Khamis, 31 Oktober 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Indra tekad ulangi 'magis'

Posted: 31 Oct 2013 12:06 PM PDT

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my

Indra Putra Mahyuddin melayani peminat cilik pada majlis meraikan pemain-pemain Kelantan yang dianjurkan oleh pekerja Kingdom Elektronik Sdn. Bhd. di Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/ROSNI MASRI

KOTA BHARU - Tahun lalu, ketika perlawanan akhir hanya tinggal beberapa minit untuk ditamatkan dalam masa tambahan, Indra Putra Mahyuddin muncul wira Red Warriors apabila meledakkan gol cantik yang membawa Kelantan merangkul kejuaraan Piala Malaysia menumpaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kenangan tersebut masih segar di ingatan Indra, dan tonggak berpengaruh Kelantan itu bertekad mahu mengulangi 'magis' yang sama apabila pasukannya menentang Pahang pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Indra, 32, membawa Red Warriors merangkul kejuaraan musim lalu menerusi jaringan cantik yang memberi kemenangan 3-2 ke atas The Gladiators, sekali gus melengkapkan musim cemerlang mereka ketika itu dengan mengumpul gelaran treble.

Katanya, kenangan manis ketika menjaringkan gol kemenangan pada aksi final tahun lalu kekal sebagai memori indah dalam kariernya dan dia mengharapkan tuah itu akan berulang kali ini.

"Insya-Allah saya berjanji akan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan akhir nanti, malah mahu menjaringkan gol untuk Kelantan bagi melengkapkan musim gemilang pasukan tahun ini," kata penyerang dan pemain sayap kiri yang memakai jersi No. 23 itu.

Indra juga bertekad mahu menambah koleksi trofi peribadinya dengan merangkul piala berprestij itu buat kali keempat.

Dia pernah menjulang Piala Malaysia tiga kali, iaitu dua kali bersama Kelantan dan sekali dengan negeri kelahirannya, Perak.

Kata Indra, sekiranya Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan, kemenangan itu akan dihadiahkan kepada isterinya dan penyokong setia The Red Warriors yang tidak pernah putus-putus menyokong kariernya selama ini.

Mengulas peluang pasukannya Ahad ini, Indra optimis, Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan berdasarkan pengalaman luas beraksi di pentas final, berbanding Pahang yang hanya menjejak kaki buat kali pertama selepas 16 tahun.

Bagaimanapun tegasnya, Kelantan harus berwaspada dengan 'keghairahan' barisan pemain muda Tok Gajah yang tentunya sangat dahagakan kejuaraan.

"Daripada segi pengalaman, Kelantan mempunyai lebih banyak pengalaman, sedangkan Pahang pula pertama kali masuk final dan dibarisi ramai pemain muda.

"Begitupun, kehadiran pemain-pemain muda ini sebenarnya mampu memberi mereka kelebihan tersendiri kerana biasanya orang muda cukup ghairah untuk mencari kemenangan.

"Daripada segi peluang pula, kita (Kelantan) sebenarnya berpeluang baik untuk mempertahankan gelaran, tetapi Pahang memiliki jentera tengah dan serangan yang bahaya, jadi kita harus berhati-hati.

"Apa pun, kami akan pastikan rangkaian tengah dan penyerang mereka ini disekat walaupun kita mengakui ketiadaan tonggak pertahanan utama, Obinna Nwaneri sememangnya memberi kesan," katanya lagi.

Tok Gajah jadi pilihan Safee

Posted: 31 Oct 2013 12:06 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Safee Sali

PETALING JAYA - ''Tanpa Obinna Nwaneri, Kelantan pasti bermasalah," demikian pandangan penyerang Harimau Malaya dan Johor Darul Takzim (Johor DT), Safee Sali, yang memilih skuad Tok Gajah sebagai pilihan untuk menjulang Piala Malaysia 2013.

Walaupun dibarisi ramai penggempur berkualiti seperti Mohd. Badhri Mohd. Radzi, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Norfarhan Muhammad, Safee melihat pertahanan Kelantan cukup rapuh yang membolehkan ruang kepada pasukan Pahang melancarkan serangan bertali arus.

Bukan tidak menghormati Kelantan cuma dia berasakan kehadiran pemain import Nigeria itu di bahagian pertahanan cukup penting dengan merasakan gandingan Azizi Matt Rose dan Nik Shahrul Mohd. Azim yang dijangka akan diturunkan di bahagian pertahanan tengah pasti sukar mengawal rangkaian serangan yang dikemudi Matias Conti dan Azamuddin Mohd. Akil.

Ditanya mengenai keputusan, dia meramalkan Pahang mampu menang dalam perlawanan akhir itu dengan keputusan tipis 2-1 sambil merasakan satu aksi yang sengit antara kedua-dua pasukan yang berkemungkinan akan berlanjutan ke masa tambahan.

''Saya jangkakan pertarungan di antara Pahang dan Kelantan nanti pasti berlangsung dengan rancak. Saya tidak nafikan kedua-dua pasukan ada kekuatan serta kelemahan tersendiri.

''Jika mengikut pilihan untuk muncul juara, Kelantan memang ada pengalaman kerana ramai pemainnya kerap beraksi di perlawanan akhir dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

''Cuma apabila saya tahu yang Obinna tidak diturunkan, saya rasa kelebihan kini menjadi milik Pahang dan mereka berpeluang untuk menang, jadi pilihan saya untuk menjulang Piala Malaysia adalah Pahang.

''Namun pemenang kita mungkin tidak boleh tahu dalam masa 90 minit, saya rasa akan berlanjutan ke masa tambahan dan di situ peluang untuk Pahang, " katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen 100Plus 'Tawanlah Harimu' di Pusat Konvensyen Sunway, semalam.

Sebelum ini, jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee turut mengutarakan pendapat yang sama dengan melihat kelemahan pertahanan tanpa Obinna pasti membuka ruang kepada Pahang sebagai juara Piala Malaysia 2013.

Namun, beberapa jurulatih lain seperti B. Sathianathan, Mohd. Azraai Khor Abdullah dan Ismail Zakaria memilih Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan sekali lagi atas faktor pengalaman beraksi di pentas final buat kali keempat dalam tempoh lima tahun.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Proton Suprima S masuki pasaran Indonesia

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

(Dari kiri) Mohd. Asri Khayan, Syed Mohd. Hasrin Tengku Hussin, Hisham Othman dan Badrulhisham Mohd. Ghazali pada pelancaran model baharu Suprima S di Jakarta, Indonesia, kelmarin.

JAKARTA 31 Okt. - Indonesia menjadi negara eksport pertama model terbaharu kereta Proton Suprima S iaitu dua bulan selepas kereta yang disifatkan sebagai model terbaik keluaran syarikat kereta nasional berkenaan dipasarkan di Malaysia.

Dengan sasaran penjualan sebanyak 150 unit setahun, Suprima S yang dihasilkan dengan gabungan reka bentuk hatchback yang cukup menawan dan ciri-ciri keselamatan melangkaui harganya diyakini akan menarik perhatian rakyat Indonesia.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (Komersial) Proton Holdings Berhad, Hisham Othman, sasaran penjualan model kereta Proton di luar negara merupakan tumpuan utama syarikat berkenaan selain memastikan pasaran domestik berada di landasan yang kukuh.

Sehubungan itu, Indonesia jelas beliau, merupakan negara yang berada dalam senarai keutamaan Proton memandangkan pasangan kereta di negara ini sangat luas.

"Indonesia sangat penting bagi kami untuk memasarkan model terbaru yang kami hasilkan. Buktinya, selepas model Preve dilancarkan di Indonesia pada bulan Jun lalu, kini kami kembali membawa model Suprima S memandangkan kami amat yakin bahawa model terbaru ini menepati cita rasa rakyat Indonesia," kata Hisham pada sidang akhbar selepas pelancaran Suprima S di pusat membeli-belah Gandaria City Mall di sini semalam.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Syed Mohd. Hasrin Tengku Hussin, Ketua Bahagian Pembangunan Jualan dan Perniagaan Antarabangsa Proton, Badrulhisham Mohd. Ghazali dan Ketua Proton Edar Indonesia, Mohd. Asri Khayan.

Indonesia yang mempunyai kepadatan penduduk seramai lebih 240 juta merupakan pasaran yang paling signifikan untuk Proton menggandakan usaha memperkasakan jenamanya di negara republik ini.

Pada masa ini, Indonesia merupakan pasaran automotif kedua terbesar di rantau ini.

Proton Suprima S merupakan kereta Proton paling moden dan menepati standard piawaian antarabangsa dengan hujung namanya 'S' membawa maksud Sport yang menggambarkan kehebatan prestasi jentera ini.

Belakang Suprima S merupakan bahagian yang paling menonjol dengan rekaan yang cukup sporty dengan kemasan bampar separa hitam, spoiler dan garisan pada badannya mampu membuatkan mata kita melirik ke setiap inci kereta ini.

Bagi pasaran Indonesia, Hisham menjelaskan, tiada sebarang perubahan yang dibuat pada bentuk atau spesifikasi kereta berkenaan kerana Proton berpendapat, tidak perlu dibuat sebarang perbezaan pada model kereta syarikat itu khususnya bagi pasaran negara-negara ASEAN.

Begitu juga dengan harga jualan model Suprima S juga katanya, strategi yang ditetapkan syarikat berkenaan juga memastikan jurang perbezaan harga tidak banyak berubah.

Suprima S yang memasuki pasaran Indonesia serentak dengan pelancarannya semalam dijual pada harga Rupiah 275 juta (RM78,000). - UTUSAN

Suprima S masih menggunakan enjin Campro 1.6 turbo dan sepanjang sesi uji pandu kenderaan ini tiada jurang besar berbanding Preve tetapi pihak Proton telah membuat sedikit talaan pada sistem penyerap hentak bagi menyokong penggunaan rim 17 inci.

Kehebatan kawalannya memang tidak boleh dinafikan berikutan mendapat sentuhan terus daripada jurutera Lotus termasuklah ketika memandu laju, membelok dan memintas.

Kereta segmen C ini turut dipadankan dengan ProTronic Continuous Varible Transmission (CVT) berserta tujuh kelajuan automatik dan pilihan manual menerusi pedal shifter dan di tombol gear apabila ditolak ke sebelah kiri

Variasi Proton baharu ini berjaya memperoleh penarafan lima bintang daripada Australasian New Car Assessment Programme (ANCAP). - UTUSAN

Polo Sedan 2014 untuk pasaran ASEAN

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Zeno Kerchbaumer (kiri) bersama Mohd. Khamil Jamil sewaktu pelancaran Polo Sedan di Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi

SHAH ALAM 31 Okt. - Volkswagen Group Malaysia (VGM) merancang memasarkan model kereta terbaharunya, Polo Sedan 2014 versi pemasangan tempatan (CKD) ke pasaran ASEAN selepas dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia hari ini.

Pengarah Urusannya, Zeno Kerschbaumer berkata, berdasarkan perjanjian kerjasama dengan Kumpulan DRB-Hicom sebelum ini, perkara berkenaan terkandung dalam perancangan jangka panjang.

"Buat masa ini belum ditetapkan bila waktu sesuai untuk mengeksport Polo Sedan ke pasaran ASEAN. Mungkin tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran kereta baharu berkenaan.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan DRB-Hicom, Tan Sri Mohd. Kamil Jamil.

Tahun lalu, Polo Sedan versi import sepenuhnya (CBU) telah dilancarkan di pasaran tempatan dengan harga RM99,888 tidak termasuk insurans manakala versi CKD yang boleh ditempah bermula esok pula bernilai RM85,888 tidak termasuk insurans.

Perbezaan harga sebanyak RM14,000 hasil insentif CKD yang ditawarkan kerajaan melalui penggunaan 40 peratus komponen tempatan. Ketika ini VGM mempunyai 15 syarikat pembekal komponen tempatan.

Zeno berkata, Polo Sedan 2014 ini dijangka menjadi model paling laris keluaran Volkswagen di Malaysia sekali gus mengatasi model Passat.

"Setakat sembilan bulan pertama tahun ini, VGM telah menjual 8,856 buah kenderaan, meningkat tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Kami mempunyai sasaran yang tinggi terhadap Polo Sedan dan menjadi faktor peningkatan jualan VGM selepas ini," jelasnya.

Polo Sedan 2014 menawarkan beberapa penambahbaikan berbanding versi CBU antaranya sistem radio RCD 320 pelbagai bahasa, pendingin hawa automatik dengan saluran individu di bahagian belakang, tempat rehat tangan di bahagian tengah dan sambungan hiburan seperti USB, kad SD, iPod, AUX serta Bluetooth.

Pada rekaan luar pula, perubahan dibuat pada bahagian bampar, lampu belakang, lampu hadapan jenis halogen dan tulisan jenama Volkswagen di bahagian kiri bonet.

Dari segi sistem keselamatan pula, Polo Sedan 2014 menawarkan empat beg udara, empat tingkap automatik anti sekat, sistem tindak balas hentakan pintar (ICRS), brek anti kunci (ABS) dan sambungan kerusi kanak-kanak ISOFIX.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Koperasi sekolah berpotensi dimajukan lagi

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Hasan Malek (empat dari kiri) menyampaikan hadiah utama kepada wakil Koperasi SMK Gombak Setia Berhad sempena sambutan Hari Koperasi Sekolah dan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Nik Ali Mat Yunus (lima dari kiri) dan Abdul Fattah Abdullah (tiga dari kiri).

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Perniagaan peruncitan yang dikendalikan oleh koperasi sekolah sebagai lokasi utama bagi warga sekolah berbelanja membeli barangan keperluan mereka berpotensi besar untuk dimajukan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, pada masa ini, terdapat koperasi sekolah yang mencatat kejayaan dalam bidang itu.

''Saya yakin koperasi sekolah mampu untuk terus berjaya menerusi semangat kerjasama, setia berbelanja dan sayangkan koperasi yang dipupuk dalam kalangan ahli serta warga sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian anugerah sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) dan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah (KPKKS) peringkat kebangsaan, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nik Ali Mat Yunus dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Pada majlis itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Temin, Jerantut, Pahang diumumkan sebagai pemenang utama anugerah koperasi enam bintang, sekali gus membawa pulang hadiah wang RM12,000, sijil serta pakej pelancongan koperasi bernilai RM3,000 manakala Koperasi SMK Kota Bhd. (kedua) dan SMK Simpang Beluru Bhd. (ketiga).

Sementara itu, Nik Ali Mat Yunus berkata, sebanyak 2,268 koperasi sekolah telah didaftarkan dengan bilangan ahli seramai 2,16 juta orang dengan pemilikan aset koperasi sebanyak RM248 juta.

Beliau berkata, modal syer terkumpul koperasi sekolah ialah RM21.8 juta dengan perolehan dicatatkan sebanyak RM237.7 juta.

''Keuntungan bukanlah matlamat utama koperasi sekolah tetapi apa yang dititikberatkan adalah untuk melahirkan pemimpin pelapis kepimpinan koperasi yang mempunyai sifat keusahawanan yang tinggi.

''Oleh itu, saya melihat objektif konvensyen yang diadakan hari ini berjaya dicapai dan selari dengan matlamat penubuhan koperasi sekolah," katanya.

Penubuhan koperasi sekolah di negara ini bermula sejak tahun 1953 apabila Persidangan Kerjasama Malaya meluluskan usul supaya kerajaan menubuhkan koperasi sekolah di Semenanjung Tanah Melayu.

Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Dr. Burhanudin Taiping Berhad merupakan koperasi sekolah pertama didaftarkan pada 24 November 1969 diikuti dengan lapan buah lagi koperasi sekolah pada tahun yang sama.

Nik Ali berkata, Program Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah yang memasuki tahun kelima memerlukan sekumpulan pelajar yang mewakili koperasi sekolah masing-masing melaksanakan projek perniagaan berteraskan inovasi.

''Kumpulan pelajar perlu membentangkan projek perniagaan yang dijalankan di hadapan panel dilantik untuk diadili dan penilaian berasaskan kreativiti dan projek boleh diketengah untuk dipasarkan," katanya.

KPKKS dijalankan secara berperingkat bermula daripada peringkat sekolah, daerah, negeri dan seterusnya di peringkat kebangsaan.

Pemenang peringkat sekolah mewakili koperasi masing-masing ke peringkat daerah, kemudian dipertandingkan di peringkat negeri dan seterusnya di peringkat kebangsaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Lagi pengawal merompak - KPN

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN
pengarang@utusan.com.my

Khalid Abu Bakar melawat Mohd. Fathi Sudin, anggota PVR yang cedera semasa bertugas akibat motosikalnya ditendang penjenayah di Wad Separa Kritikal, di Hospital Kuala Lumpur, semalam. - Ihsan Sinchew

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Belum pun reda kes membabitkan pengawal keselamatan yang membunuh seorang pegawai bank, hari ini berlaku satu rompakan di kedai emas di sebuah pusat beli belah di Danau Kota, Setapak yang dilakukan oleh pengawal keselamatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, seorang pengawal keselamatan berusia 23 tahun bertindak mengacu pistol digunakannya kepada pengurus kedai dan enam pekerja lain yang sedang menyusun barang kemas dalam cermin pameran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tiada tembakan dilepaskan dan tiada mangsa yang cedera.

Khalid memberitahu, siasatan awal pihaknya mendapati suspek baru sebulan bertugas di kedai emas itu dan bekerja dengan syarikat keselamatan selama dua bulan.

"Rompakan itu berlaku dalam tempoh tidak sampai 10 minit. Suspek melarikan satu dulang mengandungi kira-kira 100 utas rantai emas selepas mengacu pistol kepada pengurus dan pekerja kedai.

"Polis masih menyiasat latar belakang suspek, rekod lampau dan meneliti rakaman CCTV (kamera litar tertutup) sekiranya dia melarikan diri dengan individu lain.

"Jumlah kerugian belum dapat ditaksirkan dan kita juga sedang mendapatkan pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara berhubung ketulenan kad pengenalan milik suspek yang berasal dari Keningau, Sabah,'' katanya.

Beliau ditemui selepas melawat Mohd. Fathi Sudin, anggota pasukan polis sukarelawan (PVR) yang cedera semasa bertugas akibat motosikalnya ditendang penjenayah di Wad Separa Kritikal, Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Pada 23 Oktober lalu, pegawai operasi AmBank, Allahyarham Norazita Abu Talib, 37, maut akibat ditembak seorang pengawal keselamatan ketika membuka pintu bilik kebal cawangan bank itu di USJ Sentral, Subang Jaya.

Khalid juga tidak menolak kemungkinan suspek kes rompakan hari ini meniru idea jenayah yang dilakukan di Subang Jaya

"Siapa pun suspek, rakyat tempatan atau warga asing yang melakukan jenayah, polis sudah ada prosedur untuk mengesan mereka.

"Cuma dalam kes membabitkan pengawal keselamatan yang memiliki senjata api, kita seru semua syarikat keselamatan mengaudit semula data-data pekerja mereka dengan lebih teliti," katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengaitkan kedua-dua kes tersebut seumpama pelanduk selalu melupakan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk.

Mengulas insiden melibatkan anggota PVR itu, beliau memberitahu, ketika kejadian, Mohd. Fathi dan rakan setugas sedang menjalankan rondaan di Ayer Panas, Setapak dan mereka ternampak kelibat seorang lelaki yang mencurigakan.

"Suspek bertindak melarikan diri dan menunggang di laluan bertentangan. Mohd. Fathi yang berjaya mengekori motosikal suspek telah ditendang hingga menyebabkannya terjatuh.

"Seorang lagi anggota PVR juga cuba menahannya sehingga berlaku pergelutan. Ketika ditolak suspek, anggota tidak sengaja terlepas satu tembakan mengenai pipi suspek," katanya.

Tambah Khalid, kejadian itu bermula di Ayer Panas sehingga ke Jalan Genting Klang. Suspek berusia 31 tahun yang cedera kini dilaporkan stabil.

Dana: Misuari rekrut penduduk?

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Selain menjadikan orang Islam sebagai anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), pemimpin kumpulan pemisah Islam itu, Nur Misuari (gambar) dikesan merekrut penduduk Sabah berketurunan Cina bagi meneruskan ancamannya untuk terus memiliki Sabah.

Menurut sumber pihak berkuasa serantau, rakyat tempatan berkenaan yang menggunakan nama samaran Samson Jose Konde, 55, ditahan pihak berkuasa Filipina di kediaman Nur Misuari di Zamboanga City pada 4 Oktober lalu.

Sumber itu berkata, ketika ditahan, suspek berada di sekitar kawasan rumah Nur Misuari dan hasil penggeledahan pihak berkuasa Filipina menjumpai bahan letupan di dalam rumah tersebut.

"Rakyat tempatan ini merupakan seorang ahli perniagaan dan telah melarikan diri ke Filipina pada tahun 2004 setelah gagal dalam perniagaannya.

"Sejurus tiba di Filipina, dia diperkenalkan kepada Nur Misuari dan dilantik sebagai pengerusi bagi pembangunan ekonomi dan urusan perniagaan masyarakat Cina," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia hari ini.

Pada 9 Oktober lalu, pihak pendakwa raya kerajaan Manila meminta sebuah mahkamah di Zamboanga mengeluarkan arahan untuk menangkap Nur Misuari dan tiga komander kanannya yang didakwa atas kesalahan melancarkan pemberontakan.

Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima dilaporkan berkata, Nur Misuari yang kini diburu, didakwa melancarkan serangan bersenjata ke atas bandar Zamboanga, selatan negara ini pada bulan lalu sehingga mengorbankan 244 orang.

Sumber itu memberitahu, warga tempatan terbabit juga mengaku ditugaskan untuk membantu MNLF menjalinkan hubungan dengan pelabur asing terutama dari negara China supaya melabur di Selatan Filipina. Bagaimanapun usaha itu tidak pernah berjaya.

"Suspek juga mendakwa pernah melihat bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee di selatan Filipina dua bulan sebelum kejadian pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah pada Februari lalu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bilakah Jengka Sentral dibuka?

Posted: 31 Oct 2013 12:06 PM PDT

CICIT PENDEKAR,
Sungai Jempol

Kompleks terminal pengangkutan bersepadu Jengka Sentral mula dibina pada Ogos 2011 tetapi sehingga kini belum dibuka kepada orang ramai.

Saudara Pengarang,

Orang ramai tertanya-tanya bilakah projek pembangunan kompleks terminal pengangkutan bersepadu Jengka Sentral bernilai kira-kira RM10 juta di Bandar Tun Abdul Razak Jengka dibuka kepada orang ramai.

Jengka Sentral yang berbentuk kapal angkasa itu sangat menarik dan orang ramai tidak sabar-sabar menggunakannya khususnya pelajar UiTM dan peminat boling.

Projek pembinaan Jengka Sentral bermula pada 1 Ogos 2011 sepatutnya sudah boleh digunakan bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur bandar ini.

Penduduk yakin Jengka Sental itu menjadi mercu tanda kebanggaan warga Jengka sekali gus dapat meningkatkan sokongan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Penduduk berharap Jengka Sentral dapat dibuka segera untuk kegunaan orang ramai. Sebarang masalah berbangkit seperti isu sewa tapak perniagaan mahal boleh diatasi menerusi perbincangan.

Dalam masa sama, pihak berwajib perlu memastikan peniaga asal di situ diberi keutamaan berniaga di Jengka Sentral dan yang lebih penting ialah peniaga adalah penyokong kerajaan.

Penduduk tidak mahu menyaksikan wujudnya mana-mana peniaga penentang tegar kerajaan yang di mata mereka kerajaan 'tidak berguna langsung' mendapat lot niaga di Jengka Sentral.

Jengka Sentral akan menjadi nadi perhubungan Bandar Tun Abdul Razak Jengka ke bandar besar di negara ini dengan lebih lancar dan menjimatkan masa.

Kesal kerja kontraktor Paip seperti 'melepas batuk di tangga'

Posted: 31 Oct 2013 12:06 PM PDT

Pesara Tentera,
Balok, Kuantan

Saudara Pengarang,
Saya merupakan penduduk di Taman Balok Jaya, Kuantan. Baru-baru ini di hadapan rumah saya berlaku kebocoran paip air dan telah dibaiki oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) Selasa lalu.

Walaupun telah dibaiki, namun apa yang dikesali hasil kerja kontraktor berkenaan seolah-olah seperti 'melepas batuk di tangga'.

Ini menyebabkan paip yang telah dibaiki masih bocor dan tanah kesan dikorek itu menjadi mendap serta berlumpur.

Seterusnya kawasan tersebut menjadi semakin teruk berbanding sebelum ini. Apabila hari hujan air akan bertakung di dalam kawasan tempat dikorek.

Ia juga menyebabkan kawasan itu dipenuhi lumpur sehingga kereta saya terpaksa diletakkan di luar kawasan rumah.

Apa yang menyebabkan saya tidak berpuas hati adalah empat kali saya membuat aduan kepada pihak Paip untuk menyelesaikan masalah ini.

Namun sehingga kini mereka masih tidak datang membaiki. Semalam saya datang ke pejabat mereka di Indera Mahkota untuk memberi tahu mengenai masalah ini.

Tetapi pegawai yang bertugas hanya mengucapkan terima kasih dan tidak menerangkan bagaimana pihaknya akan menyelesaikan masalah.

Justeru, tujuan saya menyuarakan aduan menerusi Rakan Pahang adalah dengan harapan perkara ini dapat diselesaikan segera kerana menyukarkan kehidupan seharian kami sekeluarga.

Jangan biar Sudut Selera di Jengka terbiar

Posted: 31 Oct 2013 12:06 PM PDT

ANAK MATA JENGKAKU
Maran

Sudut Selera di Bandar Tun Abdul Razak Jengka memerlukan perhatian pihak berwajib untuk dibangunkan semula supaya kembali ceria seperti dulu dan tidak terbiar usang begitu sahaja.

Saudara Pengarang,

SUDUT Selera di Bandar Tun Abdul Razak Jengka dulunya menjadi destinasi tumpuan penduduk sekitar Felda Wilayah Jengka untuk menjamu selera dan bersantai bersama rakan-rakan dan keluarga.

Tetapi Sudut Selera yang menjadi ikon dan penyaksi pembangunan Bandar Tun Abdul Razak Jengka kini usang dan tidak dipedulikan sesiapa.

Sungguhpun Sudut Selera terletak di sebuah bukit yang sangat strategik, namun bangunannya terbiar, usang seolah-olah tiada 'tuan' yang menjaganya.

Kini hanya beberapa peniaga yang setia berniaga di situ sekadar untuk menyambung perniagaan mengutip keuntungan tidak seberapa. Ini kerana orang ramai kurang berselera berkunjung ke situ kerana kawasan tersebut tidak ceria.

Apa sudah jadi dengan Sudut Selera bangunan kayu peninggalan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka ini. Ironis nya ramai yang pernah berniaga di sini sudah berjaya dalam perniagaan masing-masing.

Impak perubahan nama Bandar Pusat Jengka kepada Bandar Jengka dan kini Bandar Tun Abdul Razak Jengka seolah-olah tidak memberi makna langsung kepada Sudut Selera.

Ini kerana kawasan itu terus diabai dan dibiarkan.

Adalah dicadangkan lokasi Sudut Selera ini dibangunkan dengan bangunan baharu yang lebih ceria bercirikan seni bina Melayu.

Dalam hal ini, pihak berwajib perlu berperanan khususnya Majlis Daerah Maran peka dengan kehendak rakyat di akar umbi untuk melihat Sudut Selera menjadi tumpuan orang ramai menjamu selera dengan pelbagai juadah yang menyelerakan.

Apa lagi Bandar Tun Abdul Razak Jengka sudah semakin makmur dan maju yang menjadi tumpuan rakyat dalam dan luar negeri Pahang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Bekas pensyarah didakwa terima rasuah

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Wong Chee Wai

IPOH 31 Okt. - Seorang bekas pensyarah Institut Teknologi Perak (ITP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima tuduhan menerima rasuah RM1,130 daripada dua pelajarnya bagi membantu menaikkan markah penilaian subjek Matematik dan Statistik, dua tahun lalu.

Wong Chee Wai, 41, pensyarah di Jabatan Matematik dan Statistik di ITP sewaktu kejadian mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Tertuduh dari Taman Indah Jaya di sini didakwa menerima suapan wang tunai itu menerusi lima transaksi di antara 14 September 2011 dan 8 Februari 2012 di institut berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Chee Wai didakwa menerima rasuah RM140 daripada seorang pelajar perempuan sebagai dorongan untuk menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Matematik IV bagi Semester I, sesi 2011/2012 di Perpustakaan ITP pada pukul 4.15 petang, 14 September 2011.

Dia turut didakwa menerima wang tunai RM140 daripada pelajar tersebut bagi tujuan sama di hadapan sebuah kelas di tingkat 3, Blok E, ITP pada pukul 3 petang, 12 Oktober 2011.

Pertuduhan ketiga pula menyebut bahawa Chee Wai dituduh menerima suapan RM250 sebagai dorongan untuk menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Statistik oleh seorang pelajar lelaki yang mengulang mata pelajaran itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang tangga antara Blok C dan Blok D, ITP pada pukul 4 petang, 10 Oktober 2011.

Dia turut dituduh menerima suapan wang tunai RM300 daripada pelajar sama sebagai dorongan menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Matematik III untuk Semester II, sesi 2011/2012 di dalam sebuah kelas di tingkat 3A, ITP pada pukul 10.30 pagi, 3 Februari 2012.

Bagi pertuduhan kelima, Chee Wai dituduh menerima suapan RM300 daripada pelajar berkenaan bagi tujuan sama di ruang tangga antara Blok C dan Blok D, ITP pada pukul 2 petang, 8 Februari tahun lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan, mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM27,000 dan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan sementara menunggu sebutan kes pada 4 Disember ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Hafizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam bela, M. Kathan.

Penyelenggara bangunan didakwa bunuh remaja

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

PETALING JAYA 31 Okt. - Selepas sembilan hari mayat remaja perempuan Ng Yuk Tim, 15, yang disumbat ke dalam sebuah beg pakaian ditemui di Klang, hari ini seorang penyelenggara bangunan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh mangsa, minggu lalu.

Poon Wai Hong, 23, didakwa membunuh Yuk Tim di rumah No. 665 Jalan PJU1/4F Kampung Cempaka, Kelana Jaya di sini antara pukul 3 dan 4 petang, 21 Oktober lalu.

Lelaki itu yang kelihatan bersahaja mengangguk tanda memahami pertuduhan terhadapnya yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mahkamah seterusnya menetapkan sebutan semula kes pada 6 Disember depan.

Ketika pertuduhan dibacakan, ibu bapa mangsa dan ahli keluarga mereka yang hadir ke mahkamah sejak pagi turut berada di galeri awam untuk menyaksikan prosiding tersebut.

Pendakwaan terhadap Wai Hong dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saphira Selamat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam bela Datuk Suraj Singh manakala Datuk R. S. Sodhi hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.

Menurut laporan akhbar, mangsa dilaporkan hilang pada hari kejadian dan ibu mangsa, Sim Yee Ling, 35, meminta bantuan Presiden Komuniti Kepolisan, Kuan Chee Heng untuk mencari anaknya yang tidak pulang selepas pergi ke rumah tertuduh di Kampung Cempaka.

Tertuduh yang turut menemui Chee Heng bersama ibu mangsa mendakwa, dia kononnya telah menghantar mangsa ke sebuah Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) selepas berjumpa mangsa.

Melalui maklumat tersebut, mereka cuba mencari mangsa di sekitar kawasan itu namun pencarian itu tidak berhasil sehingga Chee Heng mengesyaki sesuatu yang tidak kena pada tertuduh selepas ternampak tanda gigitan pada tangan lelaki itu.

Satu laporan polis segera dibuat terhadap Wai Hong dan selepas didesak, tertuduh dikatakan mengaku membunuh mangsa selepas cuba merogol remaja terbabit di Kampung Cempaka sebelum mayatnya dicampak di dalam semak.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


6 pekerja terbunuh apabila terowong runtuh

Posted: 31 Oct 2013 12:30 PM PDT

JOHANNESBURG 1 Nov. - Seramai enam pekerja kontrak terkorban apabila platform di dalam terowong syarikat gergasi tenaga Afrika Selatan, Eskom, sebuah syarikat milik kerajaan negeri runtuh, semalam.

Kejadian itu berlaku di wilayah timur Kwa-Zulu Natal.

Enam pekerja disahkan terbunuh dalam kejadian malang pagi semalam, seramai 15 orang sedang bekerja di terowong tersebut ketika terowong itu runtuh manakala beberapa yang lain dilaporkan cedera." kata kenyataan yang dikeluarkan semalam. - AFP

Taipei dilanda gempa bumi

Posted: 31 Oct 2013 11:41 AM PDT

TAIPEI 1 Nov. - Satu gempa bumi berukuran 6.6 skala Ritcher melanda Taiwan semalam menyebabkan bangunan-bangunan bergegar tetapi tiada laporan kemalangan maut atau kerosakan besar.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) gempa itu berlaku di kawasan pedalaman di pantai timur kira-kira 45 kilometer barat daya bandar Hua-lien pada kedalaman 9.3 kilometer.

Media melaporkan beberapa orang penduduk terperangkap di dalam lif dan operasi perkhidmatan kereta api tergendala di bandar utama di Taipei, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pengundi Sungai Limau perlu 'berhijrah'

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

Ustaz Kazim Elias semasa menyampaikan ceramah perdana dan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ceramah Perdana Kesenian Islam di Kampung Simpang Tiga, Sungai Limau, Yan, Kedah, Selasa lalu.

''Ada orang hantar mesej kat saya tadi, ustaz malam ini sila pakai baju hujan, kami nak lempaq teluq (lempar telur) kat ustaz… eeehelehh bro relaksla, saya bukan nak ceramah politik nak lempaq teloq fasai apa… sapa panggil pun saya pi.. sebab saya penceramah."

Itulah kata-kata penceramah terkenal, Ustaz Kazim Elias ketika menyampaikan ceramahnya di Malam Kesenian Islam yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Yan pada Selasa lalu.

Penceramah tersebut diberi amaran itu hanya kerana beliau menyampaikan ceramah di atas pentas yang membolehkan beliau dianggap menyebelahi BN.

Demikianlah ketaksuban sesetengah penyokong Pas sepanjang kempen pilihan raya kecil itu berlangsung dan akan berakhir pada Isnin ini. Ketaksuban dan sikap politik melampau ternyata masih lagi terpahat kukuh dalam kalangan mereka.

Bagi mereka apa sahaja yang berkaitan BN dan UMNO harus ditentang habis-habisan apatah lagi dalam suasana Pas hendak mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau.

Malah ketika pemimpin-pemimpin mereka bercakap soal demokrasi dan kebebasan serta menjaga perpaduan Islam, di sesetengah kawasan di DUN tersebut, penyokong Pas tidak membenarkan jentera BN memasang poster apatah lagi berkempen.

Malang sekali, puak-puak Pas mendabik dada mengatakan mereka jauh lebih baik daripada UMNO dari segi perjuangan Islam tetapi hakikatnya tingkah laku mereka tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar.

Apa yang lebih malang, Pas mahu terus berada di Sungai Limau bukan kerana mempunyai matlamat untuk memajukan umat Islam di situ tetapi semata-mata demi mempertahankan legasi politik parti itu.

Pas bukannya tidak mengetahui bahawa Sungai Limau adalah salah sebuah kawasan yang harus dibangunkan dan mempunyai potensi besar dimajukan demi kesejahteraan penduduk khususnya umat Islam yang merupakan kelompok majoriti di situ.

Parti tersebut memahami bahawa mereka tidak akan berupaya membawa kemajuan dan pembangunan seperti mana dilakukan oleh BN malah juga secara diam-diam mereka percaya BN berkemampuan memajukan Sungai Limau yang merupakan kawasan kesayangan pemimpin mereka, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Tetapi Pas tidak mahu mengakui hakikat ini kerana Pas ingin memastikan Sungai Limau terus kekal dalam genggaman mereka demi kepentingan politik. Sebab itulah BN berusaha untuk memecah tembok politik yang merugikan umat Islam ini dengan membawa slogan 'Berani Berhijrah' di Sungai Limau.

Slogan itu bukan bermaksud mahukan ahli-ahli Pas berhijrah menjadi ahli-ahli UMNO, ia bukan bermakna penduduk Sungai Limau perlu berhijrah ke tempat lain untuk mencari kemajuan tetapi sekadar memberikan sokongan mereka kepada BN dan UMNO dalam pilihan raya kecil kawasan itu Isnin ini bagi membolehkan projek pembangunan yang lebih besar dilaksanakan.

BN tidak boleh membiarkan Sungai Limau berada dalam tangan pembangkang biarpun dalam masa yang sama penduduknya mahukan parti itu membantu mereka menikmati kemajuan. Mana mungkin BN boleh berbuat demikian dengan berkesan sedangkan peruntukan terhad, sudah pastilah parti tersebut akan memberikan keutamaan kepada kawasan yang menyokong kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Bagaimanapun hakikat ini tidak pernah dipedulikan oleh Pas, sebaliknya berdasarkan pemerhatian sepanjang kempen berjalan, penulis mendapati pemimpin-pemimpin Pas seolah-olah terus berusaha menanam kebencian umat Islam terhadap BN.

Dalam soal ini umat Islam khususnya pengundi di Sungai Limau perlu berfikiran terbuka, janganlah terlalu membenci sesuatu pihak itu seolah-olah kelompok tersebut tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada mereka.

Sebagai umat Islam kita sering diperingatkan, kita hendaklah menyesuaikan seluruh amal perbuatan kita selaras dengan peraturan Allah, bukan berdasarkan kepada hawa nafsu atau kehendak orang lain.

Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 216:-

Maksudnya: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu. Boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui."

Tetapi malangnya, pemimpin-pemimpin Pas terus mengajar penyokong-penyokong mereka dan sesetengah umat Islam untuk memusuhi UMNO. Pelbagai gelaran buruk, ejekan, tohmahan dan ada kalanya bersifat fitnah ditaburkan kepada pemimpin parti keramat orang Melayu itu hanya semata- mata kerana bertujuan politik.

Mereka sengaja melupakan firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud;

''Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani

Begitulah juga dalam suasana kempen PRK DUN Sungai Limau, sentimen berunsur Islamik terus dimainkan oleh Pas bagi memburuk-burukkan UMNO dengan tujuan pengundi-pengundi Islam di kawasan itu akan memastikan BN tidak akan berupaya merampas kerusi DUN tersebut.

Bagaimanapun Pas hanya boleh berusaha untuk berbuat demikian dengan cuba menutupi kebenaran dengan kepalsuan, memutar belitkan fakta dengan pembohongan tetapi kesudahannya pihak yang benar tetap akan diredai oleh Allah SWT.

Justeru, kepada pengundi-pengundi Islam di Sungai Limau, kaji dan fikirkanlah 'tawaran' 'Berani Berhijrah' yang dibuat oleh BN. Parti itu bukanlah mahu memperalatkan sambutan Maal Hijrah pada Selasa ini demi kepentingan politik.

Tetapi tidak mahu umat Islam di Sungai Limau menyambut Maal Hijrah dengan berada di takuk lama dengan terus menyokong Pas yang ternyata dan sudah terbukti tidak mampu membangunkan kehidupan mereka untuk menjadi ummah yang disegani dan dihormati.

BN mahu menyirami semangat 'Berani Berhijrah' ke seluruh penduduk Sungai Limau khususnya umat Islam demi untuk mengubah nasib mereka kerana Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 bermaksud:

''Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka ."

Usaha keluar daripada kemiskinan

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Oleh Mohd. Shauki Abdul Majid

PAS sudah menguasai DUN Sungai Limau selama lima penggal atas kapasiti peribadi bekas Menteri Besar Kedah yang ketika pentadbirannya tidak disukai oleh kumpulan bukan ulama dalam parti itu. Kedah pernah dilanda krisis akibat keengganan dua orang wakil rakyatnya memperbaharui baiah sebagaimana ditetapkan dan ketika itu terkeluarlah dakwaan ada masalah dalam pembahagian projek pembangunan jalan yang diuruskan oleh kerajaan negeri.

Secara peribadi, Allahyarham Tan Sri Azizan buat pertama kali menang di DUN Sala (nama lama DUN Sungai Limau) dalam PRU 1995 dengan majoriti 196 undi dan kali terakhir pada PRU 2013 dengan lebih 2,700 undi. Dalam PRU 1986, Pas pernah menang di situ, dan kerana itulah timbul persepsi bahawa DUN Sungai Limau merupakan kubu kuat Pas.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya kecil (PRK) DUN itu, BN merupakan calon underdog dan atas persepsi itulah juga Pas semakin ghairah melakukan pembohongan.

Dalam tempoh beberapa hari lagi kita akan menyambut permulaan tahun baharu dalam kalendar hijrah, suatu tarikh yang merupakan langkah perubahan besar dalam jiwa setiap orang Islam kerana penghijrahan dari Kota Mekah ke Madinah telah menghasilkan kemenangan besar agama pimpinan Nabi Muhammad SAW.

Saat penghijrahan ke Madinah juga telah menjadi asas penentu perkiraan kalendar Islam manakala struktur masyarakat yang terbina pula dikatakan sebagai model penyatuan kaum yang terhebat pernah muncul dalam peradaban manusia.

Asas kehidupan bermasyarakat pelbagai agama yang saling hormat dan berinteraksi secara harmoni itu kemudiannya diterjemahkan sebagai masyarakat madani" atau civil society. Konsep civil society yang digagaskan oleh teori politik selepas keruntuhan empayar Islam adalah mengambil teladan daripada struktur sosial masyarakat Madinah, di mana penganut Islam tidak menzalimi penganut agama lain selagi mereka menghormati Islam.

Ini berbeza dengan sikap politik yang diamalkan Pas meskipun hampir kesemua penyokongnya percaya parti itulah yang memperjuangkan Islam. Dengan memerangkap minda" penyokongnya, Pas berjaya menjadikan penyokongnya mudah percaya apa sahaja dikatakan oleh pemimpinnya walaupun apa yang diamalkan itu tidak seratus peratus menepati kehendak Islam.

Sebagai sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai ideologi, Pas tidak sepatutnya melupakan tanggungjawabnya untuk membangunkan kehidupan masyarakat, berubah daripada tahap kemiskinan kepada kedudukan selesa, mengoptimumkan sumber alam dan potensi manusia sebagai modal insan yang bersifat terbuka, cergas dan boleh menghasilkan sumber pendapatan yang baik.

Sebagai sebuah kerajaan, kesempatan memerintah Kedah selama lima tahun (Mac 2008 hingga Mei 2013) sepatutnya menjadi ukuran perubahan masyarakat yang lebih dinamik, progresif dan lebih baik daripada skala membangun bersama Islam."

Hal ini tidak berlaku, Pas tidak mampu merancang pertumbuhan ekonomi yang memberansang manakala percubaannya melakukan pelaburan dalam bidang pembalakan di luar negara gagal menyebabkan ratusan juta ringgit wang pinjaman menjadi liabiliti rakyat keseluruhannya.

Persekitaran pantai yang memanjang di tubir Selat Melaka berpotensi dimajukan sebagai kawasan pelancongan, sedangkan semasa Pas memerintah potensi itu tidak digilap sebagai sumber ekonomi penduduk. Dalam DUN Sungai Limau, ada sekitar 19 sekolah dan sekolah tersebut adalah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Yan, tetapi tidak menampakkan kesungguhan Pas untuk memajukan pendidikan dengan cara berkesan.

Tanggungjawab melakukan perubahan kepada yang lebih baik merupakan kehendak asasi semua orang, tetapi pada masa sama Pas cuba menafikannya dengan berkempen ia tidak akan membawa umat Islam kepada kebahagiaan dan ketenangan. Isu ini sebenarnya berjaya membuktikan sikap sebenar pemimpin Pas, lebih merasa senang jika rakyat terus dihimpit kemiskinan dan dalam kemiskinan itulah mereka lebih mudah memerangkap minda pengundi."

Banyak hadis Nabi SAW yang memberi penilaian bahawa kemiskinan adalah satu penyakit berbahaya yang dikhuatiri meninggalkan kesan buruk ke atas akidah, akhlak dan pemikiran seseorang, malah kepada kaum itu sendiri. Penyakit ini mudah menonjol terutamanya dalam kalangan orang yang menghadapi kemiskinan yang teruk dan tinggal berhampiran dengan orang kaya yang buruk budi pekertinya serta kedekut yang amat sangat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Kemiskinan menghampiri kekufuran. Hadis ini memberikan ingatan, bahawa orang akan menjadi kufur kerana pelbagai tekanan dan kesulitan ekonomi, persekitaran yang dibangunkan tidak memperluaskan peluang mencari rezeki.

Dari perspektif psikologi pula, ada kajian membuktikan ada kecenderungan kerana terpaksa, orang yang baik boleh bertukar menjadi kufur. Ia adalah suatu kemenangan besar bagi syaitan.

Kajian sosiologi juga mendapati, akibat kemiskinan menjadikan manusia mudah didipengaruhi pelbagai anasir negatif. Akibat kemiskinan juga, manusia adakalanya terpaksa berperang sesama sendiri demi sesuap nasi. Meskipun pengalaman ini tidak berlaku di Malaysia, ia tidak bermakna akan kekal selama-lamanya. Ia boleh berubah kalau rakyat silap memilih pemimpin. Pemimpin yang tidak tahu menghormati rakyat wajib ditolak, kerana pemimpin jenis ini sanggup lakukan apa sahaja untuk dilihat halal dan wajar.

Allah menjadikan bumi dan seluruh isi alam ini adalah untuk dinikmati oleh setiap orang. Tetapi disebabkan oleh segelintir manusia yang lebih menghargai kemenangan peribadi bagi membangunkan legasi tidak mempedulikan tanggungjawabnya kepada rakyat setelah memperoleh kedudukan.

Memilih pemimpin seperti itu merupakan sesuatu yang bakal mengundang tragedi, kerana pemimpin sedemikian tidak mudah menerima teguran dan mudah melontarkan kesalahan kepada orang lain. Banyak helah yang dicari, walaupun helah itu sebenarnya tidak dapat menyelamatkan kedudukannya dalam tempoh yang panjang.

Umat Islam wajib cemerlang dalam semua perkara (kecuali berbuat jahat dan mengumpul dosa) kerana manusia adalah makhluk yang akan menjalani kehidupan dunia dan akhirat. Kualiti hidup di dunia akan mencerminkan hasilnya di akhirat. Kejayaan di dunia memberikan ketenangan dan memisahkan nilai-nilai kemungkaran, kerana, ukuran kejayaan itu akan lahir menerusi tindakan berani melakukan perubahan.

Allah SWT telah mengingatkan manusia: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehinggalah kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah al-Rad ayat 11). Maksudnya, perubahan itu mestilah bermula dari dalam diri manusia itu sendiri.

Islam tidak datang hanya untuk mengajarkan zikir dan doa tetapi untuk membebaskan manusia daripada beban penderitaan kepada hidup yang bahagia.

Membiarkan hidup terus dibelenggu kemiskinan tanpa berusaha mengatasinya adalah suatu dosa. Maka, pengundi Sungai Limau wajib mempertimbangkan keputusan sebaik-baiknya pada 4 November ini sebagai suatu tindakan yang benar-benar didorong oleh semangat hijrah, yang akan disambut keesokan harinya.

MOHD. SHAUKI ABDUL MAJID

Pengurus Besar Analisa Dan Penyelidikan

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Fizz Fairuz risik Almy Nadia minggu depan

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Almy Nadia

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Pelakon, Fizz Fairuz akan menghantar rombongan merisik kekasihnya, Almy Nadia pada minggu depan.

Fizz atau nama sebenarnya Mohd. Fairuz Zainal Abidin, 34, berkata, sebelum ini, sudah ada perbincangan dengan keluarga Almy dan rombongan merisik ini bagi memastikan semua yang direncanakan berjalan lancar.

Saya akan menghantar rombongan merisik Almy di kampung halamannya, Balik Pulau, Pulau Pinang pada minggu depan.

Kalau tidak sibuk, saya juga akan turut menyertai rombongan merisik itu nanti," katanya yang ditemui dalam majlis pelancaran butik atas talian di sini hari ini.

Enggan mendedahkan tarikh sebenar pernikahan mereka, menurut Fizz, buat masa ini Almy dan dia sedang membuat persiapan untuk majlis perkahwinan sedikit demi sedikit.

Dalam pada itu, Fizz turut memberitahu, sudah ada beberapa pihak yang telah menawarkan diri untuk menaja majlis perkahwinan mereka kelak.

Setakat ini, persiapan baru dibuat sikit-sikit. Lagipun kami hanya akan melangsungkan majlis perkahwinan pada awal tahun depan.

Sebenarnya sudah ada beberapa pihak yang mahu menaja, tetapi saya beritahu nanti dahulu memandangkan kami berdua masih belum buat keputusan tarikh sebenar. Saya hanya akan memberitahu tarikh sebenar pernikahan, selewat-lewatnya empat bulan sebelum majlis berlangsung," katanya.

Ditanya keistimewaan Almy, menurut Fizz, kesetiaan Almy sentiasa menambat hatinya.

Menjelaskan kedudukan anak angkat Almy, Nur Afrina Darwisya, 4, Fizz berkata, dia tidak ada masalah untuk menerima anak tersebut dalam keluarga mereka nanti.

Dia seorang yang setia, pendek kata dia mempunyai ciri-ciri seorang isteri yang saya cari.

Anak Almy akan terus dijaga ibu Almy memandangkan sejak dari kecil lagi dia membesar bersama, saya memang tidak ada masalah untuk menerimanya," katanya.

Almy dan Fizz pernah bercinta selama tujuh tahun tetapi putus di sekitar 2011 sebelum Fizz bertunang dengan wanita lain yang kemudian didakwanya sebagai isteri orang.

Bagaimanapun Fizz kembali menyuarakan hasrat untuk memperisterikan Almy bulan lepas.

Sementara itu, Almy atau Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, ketika dihubungi nyata tidak dapat menyorokkan perasaan gembiranya.

Namun, kata Almy, dia sebenarnya lebih terbeban dengan tanggungjawab kerja buat masa ini.

Fizz memang ada memberitahu niat itu kepada saya, buat masa ini saya memang tidak ada rasa apa-apa lagi.

Mungkin pada hari tersebut, saya akan merasa debarannya siapa tahu, buat masa ini saya hanya mahu menghabiskan kerja dahulu," kata Almy yang enggan memberitahu tarikh sebenar dia akan pulang ke kampung halamannya.

Almy Nadia bakal dirisik Fizz Fairuz minggu depan

Posted: 31 Oct 2013 06:17 AM PDT

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Pelakon Almy Nadia bakal dirisik oleh kekasihnya, Fizz Fairuz pada minggu depan.

Fizz atau nama sebenarnya Mohd. Fairuz Zainal Abidin, 34, berkata, rombongan merisik daripada keluarganya akan berkunjung ke kampung halaman Almy, 27, di Balik Pulau, Pulau Pinang.

"Sebelum ini keluarga Almy sudah pun diberitahu, sebenarnya rombongan merisik ini dibuat untuk nampak lebih rasmi," katanya kepada Utusan Online pada majlis pelancaran sebuah butik atas talian di sini hari ini.

Jelasnya, jika tidak terikat dengan jadual kerja, kemungkinan dia juga akan turut serta dalam rombongan tersebut.

Setakat ini Fizz belum menetapkan tarikh sebenar majlis pernikahan mereka berdua, namun hari bersejarah tersebut bakal diadakan awal tahun depan.

Sementara itu, Almy ketika dihubungi berkata yang dia gembira dan buat masa ini lebih tertumpu pada kerjaya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Fatimah besarkan 16 anak

Posted: 30 Oct 2013 11:32 PM PDT

Fatimah Yusoff kini bahagia dikelilingi anak-anak, menantu dan cucu yang menyayanginya.

KINI segala pengorbanan Fatimah berbalas apabila kesemua 16 anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan menyandang jawatan penting dalam sektor swasta mahupun kerajaan.

"Ibu saya berkahwin dengan ayah, Ismail Abdullah pada Januari 1967. Ketika itu usia ibu 17 tahun manakala ayah 34 tahun.

"Mereka kemudiannya menetap di Kampung Padang Bongor, Kota Bharu, Kelantan dan ayah saya berkhidmat sebagai imam di masjid kampung tersebut ," cerita anak ke-11 Fatimah, Mohd. Yazid Ismail, 29, ditemui di Bandar Seri Putra, Selangor, baru-baru ini.

Sebelas orang anak Fatimah memasuki universiti tempatan, manakala lima lagi di universiti luar negara.

Anak sulungnya, Lokman, 45, merupakan setiausaha politik kepada seorang tokoh terkenal, manakala anak kedua, Mohd. Azmi, 44, (penceramah motivasi), Mohd. Jurik, 42, (pegawai kerajaan), Mohd. Sabri, 41, (seorang hakim), Mohd. Khairul Bahri, 39, (guru) dan Mohd. Rusli, 38, (pensyarah).

Diikuti Khairul Anuar, 35, (ejen takaful), Mohd. Juneed, 34, (guru), Mohd. Shahruddin, 32, (ahli perniagaan), Mohd. Abdul Hadi, 31, (guru), Mohd. Yazid, 29, (perunding kewangan), Siti Sarah, 28, (guru), Siti Aisah, 27, (ahli perniagaan), Siti Zakiah, 25, (menuntut di Universiti Islam Antarabangsa), Radiah, 23, (pelajar Kolej Universiti Insaniah) dan Nur Suhaila, 21, (pelajar Universiti Sains Islam Malaysia).

Daripada kesemua anak pasangan tersebut, 14 sudah berkahwin dan kini cucunya mencecah 60 orang.

Ujian yang dilalui

Menurut Mohd Yazid lagi, sekitar tahun 1990-an, kerjaya sebagai imam di Kelantan tidak bergaji sebaliknya hanya diberi elaun berjumlah kurang daripada RM300.

Bersandarkan wang elaun tersebut ayahnya menyara keluarga dalam serba kekurangan. Mereka tiada tanah untuk bercucuk tanam dan hanya mampu menyewa tanah orang kampung untuk bertani bagi menambah rezeki

"Abang-abang saya walau masih bersekolah semua membantu ayah bertani dan hasil sayur dijual keliling kampung.

"Pada tahun 1991 ketika emak mengandung adik bongsu ayah pula diserang strok dah lumpuh. Ayah terpaksa berhenti kerja.

"Emak saya yang ketika itu sarat mengandung terpaksa mengambil alih tugas ayah menyara kami adik-beradik yang masih kecil dan pada masa sama menjaga ayah yang lumpuh.

"Tiada duit pencen yang kami terima sekadar duit ehsan daripada pihak masjid berjumlah RM150 sebulan. Pada waktu itu seorang abang sahaja yang sudah bekerja manakala yang lain masih di sekolah dan universiti.

"Cuba bayangkan macam mana emak nak sara ayah yang lumpuh dan 15 anak dengan RM150," imbas Mohd. Yazid mengimbau kisah lama.

Menurut Mohd. Yazid, ketika itu wang simpanan langsung tidak ada, jadi walaupun masih sekolah semua anak-anak terpaksa berkerja bagi mencari duit.

"Macam-macam kerja kami lakukan lepas waktu sekolah. Bertani, mengambil upah membersihkan reban ayam, kutip botol, tin serta besi buruk untuk dijual dan sebagainya.

"Kadang-kadang kami naik basikal sejauh 12 kilometer untuk balik ke kampung ibu di Bachok semata-mata untuk menangkap ikan di sawah bagi dibuat lauk.

"Tiada bantuan kewangan khusus kami terima dari mana-mana agensi, hanya sekadar bantuan persekolahan yang bersifat sekali sekala.

Nasi tanpa lauk

"Makanan kami juga kadang-kadang tidak cukup. Makan nasi tanpa lauk sudah jadi kebiasaan. Sekadar nasi campur air, garam dan sedikit gula sudah memadai. Mujur di sekolah ada rancangan makanan tambahan, dapatlah kami rasa makan yang sedap secara berterusan," cerita Mohd. Yazid lagi.

Walau keadaan hidup begitu susah, menurut Mohd. Yazid, tidak pernah sekalipun ibunya berhenti berjuang mahupun mengaku kalah dalam membesarkan anak-anaknya.

Ibunya juga jarang berkeluh-kesah di hadapan anak-anak, biarpun menurut Mohd. Yazid, beberapa kali dia melihat ibunya menangis mungkin kerana tidak tertahan menanggung keperitan hidup.

"Kami anak-anak yang masih kecil ketika itu hanya boleh menahan sedih melihat keadaan emak.

"Ketika itu memang tidak banyak yang boleh kami bantu, malah untuk angkat ayah yang lumpuh untuk dimandikan pun susah. Mujur abang-abang di sekolah menengah banyak tolong dengan penuh kesabaran tetapi apabila mereka masuk universiti, tinggal kami yang kecil-kecil sahaja di rumah," jelasnya.

Sehingga tahun 2001, ibunya masih memasak menggunakan dapur kayu api. Bukan tidak ada dapur gas tetapi mahu menjimatkan wang daripada membeli gas.

Kalau bekalan kayu api berkurang, mereka adik beradik akan masuk hutan mencari kayu api. Ketika itu tiada lagi orang kampung yang mengutip kayu api, hanya keluarganya sahaja.

"Emak pula pegang prinsip tidak akan hutang duit orang. Hidup dengan sekadar apa yang ada. Alhamdulillah, beban emak sedikit ringan apabila abang-abang di universiti mengirim duit biasiswa masing-masing untuk adik-adik di kampung.

"Pernah abang saya cerita, dia sanggup ikat perut semata-mata untuk hantar duit ke kampung," imbas Mohd. Yazid sambil memberitahu bapanya telah meninggal dunia pada tahun 2000 akibat penyakit yang dihidapi .

Solat berjemaah

Sepanjang ingatan Mohd. Yazid, semasa bapanya masih hidup dan sihat, dia tidak pernah bertanya tentang pencapaian anak-anak di sekolah kerana bapanya lebih mengutamakan solat berjemaah di masjid.

"Arwah ayah selalu pesan, 'tidak guna belajar tinggi dan pangkat tinggi tapi solat jemaah tidak dijaga. Arwah ayah memang sangat menekankan pendidikan agama dan praktikalnya.

"Justeru, walaupun kami masa masih bersekolah dan sangat sibuk dengan mencari duit tapi kami tetap ke masjid solat jemaah. Kami cuma dapat belajar ketika di sekolah sahaja kerana di rumah kami sibuk dengan kerja dan mengasuh adik-adik yang masih bayi. Namun, syukur semuanya kini cemerlang dalam pelajaran.

"Apa pun saya tidak pernah lupa pesanan emak. Katanya, bagi mendapat keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat berilah penekanan pada pendidikan agama terutamanya solat. Anak-anak lelaki mesti dibiasakan dengan solat jemaah," katanya mengakhiri bicara. - NOOR FAZRINA KAMAL

Ajar anak cintai buku

Posted: 30 Oct 2013 11:32 PM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
Gambar AZLAN HADI

Nazaruddin Rahman bersama isteri Sheahnee Iman Lee dan anak sulongnya, Zarah Aaliyah menyertai kempen membaca anjuran Scholastic Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MEMBACA adalah jambatan ilmu. Tidak mengira usia, tabiat membaca membantu seseorang menambah ilmu pengetahuan dan keyakinan diri.

Minat membaca bukan terhad kepada orang dewasa sahaja, malah kanak-kanak juga perlu dipupuk minat untuk mencintai buku dan membaca seawal usia mereka masih muda.

Selebriti popular, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot mengakui, cara ayahnya yang menjadikan tabiat membaca sebagai rutin harian bagi anak-anak sejak dari kecil lagi telah membentuk dirinya sebagai individu yang gemar meluangkan masa lapang dengan membaca.

Bagi Wardina, cara ayahnya mendidik dan memupuk minat dia dan adik-adiknya yang lain mencintai buku kini diturunkan pula pada tiga orang cahaya matanya yang sedang membesar dengan sihat dan aktif.

Pelakon dan pengacara TV itu sangat yakin kanak-kanak yang dipupuk minat membaca dari usia muda akan membantu meningkatkan daya kreativiti dan intelektual mereka.

"Anak sulong saya, Amna diperkenalkan dengan buku sejak bayi lagi. Walaupun masih bayi dan belum faham apa-apa tetapi saya biasakan Amna dengan buku-buku bergambar dan kerap bercerita dengannya..

" Apabila memasuki usia empat tahun dia sudah boleh membaca. Sekarang, tanpa disuruh masa lapangnya banyak dihabiskan dengan membaca buku kegemarannya.

"Tidak dinafikan, disebabkan Amna sangat gemar membaca pada waktu lapang, tahap pengetahuan dan daya intelektualnya sangat baik. Jenis bacaan pula saya biarkan Amna memilih sendiri mengikut minatnya," jelas Wardina.

Tambahnya lagi, oleh kerana tabiat membaca perlu dipupuk pada usia yang awal supaya kanak-kanak membesar dengan budaya mencintai ilmu dan pengetahuan, kedua ibu bapa perlu memainkan peranan sewajarnya.

"Seeloknya tabiat baik tersebut dimulakan oleh ibu bapa dahulu baharu proses menyuntik minat tersebut akan diikuti oleh anak-anak," katanya.

Menurut Wardina, bagi membudayakan tabiat membaca dalam keluarganya, dia menyediakan sebuah perpustakaan mini di rumah yang memuatkan pelbagai jenis bahan bacaan.

"Membeli buku adalah satu pelaburan. Ibu bapa tidak perlu kedekut untuk membelikan anak-anak buku.

"Biasanya saya akan membawa anak-anak ke kedai buku dan biarkan mereka memilih buku kesukaan masing-masing.

"Seeloknya, bagi menggalakkan anak-anak minat membaca, ibubapa perlu menghabiskan masa bersama-sama anak mereka membaca buku kegemaran mereka.

"Tabiat membaca buku kepada anak-anak sebelum tidur juga adalah satu rutin yang baik untuk memupuk kemesraan selain bertujuan meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi mereka," jelasnya.

Praktikal dan santai

Bagi pasangan pengacara TV, Nazaruddin Rahman dan isterinya, Sheahnee Iman Lee, mereka mempunyai cara tersendiri untuk memupuk minat membaca terhadap kedua-dua orang anak kesayangan.

"Walaupun anak sulong baru berusia tiga tahun, masih kecil tetapi kami cuba memupuk minatnya untuk mencintai buku seterusnya menjadikan amalan membaca sebagai suatu yang disukainya melalui beberapa kaedah yang praktikal dan santai.

" Sejak anak sulong, Zarah Aaliyah masih kecil lagi kami sudah dedahkan dia dengan bahan bacaan yang berbentuk santai dan menarik seperti soft book dan buku bergambar.

"Sesibuk mana sekalipun, setiap hari kami akan pastikan ada masa untuk membaca bersama anak, biarpun sekadar 10 minit. Masa yang singkat itu kalau digunakan sebaik mungkin kesannya pada tumbesaran dan perkembangan mental anak-anak sangat bagus," jelas Sheahnee.

Menyedari kepentingan menanam tabiat membaca di kalangan kanak-kanak, satu kempen Read 2013: One Nation Reading Together "Reading Expands Your Knowledge telah diadakan pada 28 Oktober lalu di Dewan Sekolah Kebangsaan Puteri, Jalan Labu Lama, Seremban Negeri Sembilan.

Kempen diusahakan oleh Scholastic Malaysia, sebuah syarikat pengeluar dan pengedar buku kanak-kanak dan teknologi terbesar di dunia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Kempen ini bertujuan untuk mempromosi, menghargai buku dan maklumat selain menggalakkan tabiat membaca di kalangan pelajar sekolah.

Sehubungan dengan itu, Scholastic telah menderma 50 buah buku kepada sekolah yang terlibat yang kesemuanya berjumlah 125,000 buah.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved