melibatkan jumlah lebih besar. Menurutnya, melalui pakej itu juga pihaknya menyasarkan menambah bilangan usahawan lebah yang kini sebanyak 730 orang. "Menjelang akhir tahun ini, kita menyasarkan sebanyak 25 lagi usahawan lebah dapat dilahirkan di seluruh negara dengan setiap Parlimen di Pahang melahirkan sekurang-kurangnya lima usahawan lebah di setiap daerah," katanya. Beliau berkata, usaha itu juga dapat mengurangkan import sumber tersebut selain mencapai hasrat menjadikan Malaysia pengeluar utama madu lebah di rantau Asia. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Agrobiz To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan