Utusan Online - Kota |
- Karyawan seni tradisional diiktiraf
- Undian PPA1M minggu depan
- Lori tangki terbalik, ribuan liter aluminium sulfat tumpah
Karyawan seni tradisional diiktiraf Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM Raja Dr. Nazrin Shah bersama Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim menyampaikan Anugerah Abdullah Ibrahim kepada Abdul Rahman Dollah (tiga dari kanan) sambil diperhatikan oleh Pengasas Pusaka, Eddin Khoo (dua dari kanan) dalam Majlis Peringatan Abdullah Ibrahim bagi Pemeliharaan Budaya di Perpustakaan Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/AIZZUL A. MAJID KUALA LUMPUR 24 Ogos - Tokoh pemuzik tradisional Kelantan, Abdul Rahman Dollah dinamakan sebagai penerima anugerah 'Peringatan Abdullah Ibrahim bagi Pemeliharaan Budaya' yang julung kali diperkenal bagi menghargai perjuangan karyawan seni tradisional Melayu dalam memelihara budaya dan seni tanah air. Anugerah yang julung kali diperkenal pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pusaka itu disampaikan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dalam majlis syarahan budaya di sini hari ini. Menurut Pengasas Pusaka, Eddin Khoo, selain berusaha mencetuskan kesedaran masyarakat berhubung seni dan budaya tempatan, pertubuhan itu telah melakukan kajian lapangan selama 22 tahun di negeri Cik Siti Wan Kembang bagi memahami secara dekat tradisi kesenian seperti Wayang Kulit, Mak Yong, Manora, Main Puteri dan Dikir Barat. "Ini adalah anugerah khusus untuk penggiat seni tradisional, sudah sampai masanya mereka diiktiraf. "Penggiat seni tradisional ini bukan sahaja menunjangi akar budaya kita tetapi akar perasaan dan fikiran, mereka bekerja keras bagi menentukan kesinambungan seni budaya kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut. Dalam pada itu, Abdul Rahman menyifatkan pengiktirafan tersebut merupakan penghormatan terbaik kepada beliau sejak berkecimpung dalam pengaturan muzik bagi kesemua aktiviti kesenian Kelantan sejak 35 tahun lalu. Abdul Rahman yang merupakan anak merdeka yang lahir pada 1957 berpendapat, sudah tiba masanya pelbagai pihak mendedahkan kepada umum berhubung seni tradisional yang semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda. "Anak-anak muda hari ini bukan tidak berminat kepada seni tetapi mereka tidak faham apa itu seni. "Oleh itu, usaha Pusaka ini harus dipuji supaya khazanah akar budaya bangsa terus kekal dalam jiwa sanubari setiap rakyat Malaysia," katanya yang turut mengetuai kumpulan muzik Anak Seni Baju Merah. |
Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT DENGKIL 24 Ogos - Cabutan pengundian fasa pertama Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Putrajaya akan dilakukan minggu depan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Beliau berkata, fasa pertama projek itu melibatkan pembinaan 5,000 unit dijangka siap pada suku keempat 2015. "Kita terima lebih 16,000 permohonan tetapi kita akan buat cabutan untuk 5,000 unit bagi fasa pertama PPA1M. "Dalam lima tahun ini, kita berkeyakinan dapat membangunkan sebanyak 20,000 unit rumah mampu milik di Putrajaya untuk dijual," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-56, Hari Keluarga dan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Audit Negara di Paya Indah Wetlands, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang. Tengku Adnan yang juga anggota Parlimen Putrajaya berkata, fasa pertama PP1M di Presint 11 dan Presint 17 dijadual siap lebih awal itu dalam tempoh 18 bulan berbanding 36 bulan yang ditetapkan sebelum ini supaya pembeli tidak perlu menunggu terlalu lama. Pada April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan PPA1M sebagai satu usaha terbaharu kerajaan membantu penjawat awam membeli kediaman mampu milik yang bermutu. Pada peringkat permulaan, 10,336 unit rumah mampu milik akan dibina menerusi projek PPA1M di Putrajaya pada harga antara RM150,000 hingga RM300,000 mengikut keluasan lantai dari 1,000 kaki persegi hingga 1,500 kaki persegi. Tengku Adnan berkata projek perintis PP1M di Putrajaya itu dibangunkan menerusi kerjasama awam-swasta membabitkan SP Setia Bhd, Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Putrajaya Holdings Sdn Bhd atas tanah milik kerajaan yang membolehkan kos pembangunan dikurangkan sehingga 10 peratus, sekali gus mengurangkan harga rumah. Menurutnya, kerajaan juga sedang meneliti untuk membeli apartmen daripada Putrajaya Holding atau pemaju swasta untuk dijadikan kuarters kerajaan bagi menampung 2,000 permohonan ketika ini. - BERNAMA |
Lori tangki terbalik, ribuan liter aluminium sulfat tumpah Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT Ribuan liter cecair aluminium sulfat tumpah di atas jalan raya selepas tangki sebuah lori membawa muatan cecair itu terputus dan terbalik di Km 12.3, Jalan Lingkaran Tengah II (JLT II) arah Batu Caves berhampiran susur ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dekat Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 24 Ogos - Ribuan liter cecair aluminium sulfat tumpah di atas jalan setelah tangki sebuah lori membawa muatan cecair itu terputus dan terbalik di Kilometer 12.3, Jalan Lingkaran Tengah II (JLT II) arah Batu Caves berhampiran susur ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pagi ini. Menurut jurucakap polis, lori tangki itu yang datang dari arah Lebuh Raya Karak dipercayai dipandu laju dan hilang kawalan sebaik sahaja melalui selekoh tajam di situ. Katanya, kenderaan itu turut merempuh bucu penghadang lebuh raya, tiang lampu dan papan tanda. "Berikutan itu, bahagian tangkinya terputus dari kepala lori sebelum terbalik dan melintang di tengah jalan. Cecair yang dibawa lori itu tumpah melalui dua penutup bahagian atas tangki. "Polis menemukan kepala lori itu tiga kilometer dari kawasan berkenaan manakala pemandunya telah menghilangkan diri," kata jurucakap itu ketika dihubungi di sini. Jurucakap itu berkata, kemalangan tersebut menyebabkan berlaku kesesakan lebih lima kilometer. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan