Utusan Online - Pendidikan |
Koperasi sekolah berpotensi dimajukan lagi Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT Hasan Malek (empat dari kiri) menyampaikan hadiah utama kepada wakil Koperasi SMK Gombak Setia Berhad sempena sambutan Hari Koperasi Sekolah dan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Nik Ali Mat Yunus (lima dari kiri) dan Abdul Fattah Abdullah (tiga dari kiri). KUALA LUMPUR 31 Okt. - Perniagaan peruncitan yang dikendalikan oleh koperasi sekolah sebagai lokasi utama bagi warga sekolah berbelanja membeli barangan keperluan mereka berpotensi besar untuk dimajukan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, pada masa ini, terdapat koperasi sekolah yang mencatat kejayaan dalam bidang itu. ''Saya yakin koperasi sekolah mampu untuk terus berjaya menerusi semangat kerjasama, setia berbelanja dan sayangkan koperasi yang dipupuk dalam kalangan ahli serta warga sekolah," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian anugerah sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) dan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah (KPKKS) peringkat kebangsaan, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nik Ali Mat Yunus dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah. Pada majlis itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Temin, Jerantut, Pahang diumumkan sebagai pemenang utama anugerah koperasi enam bintang, sekali gus membawa pulang hadiah wang RM12,000, sijil serta pakej pelancongan koperasi bernilai RM3,000 manakala Koperasi SMK Kota Bhd. (kedua) dan SMK Simpang Beluru Bhd. (ketiga). Sementara itu, Nik Ali Mat Yunus berkata, sebanyak 2,268 koperasi sekolah telah didaftarkan dengan bilangan ahli seramai 2,16 juta orang dengan pemilikan aset koperasi sebanyak RM248 juta. Beliau berkata, modal syer terkumpul koperasi sekolah ialah RM21.8 juta dengan perolehan dicatatkan sebanyak RM237.7 juta. ''Keuntungan bukanlah matlamat utama koperasi sekolah tetapi apa yang dititikberatkan adalah untuk melahirkan pemimpin pelapis kepimpinan koperasi yang mempunyai sifat keusahawanan yang tinggi. ''Oleh itu, saya melihat objektif konvensyen yang diadakan hari ini berjaya dicapai dan selari dengan matlamat penubuhan koperasi sekolah," katanya. Penubuhan koperasi sekolah di negara ini bermula sejak tahun 1953 apabila Persidangan Kerjasama Malaya meluluskan usul supaya kerajaan menubuhkan koperasi sekolah di Semenanjung Tanah Melayu. Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Dr. Burhanudin Taiping Berhad merupakan koperasi sekolah pertama didaftarkan pada 24 November 1969 diikuti dengan lapan buah lagi koperasi sekolah pada tahun yang sama. Nik Ali berkata, Program Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah yang memasuki tahun kelima memerlukan sekumpulan pelajar yang mewakili koperasi sekolah masing-masing melaksanakan projek perniagaan berteraskan inovasi. ''Kumpulan pelajar perlu membentangkan projek perniagaan yang dijalankan di hadapan panel dilantik untuk diadili dan penilaian berasaskan kreativiti dan projek boleh diketengah untuk dipasarkan," katanya. KPKKS dijalankan secara berperingkat bermula daripada peringkat sekolah, daerah, negeri dan seterusnya di peringkat kebangsaan. Pemenang peringkat sekolah mewakili koperasi masing-masing ke peringkat daerah, kemudian dipertandingkan di peringkat negeri dan seterusnya di peringkat kebangsaan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pendidikan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan