Utusan Online - Johor |
Orang Asli di Johor terus dimajukan Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT Oleh NURUL HUDA HASSAN JOHOR BAHRU 23 Ogos - Biarpun kehidupan masyarakat Orang Asli di negeri ini jauh berubah, namun Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Johor masih mempunyai tanggungjawab besar untuk digalas. Antara tanggungjawab tersebut termasuk cabaran untuk memastikan lebih 13,000 Orang Asli mencapai tahap kehidupan yang lebih baik, selain mengubah sikap dan pemikiran mereka terutama membabitkan isu pendidikan dan pembangunan. Perkara tersebut diakui Pengarah JKOA, Wan Asim Wan Shekh yang berpendapat, masyarakat Orang Asli setakat ini masih gagal menyesuaikan diri dengan arus pembangunan pesat, selain masih kurang kesedaran tentang pentingnya modal insan yang berpendidikan dan berkemahiran. Justeru, pihaknya akan sentiasa memastikan masyarakat Orang Asli mendapat pendidikan sebaiknya, sekali gus memastikan golongan kanak-kanak dan generasi muda bersekolah serta mendapat pendidikan tertinggi bagi mencapai kejayaan. "Di negeri ini, pendidikan diperoleh mereka berada pada tahap yang baik, namun usaha tersebut masih boleh diperhebatkan kerana saya melihat mereka ini sudah mula sedar tentang pentingnya pendidikan. "Tidak dinafikan ada dalam kalangan mereka yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dan berjaya, tetapi JKOA tidak mahu berasa selesa, sekali gus akan menggandakan usaha itu," katanya semasa ditemui di sini baru-baru ini. Usaha JKOA itu turut mendapat sokongan Tok Batin Kampung Sungai Temon, Salim Palon yang melihat hasil yang diperoleh sekiranya seseorang itu mempunyai pendidikan iaitu ada antara mereka kini menjadi golongan profesional. "Kita akan pastikan anak-anak Orang Asli bersekolah dan tahu membaca, menulis dan mengira. Jika zaman dahulu, kami tidak mempunyai akses dan sekolah jauh di pedalaman, namun kini semua kemudahan disediakan kerajaan. "Jika dahulu kami hanya tahu mencari duit dengan menjadi nelayan, namun kini ada antara anak-anak kami yang sudah mempunyai pekerjaan membanggakan, malah ada yang mengusahakan perniagaan," katanya. |
Ekspedisi KMJ 2013 sejauh 1,000km bermula hari ini Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT Para petugas Sekretariat Kembara Mahkota Johor 2013 sibuk membuat persiapan terakhir bagi menjayakan program tersebut di Bangunan Ibrahim Sultan, Bukit Timbalan, Johor Bahru, semalam. JOHOR BAHRU 23 Ogos - Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2013 yang akan diketuai Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan memulakan ekspedisi konvoi bermotosikal ke seluruh negeri ini bermula esok. Majlis pelepasan KMJ edisi ke-16 bermula dari pekarangan Menara Aqabah, Pasir Gudang akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kira-kira pukul 8 pagi manakala acara penutupan diadakan di Gelang Patah, Selesa depan. Konvoi empat hari sejauh 1,100 kilometer yang menjelajah ke semua 10 daerah di negeri ini disertai oleh lebih 50 peserta yang menggunakan motosikal berkuasa tinggi. Pelbagai program dan aktiviti dirancang untuk memeriahkan acara tahunan itu termasuk pertandingan permainan tradisional dan pengagihan barangan cenderamata kepada rakyat di sepanjang laluan konvoi berkenaan. Bagi mengenali lebih dekat peserta, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima kunjungan rombongan penunggang yang bakal mengiringi baginda dalam program tersebut di Istana Pasir Pelangi petang ini. Bagi memastikan program berjalan lancar, Unit Urusetia KMJ 2013 sibuk melakukan persiapan terakhir. Setiausaha KMJ 2013, Mohd. Fahmy Yahya berkata, persiapan untuk menghadapi acara gemilang itu mula dilakukan sejak beberapa bulan lalu termasuk pengurusan penginapan, pengangkutan dan cenderamata. Beliau berkata, persiapan yang dilakukan itu dibahagikan mengikut jawatankuasa kerja yang ditetapkan dan tidak timbul sebarang masalah kerana kebanyakan petugas terdiri daripada mereka yang berpengalaman. "Kalau diikutkan, persiapan kita kini hampir 100 peratus siap dan tinggal beberapa perkara kecil sahaja. Berdasarkan pengalaman lalu, kita yakin kembara kali ini akan berlangsung dengan baik," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam. Pada KMJ kali ini, Kelab Media Johor turut dilantik sebagai penyelaras media bagi memastikan segala urusan berkaitan media berjalan lancar. Presidennya, Mohd. Fauzi Ishak mengakui kepercayaan yang diberikan merupakan satu penghormatan kepada kelab dan berjanji akan berusaha memastikan tugasan yang diberikan berjalan dengan baik. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan