Ahad, 31 Mac 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kerajaan sedia RM3.7 juta

Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

MARAN 31 Mac - Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta bagi membina Pejabat Agama Islam Daerah Maran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil berkata, projek pembinaan bangunan itu akan dilaksanakan segera dan dijangka siap pertengahan tahun hadapan.

Katanya, bangunan baharu tersebut sangat perlu bagi menggantikan bangunan lama setelah berlakunya pertambahan hampir 30 kakitangan, selari dengan pertambahan penduduk daerah ini.

"Kerajaan Pahang pada tahun 1999 telah bersetuju meletakkan peranan pejabat agama Islam daerah lebih menyeluruh yang berkaitan undang-undang dan enakmen Islam.

"Ini secara langsung mempengaruhi ruang pejabat dan pertambahan kakitangan, selari dengan transformasi pentadbiran yang cekap kepada rakyat," katanya Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Munawar berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan bangunan baharu Pejabat Agama Islam Daerah Maran.

Yang hadir sama Pegawai Daerah, Datuk Fadzilla Salleh, Ketua Polis daerah, Deputi Superitendan Sulaiman A.Hamid dan Pegawai Agama Islam daerah, Syarifuddin Mohamad Said.

Menurutnya, bangunan lama yang turut menempatkan Mahkamah Syariah Maran sudah berusia lebih 50 tahun tidak dapat lagi menampung pertambahan kakitangan.

Tambah beliau, bangunan baharu dua tingkat yang dibina bersebelahan bangunan lama akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti auditorium.

Menurut beliau, perubahan enakmen dan undang-undang berkaitan memerlukan bahagian penguatkuasaan dan penghakiman dipisah dengan pejabat pentadbiran masing-masing.

"Ini bermakna bangunan lama yang masih kukuh akan dikekalkan sebagi mahkamah syariah, sekali gus menonjolkan kecekapan pentadbiran," jelasnya.

Orang Asli terus dibela di bawah BN

Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT

KUALA LIPIS 31 Mac - Kerajaan Barisan Nasional (BN) baik di peringkat Pusat mahupun negeri akan terus membantu menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri ini menerusi dasar agenda transformasi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel berkata, masyarakat minoriti itu tidak perlu ragu tentang perkara ini kerana kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terbukti amat prihatin kepada semua kaum.

"Sehingga kini, kerajaan telah menghulurkan banyak bantuan melalui pelbagai program dan saya yakin etnik Orang Asli di negeri ini berada pada landasan yang betul ke arah mencapai kesejahteraan dan kemakmuran.

"Orang Asli akan terus menikmati kemajuan sekiranya mereka bersatu-padu dan memberikan sokongan kuat untuk kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan penduduk Orang Asli di Pos Kuala Koyan dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Cameron Highlands, Baharuddin Saaid.

Pada majlis sama, Palanivel yang juga Presiden MIC turut menyumbangkan sebanyak 200 kampit beras dan hamper makanan kepada ketua keluarga Orang Asli serta meninjau Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Pos Kuala Koyan.

Menurut Palanivel, kemampuan kerajaan BN membantu penduduk Orang Asli tidak mampu disanggah oleh pembangkang yang bersandarkan tohmahan dan hasad dengki terhadap program transformasi pembangunan yang terbukti cemerlang mengubah kehidupan rakyat di luar bandar.

"Jangan percaya dakyah pihak tertentu yang datang masuk ke kampung kita menjelang pilihan raya umum ini dengan menjanjikan sesuatu habuan menarik, tetapi ternyata tidak mampu ditunaikan seperti yang berlaku di negeri di bawah pemerintahan pembangkang," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, keharmonian dalam kalangan penduduk pelbagai kaum dan kepercayaan di negara ini perlu dipertahan dan mengelak daripada menimbulkan isu-isu yang dianggap sensitif.

Tambahnya, masyarakat Orang Asli mempunyai masa depan yang cerah dengan pengenalan pelbagai projek di bawah Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan termasuklah pendidikan.

Terap penjagaan alam sekitar

Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT

Oleh AMIR SARIFUDIN
pengarang@utusan.com.my

Sebahagian daripada murid-murid yang menyertai gotong-royong membersihkan kawasan pantai pada Bubble Camp 2013 di Pulau Tioman.

PULAU TIOMAN 31 Mac - Pelbagai pengisian dan program diadakan sempena cuti persekolahan baru-baru ini supaya murid-murid tidak mensia-siakan masa yang terluang.

Satu daripada pengisian amat berfaedah ialah penjagaan alam sekitar meliputi mengenali spesies hidupan laut, menjaga keselamatan diri ketika aktiviti air, menerapkan rasa yakin pada diri, berinteraksi sesama murid dari berlainan sekolah dan banyak lagi.

Ini dilakukan melalui penganjuran Bubble Camp 2013 di Pulau Tioman, Pahang dari 25 hingga 28 Mac lalu.

Seramai 42 murid dari beberapa buah sekolah kebangsaan menyertai program tersebut yang diadakan di Damai Tioman Resort, Kampung Genting, Pulau Tioman.

Apa yang menarik, murid-murid berusia enam hingga 12 tahun itu datang dari pelbagai latar belakang keluarga.

Namun, kehadiran murid-murid itu berjaya menyesuaikan diri dalam program berkenaan.

Kalangan murid terbabit datang dari beberapa buah sekolah antaranya Sekolah Kebangsaan Kampung Tekek, Pulau Tioman; Sekolah Kebangsaan Sri Mersing; Sekolah Kebangsaan Paichee, Mersing dan beberapa buah sekolah lain termasuk Selangor.

Bubble Camp 2013 merupakan penganjuran kali kedua dan tahun ini penyertaan murid bertambah berbanding siri pertama pada tahun lalu.

Program anjuran Villagers Travel & Tours itu mendapat kerjasama daripada Tourism Malaysia Pahang dan Lembaga Pelancongan Tioman.

Pengarah program, Syed Rizalman Syed Abu Bakar ketika ditemui memberitahu, antara fokus program ialah memberi keyakinan kepada murid semasa menjalankan aktiviti berkaitan air selain mengenali spesies hidupan laut.

"Sepanjang program, kita juga mengadakan ceramah mengenai pemuliharaan alam sekitar yang berkaitan hidupan laut.

"Kita terapkan pengetahuan pemuliharaan bagi melahirkan generasi pelapis yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar," katanya.

Turut menarik perhatian mengenai Bubble Camp tersebut ialah kalangan murid juga diajar mengenai teknik-teknik snorkeling dan skuba.

"Pada mulanya ramai murid yang agak gementar apabila melakukan dua aktiviti berkenaan.

"Ada yang takut dan tidak yakin pada diri sendiri. Tetapi melalui tunjuk ajar serta diterapkan keyakinan serta percaya pada diri sendiri, kesemua murid berjaya melalui aktiviti berkenaan dengan selamat.

"Bagi mereka, aktiviti seperti skuba seolah-olah mereka berada dalam sebuah dunia yang baharu. Aktiviti yang pada mulanya agak menimbulkan rasa gementar itu akhir menjadi aktiviti menyeronokkan," katanya.

Menurutnya, murid-murid yang menyertai Bubble Camp itu juga dipertontonkan gambar-gambar mengenai spesies laut termasuk yang boleh memudaratkan keselamatan.

Menurut Syed Rizalman, pengetahuan sedemikian sangat penting terutama apabila mereka berada di kawasan percutian dan sebagainya.

Menjadi harapan pihak penganjur, murid-murid yang menyertai program tersebut dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan bersama rakan-rakan lain apabila pulang nanti.

"Generasi muda sekarang dapat bertukar-tukar pengetahuan dari program seperti ini dengan rakan-rakan lain menerusi facebook atau laman sosial lain,'' katanya.

Menjawab pertanyaan, Syed Rizalman berkata, pihaknya bercadang memperluaskan program tersebut pada masa hadapan melibatkan penyertaan ibu bapa.

"Kita akan aturkan program berasingan bagi ibu bapa. Selain mereka dapat memantau anak-anak yang menyertai program ini, ibu bapa juga dapat mengeratkan hubungan sesama mereka.

"Secara langsung, pihak pengajur dengan sokongan Tourism Malaysia dan Lembaga Pelancongan Tioman dapat memperkenalkan pulau ini sebagai destinasi percutian keluarga,'' katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved