Khamis, 31 Oktober 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Fatimah besarkan 16 anak

Posted: 30 Oct 2013 11:32 PM PDT

Fatimah Yusoff kini bahagia dikelilingi anak-anak, menantu dan cucu yang menyayanginya.

KINI segala pengorbanan Fatimah berbalas apabila kesemua 16 anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan menyandang jawatan penting dalam sektor swasta mahupun kerajaan.

"Ibu saya berkahwin dengan ayah, Ismail Abdullah pada Januari 1967. Ketika itu usia ibu 17 tahun manakala ayah 34 tahun.

"Mereka kemudiannya menetap di Kampung Padang Bongor, Kota Bharu, Kelantan dan ayah saya berkhidmat sebagai imam di masjid kampung tersebut ," cerita anak ke-11 Fatimah, Mohd. Yazid Ismail, 29, ditemui di Bandar Seri Putra, Selangor, baru-baru ini.

Sebelas orang anak Fatimah memasuki universiti tempatan, manakala lima lagi di universiti luar negara.

Anak sulungnya, Lokman, 45, merupakan setiausaha politik kepada seorang tokoh terkenal, manakala anak kedua, Mohd. Azmi, 44, (penceramah motivasi), Mohd. Jurik, 42, (pegawai kerajaan), Mohd. Sabri, 41, (seorang hakim), Mohd. Khairul Bahri, 39, (guru) dan Mohd. Rusli, 38, (pensyarah).

Diikuti Khairul Anuar, 35, (ejen takaful), Mohd. Juneed, 34, (guru), Mohd. Shahruddin, 32, (ahli perniagaan), Mohd. Abdul Hadi, 31, (guru), Mohd. Yazid, 29, (perunding kewangan), Siti Sarah, 28, (guru), Siti Aisah, 27, (ahli perniagaan), Siti Zakiah, 25, (menuntut di Universiti Islam Antarabangsa), Radiah, 23, (pelajar Kolej Universiti Insaniah) dan Nur Suhaila, 21, (pelajar Universiti Sains Islam Malaysia).

Daripada kesemua anak pasangan tersebut, 14 sudah berkahwin dan kini cucunya mencecah 60 orang.

Ujian yang dilalui

Menurut Mohd Yazid lagi, sekitar tahun 1990-an, kerjaya sebagai imam di Kelantan tidak bergaji sebaliknya hanya diberi elaun berjumlah kurang daripada RM300.

Bersandarkan wang elaun tersebut ayahnya menyara keluarga dalam serba kekurangan. Mereka tiada tanah untuk bercucuk tanam dan hanya mampu menyewa tanah orang kampung untuk bertani bagi menambah rezeki

"Abang-abang saya walau masih bersekolah semua membantu ayah bertani dan hasil sayur dijual keliling kampung.

"Pada tahun 1991 ketika emak mengandung adik bongsu ayah pula diserang strok dah lumpuh. Ayah terpaksa berhenti kerja.

"Emak saya yang ketika itu sarat mengandung terpaksa mengambil alih tugas ayah menyara kami adik-beradik yang masih kecil dan pada masa sama menjaga ayah yang lumpuh.

"Tiada duit pencen yang kami terima sekadar duit ehsan daripada pihak masjid berjumlah RM150 sebulan. Pada waktu itu seorang abang sahaja yang sudah bekerja manakala yang lain masih di sekolah dan universiti.

"Cuba bayangkan macam mana emak nak sara ayah yang lumpuh dan 15 anak dengan RM150," imbas Mohd. Yazid mengimbau kisah lama.

Menurut Mohd. Yazid, ketika itu wang simpanan langsung tidak ada, jadi walaupun masih sekolah semua anak-anak terpaksa berkerja bagi mencari duit.

"Macam-macam kerja kami lakukan lepas waktu sekolah. Bertani, mengambil upah membersihkan reban ayam, kutip botol, tin serta besi buruk untuk dijual dan sebagainya.

"Kadang-kadang kami naik basikal sejauh 12 kilometer untuk balik ke kampung ibu di Bachok semata-mata untuk menangkap ikan di sawah bagi dibuat lauk.

"Tiada bantuan kewangan khusus kami terima dari mana-mana agensi, hanya sekadar bantuan persekolahan yang bersifat sekali sekala.

Nasi tanpa lauk

"Makanan kami juga kadang-kadang tidak cukup. Makan nasi tanpa lauk sudah jadi kebiasaan. Sekadar nasi campur air, garam dan sedikit gula sudah memadai. Mujur di sekolah ada rancangan makanan tambahan, dapatlah kami rasa makan yang sedap secara berterusan," cerita Mohd. Yazid lagi.

Walau keadaan hidup begitu susah, menurut Mohd. Yazid, tidak pernah sekalipun ibunya berhenti berjuang mahupun mengaku kalah dalam membesarkan anak-anaknya.

Ibunya juga jarang berkeluh-kesah di hadapan anak-anak, biarpun menurut Mohd. Yazid, beberapa kali dia melihat ibunya menangis mungkin kerana tidak tertahan menanggung keperitan hidup.

"Kami anak-anak yang masih kecil ketika itu hanya boleh menahan sedih melihat keadaan emak.

"Ketika itu memang tidak banyak yang boleh kami bantu, malah untuk angkat ayah yang lumpuh untuk dimandikan pun susah. Mujur abang-abang di sekolah menengah banyak tolong dengan penuh kesabaran tetapi apabila mereka masuk universiti, tinggal kami yang kecil-kecil sahaja di rumah," jelasnya.

Sehingga tahun 2001, ibunya masih memasak menggunakan dapur kayu api. Bukan tidak ada dapur gas tetapi mahu menjimatkan wang daripada membeli gas.

Kalau bekalan kayu api berkurang, mereka adik beradik akan masuk hutan mencari kayu api. Ketika itu tiada lagi orang kampung yang mengutip kayu api, hanya keluarganya sahaja.

"Emak pula pegang prinsip tidak akan hutang duit orang. Hidup dengan sekadar apa yang ada. Alhamdulillah, beban emak sedikit ringan apabila abang-abang di universiti mengirim duit biasiswa masing-masing untuk adik-adik di kampung.

"Pernah abang saya cerita, dia sanggup ikat perut semata-mata untuk hantar duit ke kampung," imbas Mohd. Yazid sambil memberitahu bapanya telah meninggal dunia pada tahun 2000 akibat penyakit yang dihidapi .

Solat berjemaah

Sepanjang ingatan Mohd. Yazid, semasa bapanya masih hidup dan sihat, dia tidak pernah bertanya tentang pencapaian anak-anak di sekolah kerana bapanya lebih mengutamakan solat berjemaah di masjid.

"Arwah ayah selalu pesan, 'tidak guna belajar tinggi dan pangkat tinggi tapi solat jemaah tidak dijaga. Arwah ayah memang sangat menekankan pendidikan agama dan praktikalnya.

"Justeru, walaupun kami masa masih bersekolah dan sangat sibuk dengan mencari duit tapi kami tetap ke masjid solat jemaah. Kami cuma dapat belajar ketika di sekolah sahaja kerana di rumah kami sibuk dengan kerja dan mengasuh adik-adik yang masih bayi. Namun, syukur semuanya kini cemerlang dalam pelajaran.

"Apa pun saya tidak pernah lupa pesanan emak. Katanya, bagi mendapat keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat berilah penekanan pada pendidikan agama terutamanya solat. Anak-anak lelaki mesti dibiasakan dengan solat jemaah," katanya mengakhiri bicara. - NOOR FAZRINA KAMAL

Ajar anak cintai buku

Posted: 30 Oct 2013 11:32 PM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
Gambar AZLAN HADI

Nazaruddin Rahman bersama isteri Sheahnee Iman Lee dan anak sulongnya, Zarah Aaliyah menyertai kempen membaca anjuran Scholastic Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MEMBACA adalah jambatan ilmu. Tidak mengira usia, tabiat membaca membantu seseorang menambah ilmu pengetahuan dan keyakinan diri.

Minat membaca bukan terhad kepada orang dewasa sahaja, malah kanak-kanak juga perlu dipupuk minat untuk mencintai buku dan membaca seawal usia mereka masih muda.

Selebriti popular, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot mengakui, cara ayahnya yang menjadikan tabiat membaca sebagai rutin harian bagi anak-anak sejak dari kecil lagi telah membentuk dirinya sebagai individu yang gemar meluangkan masa lapang dengan membaca.

Bagi Wardina, cara ayahnya mendidik dan memupuk minat dia dan adik-adiknya yang lain mencintai buku kini diturunkan pula pada tiga orang cahaya matanya yang sedang membesar dengan sihat dan aktif.

Pelakon dan pengacara TV itu sangat yakin kanak-kanak yang dipupuk minat membaca dari usia muda akan membantu meningkatkan daya kreativiti dan intelektual mereka.

"Anak sulong saya, Amna diperkenalkan dengan buku sejak bayi lagi. Walaupun masih bayi dan belum faham apa-apa tetapi saya biasakan Amna dengan buku-buku bergambar dan kerap bercerita dengannya..

" Apabila memasuki usia empat tahun dia sudah boleh membaca. Sekarang, tanpa disuruh masa lapangnya banyak dihabiskan dengan membaca buku kegemarannya.

"Tidak dinafikan, disebabkan Amna sangat gemar membaca pada waktu lapang, tahap pengetahuan dan daya intelektualnya sangat baik. Jenis bacaan pula saya biarkan Amna memilih sendiri mengikut minatnya," jelas Wardina.

Tambahnya lagi, oleh kerana tabiat membaca perlu dipupuk pada usia yang awal supaya kanak-kanak membesar dengan budaya mencintai ilmu dan pengetahuan, kedua ibu bapa perlu memainkan peranan sewajarnya.

"Seeloknya tabiat baik tersebut dimulakan oleh ibu bapa dahulu baharu proses menyuntik minat tersebut akan diikuti oleh anak-anak," katanya.

Menurut Wardina, bagi membudayakan tabiat membaca dalam keluarganya, dia menyediakan sebuah perpustakaan mini di rumah yang memuatkan pelbagai jenis bahan bacaan.

"Membeli buku adalah satu pelaburan. Ibu bapa tidak perlu kedekut untuk membelikan anak-anak buku.

"Biasanya saya akan membawa anak-anak ke kedai buku dan biarkan mereka memilih buku kesukaan masing-masing.

"Seeloknya, bagi menggalakkan anak-anak minat membaca, ibubapa perlu menghabiskan masa bersama-sama anak mereka membaca buku kegemaran mereka.

"Tabiat membaca buku kepada anak-anak sebelum tidur juga adalah satu rutin yang baik untuk memupuk kemesraan selain bertujuan meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi mereka," jelasnya.

Praktikal dan santai

Bagi pasangan pengacara TV, Nazaruddin Rahman dan isterinya, Sheahnee Iman Lee, mereka mempunyai cara tersendiri untuk memupuk minat membaca terhadap kedua-dua orang anak kesayangan.

"Walaupun anak sulong baru berusia tiga tahun, masih kecil tetapi kami cuba memupuk minatnya untuk mencintai buku seterusnya menjadikan amalan membaca sebagai suatu yang disukainya melalui beberapa kaedah yang praktikal dan santai.

" Sejak anak sulong, Zarah Aaliyah masih kecil lagi kami sudah dedahkan dia dengan bahan bacaan yang berbentuk santai dan menarik seperti soft book dan buku bergambar.

"Sesibuk mana sekalipun, setiap hari kami akan pastikan ada masa untuk membaca bersama anak, biarpun sekadar 10 minit. Masa yang singkat itu kalau digunakan sebaik mungkin kesannya pada tumbesaran dan perkembangan mental anak-anak sangat bagus," jelas Sheahnee.

Menyedari kepentingan menanam tabiat membaca di kalangan kanak-kanak, satu kempen Read 2013: One Nation Reading Together "Reading Expands Your Knowledge telah diadakan pada 28 Oktober lalu di Dewan Sekolah Kebangsaan Puteri, Jalan Labu Lama, Seremban Negeri Sembilan.

Kempen diusahakan oleh Scholastic Malaysia, sebuah syarikat pengeluar dan pengedar buku kanak-kanak dan teknologi terbesar di dunia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Kempen ini bertujuan untuk mempromosi, menghargai buku dan maklumat selain menggalakkan tabiat membaca di kalangan pelajar sekolah.

Sehubungan dengan itu, Scholastic telah menderma 50 buah buku kepada sekolah yang terlibat yang kesemuanya berjumlah 125,000 buah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved