Oleh SITI AISHAH YUSOFF
Adam Fletcher (kiri) bersama Pengarah Urusan HK Strategies Kuala Lumpur, Julia Ahmad bercakap dalam sidang media Forum Tahunan Wanita Dalam Kepimpinan Asia Ke-3 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
PERANAN wanita bukan sekadar sebagai isteri dan ibu, malah sumbangan mereka dalam sektor ekonomi dan kuasa sosial juga setanding dengan lelaki.
Persepsi masyarakat terhadap kemampuan dan sumbangan mereka dalam pelbagai bidang dan sektor ekonomi turut berubah seiring peredaran zaman.
Sejak 1995, bilangan wanita dalam tenaga kerja meningkat 3.4 peratus tetapi jika terus merosot, Malaysia tidak akan mencapai matlamat menuju negara maju pada tahun 2020.
Lebih setengah juta rakyat Malaysia ke luar negara antara tahun 2007 hingga 2009, dan hanya sebahagiannya yang berminat kembali ke tanah air sendiri.
Sebagai usaha menghargai jasa dan kesungguhan wanita dari rantau Asia dalam bidang ekonomi dan kuasa sosial yang diceburi mereka, satu Anugerah Pencapaian Wanita Dalam Kepimpinan (WIL) akan diadakan.
Anugerah tersebut bersempena dengan Forum Tahunan Wanita Dalam Kepimpinan Asia Ke-3 yang akan berlangsung pada 28 hingga 29 Mac ini di Hotel The Royal Chulan, Kuala Lumpur.
Forum yang bakal dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor itu merupakan anjuran Kumpulan Naseba, sebuah syarikat perunding pertumbuhan pasaran beribu pejabat di Perancis dan beroperasi di beberapa negara termasuk Malaysia.
Pengurus Besar Kumpulan Naseba, Adam Fletcher berkata, sumbangan wanita Asia dalam sektor perniagaan dan ekonomi sangat memberangsangkan.
Selayaknya, pencapaian dan sumbangan mereka dalam membantu aspek kemajuan negara diiktiraf dan dihargai.
Antara anugerah yang diiktiraf adalah Peniaga Wanita Utama Terbaik, Usahawan Paling Inovatif Terbaik, Wanita Peneraju dalam Sektor Awam, Pembawa Perubahan Lelaki dan Majikan Paling Mesra-Wanita .
Lima wanita Malaysia juga antara calon yang disenarai pendek bagi pelbagai kategori Anugerah WIL.
Antara calonnya ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Hafsah Hashim, yang mana kedua-duanya disenarai pendek dalam kategori Wanita Peneraju dalam Sektor Awam," katanya.
Sementara itu, forum yang akan berlangsung selama dua hari itu turut dihadiri tokoh-tokoh wanita dalam sektor awam dan swasta, dari dalam serta luar negara.
0 ulasan:
Catat Ulasan