Utusan Online - Pendidikan |
Tingkat jati diri pelajar ala tentera Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT Sebahagian murid ceria sewaktu menjalani latihan berkumpulan dalam hutan pada program motivasi anjuran Bank Islam di Kem Bentong, Pahang baru-baru ini. Sebahagian murid ceria sewaktu menjalani latihan berkumpulan dalam hutan pada program motivasi anjuran Bank Islam di Kem Bentong, Pahang baru-baru ini. Tiga sekolah itu adalah Sekolah Menengah Gombak Setia, Selangor; Sekolah Kebangsaan Sungai Ranggam dan Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi, Teluk Intan, Perak yang juga sekolah program Pintar pilihan Bank Islam. Kesemua pelajar yang terlibat pada kem yang berlangsung selama tiga hari itu dipilih berdasarkan latar belakang keluarga berpendapatan rendah namun menunjukkan potensi cemerlang dalam pelajaran. Pelajar yang terpilih menyertai program itu dilatih dan dikawal selia pelatih Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Kem Bentong selaras dengan matlamat program yang memberi motivasi dan membina keyakinan pelajar khususnya mereka yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi. Program itu juga bertujuan menjadi input tambahan kepada pembelajaran dalam darjah dan memperlengkapkan diri pelajar dengan keyakinan dan motivasi tinggi. Kem motivasi itu juga merupakan salah satu inisiatif Bank Islam dalam membantu masyarakat dengan fokus utama untuk meningkatkan taraf pendidikan termasuk latihan dalam kumpulan, ceramah kepimpinan, rentas desa dan latihan pertolongan cemas. Salah seorang murid, Muhammad Hazim Rislan dari Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi berkata, dia berasa bertuah kerana terpilih menyertai program itu kerana ia berjaya membantu dirinya meningkatkan keyakinan diri "Usaha ini telah mendorong saya untuk belajar dengan bersungguh- sungguh bagi menghadapi UPSR malah saya berasa amat teruja untuk menghadapi UPSR pada September ini," katanya. Sementara itu, Pengurus Perniagaan Pengguna Wilayah Timur Bank Islam, Abd. Manan Talib berkata, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM150,000 pada tahun ini bagi menggerakkan pelbagai aktiviti khusus program sekolah Pintar. Ujarnya, antara aktiviti yang dijalankan sebelum ini seperti kelas tuisyen intensif bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, anugerah pelajar cemerlang, penambahbaikan persekitaran pembelajaran di sekolah dan sumbangan wang zakat kepada pelajar kurang bernasib baik. ''Bank Islam berhasrat memperluaskan program seperti ini ke sekolah lain bagi memberi peluang pendidikan kepada pelajar terutamanya di kawasan luar bandar untuk membentuk kecemerlangan diri,'' katanya. |
Pencapaian akademik penentu masa depan Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT GENERASI muda digalakkan belajar ke tahap paling tinggi kerana pencapaian akademik boleh menjamin kehidupan masa depan yang lebih baik sekali gus dapat bersaing dalam kerjaya masing-masing di peringkat global. Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, generasi muda khususnya murid sekolah menengah hendaklah belajar bersungguh-sungguh sehingga ke tahap paling tinggi supaya dapat mencorakkan kehidupan masa depan keluarga dan masyarakat sekeliling. "Semakin tinggi kelulusan seseorang itu semakin tinggi kedudukannya dalam sesebuah organisasi atau masyarakat berkenaan," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Baucar Bantuan Buku kepada pelajar pra-universiti sekitar Parlimen Bagan Datoh di Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Sumun, Perak, baru-baru ini. Beliau berharap bantuan baucar bernilai RM250 itu dapat dimanfaatkan untuk membeli buku dalam usaha meningkatkan tahap ilmu setiap murid. Selain itu, kata Ahmad Zahid, hasil kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Hilir Perak, beberapa sekolah rendah dan menengah sekitar kawasan berkenaan berjaya meningkatkan pencapaian tinggi dalam peperiksaan awam di negara ini. "Murid yang berpotensi lulus cemerlang dalam peperiksaan awam diberikan bimbingan kaunseling, motivasi, lawatan ke sekolah berasrama penuh dan institusi pengajian tinggi supaya mereka terangsang mahu belajar bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dalam pelajaran," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pendidikan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan