Isnin, 22 April 2013

Utusan Online - Megabait


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Transformasi perkhidmatan teksi

Posted: 22 Apr 2013 02:00 AM PDT

Oleh: ASHRIQ FAHMY AHMAD
sains@utusan.com.my

Hasanudin Zainal menunjukkan tablet pintar yang digunakan olehnya untuk memantau tempahan MyTeksi oleh pelanggan.

Tidak perlu lagi menunggu lama. Penumpang teksi kini boleh menempah teksi seawal mungkin bagi memastikan tugasan seharian mereka lancar.

HANYA klik tempah pada butang aplikasi Coop MyTeksi yang dimuat turun pada gajet pintar secara percuma, penumpang kini hanya perlu menyediakan wang secukupnya untuk ke destinasi pilihan.

Jika dahulu, kita perlu menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan teksi kini tidak lagi dengan bantuan teknologi terkini.

Aplikasi Coop MyTeksi dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini menyediakan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna.

Manakala pemandu teksi dapat meningkatkan jumlah pelanggan.

Isu keselamatan menjadi perkara utama terutamanya kepada pengguna teksi yang terdiri daripada wanita, pelajar dan pelancong.

Menerusi aplikasi ini, gambar muka pemandu teksi turut dipaparkan selain pergerakan teksi dapat dikesan hanya menggunakan telefon pintar malah boleh dipantau menerusi Facebook.

Saya difahamkan, Gabungan Koperasi Pengangkutan Wilayah Tengah Malaysia menyasarkan 3,000 pemandu teksi akan menggunakan aplikasi ini menjelang akhir tahun ini," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran itu baru-baru ini.

Aplikasi tersebut merupakan usaha Gabungan Koperasi Pengangkutan Wilayah Tengah Malaysia Bhd. bersama MyTeksi Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Koperasi Pengangkutan Wilayah Tengah Malaysia, Mohd. Salleh Mat Zin yang ditemui baru-baru ini berkata, Coop MyTeksi memberi nafas baru kepada sistem panggilan radio teksi yang digunakan sebelum ini.

Aplikasi teknologi ini mampu mengesan laluan perjalanan, pergerakan teksi dan paparan gambar wajah pemandu teksi menerusi telefon bimbit pintar, laman web dan laman sosial Internet," katanya.

Tambahnya aplikasi MyTeksi telah digunakan sejak tahun lalu dengan jumlah pelanggan seramai 50,000 orang.

Saya yakin bilangan tersebut akan terus meningkat hasil kerjasama antara pihak koperasi dan syarikat yang mengendalikan perkhidmatan awam tersebut," katanya.

Jelas Mohd. Salleh, pada peringkat awal, ramai di kalangan pemandu teksi yang berpandangan negatif terhadap penggunaan aplikasi tersebut.

Rata-rata pemandu memberi alasan tidak begitu mahir mengendalikan gajet pintar menyebabkan mereka pada peringkat awal menolak cadangan tersebut.

Namun, setelah diberi penerangan yang menyeluruh serta di beri jaminan bahawa aplikasi serta teknologi yang digunakan akan lebih memudahkan akhirnya mereka mencuba.

Situasi berikut turut diakui oleh pengusaha teksi, Hasanudin Zainal, 56, yang telah mengusahakan teksi selama 14 tahun.

Katanya, selama ini dia hanya bergantung kepada radio untuk mendapatkan pelanggan namun perlu berebut dengan pemandu teksi yang lain.

Bagaimanapun sejak menggunakan aplikasi Coop MyTeksi, Hasanudin tidak perlu lagi berebut dengan pemandu lain kerana aplikasi tersebut akan memilih siapa yang berada paling hampir dengan pelanggan.

Guna aplikasi ini lebih senang, sebab di rumah pun kita boleh sahkan tempahan yang dibuat oleh pelanggan berbanding sebelum ini yang memerlukan pemandu yang guna radio kena keluar ke jalan raya dahulu baru dapat panggilan untuk ambil pelanggan," ujarnya yang semakin pandai menggunakan gajet pintar berbentuk tablet.

Jelas Hasanudin lagi, semasa menggunakan radio hanya 12-13 panggilan sahaja diperolehi sehari dan tidak semuanya boleh diambil olehnya.

Kini, setelah menggunakan aplikasi Coop MyTeksi, dia mampu menerima sehingga 16 tempahan sehari.

Malah katanya, menerusi aplikasi tersebut, dia juga tidak terkejar-kejar untuk mendapatkan pelanggan.

Selain mudah untuk menempah, pelanggan juga boleh memuat naik perjalanan dengan cara berkongsi maklumat perjalanan kepada keluarga mahupun rakan menerusi Share Your Ride di laman sosial seperti Facebook dan Twitter bagi tujuan keselamatan.

Generasi baru Lumia

Posted: 22 Apr 2013 02:00 AM PDT

Oleh NOOR DIANA AZIS

TERUS mempertaruh sistem operasi Windows pada gajet selular Lumia, syarikat teknologi Nokia baru-baru ini memperkenalkan dua lagi model terkini untuk platform sama.

Kali ini, Nokia Lumia 720 disasarkan kepada pengguna yang mementingkan pengunaan rangkaian sosial dengan paparan definisi tinggi (HD) manakala Nokia Lumia 520 pula menawarkan pengalaman komunikasi yang ringkas dan sempurna.

Menurut Ketua Pemasaran Nokia, Gary Chan, kedua-dua model berkenaan dicipta dengan prestasi terbaik dalam usaha melengkapi aktiviti kerja dan hiburan pengguna masa kini.

Walaupun direka bersesuaian bagi pengguna amatur, Lumia 520 masih menawarkan fungsi serta spesifikasi yang sangat kompetitif.

Bagi Lumia 720 pula menggabungkan gaya dan teknologi sekali gus mampu memberikan kepuasan operasi kepada pengguna, katanya pada majlis memperkenalkan dua rangkaian terbaru siri Lumia di ibu negara baru-baru ini.

Lumia 720 turut dilengkapi paparan skrin 4.3 inci Qualcomm Snapdragon S4 beresolusi tinggi (HD), kamera 6.1 mega piksel optik Carl Zeiss serta memori binaan dalam lapan gigabit (GB).

Ini juga disempurnakan dengan reka bentuk nipis iaitu sembilan milimeter (mm), capaian Wi-Fi serta pelindung paparan Corning Gorilla Glass 2.

Bagi model kedua iaitu Lumia 520 yang turut dibina bersama Windows 8, peranti ini dibina dengan paparan empat inci yang sensitif dengan sentuhan walaupun memakai sarung tangan.

Untuk fungsi pengimejan, Lumia 520 dilengkapi kamera berkuasa lima mega piksel dengan kelebihan pemfokusan auto, berskrin luas serta dijana oleh pemproses satu giga herz Dual Core Snapdragon.

Pengguna Lumia 520 juga tidak perlu risau tentang jangka hayat kuasa telefon kerana ia mempunyai ketahanan bateri maksimum sehingga 9.6 jam waktu berbual.

Di samping itu ia turut menyokong platform pelayaran internet dan akses kepada storan awan dikenali sebagai SkyDrive.

Daripada segi fungsi antara muka utama untuk kedua-dua peranti tersebut, ia tersedia dalam paparan berpetak yang dikemaskini dalam masa nyata dikenali sebagai Live Tiles.

Fungsi tersebut membolehkan pengguna mencapai semua aplikasi seperti laman web rangkaian sosial, mesej, temujanji serta akses foto dan muzik secara lebih cepat dan mudah.

Bagi aplikasi People Hub pula menggabungkan semua kontak pengguna bersama akaun laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Linkedln bagi kemudahan paparan hanya pada satu klik.

Pelayaran Internet juga akan menjadi lebih produktif melalui model-model Lumia ini kerana ia disokong platform Internet Explorer 9 dan pelayar Bing selain aplikasi kerja Office serta Outlook Mobile.

Nokia Lumia 720 dengan pilihan warna hitam, putih, merah dan kuning kini ditawarkan pada harga RM999 manakala Lumia 520 dijual pada harga RM599 untuk putih, kuning, merah dan hitam.

Kedua-dua peranti ini akan mula berada di pasaran pada hujung April. Bagi mereka yang inginkan informasi tambahan boleh layari laman web http://press.nokia.com/.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved