Rabu, 23 Oktober 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Disisih keluarga mentua

Posted: 23 Oct 2013 01:19 AM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

Tindakan menyisihkan anak-anak OKU amat menyedihkan. - Gambar hiasan

KADANGKALA reaksi positif mahupun negatif tidak perlu diluah menerusi kata-kata. Cukuplah sekadar ekspresi muka dan bahasa badan yang menentukan penerimaan suka mahupun sebaliknya.

Pada mulanya Rohaya Husin, 48, (bukan nama sebenar) seboleh-bolehnya tidak mahu berprasangka negatif pada segelintir kerabat di sebelah suaminya yang mula menyisihkan dia dan keluarganya selepas anak ketiga, Ruzana Samad (bukan nama sebenar) yang ketika itu berusia sembilan tahun disahkan mengalami kecacatan anggota tubuh bermula dari bahagian pinggang ke bawah.

Namun ketabahan dirinya goyah jua selepas satu persatu insiden yang membuatkan dia sedar, tidak semua ahli keluarganya berhati mulia.

"Selain kurang upaya fizikal, Ruzana juga disahkan doktor menghidapi penyakit Cerebral Palsy yang tidak begitu teruk.

"Ruzana lahir seperti kanak-kanak normal. Cuma apabila masuk sekolah rendah keadaan fizikalnya semakin melemah. Dia cepat penat dan sedikit demi sedikit saiz kakinya mengecut lalu membataskan pergerakannya.

"Keadaan tersebut berlangsung hampir setahun sebelum Ruzana terus hilang upaya untuk berjalan," cerita Rohaya membuka bicara pada saya untuk segmen Pengakuan kali ini.

Menjadi suri rumah sepenuh masa kepada empat anak termasuk Ruzana, sememangnya menguji kesabaran dan ketahanan fizikal dan mental Rohaya.

Begitu pun, dia menerima takdir Yang Maha Kuasa dengan penuh reda. Hari-hari dilalui dengan penuh menguji kudrat selain ketahanan dirinya sendiri yang juga semakin hari semakin meningkat usia.

"Sebenarnya saya amat bersyukur kerana dikurniakan suami dan adik beradik saya sendiri yang sangat membantu dan tidak pernah menyisihkan kami.

"Cuma keluarga di sebelah mentua yang memang memandang sinis pada keluarga kami walaupun mereka boleh dikatakan mempunyai pelajaran tinggi dan kehidupan yang mewah di ibu kota.

"Sebenarnya ia bermula dengan satu insiden. Ketika itu kami sekeluarga mahu berhari raya di rumah salah seorang ahli keluarga kami di Melaka.

"Sepatutnya kami berkonvoi tapi rupanya kami sengaja ditinggalkan kerana mereka menganggap kami tidak perlu pergi kerana leceh menguruskan anak cacat. Saya sedih kerana kami sebolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa pun tapi kami dilayan seperti kami sekeluarga pula yang menyusahkan.

"Selepas itu satu persatu lagi reaksi negatif dari sebelah ipar yang sememangnya mahu menyisihkan kami sekeluarga mula kelihatan. Sebagai contoh, ketika salah seorang daripada anak buah suami saya berkahwin dan kami tidak mendapat undangan majlis yang berlangsung di sebuah kelab eksklusif. Saya semakin sedar kami disisih dan mula menyuarakan isi hati pada suami. Mujur suami saya juga menyebelahi saya dan hanya mampu memujuk saya supaya bersabar," cerita Rohaya sambil menitiskan air mata.

Tambah Rohaya, sebenarnya terlalu banyak insiden yang benar-benar membuatkan dirinya dan anak-anak lain kecil hati, namun tidak mampu dikongsikan dengan penulis.

"Anak-anak saya semakin membesar. Ruzana kini pun sudah mencecah 15 tahun dah syukur kepada Allah, semua anak-anak saya cemerlang dalam pelajaran termasuk Ruzana.

"Dia berjaya mendapat 5A dalam UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) walau dengan kesusahan dia bergerak dia tidak pernah ponteng sekolah.

"Saya juga bersyukur kerana Ruzana mendapat sahabat dan para guru yang begitu baik. Hinggakan dia tidak pernah menggunakan duit belanja di sekolah kerana gurunya sering membelikan dia makanan.

"Anak sulung saya juga cemerlang dalam peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) di sebuah asrama penuh dan ditawarkan biasiswa perubatan. Begitu juga anak-anak yang lain, masing-masing cemerlang dalam pelajaran," ujar Rohaya penuh keinsafan.

Serentak dengan kejayaan anak-anak itu jugalah reaksi daripada ahli keluarga sebelah suaminya yang dahulu a sentiasa menyisihkan mereka telah berubah.

"Pada saya mereka (keluarga sebelah suami) baru mula celik mata terhadap keluarga kami. Memang saya tidak pernah bertanya secara terus kepada mereka. Namun seperti yang saya ceritakan di awal tadi reaksi dan bahasa tubuh mereka saja sudah cukup menggambarkan betapa mereka menganggap kami bukan dari ahli keluarga sendiri," luah Rohaya.

Sehingga kini, Rohaya masih meneruskan rutin kehidupannya. Dia sememangnya amat bersyukur kerana diberikan pendedahan menerusi media dengan secukupnya untuk membawa mana hala tuju anaknya.

"Dengan maklumat dari media yang banyak tentang kumpulan sokongan untuk anak-anak OKU (orang kelainan upaya) saya semakin celik minda dan mata untuk memastikan anak saya juga boleh berjaya seperti orang lain.

"Walau kami sekeluarga dulu pernah disisihkan tapi masih ramai lagi yang berhati mulia dan menerima keadaan anak saya dengan seadanya.

"Cuma saya berharap agar jangan ada ahli keluarga lain yang mengalami sama seperti kami, moga semuanya boleh menerima apa saja yang diberikan Ilahi tanpa sikap prejudis, Insya-Allah," ujarnya.

Kraf beri pulangan lumayan

Posted: 23 Oct 2013 01:19 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my
Gambar AHMAD ZAKKI JILAN

Zulkifli Abdul Rani memotong kayu untuk membuat produk kraf tangan di Pusat Inkubator Kraf Temerloh.

HASIL kraf sama ada yang diukir daripada kayu, tembaga, tekstil, tanah liat, porselin, seramik, rotan, buluh, daun getah dan sebagainya mampu memberikan pulangan.

Ini dibuktikan oleh pasangan suami isteri, Mohd. Noh Abdul Rahman, 53, dan isteri Zarinah Mat Datar, 50, yang menumpukan sepenuh masa mereka mengusahakan jualan pokok kerchut yang diawet sebagai satu hasil seni yang berjaya memikat peminat kraf tangan di seluruh negara.

Bagi Mohd. Noh, pokok kerchut yang mudah didapati di Tasik Cini, Pekan, Pahang, mungkin tidak bernilai bagi sesetengah orang.

Tetapi pokok tersebut yang tumbuh di permukaan air di sekitar 12 pulau yang terdapat di tasik tersebut mempunyai nilai yang tinggi bila ditambah nilai dan dijadikan hasil kraf.

Produk itu yang dijual menerusi pelbagai pameran yang disertainya di bawah naungan Kraftangan Malaysia dan Tourism Malaysia di seluruh negara termasuk di Pusat Kraftangan Malaysia di Jalan Conlay, Kuala Lumpur, mampu menghasilkan pendapatan antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan.

Pokok kerchut yang diawet turut menarik minat ramai rakyat Singapura semasa pasangan suami isteri ini menyertai pameran Kraftangan Malaysia di Johor Bahru, sedikit masa lalu.

''Idea untuk mengawet pokok ini bermula tujuh tahun lalu semasa kami pergi memancing di Tasik Cini dan saya tertarik melihat pokok tersebut yang unik dan hidup subur di permukaan air.

''Pokok ini sebenarnya pernah dibuat tikar seperti tikar pokok mengkuang. Kami ambil pokok kerchut ini dan dibiarkan beberapa hari sehingga kering.

"Bermula dari situ saya mendapat idea untuk mengawetkan pokok tersebut dan dijual kepada orang ramai," cerita Zarinah.

Selain menyertai pameran, pasangan suami isteri ini turut menjualnya di pasar malam dan boleh didapati di pusat Kraftangan Malaysia Pahang di Kuantan.

Selain pokok kerchut, Mohd Noh yang merupakan bekas pesara polis turut menjual pokok awet selinsing.

Seorang lagi pengusaha kraf tangan berasaskan kayu, Zulkifli Abdul Rani, 48, dari Temerloh, telah menceburi bidang ini sejak tahun 1993 turut memperoleh pendapatan yang lumayan apabila produk keluarannya digunakan bagi menghiasi reka bentuk chalet dan rumah.

Zulkifli mengeluarkan produk ukiran kayu yang bercorak bunga pasola untuk hiasan pintu, tingkap dan tangga, kerusi meja dan sebagainya.

''Menerusi syarikat Z & Z, saya berharap dapat memasarkan secara meluas produk ukiran kayu ini bagi menghiasi reka bentuk dalaman hotel dan pejabat kerajaan ataupun swasta.

''Saya mendapat bimbingan daripada Pusat Inkubator Kraf Temerloh bagi memasarkan hasil jualan ukiran kayu menerusi pameran yang dianjurkan di seluruh negara," kata Zulkifli.

Seorang lagi usahawan kraf ukiran kayu yang mendapat bimbingan Pusat Inkubator Kraf Temerloh ialah Mohd Rafi Barahim, 37, yang sudah enam tahun menceburi produk ukiran kayu sepenuh masa dengan pendapatan antara RM4,000 hingga RM7,000 sebulan.

Dia menggunakan kayu yang berkualiti antaranya cengal, merbau, meranti dan jelutung bagi menghasilkan ukiran berasaskan bunga kacar, cempaka, matahari, ketumbit dan sebagainya.

''Saya mendapat kemudahan untuk menggunakan peralatan yang terdapat di pusat inkubator ini dengan dikenakan bayaran yang murah dan menjual produk menerusi tempahan yang dibuat oleh individu seperti pemilik rumah, pengusaha hotel dan chalet," kata Mohd Rafi yang berasal dari Sabah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved