Rabu, 23 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


25 dianugerah Pegawai Kadet

Posted: 22 Oct 2013 11:36 AM PDT

KAMARUDIN Hussin (kiri) memakaikan hackel kepada anggota Palapes UniMAP di Lapang Sasar Intan Shafinaz UUM di Sintok, Kedah, baru-baru ini.

SINTOK 22 Okt - Seramai 25 orang ahli Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dianugerahkan pangkat Pegawai Kadet manakala 151 orang menerima pemakaian 'hackel' dalam satu majlis yang diadakan di Lapang Sasar Intan Shafinaz, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Anugerah dan upacara pemakaian 'hackel' berkenaan disempurnakan oleh Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin selaku Komandan Palapes UniMAP sempena pembukaan Latihan Berterusan Pegawai Kadet Palapes UniMAP 2013 di sini, baru-baru ini.

Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Timbalan Komandan Palapes, Prof. Madya Dr. Zaliman Sauli dan Ketua Jurulatih Palapes, Lt. Kol. Azhar Omar.

Datuk Kamarudin dalam ucapannya berkata, beliau berharap semua pegawai kadet peringkat 'intermediate' dan 'senior' dapat menjadi contoh dan teladan kepada kadet 'junior' yang baharu menyertai Palapes.

"Pegawai kadet serta mereka yang diberi kepercayaan bagi memegang pangkat hendaklah menjalankan amanah tersebut dengan penuh dedikasi kerana pembentukan sikap dan disiplin bermula di sini.

"Kepada yang tidak memegang pangkat, anda perlu menjadi contoh yang positif kepada kadet 'junior' bagi menjamin mutu disiplin pasukan yang menjadi kebanggaan kita di UniMAP ini," katanya.

Menurutnya, setiap ahli Palapes juga perlu menunjukkan keprihatinan sesama sendiri, berani tegur menegur dan memberi tunjuk ajar yang sewajarnya apabila perlu.

Katanya, sehingga kini pihak universiti sentiasa peka dan berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur yang sedia ada di Palapes.

"Dengan adanya kemudahan infrastruktur terkini ia mampu untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan seterusnya berjaya memperkembangkan status intelektual dalam kalangan kadet secara berterusan," katanya.

Majlis Perwakilan Pelajar USM perkenal e-Kiraan

Posted: 22 Oct 2013 11:36 AM PDT

ADNAN Hussein memberi penerangan mengenai sistem e-Kiraan yang pertama kali diperkenalkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dalam sidang akhbar di Pulau Pinang, kelmarin. - Gambar ihsan USM

PULAU PINANG 22 Okt. - Buat pertama kali, Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenal sistem e-Kiraan bagi proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dijadual berlangsung Khamis ini.

Sistem berkenaan akan digunakan di ketiga-tiga kampusnya iaitu Kampus Induk, Kampus Kesihatan dan Kampus Kejuruteraan bertujuan mempercepatkan proses pengiraan kertas undi yang memakan masa kira-kira tiga jam.

Pemangku Naib Canselor USM, Profesor Dr. Adnan Hussein berkata, sistem tersebut telah diuji dua kali dan didapati berjalan lancar tanpa kesulitan.

"Proses pemilihan kali ini menggunakan borang pengecaman tanda optikal (OMR) yang akan diimbas bagi mendapatkan kiraan seseorang calon. Sistem ini akan menolak kertas undi yang rosak sama ada pemilihan bilangan calon yang kurang atau lebih oleh seseorang pengundi.

"Sebelum ini, secara manual kertas-kertas undi diperiksa keadaan fizikalnya bagi memastikan kertas yang rosak seperti terkoyak atau renyuk tidak mengganggu proses mesin pengimbas," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Pemilihan MPP USM sesi 2013/2014 mempertandingkan sebanyak 31 kerusi bagi konstitusi pusat pengajian dan sembilan kerusi konstitusi umum.

Pelajar Inskil ikuti kursus usahawan

Posted: 22 Oct 2013 11:36 AM PDT

SEBAHAGIAN daripada para pelajar Institut Kemahiran Langkasuka Gurun menyertai Kursus Latihan Pembentukan Usahawan Program Usahawan Teknikal anjuran Mara Daerah Kota Setar di Hotel Sentosa Regency, Alor Star, Kedah, baru-baru ini.

ALOR SETAR 22 Okt. - Seramai 30 pelajar Institut Kemahiran Langkasuka (Inskil) Gurun dipilih mengikuti kursus latihan pembentukan usahawan (LPU) menerusi Program Usahawan Teknikal (Putek) Pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) Daerah Kota Setar di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Kursus selama 10 hari itu bertujuan memberi maklumat terkini tentang kaedah penghasilan rancangan perniagaan selain memberi pendedahan berkaitan saluran tepat untuk mendapat bantuan sebelum memulakan perniagaan.

Peserta mengikuti kursus kali ini adalah bagi diploma automotif, teknologi maklumat, teknologi komputer dan elektrik menerima sijil yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Mara Daerah Kota Setar, Siti Fatemah Abdullah.

Seorang peserta kursus itu, Mohamad Farid Mohamed Feros, 20, dari Jeniang berkata, kursus seumpama itu perlu diadakan lebih kerap kerana ia dapat membuka minda pelajar tentang peluang perniagaan sebelum menceburinya secara serius selepas menamatkan pengajian.

"Ilmu yang diperoleh sepanjang kursus ini akan saya mempraktikkan tidak lama lagi," katanya yang merupakan pelajar jurusan Juruteknik Kenderaan Motor Diploma Inskil.

Pelajar jurusan Tadbir Sistem Maklumat, Roslan Tumiran, 23, dari Bandar Sunway, Selangor pula berkata, dia diajar mengenai cara-cara mengurus syarikat sendiri tanpa perlu lagi kerja makan gaji di sektor awam atau swasta.

"Inilah ilmu baharu yang perlu dipelajari oleh anak muda jika ingin menjadi usahawan berjaya," katanya.

Penolong Pengarah Mara Daerah Kota Setar, Siti Fatemah Abdullah menyampaikan sijil kepada peserta kursus itu.

Sementara itu Pengarah Inskil, Dr. Abdul Jalil Ahmad berkata, ceramah yang disampaikan oleh Dr. Awais Abdullah dari sebuah syarikat, Wise Consortium boleh dijadikan panduan untuk memajukan diri sendiri.

"Saya berpuas hati kerana setiap peserta dapat mengambil maklumat dengan mendengar ceramah yang disampaikan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved