Rabu, 10 April 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Cita rasa pengundi Cina

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

SEMEMANGNYA menarik diungkit kembali perbandingan sejarah di antara pilihan raya umum 1974 dan paling terkini yang bakal dilangsungkan pada 5 Mei 2013. Tidak dapat dinafikan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang telah memperkenan pembubaran Parlimen kedua-dua era tersebut adalah satu peristiwa yang begitu sukar untuk diulangi.

Juga begitu menakjubkan dan mungkin juga secara kebetulan Perdana Menteri ketika pertama kali Sultan Abdul Halim menandatangani pembubaran Parlimen ialah Tun Abdul Razak Hussein iaitu bapa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tetapi satu perkara paling menarik dan juga kritikal untuk dihayati oleh rakyat Malaysia adalah suasana pilihan raya 1974 adalah begitu getir sekali kerana keputusan pilihan raya 1969 yang menjerumus kepada rusuhan kaum paling terburuk dalam sejarah Malaysia.

Pengundi pilihan raya 1974 memikul tanggungjawab yang begitu berat pada ketika itu kerana pilihan mereka akan menentukan arah tuju politik negara sama ada mahu terus bersama dengan corak kepimpinan Barisan Nasional (BN) atau dengan pembangkang yang diketuai oleh DAP.

Pembangkang terutama sekali DAP begitu yakin bahawa pengundi terutama sekali daripada kaum Cina akan memilih mereka jika keputusan 1969 diambil kira yang banyak memihak kepada DAP. Tetapi akhirnya rakyat Malaysia memilih corak perkongsian kuasa yang diamalkan oleh BN dengan memberi mandat yang begitu besar malah melebihi 2/3 jumlah kerusi Parlimen.

Keputusan pilihan raya umum 1974 telah mencorakkan kestabilan dan kemakmuran Malaysia hampir empat dekad lamanya sehinggalah keputusan pilihan raya umum 2008 sekali lagi mengulangi detik persimpangan ke mana arah tuju rakyat Malaysia.

Begitu kritikalnya keputusan pilihan raya 1974 yang dibayangi oleh pilihan raya 1969 sekali lagi berulang kerana pilihan raya tahun ini juga dihantui oleh keputusan pilihan raya 2008 yang tidak memihak kepada BN dan buat kali kedua gagal memperolehi mandat 2/3 kerusi Parlimen seperti mana yang telah berlaku pada tahun 1969.

Tetapi selama lima tahun pasca 2008 rakyat telah melalui era politik pembangkang yang sedikit sebanyak telah mencacatkan keharmonian dan pembangunan negara. Memang benar tidak berlaku rusuhan kaum tetapi politik melampau pembangkang yang telah mempolitikkan segala isu daripada isu ekonomi, sosial, pendidikan sehinggalah kepada hal keselamatan dan kedaulatan telah memporak-perandakan keharmonian dan perpaduan rakyat.

Pengundi Melayu dan India kebanyakannya telah akur dengan kesilapan 2008 kerana suasana politik melampau tidak memberi manfaat kepada sesiapa. Tidak syak lagi wujud perasaan pengajaran dan iktibar dari kalangan pengundi kedua-dua kelompok ini.

Tetapi pembangkang begitu yakin bahawa pengundi Cina tetap akan menyokong mereka seperti mana yang telah berlaku pada tahun 2008. Sebab itu Johor dikatakan menjadi tumpuan mereka kali ini kerana persepsinya adalah pengundi Cina di Johor dianggap sebagai undi penentu di kebanyakan kawasan sama ada Parlimen atau negeri.

Johor juga merupakan kubu kuat MCA kerana pilihan raya 2008 menyaksikan negeri itu menyumbang tujuh kerusi Parlimen dari keseluruhan 15 yang dimenangi oleh parti tersebut. Menjadi cita-cita DAP jika pengundi Cina Johor memilih mereka maka MCA bukan sahaja dapat dihapuskan tetapi DAP akan menjadi parti yang paling dominan dalam pembangkang.

Strategi politik DAP yang berteraskan kaum Cina dan berada dalam kelompok pembangkang adalah begitu berbahaya kerana ini memungkinkan senario kaum Cina tidak diwakili dalam Kerajaan Pusat. Tambahan pula Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pernah menyatakan bahawa parti itu tidak akan menerima jawatan Kabinet jika keputusan pilihan raya 2013 lebih buruk daripada 2008.

Begitu tidak sihat bagi Malaysia jika sebahagian besar kaum Cina berada di luar kerajaan jika diteliti pengajaran pengalaman yang dialami pengundi Melayu di Singapura. Majoriti pengundi Melayu tidak menyokong kerajaan PAP pada pilihan raya 2001 kerana merasa terkilan dengan pendirian Singapura yang menyokong kempen memerangi keganasan Amerika Syarikat yang ditafsirkan sebagai kempen menindas umat Islam.

Walaupun PAP memperolehi jumlah sokongan yang begitu padu iaitu sebanyak 75 peratus undi, tetapi sokongan tersebut hanya datang daripada satu kelompok pengundi sahaja iaitu kaum Cina.

Tetapi keputusan pilihan raya 2006 telah mempamerkan penghijrahan pengundi Melayu di mana hampir 80 peratus telah kembali ke pangkuan PAP. Malah PAP dikatakan bernasib baik masih mampu memperolehi 66 peratus undi hanya kerana ihsan pengundi Melayu.

Berlakunya perubahan sikap pengundi Melayu dari tahun 2001 hingga 2006 adalah kerana selama lima tahun kaum Melayu bagaikan terpinggir daripada arus pembangunan Singapura gara-gara di label sebagai penyokong pembangkang.

Pengundi Cina di Malaysia tidak boleh memperlekehkan peranan yang telah dimainkan oleh MCA selama lima tahun kebelakangan ini. Walaupun berada dalam keadaan yang agak lemah kerana persepsi keputusan pilihan raya 2008, parti itu masih mampu memainkan peranan yang agak efektif.

Hubungan diplomatik dan ekonomi di antara Kuala Lumpur dan Beijing menjadi bertambah erat terutama sekali ketika era kepimpinan Najib. Walaupun kedua-dua negara mempunyai masalah pertindihan sempadan maritim di Laut China Selatan, tetapi isu ini tidak bergolak seperti mana yang dihadapi oleh Filipina atau pun Vietnam.

Begitu juga dengan hubungan ekonomi menjadi bertambah rancak seperti pembinaan kompleks penyelenggaraan kereta api oleh syarikat pengeluar lokomotif terbesar dunia China South Locomotive & Rolling Stock Corporation Ltd. dan juga penubuhan kampus cawangan luar negara Universiti Xiamen di Salak Tinggi adalah manifestasi betapa pentingnya pengaruh MCA dalam Kerajaan Pusat.

Pengundi Cina mempunyai tanggungjawab yang agak berat kali ini kerana pilihan mereka akan menentukan arus pembangunan negara yakni sama ada mereka mahu bersama-sama menjayakannya atau pun hanya menjadi pemerhati sahaja.

Kemenangan BN jamin survival Malaysia

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

DATUK RUHANIE AHMAD ialah bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor.

BARISAN Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak wajar diberikan mandat besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini kerana kemenangan BN adalah penentu kepada survival Malaysia serta rakyat di abad ke-21.

Beberapa kajian sains politik dan keselamatan oleh pelbagai sarjana tempatan dan antarabangsa mengaitkan survival dengan pemerintahan, keselamatan, kedaulatan, pembangunan serta kemakmuran di sesebuah negara, atas sebab-sebab berikut.

Pertama, survival adalah konsep kenegaraan yang bergantung kepada kemampuan sesebuah pemerintahan mengukuhkan keselamatan nasional, memelihara kedaulatan negara serta melaksanakan pembangunan sosio ekonominya secara berkesan.

Kedua, survival bergantung kepada kedaulatan negara kerana kedaulatan adalah paksi kepada pelbagai tatacara keselamatan, pertahanan, undang-undang, serta survival. Perspektif politik dan militari yang tradisional merumuskan, keselamatan adalah mengenai survival.

Ketiga, survival berkait rapat dengan keselamatan nasional serta kedaulatan negara disebabkan "ancaman yang nyata terhadap kelangsungan negara adalah ancaman kepada kedaulatannya" (Buzan, Waever & de Wilde 1998).

Maksudnya, apa juga ancaman terhadap kedaulatan dan survival negara, seperti serangan daripada anasir-anasir luar, adalah masalah keselamatan nasional di negara tersebut.

Ancaman paling nyata terhadap survival Malaysia pada hari ini adalah serangan pengganas Kiram yang telah mengorbankan sebilangan perajurit tanah air dan menyebabkan majoriti rakyat di sekitar medan tempur di Lahad Datu, Sabah, dipindahkan ke lokasi lebih selamat.

Keempat, survival negara juga didefinisikan oleh pembangunan nasionalnya. Shamsul Amri (1990), menyatakan secara tersirat, ini kerana masa depan sesebuah negara, terutamanya negara membangun- "bergantung kepada jaya-gagalnya pelaksanaan segala yang dirancang."

Kelima, survival berkait dengan pembangunan dan keselamatan nasional kerana "tanpa keselamatan tidak wujud pembangunan, dan tanpa pembangunan tidak wujud keselamatan," (Tschirgi et. al 2010).

Keenam, survival bergantung kepada pembangunan dan keselamatan nasional kerana "matlamat membasmi kemiskinan dan mewujudkan keamanan adalah objektif teras sesebuah negara di abad ke-21" dan "kerana peperangan mutakhir ini kian menumpu ke negara-negara paling miskin di dunia" (Fukuda-Parr 2010).

Ketujuh, survival adalah penentu kepada kewujudan sesebuah negara dan usaha mengekalkan survival adalah iltizam utama kepada semua pemerintahan negara (Waltz 2002). Ini sebabnya BN sentiasa menitikberatkan kedaulatan, keselamatan dan survival Malaysia.

Huraian-huraian di atas menunjukkan survival Malaysia sukar dijamin oleh pakatan pembangkang yang wujud atas gabungan longgar, tidak diinstitusikan, dan bertanding dalam PRU tanpa menggunakan lambang yang sama.

Ciri-ciri ini cukup untuk membuktikan bahawa masa depan survival Malaysia tidak terjamin di bawah pemerintahan pakatan pembangkang, walau pun kini mereka mentadbirkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kedah dan Selangor; dan sudah mentadbir Kelantan sejak tahun 1990.

Ini kerana pihak pembangkang tidak memenangi negeri-negeri tersebut atas janji murni serta komitmen abadi untuk menjamin survival negara, keselamatan negara, kedaulatan negara atau pembangunan negara.

Pas memenangi Kelantan pada tahun 1990 akibat perpecahan UMNO yang memunculkan Parti Semangat 46. Kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menangani masalah ini secara serius sehingga Parti Semangat 46 dibubarkan, pemimpin dan ahlinya pula kembali semula ke pangkuan UMNO.

Kemenangan DAP, Pas dan PKR dalam PRU 2008 juga adalah akibat BN dan pengurusan negara yang dikatakan dilanda pelbagai masalah strategik. Semua ini sudah diperbetulkan secara berkesan oleh pentadbiran Najib sejak menguruskan Malaysia mulai 2009.

Ini bermakna bahawa pakatan pembangkang memenangi beberapa kerajaan negeri dalam PRU-12 bukan kerana mereka kuat, berwibawa dan bersatu, sebaliknya kerana BN pada ketika itu menghadapi masalah serius.

Dengan ini, mandat besar kepada kepimpinan Najib dalam PRU-13 adalah sesuatu yang dituntut daripada majoriti pengundi Malaysia yang seharusnya turut menyumbang peranan kepada usaha menjamin survival negara dan rakyat.

Tuntutan ini juga ditujukan kepada golongan pengundi atas pagar yang dianggarkan sebanyak 20% atau hampir 2 juta orang, terdiri daripada sekumpulan golongan muda, masyarakat elit, kumpulan ilmuan, komuniti perniagaan serta keturunan bukan Melayu.

Tuntutannya demikian kerana hanya BN mampu menjamin survival Malaysia dan rakyatnya. BN adalah parti pemerintah yang mengamalkan sistem politik perkongsian kuasa atau consociational politics yang keberkesanannya sudah diiktiraf oleh komuniti dunia.

Pelbagai kajian sarjana politik dan keselamatan, termasuk oleh Lijphart (1997) dan Collins (2005), mengiktiraf sistem perkongsian kuasa ini meningkatkan perpaduan, mengurangkan konflik, serta mampu membina sebuah negara yang aman, makmur, bebas daripada perbalahan kaum dan terhindar daripada sengketa agama.

Sabtu lalu, Datuk Seri Najib sudah mengikrarkan janji BN untuk menjamin survival, kedaulatan, keselamatan, kemakmuran serta perpaduan Malaysia; di samping cita-cita untuk turut berperanan mewujudkan dunia yang lebih aman dan damai.

Rakyat Malaysia yang sentiasa menghargai survival dan keselamatan masa depannya, serta prihatin terhadap kedaulatan negaranya, wajar memberikan peluang kepada BN menerusi PRU-13 ini untuk merealisasikan aku janji berkenaan demi masa depan yang lebih bahagia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved