Rabu, 23 Oktober 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Taman Pudu Ulu lokasi pertama

Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Mohd. Najib Mohamad (kiri) meneliti salah satu peralatan permainan taman kanak-kanak selepas merasmikan Bengkel Keselamatan Taman Permainan Kanak-kanak Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Taman permainan kanak-kanak di taman-taman rekreasi awam milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal lebih mesra kepada golongan itu pada masa depan.

Ini kerana taman-taman itu kelak bakal dilengkapi peralatan permainan yang menggunakan unsur air, yang sememangnya digemari kanak-kanak.

Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohamad berkata, pihaknya bakal mewujudkan taman permainan kanak-kanak yang menggunakan unsur air sebagai salah satu komponen dan daya tarikan orang ramai untuk ke mengunjungi taman-taman rekreasi di bawah seliaan DBKL.

Katanya, Taman Pudu Ulu merupakan lokasi pertama yang akan dibangunkan taman permainan sedemikian, yang akan dilaksanakan menerusi projek pembangunan fasa dua.

Menurutnya, Taman Botani Perdana juga dijangka akan memiliki taman permainan kanak-kanak yang dilengkapi elemen sama selepas menilai aspek keselamatan dan penyenggaraan terhadap peralatan yang akan digunakan.

"Cadangan mewujudkan taman permainan itu di Taman Pudu Ulu kini dalam peringkat rekaan dan dijangka mengambil masa setahun untuk dilaksanakan memandangkan projek pembangunan Fasa 2 di situ juga masih dalam proses mengeluarkan tender," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel Keselamatan Taman Permainan Kanak-kanak Wilayah Persekutuan di Institut Latihan DBKL, hari ini.

Tambah Mohd. Najib, gabungan elemen air dan alatan permainan sedia ada itu adalah untuk memberi peluang kepada kanak-kanak bermain dengan sumber tersebut ekoran sifat semula jadi golongan itu yang menyukai air.

"Kita juga mahu menggalakkan kanak-kanak beriadah, bertemu rakan baharu berbanding hanya menghadap permainan komputer di rumah tanpa melakukan aktiviti yang lebih sihat.

"DBKL juga bercadang untuk mengembangkan cadangan itu ke lokasi lain pada masa depan sekiranya menepati objektif terutamanya aspek keselamatan," ujarnya.

Taman Tasik Metropolitan tunggu kaki pancing

Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT

PENGURUS Tajaan dan Sukan 100 Plus, Muhamad Fauzi Ahmad (dua dari kanan) bersama tiga pemenang utama JJKL siri kedua yang berlangsung di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 22 Oktober - Pertandingan memancing Jelajah Joran Kuala Lumpur (JJKL) siri ketiga anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bakal berlangsung di Taman Tasik Metropolitan, Kepong, pada 5 November depan pasti menjanjikan persaingan hebat.

Ini kerana siri kedua JJKL yang berlangsung di Taman Tasik Ampang Hilir baru-baru ini menerima sambutan hangat di kalangan kaki pancing apabila kira-kira 800 peserta mengambil bahagian.

Pada pertandingan itu, Mohd. Fazli Che Rus, 33, dinobatkan sebagai juara untuk membawa pulang wang tunai RM5,000 setelah berjaya menaikkan ikan patin seberat 5.4 kilogram.

Tempat kedua dimenangi oleh Asri Jamaluddin, 32, untuk menerima RM2,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh peserta tunggal wanita, Noraznira Ramzan, 29, yang meraih RM1,000.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL, Tuan Idzawi Raja Ismail berkata, JJKL bukan sahaja berjaya menarik penyertaan kaki pancing dari ibu kota, tetapi juga dari Perak, Melaka dan Pahang.

Menurutnya, keindahan tasik di ibu kota turut mempengaruhi peserta untuk membawa ahli keluarga masing-masing memeriahkan pertandingan.

"Rata-rata peserta yang ditemui berharap JJKL dapat diteruskan setiap tahun. Ini kerana pertandingan ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan tetapi juga bertukar-tukar fikiran dalam kalangan kaki pancing," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan pendaftaran untuk pertandingan di Kepong boleh dilakukan di khemah urus setia yang mula dibuka di tasik berkenaan bermula 4 November dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam.

Maklumat mengenai JJKL juga boleh diperoleh di laman web jorankl.weebly.com atau laman sosial Facebook: jorankl atau menghubungi urus setia di talian 019-384 1009, 013-305 2811, 012-2846811, 17-372 7420 dan 013-266 7011.

TPK baharu akan dibina lebih selamat

Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggunakan Dasar Keselamatan Taman Permainan Kanak-kanak (TPK) yang diluluskan Kementerian Wilayah Persekutuan baru-baru ini untuk membina TPK baharu selepas ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraannya, Datuk Mohd. Najib Mohamad berkata, dasar itu diyakini mampu melindungi kanak-kanak untuk bermain dengan selamat dan kurang risiko kemalangan.

"Selain meningkatkan tahap keselamatan dan memanjangkan hayat peralatan permainan di TPK, dasar itu bertujuan memastikan penyenggaraan TPK Wilayah Persekutuan adalah seragam dan dilakukan secara proaktif setiap enam bulan iaitu mengikut piawaian MS966:2001.

"Malah, dasar itu turut memberi penekanan terhadap elemen bahaya yang perlu dihapuskan dalam pembinaan TPK baharu," katanya ketika merasmikan Bengkel Keselamatan TPK Wilayah Persekutuan di Institut Latihan DBKL, hari ini.

Bengkel itu menggabungkan penglibatan pegawai-pegawai daripada DBKL, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan dan Kementerian Wilayah Persekutuan yang bertujuan mendedahkan kepentingan aspek keselamatan di taman permainan kanak-kanak.

Dasar tersebut akan diaplikasikan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, jelasnya.

Tambah Mohd. Najib, peralatan permainan yang rosak atau uzur akan membahayakan keselamatan kanak-kanak yang menggunakannya.

"Kemalangan kecil tidak dapat dihindari tetapi sekiranya berpunca daripada peralatan yang rosak, usang dan reput akibat tidak disenggara maka ini tidak boleh diterima," katanya.

Menurutnya, Dasar Keselamatan TPK turut menggariskan transformasi TPK sebagai kawasan hijau dan sekali gus akan melestarikan kawasan hijau di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan itu.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Najib memberitahu, DBKL membelanjakan sebanyak RM4 juta setahun untuk menyenggara peralatan permainan di 385 taman permainan kanak-kanak dalam kawasan perumahan di ibu kota.

"Apabila berlaku kemalangan atau kecederaan semasa bermain disebabkan peralatan tidak disenggara, kanak-kanak akan takut dan fobia serta ibu bapa tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

"Oleh itu, bengkel ini juga bertujuan mengkaji sama ada peralatan yang disediakan selama ini berpotensi menyebabkan kemalangan atau tidak, sekali gus dapat mengurangkan kos untuk penggantian peralatan baharu sekiranya tidak sesuai digunakan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved