Isnin, 22 April 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Inkues William: Ibu terima SMS anak di Kajang

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

PETALING JAYA 22 April - Satu khidmat pesanan ringkas (SMS) telah diterima oleh ibu William Yau Zhen Zhong, Goh Ying Ying, enam hari selepas kehilangan kanak-kanak itu yang memaklumkan anaknya itu berada di Kajang dan menuntut wang RM3,000 dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank.

Ying Ying, 26, memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini, SMS itu juga menyebut dia perlu memasukkan wang tersebut jika mahu anaknya selamat dan tidak melaporkan kepada polis.

Kandungan SMS dalam bahasa Mandarin itu terkandung dalam telefon bimbit Ying Ying yang kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Koroner Mohd. Hazeri Shaharil.

Menurut ibu William, SMS itu diterima pada 22 Januari lalu, pukul 7.35 pagi dan keesokan hari pada pukul 12.25 tengah hari, dia menerima satu lagi SMS daripada nombor telefon bimbit yang berbeza menuntut wang RM3,000 dan tidak melaporkan kepada polis jika mahu anaknya kembali.

''Saya membalas SMS kedua untuk mengetahui tempat penghantar SMS, sama ada betul anak saya bersamanya dan meminta untuk mendengar suara anak saya tetapi SMS saya tidak berbalas malah tiada nombor akaun yang diberi,'' katanya.

Ying Ying berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt yang membantu prosiding inkues siasatan kematian kanak-kanak tersebut.

Ketika ditanya mengenai perwatakan William, wanita itu memberitahu, anaknya seorang yang selalu ketawa, comel dan takut dengan persekitaran yang gelap.

''William juga pandai menipu jika dia hendak buat apa yang dia suka seperti minum minuman sejuk. Saya telah menjelaskan kepada dia bahawa dia tidak boleh minum kerana dia berbeza dengan budak lain, dia akan susah bernafas,'' katanya.

Dia juga memberitahu, William atau nama timangannya 'Ah Zhong' pernah dirotan oleh bapanya, Yau Kok Kang, 32, menggunakan rotan kecil tetapi tindakan yang sama akan dilakukan terhadap abang William, Eric jika melakukan kesalahan.

Ketika Keng Fatt mengajukan soalan pada malam Ying Ying ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, wanita itu cuba menahan sebak namun gagal dan terus menangis teresak-esak sewaktu diminta mengecam gambar William dan pakaian yang dipakai serta gambar bedah siasat anaknya itu.

Disoal oleh Koroner mengenai perwatakan suaminya, ibu William berkata, suaminya tidak minum minuman keras dan hanya garang bila di hadapan anak-anak malah tidak pernah berkasar atau memukulnya.

Dalam pada itu, Ying Ying berkata, pada malam kejadian, dia telah menghantar dua lagi anaknya pulang ke rumah ibunya di Melaka kerana suaminya bimbang mereka diculik dan mahu menumpukan usaha mencari William.

Katanya, mereka juga telah cuba melihat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di sebuah restoran berhampiran tempat kejadian namun hampa kerana rakaman itu rosak.

Dia turut berkata, tidak pernah memberitahu pihak polis mengenai rakaman CCTV berkenaan.

Inkues itu diadakan untuk menyiasat punca kematian William, 6, yang ditemui mati selepas dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya di sini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kanak-kanak itu dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

Lapan hari kemudian, mayat kanak-kanak lelaki itu yang lengkap berpakaian ditemui terapung di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, dekat sini dan laporan awal Jabatan Kimia mengesahkan mayat tersebut adalah William.

Peguam Liow Boon Lee hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga William.

Prosiding bersambung esok.

Papa Gomo mohon masa fail pernyataan pembelaan

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

KUALA LUMPUR 22 April - Pemilik laman blog, Papa Gomo yang didakwa menyiarkan perkataan dan imej berunsur fitnah mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam video seks sejenis dengan seorang lelaki, memohon masa yang panjang untuk memfailkan pembelaan dalam kes saman Ketua Pembangkang itu terhadapnya.

Peguam Mohd. Afiq Mohd. Noor yang mewakili Anwar memberitahu pemberita, pihaknya telah menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu pada 18 April lalu kepada firma guaman, Tetuan Jasbeer Nur & Lee iaitu peguam cara kepada Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Bagaimanapun menurut Mohd. Afiq, mereka memaklumkan Wan Muhammad Azri mahu melantik peguam cara lain mewakilinya.

Selain itu, Mohd. Afiq berkata, mereka memohon masa yang panjang untuk memfailkan pembelaan memandangkan Wan Muhammad Azri terlibat dalam Unit Media Baharu bagi pilihan raya umum.

Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong sehubungan itu menetapkan 21 Mei depan bagi pengurusan kes tersebut.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa Wan Muhammad Azri, 30, secara nyata atau tersirat menyatakan individu di dalam imej-imej dalam artikel yang disiarkan dalam laman web www.papagomo.com di internet adalah beliau (Anwar).

Anwar, 66, selaku plaintif menyatakan, defendan secara salah dan berniat jahat menyiarkan perkataan-perkataan serta siri imej berhubung video tersebut dalam laman blog tersebut secara berturut-turut dari 16 Mac hingga 20 Mac lalu.

Plaintif mendakwa, perkataan-perkataan berkenaan dimaksudkan sebagai merujuk kepadanya dan bermakna beliau seorang tidak bermoral dan tidak bermaruah, tidak layak menjadi pemimpin politik, pemimpin yang tidak bertanggungjawab serta tidak boleh dipercayai.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved