Utusan Online - Pahang |
- Jengka tidak pernah dipinggirkan
- Usaha beri geran kepada peneroka diteruskan
- Pembangkang buat 'janji Jepun'
Jengka tidak pernah dipinggirkan Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT OLEH SHAHRINNAHAR LATIB POLIKLINIK Kesihatan Maran yang terletak di Bandar Tun Abdul Razak Jengka memberikan perkhidmatan rawatan dan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk di sekitar DUN Jengka. KUALA KRAU 22 April - Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka memang amat sinonim dengan kawasan Felda. Sebut sahaja Jengka, pasti yang terbayang adalah sebuah kawasan dipenuhi dengan pokok kelapa sawit. Namun, pembangunan di kawasan tersebut tidak pernah dilupakan oleh kerajaan. Pelbagai kemudahan disediakan bagi membantu penduduk Felda seiring dengan masyarakat lain. Antaranya adalah memperuntukkan RM250 juta untuk membangunkan Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang memberi manfaat kepada para peniaga yang majoritinya adalah bumiputera. Projek ini termasuklah pembinaan kompleks sukan dan stadium membabitkan kos berjumlah kira-kira RM87.9 juta dan fasa pertama kini telah pun bermula. Selain itu, projek perumahan generasi baharu juga telah mula dilaksanakan di beberapa rancangan iaitu Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka Sebelas, Felda Sungai Retang dan Felda Padang Piol. Projek perumahan generasi baharu di Felda Siantan Jengka 19 telah pun siap dan sedang berada di tahap terakhir sebelum diserahkan kepada mereka yang bertuah. Kerajaan juga sedang membina kompleks terminal pengangkutan bersepadu menerusi peruntukan sebanyak RM10 juta dan telah siap 90 peratus. Peruntukan RM5 juta membina Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) Bandar Tun Abdul Razak Jengka telah beroperasi awal Februari lalu. Namun, isu utama yang sering dimainkan oleh pembangkang DUN Jengka adalah pemberian geran dalam kalangan peneroka. Tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menepati janji tidak pernah melupakan golongan peneroka. Terbaharu seramai 116 peneroka Felda Jengka 14 mendapat hak milik tanah secara rasmi. Bagi seorang penerima, Meli Muhammad, 68, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya kerana telah lama menantikan geran berkenaan sejak 30 tahun yang lalu. "Alhamdulillah kini semuanya dah selesai dan saya anak beranak rasa lapang dada dan gembira serta terharu. "Bagi kami, geran hak milik tanah Felda ini amat besar ertinya kepada kami semua. Siapa pun yang menyampaikannya, ia adalah satu pemberian yang cukup bermakna dan tiada nilainya jika dibandingkan dengan keringat yang tumpah ketika mengusahakannya," kata Meli. Alaili Kassim, 57, pula memberitahu, dia menunggu detik gembira itu sejak 25 tahun lalu dan pastinya pemberian geran hak milik tersebut adalah anugerah yang sangat dinanti-nantikan. "Saya bersyukur kerana menerima geran ini ketika umat Islam menanti kedatangan Ramadan. Terima kasih kepada kerajaan kerana menjadikan impian ini sebagai kenyataan," ujarnya. Generasi kedua Felda, Sharifah Sahara Syed Alwi, 39, berkata, usaha ayahnya yang meneroka tanah di situ kira-kira 30 tahun lalu berbaloi kerana kini mereka memilik geran hak milik sah ke atas tanah berkenaan. "Hasil titik peluh ayah saya selama ini berbayar dengan geran hak milik tanah yang lama diidamkan," katanya. Sementara itu, Mohd. Tahir Ahmad, 65, pula berkata, biarpun banyak tuduhan dilemparkan kepada pentadbiran Felda, sebagai peneroka, dia tahu jasa yang telah diberikan oleh agensi itu kepada masyarakat peneroka. "Felda telah banyak membela nasib kami. Betul kami kena jelaskan hutang tetapi jumlahnya kecil dan tidak setanding dengan keluasan tanah yang diberikan. Terima kasih semua," jelasnya. Romeli Othman, 65, pula berkata, dia berharap agar peneroka sentiasa menjaga geran tersebut. "Bila bersama Felda, kita sudah pun meraih kejayaan. Jadi jagalah elok-elok geran yang akan diterima esok. Geran itu merupakan anugerah yang tidak terhingga. Jangan ada yang menggadaikan geran itu untuk mendapat keuntungan segera," jelasnya. |
Usaha beri geran kepada peneroka diteruskan Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT KUALA KRAU 22 April - Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja tidak pernah meminggirkan masyarakat Felda dalam arus pembangunan negara tetapi turut sentiasa memikirkan kebajikan dan masa depan mereka. Calon kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka yang juga penyandang kerusi tersebut, Wan Salman Wan Ismail berkata, antara yang dilakukan oleh kerajaan dari semasa ke semasa adalah memberi geran kepada peneroka. Menurut beliau, penganugerahan surat hak milik tanah tersebut kepada para peneroka merupakan janji kerajaan yang dilaksanakan setelah mereka selesai menjelaskan kos pembangunan dengan agensi terbabit. "Langkah menyerahkan surat hak milik tanah itu membuktikan bahawa kerajaan negeri benar-benar komited mahu meningkatkan kemudahan infrastruktur sosial, ekonomi dan kemasyarakatan di tanah rancangan," katanya. Wan Salman berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis Penyampaian Geran Peneroka Felda Jengka 14 di sini baru-baru ini. Sementara itu, katanya, segala pembangunan yang dirancangkan oleh kerajaan untuk kawasan Dewan Undangan Negeri Jengka sebelum ini juga telah menampakkan hasil. "Segalanya dapat dilihat kini, sebut sahaja Jengka, pasti ramai sudah kenal kerana pembangunan yang ada. Apa yang ada di sini sama dengan tempat lain di negeri ini," katanya. Tambah beliau, pembangkang di kawasan ini juga tidak mempunyai sebarang isu yang boleh dimainkan selain daripada isu-isu nasional. "Mereka ini tiap tahun hanya tahu memainkan isu yang sama iaitu Felda tidak betul, Felda menipu dan sebagainya. "Kemudian janji macam-macam kepada generasi kedua Felda seperti memberi tanah dan hendak menghapuskan Felda Plantation," jelasnya. Menurut Wan Salman, perkara itu boleh diumpamakan sebagai 'nyanyian lagu lama' yang didendangkan semula. "Sebab kalau diikutkan, Felda telah memberi keutamaan yang terlalu banyak kepada generasi baharu," kata beliau. |
Pembangkang buat 'janji Jepun' Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT Oleh ZAMZURINA AHMAD Adnan Yaakob bersama-sama orang ramai menunjukkan isyarat 1 Malaysia pada sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri di Peramu Jaya, semalam. Turut kelihatan, Suffian Awang (tiga kiri) dan Tengku Zulkifli Tengku Ahmad (empat dari kiri). - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN KUANTAN 22 April - Manifesto yang dibuat pakatan pembangkang hanya berniat untuk menarik undi dan mustahil dilaksanakan kerana ia ibarat janji-janji Jepun sebelum negara mencapai kemerdekaan. Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, janji pakatan pembangkang yang mahu menurunkan harga minyak sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 juga tidak mungkin akan ditepati. "Semua yang mereka janjikan tidak mungkin ditepati kerana ia sama seperti zaman perang Jepun iaitu tali-tali barut Jepun mula membuat pelbagai kempen sebelum mereka memasuki Tanah Melayu. "Malangnya, datang sahaja Jepun ke Tanah Melayu semuanya berubah termasuk ada di kalangan rakyat yang dipancung kepala jika ingkar arahan mereka. "Samalah seperti pembangkang, mahu memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menghapuskan tol demi meraih populariti di kalangan rakyat," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Perpaduan Peringkat Negeri di Peramu Maju di sini hari ini. Yang turut hadir, calon BN Parlimen Kuantan, Datuk Mohd. Sufian Awang dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur, Datuk Tengku Zulkifli Tengku Ahmad. Adnan berharap rakyat tidak mudah tertipu dengan janji-janji yang ditaburkan kerana mereka hanya pandai berkata-kata. "Pengundi seharusnya mengambil iktibar daripada isu yang sedang dialami penduduk Selangor dan tidak membuat kesilapan dengan memilih pembakang dalam pilihan raya umum ini," jelasnya. Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa manifesto BN Pahang akan dilancarkan pada Selasa ini. "Manifesto BN negeri sudah siap dan akan dilancarkan dalam masa terdekat. Dalam dua hari lagi dan ia boleh diteliti sendiri oleh rakyat. "Kita akan gunakan tema Janji Ditepati dengan menggunakan empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin iaitu kandungannya merangkumi semua perancangan BN di negeri ini," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan