Ahad, 31 Mac 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kebakaran: 14 keluarga tinggal sehelai sepinggang

Posted: 31 Mar 2013 03:23 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH

TANAH MERAH 31 Mac - Seramai 14 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Banggol Kemunting di sini hangus dalam kebakaran petang ini.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu tidak melibatkan kemalangan jiwa kerana semua mangsa yang terlibat berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Zon Machang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Che Rusli Che Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 1.45 petang.

Menurutnya, 16 anggota dari dua buah balai iaitu Tanah Merah dan Machang bersama tiga buah jentera telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran.

"Pihak kami mengambil masa selama 20 minit untuk mengawal api dari merebak ke kawasan berhampiran kerana kedudukan rumah terlalu rapat. Punca dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kegiatan tak bermoral bukti Kelantan bukan negeri sempurna - Mustapa

Posted: 31 Mar 2013 03:22 AM PDT

KOTA BHARU 31 Mac - Pendedahan sebuah akhbar tempatan hari ini mengenai masih wujudnya kegiatan tidak bermoral di Kelantan membuktikan negeri itu bukanlah sebuah negeri yang sempurna dan bebas masalah itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jolokan Serambi Mekah yang diberikan kepada Kelantan bukan bermakna negeri itu tidak menghadapi masalah moral yang sepatutnya tidak berlaku.

"Sekiranya benar laporan itu, ia sesuatu yang mendukacitakan dan kerajaan Kelantan telah gagal menjadikan negeri ini sebagai Serambi Mekah dan rakyat Kelantan perlu membuka minda dengan keadaan itu," katanya kepada pemberita di pejabat UMNO Negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar New Sunday Times hari ini yang bertajuk Kelantan After Dark yang mengatakan masih wujud beberapa kegiatan tidak bermoral di Kelantan antaranya membabitkan pelacuran, pengambilan dadah serta perjudian termasuk dilakukan kalangan remaja.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sepatutnya pihak berkuasa tempatan berusaha mengatasi kegiatan itu dalam usaha memulihkan imej Kelantan terutama sebagai negeri yang dipimpin Islam. - BERNAMA

Lebih 120,000 tonton video animasi

Posted: 31 Mar 2013 03:08 AM PDT

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 31 Mac - Video animasi pendek bertajuk Mr. Mansuh yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin pakatan pembangkang di laman YouTube terus mendapat sambutan hangat selepas ia ditonton lebih 120,000 kali sejak dimuat naik sebulan lalu.

Lebih menarik, setakat 4.30 petang ini, 5,792 penonton menekan butang Like menandakan mereka tidak menyokong tindakan pemimpin itu yang berjanji memansuhkan pelbagai dasar kerajaan selama ini jika pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang.

Walau bagaimanapun, sebanyak 3,813 penonton pula memilih butang Dislike bagi menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap pemimpin itu dan pakatan pembangkang.

Video animasi Mr. Mansuh menjadi perbualan hangat masyarakat selepas dimuat naik ke laman perkongsian video tersebut kira-kira sebulan lalu.

Menerusi video itu, watak 'super hero' berkenaan digambarkan mampu terbang untuk menabur janji kepada rakyat termasuk memansuhkan pelbagai dasar yang dilaksana kerajaan selama ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved