Utusan Online - Keluarga |
Posted: 10 Apr 2013 02:00 AM PDT Oleh mariatul qatiah zakaria Anis Syaza (kiri) berbincang bersama ibunya, Rokiah (tengah) dan Laila Aqilah mengenai perjalanan spa mereka. INGIN membuktikan apa yang dipelajari mampu dipraktikkan sekali gus menjana pendapat, menjadikan anak kelahiran Kuala Lumpur ini nekad berusaha untuk berjaya. Tidak sekadar menimba ilmu untuk memiliki sijil dan memenuhkan resume, ternyata kesungguhannya untuk bersama-sama memeriahkan industri kecantikan di negara ini seharusnya diberi pujian. Langkah yang diambil Anis Syaza Ahmad Shafea, sememangnya berada di landasan yang betul kerana sebaik sahaja tamat pengajian di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Peretak, dia meneruskan pengajian di peringkat diploma dalam bidang penggayaan rambut. Pengajiannya di Kimarie Academy Hair Stylish adalah bertujuan untuk memantapkan lagi ilmu yang diperoleh ketika di IKBN. Dengan itu sebaik sahaja tamat pengajian, tanpa memikirkan soal untuk berehat, Anis Syaza atau lebih mesra disapa Anis telah meneruskan perancangannya. Menurut Anis, apa yang dilakukan hari ini adalah perancangannya sebelum tamat pengajian kerana memikirkan segala ilmu yang diperoleh perlu digunakan sebaik mungkin. Dan untuk itu juga, bagi memantapkan lagi perniagaan yang ingin diusahakannya, Anis telah berkongsi bersama rakannya, Laila Aqilah Mohamed, 26. Turut mempunyai pengetahuan dalam bidang kecantikan, Anis berpendapat gabungannya bersama Laila adalah satu usaha sama yang tepat memandangkan kedua-duanya mempunyai bidang kekuatan masing-masing. Malah menurut anak sulung daripada tiga beradik ini, gabungannya bersama Laila tidak sia-sia apabila spa yang diusahakannya ini mampu menawarkan perkhidmatan bermula daripada hujung rambut hingga hujung kaki. Alhamdulillah, setelah beroperasi selama lima tahun di rumah, kami kini memiliki sebuah spa yang beroperasi di kedai. Kami memindahkan operasi di sini (kedai) adalah kerana ingin mengembangkan lagi perniagaan ini di samping menambah pelanggan. Kami sememangnya mempunyai pelanggan tetap tetapi dengan operasinya di kedai, diharapkan ia mampu menarik lebih ramai pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan di sini," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 61, Jalan SG 3/1, Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor. Bercerita lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan di spanya, ulas Anis, selain memberi perkhidmatan seperti rawatan muka dan badan serta rawatan rambut, spanya, Mums Heaven turut memberikan perkhidmatan urutan patah. Inilah keistimewaan yang diberikan di Mums Heaven yang untuk rawatan ini Anis bekerjasama dengan ibu tercinta, Rokiah Abdullah. Jelas Anis, dalam persaingan yang semakin banyak ketika ini, dia seharusnya memberikan perkhidmatan yang sedikit berbeza daripada spa-spa lain. Ini katanya secara tidak langsung para pelanggan boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan apabila berkunjung ke spanya. Bagi Anis, dengan adanya Laila dan juga ibunya, secara tidak langsung kesemua perkhidmatan yang berikan diuruskan oleh orang yang berkemahiran dan berpengalaman. Dibuka setiap hari bermula 11 pagi hingga 11 malam, Mums Heaven sedia menerima kunjungan anda pada bila-bila masa kecuali bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan urutan patah. Untuk perkhidmatan ini, para pelanggan dinasihatkan agar membuat temu janji terlebih dahulu melainkan kes-kes kecemasan. Spa Mums Heaven ini adalah milik kami bertiga dan sudah pasti kami cuba memberikan kesemua perkhidmatan di bawah satu bumbung. Ini adalah untuk memudahkan para pelanggan dan di sini juga kami turut memberi perkhidmatan kepada bakal-bakal pengantin dengan pakej-pakej yang menarik. Dan untuk perancangan masa depan, kami sepakat ingin mengembangkan lagi perniagaan ini dengan menjadikan ia satu perkampungan kecantikan di sebuah kawasan yang luas yang mampu menempatkan pusat latihan dan juga akademi kecantikan," kata Anis lagi sebelum mengakhiri bicara. |
Posted: 10 Apr 2013 02:00 AM PDT Pasangan bahagia tengku sirajuzzaman tengku mohamed ariffin dan isteri, hana sakinah abdullah sany. BEGITULAH yang selalu diberikan perhatian oleh Tengku Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin, Konsular Malaysia di Kedutaan Malaysia Di Rabat, Maghribi dalam menjalankan tugas. Berasal dari Temerloh, Pahang Tengku Sirajuzzaman membawa isterinya, Hana Sakinah Abdullah Sany dan anak mereka, Tengku Tengku Aydin Ghazi b Tengku Sirajuzzaman bersama ke Rabat. Saya baru dua tahun ditempatkan di sini dan pernah berkhidmat di Abu Dhabi dari 2000-2004. Sebelum ke sini saya bertugas di Parlimen," kata Tengku Sirajuzzaman dalam pertemuan di Kedutaan Malaysia di Rabat, Maghribi baru-baru ini. Pertemuan sempena majlis ramah mesra dan makan tengah hari di kediaman Duta Malaysia di Maghribi, Tuan Jamal Hassan sempena kunjungan mesra rombongan Datuk Dr. Hasmiza Othman atau Datuk Dr.Vida dan krew Nona TV3 yang membuat rakaman khas Nona di Maghribi. Isteri Tengku Sirajuzzaman, Hana Sakina yang dilahirkan di Kelantan dan membesar serta mendapat pendidikan rendah dan menengah di beberapa buah negeri, mengakui tidak rasa kekok berada di negara orang kerana telah terbiasa dengan pindah rendah. Bapa saya seorang anggota polis berasal dari Perak sementara ibu dari Perlis. Saya pernah mengikut bapa bertugas di kedutaan Malaysia di Jakarta dan Bangkok sebelum ini. Malah saya juga pernah tinggal di Kelantan, Kuala Lumpur, Kedah dan Sarawak semasa bapa bertugas di sana," ujar Hana tersenyum menceritakan pengalamannya merantau dalam dan luar negara. Disebabkan Maghribi sebuah negara Islam, pasangan ini tidak mempunyai masalah tentang ibadah dan makan minum kerana semuanya halal. Cuma kami harus menyesuaikan diri dengan cuaca dan makanan mereka yang agak berbeza berbanding negara kita. Malah kami mengambil masa hampir enam bulan untuk menyesuaikan selera kami dengan makanan dan budaya negara ini," sampuk Tengku Sirajuzzaman lagi. Mengenai bahasa pula kata Tengku Sirajuzzaman, oleh kerana bahasa utama mereka adalah Arab dan Perancis, mereka terpaksa belajar melalui surat khabar, semasa di restoran dan ketika berurusan seharian kerana bahasa Arab tempatan berbeza dengan Arab standard. Ditanya mengenai perbezaan budaya ujar Tengku Sirajuzzaman, di Asia masyarakatnya menekankan sopan santun, khidmat cemerlang kaunter, hormat menghormati dan tolong menolong tetapi di Maghribi itu semua tidak ada. Mungkin sebab tidak ada penekanan terhadap perkara itu dalam kehidupan seharian mereka. Tetapi saya kagum melihat mereka beribadat, kuat, mudah dan fleksibel," jelas Tengku Sirajuzzaman. Maghribi yang kaya dengan kesenian, kraf tangan seperti tembikar dan kulit menjadi negara tarikan pelancong asing yang bertali arus melawatnya. Di Malaysia, kita berbangga kerana rakyat yang berbilang kaum tetapi di sini hanya ada orang Arab dan sedikit Yahudi. Satu perkara yang saya kagum dengan orang Maghribi adalah kerana mereka sangat pembersih orangnya. Jangan terkejut kerana mereka masih menggunakan tangan untuk mop dan lap lantai," sambung Tengku Sirajuzzaman tentang tabiat baik orang Maghribi. Hana pula sangat teruja dengan penjagaan kecantikan yang menjadi amalan kebanyakan masyarakat Maghribi terutama kaum wanita. Hamam atau mandi wap adalah antara rawatan kecantikan yang kerap dilakukan oleh masyarakat Maghribi khasnya kaum wanita sejak dulu lagi. Kanak-kanak seawal usia tiga tahun akan dibawa untuk mandi wap setiap hujung minggu. Sampai di sana mereka dibiarkan mengurus diri sendiri sehingga selesai. Ia adalah antara aktiviti keluarga paling popular dan menggembirakan di Maghribi," kongsi Hana. Sebab itu, kata Hana, kulit wanita Maghribi sangat gebu dan putih kerana mereka mengamalkan cara tradisi itu untuk mendapatkan kecantikan semula jadi mereka. Mengenai Rabat pula, ia sebuah bandar yang aman damai dan tenang. Hanya terdapat beberapa buah kompleks membeli-belah yang menjual kraf tangan dari setiap pelosok Maghribi. Bagi kami yang tinggal di sini tidak perlu lagi pergi jauh untuk membeli-belah kerana di Rabat semuanya ada. Jika bercakap tentang kebersihan, Rabat juga sebuah bandar yang bersih berbanding Casablanca dan Marrakesh. Biar bagaimanapun tanggapan orang terhadap Maghribi, kami seronok tinggal di sini. Jika anda sukakan kelainan adat, budaya dan cintakan seni bina unik, Maghribi adalah pilihan tepat untuk anda melawat," pelawa Hana menamatkan perbualan. - NORMALA HAMZAH |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan