Utusan Online - Feminin |
Posted: 02 Apr 2013 02:00 AM PDT Oleh MERAN ABU BAKAR Wan Rizazurina Abdul Rahim pilih untuk berniaga. APABILA nama Stylo Queen dirasakan tidak sesuai dengan konsep dan produk yang dijual, Wan Rizazurina Abdul Rahim, 34, mula mencari-cari nama yang lebih bersesuaian. Stylo Queen itu kata Wan Rizazurina nampak terlalu besar dan gagah. Beliau bimbang jika pelanggan takut untuk memasuki butiknya kerana disangka terlalu eksklusif dan mahal. Beliau mahukan nama yang lebih mudah disebut dan diingati oleh pelanggan. Lantas nama Lawa-Lawa terlintas di fikiran dan nama itulah yang dipilih untuk butiknya yang terletak di Ukay Boulevard, Jalan Hulu Klang, Kuala Lumpur. Ditemui di butik yang ringkas namun cukup selesa bagi setiap pengunjung, Wan Rizazurina berkata, butik yang dibuka pada September 2011 itu sebenarnya bermula dengan perniagaan secara dalam talian sejak tahun 2008. ''Saya bermula dengan RM500 dan waktu itu saya masih bekerja. Bagaimanapun saya tidak pernah merasakan kepuasan diri kerana minat saya lebih kepada berniaga pakaian dan fesyen. ''Tidak mahu menipu diri dan berlaku tidak jujur semasa menjalankan tugas kerana sambil bekerja melayan pesanan pelanggan melalui Internet, saya mengambil keputusan meletakkan jawatan. ''Waktu itu saya baharu sahaja habis tempoh berpantang. Nekad dengan keputusan, saya menghantar surat berhenti kerja biarpun sudah lapan tahun bekerja makan gaji,'' kata bekas pengurus akaun sebuah syarikat telekomunikasi tempatan itu. Menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, kini masanya begitu fleksibel dan boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan. Pun begitu, beliau tetap mengutamakan keluarga dan anak-anak yang masih memerlukan perhatian dan tumpuannya. Tambah Wan Rizazurina, koleksi pakaian yang terdapat di butiknya diperoleh dari Bangkok kerana trend fesyen di sana lebih cepat bertukar dan setiap tiga minggu pasti terdapat fesyen terbaru. Begitu juga dengan baju-baju yang terdapat di Lawa-Lawa. Setiap tiga atau empat minggu pasti terdapat koleksi terbaru yang lebih cantik dan menarik. ''Biasanya setiap tiga atau empat minggu saya akan ke Bangkok bagi membeli pakaian untuk butik saya. Sekali pergi, saya akan membeli sehingga 800 helai baju. ''Sebelum ke sana, saya akan membuat kajian dahulu pasaran yang disukai di Malaysia. Saya banyak mendapatkan idea daripada majalah tempatan dan luar negara tentang fesyen-fesyen terkini. ''Bagaimanapun saya banyak mendapatkan koleksi fesyen yang ringkas dan tidak keterlaluan kerana lebih mudah dijual. ''Selain itu rekaan yang trendy turut digemari kerana mudah disuai-padan,'' ujar isteri kepada Hazree Hashim ini. Wan Rizazurina berkata, warna hitam putih, warna terang atau neon, corak polka dot dan belang dilihat amat disukai oleh pelanggan yang datang ke butiknya. Namun demikian warna-warna blok masih lagi menjadi ikutan pada hari ini. Daripada segi harga, tambahnya, koleksi pakaian Lawa-Lawa dijual pada harga yang amat berpatutan. Paling mahal pun berharga RM90 bagi sehelai dres labuh sementara bagi sehelai baju berharga di bawah RM70. Kini Lawa-Lawa sudah pun menambahkan koleksi bajunya untuk wanita yang berbadan besar kerana mendapat permintaan ramai. Turut disediakan ialah sudut untuk baju muslimah. Selain pakaian, dia turut melengkapkan butiknya dengan koleksi aksesori, beg kain dan sebagainya. Beliau turut membantu rakan-rakan niaga dengan meletakkan produk mereka seperti tudung, selendang, lukisan dan baju muslimah. Jika anda ingin melihat koleksi terbaru Lawa-Lawa boleh layari facebook www.facebook.com/lawalawalah . |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan