Jumaat, 29 Mac 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Demonstrasi maritim pukau penonton

Posted: 28 Mar 2013 12:56 PM PDT

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

PASUKAN jet Sukhoi Su-27 melakukan aksi yang seakan berlanggar antara satu sama lain semasa persembahan aerobatik pada LIMA 2013, kelmarin.

LANGKAWI 28 Mac - Penduduk pulau legenda ini teruja melihat Demonstrasi Khas Maritim yang dimulakan dengan tiga letupan kuat dari kawasan pesisiran pantai Chenang semalam.

Sejurus letupan itu, muncul sekumpulan anggota penggempur daripada Pasukan Khas Tentera Laut (Paskal) yang bergerak ke lokasi berkenaan menggunakan aset udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), selaras konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Turut digerakkan ialah aset-aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk helikopter Fennec, bot kombat CB90 dan pesawat Super Lynx manakala Maritim Malaysia menggunakan helikopter Agusta Westland AW139, pesawat Bombardier dan bot laju kelas petir.

Pergerakan aset-aset berkenaan bertujuan menyelamatkan seorang anggota Jabatan Kastam yang telah dijadikan tawanan oleh kumpulan pengganas yang menaiki sebuah kapal auxiliary.

Operasi berkenaan merupakan Demonstrasi Khas Maritim yang dijalankan oleh TLDM dan Maritim Malaysia sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 yang bermula semalam hingga 30 Mac ini.

Lebih 500 pengunjung menyaksikan demonstrasi penuh aksi selama 45 minit berkenaan yang merangkumi modul pembinaan situasi, demonstrasi menyelamat di darat, demonstrasi menyelamat maritim, laluan penerbangan dan pameran bot.

Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md. Zin dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Pengunjung turut teruja dengan pameran kemahiran seorang anggota pasukan Paskal yang melakukan pertunjukan rutin ikhtiar diri dengan berenang sambil kedua-dua kakinya diikat.

Persembahan TLDM dan Maritim Malaysia turut disajikan dengan pelbagai aksi menyelam, turun dari helikopter menggunakan tali, menyelinap ke kapal pengganas dan meloloskan diri tanpa dapat dikesan.

Sepanjang demonstrasi, pengunjung dibimbing oleh pengacara majlis yang membacakan jalan cerita operasi menyelamat, selain memberikan isyarat untuk pandang ke kiri, kanan, depan atau belakang yang selari dengan pergerakan peserta 'operasi'.

Karnival Kesejahteraan Rakyat meriah

Posted: 28 Mar 2013 12:56 PM PDT

Oleh NORAZLINA ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

SHABUDIN Yahya (tengah) bersama penerima sumbangan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia Pulau Pinang pada program Karnival Kesejahteraan Rakyat di Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.

TASEK GELUGOR 28 Mac - Lebih 1,000 orang hadir memeriahkan Karnival Kesejahteraan Rakyat peringkat negeri di Pusat Komersial Tasek Gelugor, di sini baru-baru ini.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu merupakan gabungan kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Berangan, Shabudin Yahya berkata, objektif penganjuran karnival itu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan pengamalan nilai-nilai kesejahteraan dalam kalangan masyarakat.

"Dalam program ini pelbagai aktiviti sihat yang kita jalankan seperti acara senamrobik, sukan paintball dan pameran daripada pelbagai agensi kerajaan.

"Kesemua aktiviti yang dijalankan ini bagi menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup bersih dan sihat sebagai amalan dalam kehidupan harian," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan karnival berkenaan baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah satu SKM negeri, Zainun Hamzan Stapa dan Pegawai JKM Seberang Perai Utara, Mohd. Rahim Mohd. Alif.

Jelas Shabudin, melalui karnival itu agensi kerajaan, usahawan dan masyarakat setempat dihimpunkan untuk berkongsi idea serta merancang pembangunan ekonomi dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka.

Tambah beliau, masyarakat juga berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat terutama yang berkaitan dengan bidang keusahawanan dan koperasi.

Sementara itu, Zainun Hamzan berkata, golongan usahawan dan ketua keluarga juga digalakkan menceburi bidang koperasi yang mampu memberikan pulangan pendapatan tambahan yang lumayan kepada ahli-ahlinya.

"Kedatangan SKM ke karnival ini bertujuan memberikan maklumat dan galakan kepada orang ramai tentang manfaat yang boleh diperoleh mereka sekiranya menyertai koperasi.

"Di Pulau Pinang ada 591 koperasi yang berdaftar dengan SKM dan jumlah ahli koperasi pula sebanyak 231,841 orang dengan aset berjumlah kira-kira RM1.8 bilion," katanya.

Ujarnya, pihaknya menyasarkan lebih 60 buah koperasi baharu ditubuhkan di negeri ini tahun ini.

Jelasnya, penglibatan masyarakat dalam aktiviti koperasi bukan sahaja membantu menjana pendapatan tambahan yang tinggi malah aktiviti itu juga dapat mewujudkan komuniti yang aktif dalam program kemasyarakatan.

Dalam majlis itu, sebanyak enam koperasi menerima sumbangan daripada SKM melibatkan peruntukan berjumlah RM120,000 dan sebanyak 60 golongan orang kurang upaya (OKU) menerima kad OKU daripada JKM.

Penyayang Kangar bantu pesakit

Posted: 28 Mar 2013 12:56 PM PDT

KANGAR 28 Mac - Persatuan Kebajikan Penyayang (Penyayang) Kangar sentiasa turun padang bagi memastikan masyarakat yang memerlukan bantuan khususnya di kawasan berkenaan mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya.

Yang Dipertuanya, Marzita Mansor memberitahu, langkah tersebut telah dimulakan sejak dua tahun lalu supaya golongan itu tidak terpinggir.

"Malah, kami dengan rasa penuh tanggungjawab akan memastikan program membantu rakyat ini diteruskan supaya golongan sasaran mendapat manfaat sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Konvoi Program Gerak Mesra Prihatin Penyayang Kangar, di Taman Kemajuan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kangar, Rela Ahmad.

Sempena konvoi itu, pesakit strok, Abdul Karim Sulaiman, 56, menerima sebuah kerusi roda daripada Penyayang Kangar selain sumbangan kepada penghidap barah payu dara, Arminah Abd Razak, 50.

Menurut Marzita, borang permohonan untuk mendapatkan bantuan Penyayang diberikan menerusi ketua-ketua wanita UMNO cawangan sebelum dikenal pasti mereka yang layak.

"Ini penting untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar memerlukan bantuan mendapat manfaat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved