Utusan Online - Dalam Negeri |
- 100 nelayan Bagan Ajam bantah projek terowong dasar laut
- Harga rendah, royalti 20% jejaskan Petronas - PM
- PLKN hilang "duta kecil" selepas kematian Soon Gi
100 nelayan Bagan Ajam bantah projek terowong dasar laut Posted: 02 Apr 2013 03:16 AM PDT Oleh NORAZLINA ISMAIL BUTTERWORTH 2 April - Lebih 100 nelayan pesisir pantai Bagan Ajam di sini, mengadakan demonstrasi aman membantah tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang meminggirkan mereka dalam cadangan pembinaan terowong dasar laut di negeri itu. Ketua Unit Nelayan Bagan Ajam, Mazlan Abdul, 45, berkata, kerajaan negeri tidak memikirkan masalah golongan itu termasuk risiko hilang punca pendapatan sekiranya projek tersebut diteruskan. "Bagaimana kami mahu mencari rezeki selepas ini kerana bot dan sampan kecil kami tidak dapat belayar jauh sekiranya projek itu dilaksanakan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan demonstrasi itu hari ini. Mazlan berkata, projek itu juga berisiko menjejaskan lebih 1,000 nelayan di Ujong Batu dan Kuala Muda yang sering ke Bagan Ajam untuk menangkap ikan. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Tajuddeen Ibrahim menyifatkan projek tersebut hanya membazirkan wang rakyat kerana manfaatnya yang tidak jelas. Malah, katanya, projek itu juga bakal menyebabkan lebih 6,000 penduduk di kawasan pesisir pantai Bagan Ajam terpaksa dipindahkan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek tersebut. "Jika untuk pembangunan, kami penduduk di sini beranggapan kawasan Bagan Ajam sudah cukup membangun. "Saya beranggapan ini semua hanyalah usaha meraih perhatian pengundi kerana pilihan raya umum sudah semakin hampir," ujarnya. Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Belia Nelayan Bagan Ajam, Ibrahim Shah Nasir, 33, berkata, projek terowong dasar laut tersebut akan mengambil masa yang panjang untuk disiapkan sekali gus mengganggu rutin kehidupan penduduk di kawasan berkenaan. "Jika masa yang diambil untuk menyiapkan projek ini terlalu lama, pastinya akan menyebabkan pembaziran dan adalah lebih baik kerajaan negeri menggunakan peruntukan itu untuk membina perumahan rakyat," katanya. - UTUSAN |
Harga rendah, royalti 20% jejaskan Petronas - PM Posted: 02 Apr 2013 01:42 AM PDT NAJIB Razak berbual sesuatu dengan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas (tengah) ketiba tiba untuk menghadiri majlis perjumpaan bersama warga Petronas di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) di sini hari ini. - UTUSAN KUALA LUMPUR 2 April - Harga minyak dan gas serta royalti 20 peratus untuk negeri-negeri yang mengeluarkan minyak, akan memberi kesan kepada Petronas dan pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini hari ini. Beliau berkata sektor minyak dan gas memerlukan perbelanjaan modal yang besar, dan jika pihak pembangkang Pakatan Rakyat menaikkan royalti kepada 20 peratus, ia akan menjejaskan kemampuan Petronas untuk melabur dan membuat pelaburan semula. "Bukan hanya Perbendaharaan akan terjejas, tetapi kemampuan Petronas untuk melabur dan membuat pelaburan semula, dalam meneroka untuk minyak di perairan dalam untuk mencari rizab minyak baharu, sementara mengekalkan yang sedia ada, akan berada dalam keadaan bahaya. Anda patut lebih tahu tentang ini daripada saya. "Ini adalah satu fakta yang Tan Sri Shamsul (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas) selalu tekankan kepada saya. Tolong pastikan Petronas mempunyai sumber yang mencukupi untuk pelaburan semula," katanya kepada kakitangan Petronas pada satu pertemuan di sini hari ini. Beliau menambah bahawa Petronas tidak akan menjadi organisasi yang berjaya seperti sekarang tanpa rizab yang kukuh dan kemampuan untuk melabur. Najib juga berkata jika cadangan pengurangan harga petrol, diesel dan gas yang dilaungkan oleh pembangkang dilaksanakan, subsidi tahunan untuk bahan api mungkin meningkat kepada RM30 bilion daripada RM22 bilion setiap tahun sekarang. Jika ini terjadi, sumber Petronas untuk pelaburan produktif akan sebaliknya disalurkan kepada penggunaan persendirian. "Dan ini akan membawa kepada bencana ekonomi," tambah beliau. Perdana Menteri berkata Petronas telah berkembang daripada satu modal perintis RM10 juta pada 1974, kepada satu sumbangan kumulatif berjumlah RM733 bilion setakat 31 Disember 2012. "Ini sama dengan jumlah pulangan pelaburan sebanyak 80,000 kali ganda. Saya rasa tiada pelaburan lain yang akan memberikan pulangan sebegini," tambahnya. - BERNAMA |
PLKN hilang "duta kecil" selepas kematian Soon Gi Posted: 02 Apr 2013 01:12 AM PDT Oleh OPAT RATTANACHOT KULIM 2 April - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menyifatkan kematian anggota Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN), Pang Soon Gi, 21, yang lemas dalam kejadian di Tasik Dayang Bunting, Langkawi Sabtu lalu, sebagai kehilangan besar kepada jabatan itu. Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, mendiang memainkan peranan penting sebagai 'duta kecil' dalam memupuk persefahaman dalam kalangan masyarakat Cina berhubung Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). "Soon Gi merupakan salah seorang bekas peserta PLKN Kumpulan 2 Siri 7/2010 di Kem PLKN Sintok. Saya juga secara peribadi mengenalinya kerana dia sentiasa aktif dalam mempromosikan aktiviti PLKN. "Selepas tamat latihan PLKN, dia memainkan peranan penting dalam BSKN, malah mengambil inisiatif mewujudkan laman Facebook serta menulis sebuah buku dalam bahasa Mandarin bagi menerangkan manfaat PLKN khususnya kepada masyarakat Cina," katanya kepada pemberita selepas menziarahi mendiang di Taman Ria, Padang Serai, dekat sini hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi Sabtu lalu, Soon Gi, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Logistik, Universiti Utara Malaysia (UUM) lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Pulau Dayang Bunting, Langkawi. Abdul Hadi memberitahu, selain aktif dalam aktiviti lasak mendiang turut berminat dalam bidang penulisan. "Berdasarkan makluman keluarganya, dia pernah menulis tiga buah buku untuk koleksi remaja. Malah, rakan-rakannya memberitahu, dia sering tampil menjawab setiap tuduhan yang dilemparkan masyarakat sekiranya menyentuh tentang PLKN," katanya. Sementara itu, bapa mendiang, Pang Poh Sing, 55, berkata, anak kedua daripada enam beradik tersebut merupakan seorang yang tegas dan berdisiplin. "Dia memang minat aktiviti lasak dan bercorak ketenteraan," katanya. - UTUSAN |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan