Utusan Online - Keluarga |
Fuaad berdebar tunggujawapan lamaran Posted: 09 Aug 2013 09:38 AM PDT Oleh Norliza Abd. Rahman WALAUPUN dia meminta sedikit masa sebelum memberikan persetujuan untuk menerima lamaran saya kerana mahu berbincang dengan keluarga terlebih dahulu, namun perasaan saya tetap risau. Saya bimbang kalau keluarganya sudah ada pilihan lain. ''Tetapi selepas mendapat khabar bahawa saya diterima keluarganya, saya terus memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi. "Mudah-mudahan inilah jodoh saya sehingga ke akhir hayat," begitu pengakuan Perunding Kewangan, Ahmad Fuaad Sarani, 43, yang mengisi ruangan Jodoh Kami pada minggu ini. Menurut anak jati Selangor yang berkhidmat di Tafakul Ikhlas Sdn. Bhd. itu, beliau melamar isterinya, Habshah Ali, 42, yang berasal dari Kedah di sebuah lokasi istimewa di Kuala Lumpur kira-kira 17 tahun lalu. Mengimbas semula detik itu, katanya, perasaan bimbang, risau dan bermacam-macam lagi terpaksa disimpan kemas di dalam hatinya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaannya ketika itu terutama memikirkan seandainya gadis idamannya itu sudah ada pilihan lain dan lamarannya ditolak. ''Isteri saya merupakan anak bongsu dan sangat manja dengan kedua orang tuanya, Semasa saya melamarnya, dia buat selamba sahaja, sebab dia ingatkan saya tak serius. "Mungkin juga dia belum yakin bahawa hanya dialah satu-satunya ratu hati saya," bicaranya disulami ketawa kecil. Mengimbau kembali perkenalan yang terjalin semasa Ahmad Fuaad berusia 19 tahun, katanya, ketika itu mereka mengikuti program matrikulasi di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah sebelum sama-sama melanjutkan pelajaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM). ''Masa mula-mula keluar dating, tak silap saya kami makan dekat sebuah kafetaria. Ketika itu, kami masih memakai baju sekolah lagi. "Sungguhpun begitu, kami tidaklah seperti orang bercinta walaupun dalam hati ada perasaan suka terhadap dia," ujarnya yang mengakui berasa sangat gembira dapat keluar dengan gadis pujaan hatinya itu. Menurutnya, ketika itu, memang hatinya amat berdebar-debar dan sangat berharap agar suatu hari nanti, dia menjadi milik saya. "Bukan senang nak keluar makan dengan awek cun," katanya sambil ketawa. Pada ketika itu, katanya, ramai kawan-kawan mengutuknya kerana didakwa mahu mengurat pelajar junior. Tetapi disebabkan hati sudah tertawan, semua usikan rakan-rakan tidak dipedulikannya kerana matlamatnya adalah untuk memiliki Habshah. Berkongsi perasaan bersama pembaca, Ahmad Fuaad berkata, Habshah adalah cinta pandang pertamanya kerana beliau terpikat dengan wajah isterinya yang comel, memiliki sepasang mata bulat, hidung mancung dan berkulit cerah. Sementara itu, Habshah yang bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi berkata, suaminya pernah menghadiahkan seutas rantai leher pada hari ulang tahun kelahirannya. Katanya, walaupun rantai itu sudah hilang, namun momen tersebut tetap terpahat kemas dalam kenangannya. ''Semasa dia melamar, saya terus terkesima seketika kerana terlalu terkejut, tetapi saya tahu dia adalah jodoh saya kerana dia sangat memahami dan menerima saya seadanya, selain dia selalu berada di sisi saya kala saya memerlukannya," tuturnya lembut. Pasangan yang dikurniakan tiga cahaya mata berusia antara empat hingga 15 tahun itu berkongsi minat yang sama iaitu gemar membaca, berjoging, bercuti dan menanam pokok bunga. Ahmad Fuaad menambah, sikap sentiasa mengambil berat dalam segala hal terutamanya mendidik anak-anak benar-benar membuatkannya berasa kagum terhadap Habshah. "Setiap kali anak mengulangkaji pelajaran, dia akan turut sama memastikan anak-anak faham apa yang dipelajari di sekolah," ujarnya. |
Posted: 09 Aug 2013 09:38 AM PDT SETIAP orang mempunyai penghayatan berbeza tentang maksud cinta sejati. Tetapi ada juga yang kurang arif untuk mengenali cinta sedangkan cinta itu adalah salah satu cara untuk mengenali diri seseorang. Cinta boleh menjadikan seseorang itu bijak dan progresif. Namun di sebaliknya juga ia boleh mengundang derita dan sedih yang berpanjangan jika cinta itu tidak dijaga dengan baik. Apa itu cinta, adakah ia sama dengan pengalaman Aiman (bukan nama sebenar) yang ingin saya kongsikan ceritanya minggu ini. Kita ikuti pengalaman Aiman dalam mencari cintanya. "Saya berusia lewat 20-an, anak sulung daripada adik-beradik seramai empat orang, dua lelaki dan dua perempuan. Ibu bapa saya masih ada dan saya menjadi harapan orang tua dan adik-adik untuk masa depan mereka. "Saya bekas penuntut di sebuah universiti ternama negara. Sebagai memenuhi syarat untuk menamatkan pelajaran saya terpaksa menjalani latihan amali di sebuah syarikat terkenal. Tamat latihan amali saya mendapat keputusan yang cemerlang. Selesai konvokesyen saya dipanggil untuk bekerja di tempat yang sama. Alhamdulillah, rezeki saya amat mudah. "Tanpa berfikir panjang saya terus melapor diri pada tarikh yang diberikan. Setelah hampir setahun bekerja saya telah dinaikkan pangkat. "Ini satu pencapaian yang luar biasa, bisik salah seorang daripada kenalan saya yang terkejut dengan habuan yang saya terima. "Pandai kerja dan cepat naik pangkat itu yang sering diperkatakan oleh mereka yang tidak puas hati dengan layanan majikan kepada saya. Tapi saya tidak ambil kisah sebab saya telah melakukan tugas dengan baik, jujur dan amanah. "Saya orang susah dan masih menyara seorang lagi adik yang masih menuntut di kolej, di sekolah menengah dan tentunya ibu dan bapa di kampung. "Demi memenuhi tanggungjawab terhadap orang tersayang yang telah bersusah-payah sehingga saya menjadi insan yang boleh berdikari saya bekerja dengan penuh ikhlas dan mencari rezeki yang halal. "Apabila cuti saya tidak ke mana-mana kecuali balik kampung untuk bersama keluarga walaupun ada yang mengajak saya untuk berhujung minggu bersama mereka. "Saya bukan sahaja diberikan rezeki murah tetapi juga tempat cinta saya mula berputik. Di pejabat saya berkenalan dengan seorang rakan sekerja bernama Amira (bukan nama sebenar). "Satu hari Amira mengajak saya makan tengah hari. Saya setuju dengan harapan kami dapat berkenalan lebih rapat. Sambil menikmati masakan kampung, kami sempat berkenalan dan bertukar-tukar cerita yang boleh dikongsi bersama. Nyata saya amat selesa berkawan dengan Amira. "Dia masih solo dan tidak ada halangan jika kami ingin keluar bersama. Persahabatan tidak semestinya bertukar menjadi percintaan. Ini yang saya jelaskan kepada rakan-rakan yang mengusik hubungan rapat saya dengan Amira. "Suatu hari saya menerima surat daripada majikan mengarahkan saya bertukar ke selatan tanah air. Akur dengan arahan majikan saya mengambil cuti dan membuat persiapan untuk berpindah. "Majlis perpisahan turut diadakan dan semua yang hadir mengucapkan selamat bertugas ke tempat baharu. Sayangnya kelibat Amira tidak kelihatan di majlis itu. Puas saya hubungi dia melalui telefon bimbitnya, tetapi tiada jawapan. "Keesokan harinya saya pulang ke kampung memaklumkan kepada ibu dan bapa mengenai pertukaran kerja saya ke tempat baru. Ibu bapa merestui pemergian saya. "Pada masa yang sama saya masih menghubungi Amira tetapi gagal juga. Tiada respons daripadanya. Apakah yang tak kena, adakah saya telah melakukan kesalahan kepadanya? "Mungkin juga Amira tidak mahu diganggu, itu yang terlintas di fikiran saya. Buat sementara saya lupakan kisah Amira kerana ingin memberi tumpuan kepada tugas di tempat baru. "Bertugas di lokasi baharu memerlukan komitmen yang tinggi. Hari-hari yang dilalui terkadang terasa rindu kepada kawan-kawan lama yang ditinggalkan. Sesekali fikiran melayang jauh mengingatkan saat manis perkenalan saya dengan Amira. "Tiba-tiba muncul seorang gadis di hadapan saya yang menyerupai Amira sambil menghulurkan sekeping kertas. "Encik Aiman, tolong tandatangan surat ini, surat ini penting untuk tindakan segera," katanya lembut. Kami berpandangan. "Bila Amira bertugas di sini? Tiba-tiba terkeluar soalan daripada mulut saya. "Encik Aiman, nama saya Aina dan siapa Amira? Gadis itu bertanya kembali kepada saya. Tersentak saya bila mendengar jawapan dari gadis itu yang wajahnya hampir serupa dengan Amira. "Maafkan saya Cik Aina, mungkin juga pelanduk dua serupa. Selepas menurunkan tandatangan Aina berlalu dan saya masih memikirkan mengenai Amira yang telah terputus hubungan. "Melihat gadis itu saya mula rindu kepada Amira. Saya masih cuba menghubunginya tetapi gagal. Dua tahun di perantauan saya mula rapat dengan Aina. "Nyata saya tidak bertepuk sebelah tangan. Seperti dengan Amira dulu, perasaan yang sama saya rasakan dengan Aina. "Bagi mendapatkan restu orang tua dalam hubungan kami, Aina mengajak saya ke rumahnya untuk berkenalan dengan keluarganya. "Saya terus pulang ke kampung untuk memberitahu ibu dan ayah akan hajat saya itu. Mereka sangat gembira. Seperti dijanji pada tarikh yang dipersetujui saya ke rumah Aina. "Tiba sahaja di halaman rumah kami disambut oleh ibu bapa Aina dengan mesra. Semasa keluarga saya sedang berkenalan dengan keluarga Aina, tiba-tiba muncul seorang gadis yang seiras Aina sedangkan Aina ada bersama kami di ruang tamu. "Saya menjadi keliru dan tergamam. Melihat saya dalam keadaan keliru itu, Aina bersuara, "En. Aiman sebenarnya ini kembar saya kak Amira. Ya Allah, dunia saya menjadi gelap seketika, debaran di dada makin kencang. "Selera untuk makan hilang sama sekali dan saya tidak tahu apa yang hendak saya katakan apabila melihat dua insan di hadapan saya yang sangat saya sayangi. "Bagaimanapun kami berpura-pura seperti tidak ada apa yang berlaku kerana tidak mahu ibu bapa kami kecoh dan susah hati. "Keesokan harinya Aina memberitahu saya, yang bakal tunang Amira meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Sebagai adik dia amat simpati dengan kakaknya itu dan meminta saya menerima Amira semula. "Apa yang saya sedih sekali adalah kerana Aina sengaja membawa saya ke rumahnya untuk dipertemukan semula dengan Amira kerana Amira telah menceritakan segala-galanya kepadanya. "Ya Allah, begitu keciknya dunia. Adakah ini takdir atau kebetulan yang telah tersurat? Walau apapun biarlah jodoh yang menentukan siapa yang harus menjadi pilihan saya. "Saya amat terharu dengan keikhlasan Aina dan berjanji akan menyelesaikan masalah itu dengan segera. Kepada ibu bapa saya ceritakan hal sebenar. Mereka juga terkejut dan reda dengan siapa yang bakal saya pilih. "Tiga bulan saya berfikir, bertemu Amira untuk menyelami hati dan perasannya. Kata Amira dia tidak hadir pada hari majlis perpisahan untuk saya kerana pada hari itu bakal tunangnya terlibat dalam nahas jalan raya dan meninggal dunia. "Selepas itu dia berhenti kerja dan mohon kerja di tempat kelahirannya. Dia mengaku ada hati kepada saya dan reda dengan ketentuan jika saya pilih adiknya Aina. "Bertemu Aina perkara yang sama diberitahu. Dia juga tidak kisah jika saya pilih kakaknya Amira kerana dia lebih gembira melihat kakaknya bahagia. Lagipun kata Aina dia belum jatuh cinta kepada saya, setakat berkawan rapat sahaja. "Saya tidak ada pilihan melainkan bersemuka dengan pasangan kembar itu untuk mendengar sendiri luahan hati mereka. "Setelah itu saya buat istiqarah dan mohon petunjuk Allah. Alhamdulillah, akhirnya saya menjadi tenang apabila Allah tunjuk kepada saya siapa sebenarnya jodoh saya. "Seminggu selepas itu, saya pulang ke kampung sekali lagi. Saya bagi tahu mak dan ayah, hari raya nanti saya akan ke rumah Aina dan Amira sekali lagi. Kali ini untuk terus merisik dan meminang Amira yang akan saya jadikan bakal isteri saya. "Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya kini bahagia dengan Amira dan kami dikurniakan sepasang cahaya mata. Kembar Amira, Aina juga sudah bertemu cinta hatinya, seorang guru dari kampung mereka juga. "Terima kasih Ya Allah kerana memberikan kebahagiaan ini kepada saya. Juga kepada Aina yang tidak mementingkan diri dan sangat sayang kepada kembarnya. "Itu cerita hari raya Aidilfitri dua tahun lalu. Kisah manis yang akan saya ingat sampai bila-bila. Kali ini sudah tiga kali saya sambut raya dengan anak isteri dan keluarga mentua. Moga kebahagiaan ini berkekalan sehingga ke akhir hayat kami." Aiman menamatkan ceritanya dengan senyum. Itu secebis kenangan indah yang dirakamkan Aiman buat tatapan kita semua. Sungguh menarik cerita cinta Aiman. Tidak semua orang boleh mencipta kisah cinta seindah Aiman dan Amira. Mungkin itu takdir mereka yang telah tersurat. Marilah kita mendoakan agar rumah tangga Aiman dan Amira kekal bahagia hingga ke akhir hayat mereka, begitu juga dengan Aina dan suaminya. Menamatkan catatan, pesanan ikhlas saya, "Berkasih dan bercinta sekadar mainan dan imaginasi, pelengkapnya adalah jodoh untuk dua insan itu saling mengisi kekurangan mereka dalam sebuah ikatan yang dinamakan pernikahan. '' Salam Syawal, maaf zahir batin. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan