Selasa, 9 April 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Polis cari pelajar samseng belasah rakan sekolah

Posted: 09 Apr 2013 10:18 AM PDT

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ

GAMBAR diambil daripada klip video di Internet yang merakamkan beberapa pelajar sedang membelasah seorang pelajar lain, yang dipercayai berlaku di dalam sebuah kelas. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 10 April - Polis sedang mengesan pelajar-pelajar sekolah menengah yang berseronok membelasah seorang pelajar lain dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Pulau Pinang.

Kejadian tidak berperikemanusiaan itu dirakamkan oleh salah seorang pelajar samseng itu dan video itu tersebar di Internet.

Polis Diraja Malaysia, menerusi laman Facebook rasminya, hari ini meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu-individu yang terlibat di dalam klip video tersebut supaya melaporkannya di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Pihak sekolah, mangsa atau keluarga yang terlibat juga diseru tampil untuk membuat laporan di balai polis terdekat," menurut kenyataan polis dalam laman Facebook itu.

Video berdurasi satu minit 32 saat itu memaparkan seorang remaja yang masih memakai pakaian sekolah dibelasah sekumpulan remaja lain, dipercayai rakan sekolahnya di dalam sebuah kelas.

Mangsa itu dilihat tidak melawan apabila seorang remaja yang memakai baju T berwarna kelabu menyerangnya bertubi-tubi - menumbuk, menendang dan menyiku mangsa ala Tomoi.

Kejadian itu turut disertai oleh dua lagi remaja lain yang turut sama membelasah mangsa. Salah seorang daripada mereka berbadan gempal.

Mangsa turut dipukul menggunakan objek keras dan pesta pembantaian itu hanya berhenti apabila seorang daripada anggota kumpulan itu meminta agar perbuatan itu dihentikan.

Dipercayai pembantaian itu disaksikan oleh lebih daripada lima orang dan kebanyakan mereka hanya tertawa melihat mangsa dijadikan punching bag bagi kumpulan samseng itu. - UTUSAN ONLINE

Pasangan kekasih mati jatuh dari tingkat 3

Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT

Oleh HUDA ATIQAH SAMSIR
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 9 April - Sepasang kekasih maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah pasar raya di Jalan Bakau Chondong di sini malam tadi.

Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Azam berkata, dia nampak kedua-dua mereka dalam keadaan mencurigakan keluar dari sebuah pusat hiburan keluarga pada pukul 7.40 malam.

Katanya, mereka kemudian naik ke tingkat atas sebelum menutup mata masing-masing lalu terjun bersama-sama.

"Saya terkejut melihat tindakan pasangan itu yang berlaku sekelip mata dan bergegas ke tempat kejadian. Hasil pemeriksaan saya dapati wanita itu jatuh di atas sebuah kereta sebelum tercampak ke longkang berhampiran," kata Azam.

"Lelaki terbabit pula berada di longkang dalam keadaan mengerikan. Ini kejadian bunuh diri kali keempat sejak pasar raya itu beroperasi," dakwanya

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, pasangan tersebut dipercayai penduduk tempatan dan berusia lingkungan 30-an.

"Identiti wanita masih belum dapat dikesan manakala lelaki terbabit berasal dari Taman Bukit Pasir, di sini. Motif kejadian belum diketahui dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Din meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu supaya datang ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved