Utusan Online - Keluarga |
Komitmen Michelle untuk alam sekitar Posted: 09 Apr 2013 02:00 AM PDT Oleh ZAAIN ZIN dan FARHANA JONI Menjadi jurucakap untuk mempromosi program pemuliharaan penyu oleh SFC. HATI-hati! Jangan terpijak baby turtle saya," itu 'rayuan' Datuk Seri Michelle Yeoh sebaik sahaja melihat seorang petugas media hampir-hampir terpijak salah seekor anak penyu yang terkial-kial merangkak di atas pasir mencari gigi air. Walaupun manja, nadanya tetap kedengaran tegas, sekali gus menyerlahkan sifat melindungi, persis seorang ibu melindungi anaknya. Tanpa teragak-agak, beliau terus melutut atas pasir dan membantu anak-anak penyu tersebut menuju ke arah yang betul. Cuaca ketika itu panas terik walaupun angin sepoi-sepoi bahasa kadang-kala menampar muka dengan lembut. Wajah beliau mula dibasah keringat, manakala persalinan serba putih yang dipakainya pula mula kotor diselaputi debu dan pasir pantai. Namun, tidak sedikit pun riak kesal terbit di wajah aktres Hollywood kelahiran Ipoh, Perak itu. Beliau sebaliknya komited melaksanakan amanah yang digalas, iaitu melepaskan 17 ekor anak penyu hijau yang berjaya ditetaskan di Pulau Talang Besar, Kuching, Sarawak satu-persatu ke laut. Program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti sempena lawatan Michelle ke pulau berkenaan yang menjadi pusat penetasan penyu Sarawak Forestry Corporation (SFC). Objektif aktiviti beliau itu antara lainnya bertujuan mempromosi program pemuliharaan penyu hijau, atau nama saintifiknya chelonia mydas yang kini semakin diancam kepupusan. "Penyu hijau Sarawak ini milik semua. Kalau kita tidak melindunginya, mereka akan pupus dan tidak ada apa-apa lagi yang boleh kita wariskan kepada generasi akan datang. "Usaha saya ini tidak seberapa jika hendak dibandingkan usaha luar biasa pihak SFC, khususnya petugas pusat penetasan yang berada di sini sepanjang masa, siang dan malam. "Apa yang saya mahu lakukan sekarang adalah cuba menjadi teladan yang baik untuk dicontohi supaya kita dapat bersama-sama menjaga alam sekitar ini," kata Michelle. Usaha aktres yang pernah membintangi Memoirs of Geisha itu tidak terhenti di situ. Selain melepaskan anak penyu yang baru menetas, beliau turut mengumumkan kesudian menjadikan 10 sangkar penetasan penyu, yang setiap satu mengandungi 80 ke 100 biji telur sebagai 'anak angkat'. "Saya ada banyak anak buah, jadi biarlah setiap sangkar ini digelar sempena nama mereka seperti Sy Kai, Michelle, Thompson, Caroline dan Christian Hu Hu. "Saya mahu anak-anak ini tahu mereka juga terlibat secara tidak langsung dalam program amal ini. Semoga suatu hari nanti, mereka sudi mengikut jejak langkah saya dan sama-sama membantu melindungi makhluk-makhluk lain," katanya. Kehadiran bintang Hollywood itu ke Pulau Talang Besar juga boleh diibaratkan membawa sinar baharu kepada pusat penetasan itu apabila beliau bersetuju menjadi jurucakap bagi mempromosi program pemuliharaan penyu oleh SFC. Ingin terus aktif Kunjungan sulung Michelle ke Kuching baru-baru ini sebenarnya adalah bagi memenuhi jemputan ke Anugerah dan Festival Filem ASEAN (AIFFA) 2013 yang berlangsung di bandar raya ini selama tiga hari bermula 28 Mac lalu. Kemuncak AIFFA 2013 menyaksikan Michelle diangkat sebagai penerima pertama Anugerah Pencapaian Seumur Hidup berikutan kejayaan beliau mengharumkan nama rantau ASEAN apabila muncul sebagai bintang Hollywood terkemuka. Mengenai pengiktirafan sebegitu yang hadir satu-persatu dalam pelbagai anugerah sejak kebelakangan ini, beliau sempat berseloroh bimbang disuruh bersara daripada berlakon. Bagaimanapun kata Michelle, beliau tidak mungkin akan meninggalkan dunia seni dalam masa terdekat kerana lakonan bukan sekadar karier, sebaliknya adalah dunia beliau. "Selama ini saya sudah menerima begitu banyak penghargaan dan anugerah. Saya harap pengiktirafan kali ini bukan 'mesej' supaya saya berhenti dan pulang ke rumah. "Saya ingin buat sebaliknya, iaitu jadikan pengiktirafan ini sebagai ganjaran atas kerja keras dan penat-lelah selama ini serta menggandakan usaha supaya saya mampu capai lebih banyak kejayaan," ujarnya. Ditanya mengenai projek terbaharu, pelakon watak Aung San Su Kyi dalam The Lady itu memberitahu syarikat produksinya bakal melancarkan program pencarian bakat dalam bidang lakonan bagi mencari bintang Asia. "Kami masih dalam proses merancang program ini dan maklumat lanjut mengenainya hanya akan umumkan apabila kami sudah bersedia," katanya. Michelle yang bakal memasuki usia 50 tahun pada 6 Ogos ini memberitahu, filem terbaru lakonannya, Final Recipe dijangka ditayangkan selewat-lewatnya musim panas ini. "Final Recipe merupakan arahan Gina Kim, pengarah kelahiran Korea-Amerika Syarikat dan kini di peringkat posproduksi. "Ini tentang dunia masakan, namun tak banyak yang boleh saya kongsikan sekarang. Kamu kena tunggu dulu tetapi jangan lupa untuk menontonnya," ujar beliau sambil tertawa. |
Posted: 09 Apr 2013 02:00 AM PDT KUNJUNGAN sulung ke Kuching baru-baru ini juga dimanfaat sebaik mungkin oleh Datuk Seri Michelle Yeoh. Sebagai duta kepada sebuah pertubuhan amal dunia, Live to Love International, dia turut membawa hajat lain untuk dikongsi bersama penggiat seni filem di rantau ASEAN. Hajat itu adalah mempromosikan filem dokumentari terbitan syarikatnya, Pad Yatra: A Green Odyssey (Pad Yatra) yang diarahkan sutradara muda dari Taiwan, Wendy J. N. Lee. Michelle yang bertindak selaku Penerbit Eksekutif filem tersebut mempertontonkan Pad Yatra selama 70 minit kepada seluruh delegasi AIFFA 2013 dalam satu majlis tertutup di Cove 55, Santubong. Sesi pratonton itu berlangsung sehari sebelum Malam Gala festival tersebut. Pad Yatra merupakan sebuah pengembaraan sejauh 450 kilometer oleh 700 sukarelawan yang berjalan kaki merentasi pergunungan Himalaya. Tujuannya adalah untuk mendidik penduduk tempatan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Rombongan tersebut mengembara dan mendaki dari kampung ke kampung sambil mengutip sampah seperti botol dan beg plastik sebagai sebahagian daripada usaha membersihkan sumber air di atas gunung. "Pembikinan filem ini mengambil masa cukup panjang. Berbulan-bulan lamanya kerana keadaan cuaca yang tidak menentu selain terletak jauh di kawasan pedalaman yang bergunung-ganang. "Bagaimanapun, kita berjaya menyiapkannya. Saya begitu kagum dengan kecekalan pengarah, Wendy serta jurugambar yang turut sama dalam pengembaraan yang melalui jarak perjalanan beratus-ratus kilometer ini," kata Michelle. Pad Yatra pernah ditayangkan di British Academy of Film and Television Arts (BAFTA) tahun lalu selain memenangi Anugerah Bintang Emas di Stuttgart Indian Film Festival 2012 serta Sinematografi Terbaik di Festival Filem Docutah 2012. Wendy pula pernah dicalonkan bagi kategori Pengarah Terbaik di festival filem Feel Good Hollywood. Menurut Michelle, Pad Yatra membawa mesej ringkas namun sangat baik iaitu jangan sekali-kali membuang sampah merata-rata terutama ke dalam sungai. Ini kerana, sampah-sarap tersebut akan hanyut sehingga ke muara sungai dan mengalir ke laut. "Jika ini berlaku, hidupan liar dan alam semulajadi pasti terjejas teruk. Malah semakin banyak spesies haiwan seperti penyu telah mati akibat tertelan sampah-sarap ini. "Kesungguhan para sukarelawan mengikuti pengembaraan dalam Pad Yatra itu membuka mata saya untuk lebih aktif dalam kerja-kerja amal melibatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di seluruh dunia," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan