Utusan Online - Rencana |
Diet belanja cegah kempis selepas raya Posted: 09 Aug 2013 09:38 AM PDT Oleh Syed Mazlan Syed Mat Dom Orang ramai membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. - Utusan/AZLAN HADI ABU BAKAR BIARPUN banyak atau sedikit, peruntukan kewangan amat penting bagi mempersiapkan diri menghadapi Aidilfitri. Segalanya perlu diambil kira. Daripada pakaian baru, peruntukan duit raya, kos perjalanan pulang ke kampung hinggalah ke juadah makanan. Semuanya menjadi bajet yang perlu diberikan perhatian. Ini semua sebenarnya, tidak menimbulkan masalah kewangan andai seseorang itu telah membuat perancangan lebih awal. Katalah perancangan telah dibuat semenjak awal tahun 2013 dahulu lagi. Namun begitu, yang menjadi masalahnya, tak berapa kerat sahaja di antara kita yang sudah benar-benar bersedia dengan bajet menyambut hari raya dengan erti kata yang sebenarnya. Kebanyakan daripada kita mempunyai ciri bajet impromptu iaitu bajet membujur lalu melintang patah. Bajet jenis ini boleh dikatakan, berbelanja ikut keadaan selagi ada modal sampailah keadaan kewangan menyusut, di mana tatkala itu barulah secara paksa masing-masing mengikat perut, menjerut tekak dan memejamkan mata terhadap apa jua di sekeliling mereka. Bagi mereka yang berkemampuan, tidaklah timbul masalah baik sebelum atau selepas hari raya. Namun, bagaimana pula bagi mereka yang tidak berhemah ketika berbelanja atau memiliki tabungan yang tidak cukup selepas cuti raya? Bukankah itu mengundang sesak nafas jadinya. Sebenarnya, tempoh setahun untuk menyambut Aidilfitri berikutnya adalah mencukupi untuk mengumpul bajet kewangan, sekali gus terhindar daripada bebanan hutang dan krisis kewangan menjelang dan selepas musim perayaan itu. Selama 12 bulan dalam setahun, mustahil kita tidak boleh menyimpan sedikit daripada jumlah pendapatan bulanan kita untuk mendapatkan bajet hari lebaran yang mencukupi . Memanglah sukar jika kita terpaksa mengasingkan sedikit pendapatan bulanan. Namun, jika dikaji kesannya, tidakkah ia akan menguntungkan kita? Tidaklah kita sakit kepala apabila musim perayaan ini menjelang tiba. Inilah yang patut kita buat untuk menyambut Aidilfitri 2013 ini. Atau kalau tak sempat, kita patut berusaha daripada sekarang untuk lebih selesa menyambut Aidilfitri 2014 yang akan datang. Menjelang hari raya pola perbelanjaan kita tentunya berlainan daripada kebiasaan. Manakan tidak? Di sepanjang bulan puasa lagi kita sudah begitu boros berbelanja. Ketika perut sedang berkeroncong, waktu itulah kita menapak menelusuri jajaran gerai di pasar Ramadan. Apa yang terlihat semuanya menggoda, apa yang terbau semuanya sedap belaka. Pendek kata, ikan cincaru masin pun tampak menyelerakan dan sedap seperti daging rusa salai pada waktu dan saat itu. Sedar tak sedar, paling kurang RM30 selesai dibelanjakan setiap petang menjelang tiba. Beberapa hari menjelang lebaran, ada suri rumah yang telah mula membuat kuih-muih, atau paling tidak membeli beberapa jenis kuih raya yang ada dijual di mana-mana. Ada juga yang bercadang untuk menggantikan kain langsir, mengecat rumah, mengganti kusyen dan membeli barang kemas untuk perhiasan diri. Ini semua memerlukan perkiraan. Bukan sewenangnya boleh dilakukan jika kita mahu menjaga bajet supaya tidak defisit di bulan berikutnya. Mujurlah sekarang kiriman kad raya sudah hilang polularitinya. Jika tidak, maka akan bertambahlah bajet kita jadinya. Bagi sang suami pula, belanjawan bunga api (yang tidak berbahaya ) untuk anak-anak, membeli pakaian untuk ahli keluarga, kos menghantar kereta untuk diservis, kos minyak, kos jajan dalam perjalanan dan kos tol untuk pulang berhari raya di kampung halaman juga tidak harus dilupa, malah ada juga yang kepingin untuk beraya dengan kereta baharu. Ini juga perlukan perkiraan wajar. Begitu banyak sekali godaan tiba menerusi gimik iklan di mana-mana. Bagi yang baru berumah tangga, tentunya kemeriahan untuk beraya kali pertama di rumah ibu bapa mertua mengatasi segalanya. Ada yang pasang badan untuk menjaga saham berbanding ipar duai mereka. Ada juga yang pulang beraya dengan segalanya serba baharu. Baju melayu baharu, seluar baharu, tudung baharu, baju kurung baharu, telefon bimbit baharu dan bermacam lagi gajet yang baharu. Kononnya untuk menjaga reputasi diri di mata anak buah dan ipar duai. Ini juga perlukan perkiraan yang teliti sebelum seseorang itu boleh mempamerkan aksi diri. Untuk anak muda remaja, untuk generasi celik komputer hari ini, baik lelaki mahupun perempuan tentunya ada yang kepingin untuk mempunyai gajet raya. Ipad ipod telefon pintar mp4 dan segala macam kaum kerabatnya semua mahu di milikinya. Bagi lelaki muda belia yang sudah meninggalkan alam persekolahan, belajar di kolej atau universiti atau baru saja menjenguk ke alam pekerjaan, lain pula keadaannya. Bajet bulan Ramadan mereka sehingga membawa ke bulan Syawal banyak dipengaruhi oleh pelbagai perkara yang mungkin berlainan sedikit daripada si muda remaja. Pertama antaranya adalah bajet untuk rokok. Rokok menjadi punca utama sesetengah lelaki yang merokok mengalami kekurangan wang. Kira-kira 40% lelaki di Malaysia adalah perokok tak kiralah perokok tegar ataupun tidak. Ini kerana biasanya perokok tegar menghabiskan RM10 untuk sekotak rokok sehari. Kalau sebulan, mahu RM300 dibakar demi memuaskan ketagihan tembakau. Itu baru sekotak, kalau dua kotak sehari macam mana pula? Oleh itu wahai lelaki, jangan merokok… kerana bajet Aidilfitri anda boleh tunggang terbalik kerananya. Yang kedua, ketagihan permainan video dan video permainan maya. Lelaki memang tidak dinafikan sebagai golongan yang kerap serta gemar bermain permainan video serta permainan komputer lain. Buktinya, lihatlah di cyber cafe, selain penuh dengan kanak-kanak dan remaja , ada juga lelaki yang 'taksub' bermain permainan seperti dota, condition zero, dan banyak lagi permainan yang berbentuk 'strategi' yang memang banyak memakan duit kerana mereka bukannya hanya perlu sejam dua bermain, kadang kala sampai lima jam tanpa henti pun belum tentu berjaya untuk untuk menyudahkan permainan itu. Ketiga, hobi mengubah suai kenderaan. Bagi sebilangan lelaki yang mat motor serta mat kereta, mereka biasanya mengeluarkan perbelanjaan yang agak banyak untuk mengubah suai kenderaan mereka untuk menjadi lebih canggih, 'berkuasa' serta cantik dipandang mata. Apatah lagi menjelang raya, penuh kedai aksesori menjadi tumpuan sebilangan daripada mereka. Dalam kalangan kaum perempuan pula, terutama yang muda belia, mereka juga tidak pernah lari daripada masalah bajet. Ini adalah kerana minat dan kegemaran masing-masing. Jika tabiat atau minat ini tidak dikawal menjelang hari raya, maka sudah pasti akan menimbulkan suasana 'kuak lentang' apabila selesai saja mereka menyambutnya. Minat yang pertama, perempuan memang sinonim dengan membeli-belah. Pendek kata, perempuan dan shopping memang istilah yang tidak boleh dipisahkan. Perempuan suka mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli belah pakaian yang baharu dan sebagainya dengan banyak. Contohnya: Kalau baju biru, kain pun nak biru, malah kasut dan tudung pun nak yang warna biru juga. Ini agak membazir jika ia di lakukan secara kerap dan mempunyai banyak pasang pakaian, kasut dan sebagainya yang pelbagai warna yang dibeli dan disimpan selepas digunakan cuma sekali dua sahaja. Yang kedua, mekap dan aksesori kecantikan. Sesetengah perempuan suka sangat ingin penampilan mereka sentiasa cantik dan menawan. Ini tak salah, cuma agak-agaklah sedikit. Ini kerana perbelanjaan untuk membeli bedak asas, bedak, lipstik, celak, maskara, pewarna muka dan sebagainya agak mahal lebih-lebih lagi jika digunakan sepanjang hari. Itu baru pada bahagian muka, belum lagi bahagian rambut/tudung, rawatan kuku, terapi kaki, barangan kemas, dan sebagainya. Jika mahu diperincikan satu persatu ,mesti banyak sekali. Ketiga, penjagaan badan secara keseluruhan seperti mandian lulur satu badan, membuang lemak, mengempiskan perut dan sebagainya. Ada juga perempuan yang biasanya sudah bekerja serta suri rumah yang ingin menjadikan seluruh wajah atau badan mereka sentiasa cantik dan anggun untuk menarik minat lelaki lain ataupun untuk mengelakkan si-suaminya lari. Namun demikian kos untuk 'menyelenggarakan badan' mereka sememangnya mahal. Kosnya mungkin boleh mencecah beribu ringgit walaupun cuma hendak membedah hidung yang penyek menjadi lebih mancung. Itu baru servis hidung, belum lagi bibir nipis yang mahu ditebalkan, wajah dan sebagainya. Ada yang juga mengambil suntikan bulanan vitamin C, botox dan macam-macam untuk menjadikan wajah dan penampilan mereka lebih anggun dan menawan. Memandangkan segala perbelanjaan ini sudah seperti menjadi rutin bulanan, maka semestinya ia akan mempunyai impak yang sangat besar apabila menjelang musim-musim perayaan dengan mengambil kira perbelanjaan lain yang turut ada tersenarai pada waktu dan ketika yang sama. Masalah kekeringan bajet ini jika mahu diperincikan satu per satu memang tidak akan ada penghujungnya. Jika pada ketika hari biasa ia sudah menampakkan kesan, apatah lagi jika tabiat itu tidak dibendung ketika hampirnya musim perayaan. Maka akan bertambah parah lagi kondisi bajet diri dibuatnya. BERSAMBUNG ISNIN |
Syarikat korporat perlu contohi TH Posted: 09 Aug 2013 09:38 AM PDT Oleh Ram Al Jaffri Saad PADA 29 Julai yang lepas ada dilaporkan di dalam akhbar ini mengenai sasaran Tabung Haji (TH) untuk meningkatkan jumlah agihan zakat daripada RM1.6 juta pada tahun ini kepada RM3 juta pada tahun hadapan. Jumlah penerima wang zakat juga akan ditingkatkan sehingga 3,000 orang. Projek yang dinamakan Projek Ehsan ini adalah merupakan usaha TH dalam menyalurkan sumbangan zakat terus kepada masyarakat. Antara golongan asnaf yang mendapat bantuan ini termasuklah ibu tunggal, fakir miskin, warga emas dan orang kelainan upaya. Selain projek ini, satu lagi program yang turut dilaksanakan oleh TH ialah Program Iqraq. Berbeza dengan Projek Ehsan, projek ini menumpukan kepada pemberian sumbangan keperluan sekolah kepada pelajar miskin dan anak yatim yang akan menduduki peperiksaan penting. Kedua-dua projek ini bukan sahaja dapat meringankan beban penerima malah boleh menjadi motivasi kepada mereka untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan. Bantuan ini walaupun sedikit namun kesannya adalah besar. Usaha seperti ini wajar dijadikan contoh atau model bagi syarikat-syarikat korporat yang lain. Ia bukan sekadar memenuhi tuntutan agama malah ia merupakan tanggungjawab sosial syarikat kepada masyarakat. Sepanjang pengetahuan penulis, syarikat TH merupakan antara syarikat korporat yang begitu konsisten dalam hal pembayaran zakat. Apa yang lebih menarik, jumlah zakat yang dikeluarkan meningkat dari setahun ke setahun. Peningkatan jumlah zakat ini sudah pasti terhasil daripada peningkatan jumlah pendapatan syarikat. Di sinilah indahnya apabila sesebuah perniagaan dijalankan dengan penuh keberkatan dan kesucian setelah pendapatan tersebut disucikan dengan zakat. Persoalan yang timbul, bagaimana pula dengan syarikat-syarikat korporat yang lain? Adakah mereka juga membayar zakat perniagaan sebagaimana TH? Adakah mereka juga mempunyai 'Projek Ehsan' dan 'Projek Iqraq' seperti mana TH? Dalam hal ini, penulis berani menyatakan masih banyak syarikat korporat yang tidak membayar zakat perniagaan sama ada melalui institusi zakat ataupun membayar terus kepada asnaf. Amat jarang juga bagi masyarakat dapat melihat syarikat-syarikat korporat yang mengambil inisiatif yang sama seperti mana TH dalam mengagihkan zakat kepada masyarakat. Telahan ini dibuat berdasarkan statistik jumlah kutipan zakat perniagaan yang masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah sebenar syarikat Muslim yang berdaftar dan aktif menjalankan perniagaan. Sebagai contoh, bilangan pembayar zakat perniagaan di seluruh negara adalah kurang daripada 10 peratus (%) jika dibandingkan dengan bilangan peniaga Muslim yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Bagi Wilayah Persekutuan, anggaran syarikat Muslim adalah berjumlah lebih kurang 80,000 buah, namun jumlah yang membayar zakat hanyalah sekitar 1,302 buah atau 1.167% pada 2009. Begitu juga dengan Negeri Sembilan apabila hanya sekitar 4.25% daripada lebih 25,000 buah syarikat yang membayar zakat perniagaan. Dalam satu kajian lain yang dijalankan ke atas syarikat patuh syariah yang tersenarai di Bursa Malaysia mendapati bahawa kurang daripada 10% syarikat membayar zakat perniagaan. Hanya syarikat-syarikat kewangan yang terlibat dengan kewangan Islam sahaja dilihat membayar zakat perniagaan. Fenomena pembayaran zakat perniagaan ini berlaku di semua negeri. Keadaan ini amat memeranjatkan dan menyedihkan. Mengapa hal ini terjadi sedangkan dalil pembayaran zakat perniagaan jelas terdapat di dalam Surah Al-Baqarah ayat 267: "Hai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu." Ini dikutkan dengan Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: "Maka sesungguhnya Rasulullah S.A.W menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada harta benda yang kami sediakan untuk dijual (urud al-tijarah)." (riwayat Abu Daud) Selain hukum wajib zakat perniagaan, syarikat-syarikat yang mengeluarkan zakat perniagaan turut diberikan keistimewaan oleh kerajaan. Dalam Akta Percukaian di bawah Seksyen 132, syarikat yang membayar zakat perniagaan diberikan pelepasan cukai sebanyak 2.5% ke atas jumlah pendapatan agregat syarikat. Dengan kemudahan yang diberikan ini sepatutnya dapat menggalakkan lebih banyak syarikat untuk membayar zakat perniagaan. Tiada lagi alasan untuk mereka tidak berbuat demikian. Namun, keadaan ini tidak berlaku. Adalah menjadi harapan pada masa hadapan agar semua pihak dapat memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan bilangan syarikat membayar zakat perniagaan. Tidak dinafikan bahawa usaha institusi zakat yang baik seperti membuka operasi 7 hari seminggu pada bulan Ramadan selain inisiatif-inisiatif lain seperti yang dilakukan oleh sebuah masjid dengan membuka kaunter pandu lalu bagi memudahkan orang ramai membayar zakat. Usaha-usaha yang agresif seperti ini boleh dilakukan juga bagi menggalakkan lebih banyak syarikat korporat dan multinasional membayar zakat? Lawatan berterusan ke syarikat-syarikat besar, taklimat zakat perniagaan, kerjasama erat antara syarikat dengan institusi zakat dan peningkatan infrastruktur institusi zakat harus dilaksanakan segera bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap zakat perniagaan. Selain TH contohilah juga syarikat-syarikat lain seperti Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Bank Rakyat, Tenaga Nasional Berhad, Pos Malaysia Berhad, Perusahaan Otomobil Nasional Berhad dan syarikat-syarikat lain yang tidak pernah lupa membayar zakat perniagaan. Percayalah bahawa zakat yang dikeluarkan itu dapat menyucikan harta perniagaan dan seterusnya dapat menyuburkan lagi harta tersebut pada masa akan datang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan