Utusan Online - Rencana |
Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT Oleh NURUL HUDA HASSAN PASUKAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak penubuhannya pada tahun 1806 sudah mengharungi pelbagai cabaran, namun berkat ketabahan dan komitmen diberikan mereka mampu menghadapi rintangan itu biarpun dalam keadaan serba kekurangan sehingga ke hari ini. Ia termasuk pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi pegawai dan anggota Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) yang menyaksikan kejadian terbaharu, insiden pencerobohan pengganas Kiram di Sabah sehingga mengorbankan lapan anggota PDRM. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Jabatan KDNKA memainkan peranan dalam menghadapi pencerobohan tersebut dalam pelbagai aspek baik melalui laut, darat dan udara memandangkan ia merupakan jabatan terbesar dalam PDRM. Untuk rekod, Jabatan KDNKA mempunyai kekuatan seramai 2,305 pegawai kanan dan 35,636 anggota di seluruh negara. Ia meliputi Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Khas (PGK) yang merangkumi VAT69 dan Unit Tindakan Khas (UTK), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan pasukan berkuda, Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Polis Marin (PPM), Cawangan Trafik serta kereta peronda polis (MPV). Dalam menjayakan Ops Daulat, semua elemen di bawah Jabatan KDNKA diselaras operasinya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memainkan tanggungjawab memberi bantuan dan logistik di barisan hadapan. Anggota VAT 69, UTK dan PGA diletakkan di barisan hadapan untuk mengepung, mencari, menangkap dan menumpaskan musuh manakala PPM membuat rondaan di sepanjang pantai dan PGU pula membuat peninjauan udara selain memberikan perkhidmatan lain termasuk pemindahan anggota yang cedera. Kereta peronda dan trafik turut membantu mengawal orang ramai serta lalu lintas selain menjalankan program Komuniti Kepolisan. Bagi Pengarah Jabatan KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid, kehadiran 2013 merupakan tahun yang amat mencabar dan getir bagi jabatannya kerana tidak pernah terlintas di fikiran bahawa insiden pencerobohan seperti berlaku di Sabah mampu tercetus pada masa ini. Katanya, tragedi itu adalah di luar jangkaan kerana berlaku dalam era serba canggih dan moden yang dipelopori oleh dunia teknologi, komunikasi dan informasi (ICT), sekali gus memerlukan PDRM mempersiapkan pegawai dan anggota dengan kepakaran untuk memerangi persepsi serta maklumat tidak tepat yang dilaporkan menerusi Internet. Sehubungan itu bersempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-206, Salleh melahirkan harapan tinggi supaya jabatan berkenaan akan terus memainkan peranan sebagai barisan hadapan yang cemerlang, relevan dan penting dalam PDRM. "Jabatan KDNKA yang meliputi keanggotaan di udara, laut dan darat diharap terus kekal relevan dalam proses mengekalkan keamanan, kestabilan dan ketenteraman dalam negara seperti yang termaktub dalam Seksyen 3(3) Akta Polis 1967. "Jadi, jika ada mana-mana pihak mahu terus menghina, memperlekeh dan mempertikai apa dilakukan polis, biarlah. Yang penting kami tetap pikul amanah diberi demi keselamatan dan kedaulatan negara," katanya kepada Utusan Malaysia dalam wawancara khas sempena Peringatan Hari Polis Ke-206 baru-baru ini. Beliau dengan nada tegas turut mengingatkan semua pihak bahawa polis tidak akan sesekali berkompromi dengan keselamatan negara dan sentiasa mengambil kira pandangan serta kritikan membina untuk mengukuhkan lagi pasukan tersebut. Salleh sedar persepsi rakyat terhadap PDRM terutama melibatkan elemen di bawah Jabatan KDNKA yang sering dikritik, namun ujarnya, orang ramai harus ingat bahawa anggota polis juga manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan sama seperti orang lain. "Saya berasa amat sedih apabila dapat tahu ada anak buah terkorban dan cedera semasa menjalankan tugas Ops Daulat dan bertambah perit lagi apabila ada pula suara-suara sumbang melabelkan apa yang berlaku sebagai sandiwara. "Namun, kata-kata itu sikit pun tidak melemahkan semangat semua ahli keluarga PDRM, sebaliknya ia melonjakkan lagi semangat juang untuk mempertahan kedaulatan negara dan menumpaskan kumpulan yang menganggu-gugat negara kita. "Justeru, kami bertekad mencari musuh negara sehingga ke lubang cacing untuk diheret ke muka pengadilan dan ditewaskan. Keadilan untuk wira yang terkorban dan kedaulatan negara perlu ditegakkan," tegasnya. Ditanya penglibatan Jabatan KDNKA dalam penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), beliau memberitahu, struktur beberapa elemen di bawah jabatan itu perlu disusun semula termasuk anggota dan logistik agar sesuai dengan tuntutan semasa. Jelasnya, elemen yang akan diberi tumpuan ialah PGA dan PGK yang perlu dilihat sebagai barisan hadapan pertahanan dalam menjamin, mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam bagi meningkatkan keyakinan rakyat. Tambahnya, bagi mengukuhkan pasukan itu, Jabatan KDNKA mencadangkan supaya setiap briged mempunyai empat batalion yang dilengkapi empat kompeni dengan setiap batalion perlu ada skuadron perisai dan platun mortar iaitu sama seperti semasa penubuhan Pasukan Polis Hutan (PPH) sebelum ini. "Mereka yang terlibat itu perlu dilengkapi dengan aset serba canggih, moden dan perlu menjalani latihan seperti tentera bagi melengkapkan kompetensi para pegawai dan anggota PGA dan PGK semasa menjalankan tugas," katanya. Selain itu, katanya, penekanan juga perlu diberi dalam aspek keselamatan seperti dilengkapkan dengan baju kalis peluru, 'armoured personnel carrier' (APC) dan senjata yang moden. Menurut Salleh, elemen lain yang masih mempunyai ruang penambahbaikan bagi menjadi lebih efektif ialah PGU dengan memperhebat lagi aset supaya dapat membantu kelancaran pasukan seperti pengangkutan anggota, logistik dan peninjauan udara. Beliau berkata, selain melaksanakan Ops Daulat, PDRM khususnya Jabatan KDNKA mempunyai satu lagi tanggungjawab besar dan mencabar yang perlu dihadapi tahun ini iaitu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Katanya, pelaksanaan PRU-13 bukan masalah kerana Jabatan KDNKA akan memastikan Ops Daulat dan proses pilihan raya dapat berjalan lancar dengan memastikan pegawai serta anggota berada pada tahap kesiapsiagaan yang paling maksimum. "Kita akan menjalankan tugas bagi memastikan PRU-13 berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang boleh menggugat ketenteraman awam termasuk semasa proses pembubaran parlimen, penamaan calon, waktu kempen, hari mengundi dan selepas itu. "Pihak polis sedar akan cabaran yang bakal ditempuhi sepanjang proses pilihan raya umum dijalankan kelak tetapi kita sudah bersiap sedia dengan segala kemungkinan dan menjalankan tugas seperti diamanahkan," jelasnya. Kesimpulannya, Salleh berkata, masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan terhadap elemen di bawah Jabatan KDNKA bersesuaian dengan peredaran masa yang memerlukan penggunaan peralatan canggih dan latihan terbaik. Beliau yang berpengalaman berkhidmat dalam PPH dan PGA mahu sebarang kekangan dihapuskan, manakala kekurangan melibatkan Jabatan KDNKA dapat dipertingkatkan terutama dalam menghadapi pelbagai cabaran yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa. "Semua penstrukturan dan kelengkapan itu adalah untuk menjamin keselamatan serta kepentingan rakyat negara ini sejajar slogan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'," katanya. |
Faktor pembangkang gelisah apabila Parlimen belum dibubarkan Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT Oleh Zulkiflee Bakar SALAH satu penyakit yang ada dalam kalangan pakatan pembangkang dan penyokong mereka ialah terlalu mudah untuk membuat tafsiran. Pelbagai andaian mereka lakukan bagi memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO. Begitu juga dalam isu pembubaran Parlimen, mereka membuat pelbagai tafsiran termasuklah hujah dangkal dengan mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak takut untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Suatu ketika dulu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata dalam satu pertemuan dengan anak-anak Kelantan, Najib semak perut hendak bubar Parlimen kerana banyak masalah dalam UMNO. Mereka sengaja melupakan tempoh tamat mandat kerajaan BN di peringkat Pusat ialah 30 April. Oleh itu Perdana Menteri tidak terikat dengan sebarang desakan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal daripada tarikh itu. Sebenarnya, penulis difahamkan yang resah gelisah kerana Parlimen belum dibubarkan ialah pembangkang. Menurut satu sumber, pakatan pembangkang sudah merancang jika BN membubarkan Parlimen dan diikuti oleh negeri-negeri di bawah penguasaan parti itu sebelum tarikh tamat tempoh memerintah, pakatan pembangkang tidak akan berbuat demikian di negeri-negeri yang mereka kuasai. Sebaliknya jentera pilihan raya di empat negeri yang mereka kuasai iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah akan dihantar untuk membantu jentera di Perlis, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Mereka begitu yakin melalui cara demikian ia akan membantu pakatan pembangkang menguasai negeri-negeri tersebut. Kalau pakatan pembangkang menganggap mereka sudah cukup kuat dan mampu mempertahankan negeri-negeri yang mereka kuasai sekarang, maka bubarlah sebelum tarikh tamat tempoh memerintah. Untuk rekod tarikh tamat tempoh memerintah Selangor ialah 22 April, Kelantan (28 April), Pulau Pinang (2 Mei) dan Kedah (5 Mei). Kalau mereka mempertikaikan kenapa Perdana Menteri tidak membubarkan Parlimen sekarang sedangkan tamat tempoh mandat ialah 30 April, kenapa mereka tidak bubar lebih awal di negeri-negeri yang mereka kuasai? Tetapi kita percaya pembangkang tidak akan berbuat demikian kerana mereka sememangnya bersikap seperti tin kosong, bunyi sahaja kuat, tetapi isinya tiada. Tambahan pula, pakatan pembangkang memahami kekuatan mereka di negeri-negeri berkenaan semakin luntur. Di Selangor, penolakan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin ketara, apabila banyak janji yang dibuat dalam manifesto pada pilihan raya umum lalu tidak ditunaikan kerana Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menganggap manifesto bukan satu perjanjian. Di Pulau Pinang, pentadbiran kerajaan DAP berhadapan dengan pelbagai bantahan termasuk projek-projek mega yang ditentang oleh rakyat. Di Kedah, kerajaan Pas bukan sahaja menghadapi masalah kepincangan menguruskan negeri malahan diancam masalah dalaman antara pemimpin-pemimpin Pas. Difahamkan Pas Kedah berpecah kepada empat kelompok. Di Kelantan, isu tanah dan air terus menghantui kerajaan Pas. Malahan di negeri itu sudah ada gelombang yang cukup ketara mahupun perubahan kerana rakyat sudah bosan dengan kerajaan negeri yang lebih kaya dengan slogan dan retorik berbanding program bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Berdasarkan kepada hujah-hujah itu, maka tidak payahlah puak-puak pembangkang hendak menyibuk mempertikaikan kenapa Perdana Menteri belum membubarkan Parlimen. Tunggu sahajalah detiknya kalau betul-betul pembangkang yakin bila pun pilihan raya diadakan mereka boleh mencapai kejayaan besar. Janganlah beri alasan dangkal kononnya terpaksa membuat kutipan derma kerana Perdana Menteri terlalu lambat membubarkan Parlimen. Pilihan raya bukan medan menguji kekuatan sesiapa atau gelanggang untuk merebut kekuasaan sahaja, sebaliknya ia adalah penentu masa depan rakyat dan negara. Kerajaan BN bukan seperti pakatan pembangkang asyik hendak berpolitik sepanjang masa dan terlalu kemaruk kuasa. Kerajaan BN hendak memastikan segala urusan negara dan perancangan untuk rakyat sudah diselesaikan barulah mandat diserahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan. Sepatutnya pembangkang bersyukur kerana apabila Parlimen lambat dibubarkan, maknanya mereka masih mempunyai masa untuk menunaikan segala janji-janji yang belum ditunaikan. Tetapi pembangkang tahu mereka tidak ada kemampuan untuk menunaikan janji-janji yang dibuat, oleh itu mereka berharap apabila Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan rakyat akan melupakan janji-janji yang pernah mereka buat dalam pilihan raya lalu. Inilah perangai pakatan pembangkang, mereka berpolitik semata-mata untuk kuasa sebab itulah mereka sanggup bergabung dalam satu pakatan biar pun berbeza ideologi dan hala tuju perjuangan. Seperkara lagi, pembangkang juga risau semakin lambat Parlimen dibubarkan, semakin terdedah janji-janji palsu yang disenaraikan dalam manifesto pilihan raya mereka dan Buku Jingga. Ia memandangkan apa yang mereka janjikan itu hanyalah omong kosong dan tidak berpijak di bumi nyata, segalanya mereka lakukan hanya semata-mata untuk menarik perhatian rakyat untuk menyokong mereka dalam pilihan raya umum nanti. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana dari semasa ke semasa, semakin banyak terdedah perangai pemimpin-pemimpin mereka termasuk dari segi moral. Justeru mahu tidak mahu, pembangkang terpaksa membuat pelbagai andaian berhubung isu pembubaran Parlimen bagi menutup kelemahan mereka. Dalam bahasa mudahnya lagi lambat pilihan raya diadakan, maka semakin banyak wajah-wajah buruk pembangkang akan terdedah kerana bak kata seorang pemimpin BN di Pulau Pinang, kertas tidak boleh membalut api. Begitu juga sandiwara dan lakonan politik pembangkang, ia sudah pasti tidak akan bertahan lama sebab itulah mereka tidur tak lena, resah gelisah dan gundah gulana apabila Perdana Menteri belum membubarkan Parlimen. Sementara mereka menuding jari mengatakan Perdana Menteri dan BN dalam ketakutan serta semak perut untuk mengadakan pilihan raya , hakikatnya pembangkanglah yang sebenarnya berada dalam kedudukan tidak tentu hala. Segala-galanya kerana pembangkang sudah tidak sabar lagi untuk menawan Putrajaya dan menumbangkan BN kerana pilihan raya kali ini dianggap penentu hidup mati perjuangan politik mereka. Namun kita percaya, tidak kira bila pun Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan, yang pasti rakyat sudah semakin mengetahui siapa yang sepatutnya mereka pilih sebagai kerajaan. Tidak apalah kalau pembangkang hendak meneruskan perasaan gelisah tidak tentu hala mereka kerana Parlimen belum dibubarkan, yang pasti BN tidak akan mengikut jejak amalan politik dangkal mereka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan