Utusan Online - Mahkamah |
Bekas pensyarah didakwa terima rasuah Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT Wong Chee Wai IPOH 31 Okt. - Seorang bekas pensyarah Institut Teknologi Perak (ITP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima tuduhan menerima rasuah RM1,130 daripada dua pelajarnya bagi membantu menaikkan markah penilaian subjek Matematik dan Statistik, dua tahun lalu. Wong Chee Wai, 41, pensyarah di Jabatan Matematik dan Statistik di ITP sewaktu kejadian mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Madihah Harullah. Tertuduh dari Taman Indah Jaya di sini didakwa menerima suapan wang tunai itu menerusi lima transaksi di antara 14 September 2011 dan 8 Februari 2012 di institut berkenaan. Bagi pertuduhan pertama, Chee Wai didakwa menerima rasuah RM140 daripada seorang pelajar perempuan sebagai dorongan untuk menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Matematik IV bagi Semester I, sesi 2011/2012 di Perpustakaan ITP pada pukul 4.15 petang, 14 September 2011. Dia turut didakwa menerima wang tunai RM140 daripada pelajar tersebut bagi tujuan sama di hadapan sebuah kelas di tingkat 3, Blok E, ITP pada pukul 3 petang, 12 Oktober 2011. Pertuduhan ketiga pula menyebut bahawa Chee Wai dituduh menerima suapan RM250 sebagai dorongan untuk menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Statistik oleh seorang pelajar lelaki yang mengulang mata pelajaran itu. Kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang tangga antara Blok C dan Blok D, ITP pada pukul 4 petang, 10 Oktober 2011. Dia turut dituduh menerima suapan wang tunai RM300 daripada pelajar sama sebagai dorongan menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Matematik III untuk Semester II, sesi 2011/2012 di dalam sebuah kelas di tingkat 3A, ITP pada pukul 10.30 pagi, 3 Februari 2012. Bagi pertuduhan kelima, Chee Wai dituduh menerima suapan RM300 daripada pelajar berkenaan bagi tujuan sama di ruang tangga antara Blok C dan Blok D, ITP pada pukul 2 petang, 8 Februari tahun lalu. Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan, mana yang lebih tinggi. Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM27,000 dan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan sementara menunggu sebutan kes pada 4 Disember ini. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Hafizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam bela, M. Kathan. |
Penyelenggara bangunan didakwa bunuh remaja Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT PETALING JAYA 31 Okt. - Selepas sembilan hari mayat remaja perempuan Ng Yuk Tim, 15, yang disumbat ke dalam sebuah beg pakaian ditemui di Klang, hari ini seorang penyelenggara bangunan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh mangsa, minggu lalu. Poon Wai Hong, 23, didakwa membunuh Yuk Tim di rumah No. 665 Jalan PJU1/4F Kampung Cempaka, Kelana Jaya di sini antara pukul 3 dan 4 petang, 21 Oktober lalu. Lelaki itu yang kelihatan bersahaja mengangguk tanda memahami pertuduhan terhadapnya yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan. Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh. Mahkamah seterusnya menetapkan sebutan semula kes pada 6 Disember depan. Ketika pertuduhan dibacakan, ibu bapa mangsa dan ahli keluarga mereka yang hadir ke mahkamah sejak pagi turut berada di galeri awam untuk menyaksikan prosiding tersebut. Pendakwaan terhadap Wai Hong dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saphira Selamat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Tertuduh diwakili peguam bela Datuk Suraj Singh manakala Datuk R. S. Sodhi hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa. Menurut laporan akhbar, mangsa dilaporkan hilang pada hari kejadian dan ibu mangsa, Sim Yee Ling, 35, meminta bantuan Presiden Komuniti Kepolisan, Kuan Chee Heng untuk mencari anaknya yang tidak pulang selepas pergi ke rumah tertuduh di Kampung Cempaka. Tertuduh yang turut menemui Chee Heng bersama ibu mangsa mendakwa, dia kononnya telah menghantar mangsa ke sebuah Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) selepas berjumpa mangsa. Melalui maklumat tersebut, mereka cuba mencari mangsa di sekitar kawasan itu namun pencarian itu tidak berhasil sehingga Chee Heng mengesyaki sesuatu yang tidak kena pada tertuduh selepas ternampak tanda gigitan pada tangan lelaki itu. Satu laporan polis segera dibuat terhadap Wai Hong dan selepas didesak, tertuduh dikatakan mengaku membunuh mangsa selepas cuba merogol remaja terbabit di Kampung Cempaka sebelum mayatnya dicampak di dalam semak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan