Selasa, 9 April 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Siti Aira, Micheal Jackson terima anugerah Pengarah PIS

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

JOHOR BAHRU 8 April - Kekurangan yang ada padanya tidak menghalang Siti Aira Sharina Meor Shamsuddin, 25, untuk mengejar kejayaan, sebaliknya menjadi penyuntik semangat bagi mencapai kecemerlangan.

Walaupun pekak dan bisu sejak kecil, kekurangan itu tidak mematahkan semangatnya untuk menempuh perjalanan sebagai seorang penuntut institusi pengajian tinggi sehingga mampu merangkul Anugerah Pengarah Politeknik.

Anak sulung daripada tujuh beradik dan berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu menerima anugerah tertinggi sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Ke-14 di sini hari ini.

Siti Aira Sharina yang merupakan penuntut Sijil Kemahiran Khas Rekabentuk Grafik mengakui, kejayaan yang dikecapinya itu menjadi kenangan manis baginya dan keluarga apabila perit jerih selama dua tahun pengajian diiktiraf semua pihak.

"Kekurangan yang ada saya jadikan pembakar semangat untuk terus berusaha sehingga berjaya. Alhamdulillah, kejayaan ini bukan atas usaha saya semata-mata tetapi atas sokongan keluarga, pensyarah dan rakan-rakan semua," katanya yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.54.

Ditanya resipi kejayaannya, Siti Aira Sharina yang menggunakan bahasa isyarat memberitahu, beliau sentiasa menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas selain membuat nota ringkas untuk memudahkannya memahami sesuatu subjek yang diajar.

Beliau bercadang mencari pekerjaan sebagai pereka grafik sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pengarah Politeknik, Micheal Jackson Anak Apong, 23, mengakui tidak menyangka kejayaan dalam peperiksaan sehingga mendapat PNGK 3.71 melayakkannya menerima anugerah tertinggi itu.

Baginya, pengorbanan berjauhan dengan keluarga yang berada di Betong, Sarawak akhirnya membuahkan hasil yang 'lumayan' dan kenangan itu tidak mungkin akan dilupakan.

"Saya memang minat seni sejak sekolah dan jurusan ini memang sesuai dengan jiwa saya.

"Jauh daripada keluarga tidak menjadi penghalang utama untuk saya berusaha gigih dan saya bersyukur dapat membanggakan keluarga," katanya yang kini bekerja sebagai seorang pereka baju di Kuching, Sarawak.

Beliau yang akan menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menanam impian untuk memiliki sebuah firma rekaan visual suatu hari nanti.

Siti Aira Sharina dan Micheal Jackson merupakan antara 1,657 graduan PIS yang menerima diploma dan sijil masing-masing pada majlis konvokesyen itu yang bermula hari ini hingga Khamis ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved