Utusan Online - Feminin |
Posted: 30 Mar 2013 02:00 AM PDT PADA hujung minggu, pasti ramai yang mahu bersantai dengan selesa tanpa perlu berkompromi dengan pakaian dan gaya yang mahu dikenakan. Antara pilihan jenama paling sesuai sudah tentulah Esprit, yang menawarkan keselesaan dalam gaya kasual penuh keremajaan. Terbaharu Esprit tampil dengan tema Mengembara Penuh Gaya. Tema ini diilhamkan sempena kemunculan koleksi Esprit Musim Bunga/Panas 2013. Koleksi kali ini memperkenalkan gaya tersendiri dan rekaan unik yang sesuai dipakai dalam setiap majlis yang dihadiri. Dengan rekaan ini, pengguna Esprit dapat mengekalkan pendiriannya serta mengetahui fesyen tertentu yang dapat membuatkannya berasa selesa dan lebih yakin. Dikenali dengan penggunaan fabrik berkualiti tinggi dengan perincian sempurna, koleksi terbaharu ini menggunakan pelbagai warna, fabrik dan tekstur yang diilhamkan oleh para pelancong dari seluruh dunia. Selain itu, untuk membangkitkan semangat percutian, Esprit menampilkan warna-warna tanah, alam dan semula jadi seperti merah karang, biru firus dan hijau asid serta banyak lagi. Esprit Musim Bunga/Panas 2013 ini juga memperkenalkan dua penyeri wajah utamanya iaitu ikon fesyen terkenal yang juga model dan pelakon dari Amerika Syarikat, Dree Hemingway dan model terkenal dari China, Liu Wen untuk berkongsi tip perjalanan mereka. Mereka juga menunjukkan bagaimana koleksi tersebut sesuai dipakai semasa musim panas. Antara rekaan utama koleksi ini adalah seluar potongan lurus dengan corak cetakan, kemeja, jaket, topi boling dan jean skinny. Selain itu, lengkapkan penampilan dengan pilihan aksesori perincian logam seperti beg dan tali pinggang. Koleksi terbaharu ini boleh didapati mulai Februari lalu di semua butik Esprit di seluruh negara. |
Posted: 30 Mar 2013 02:00 AM PDT Oleh AZELI ALI DEK kerana ingin mengenali sang dara pujaan hati secara lebih dekat, dia sanggup menyuruh rakannya menyamar di pondok telefon di hadapan rumahnya di Penanti, Pulau Pinang. Dia juga sanggup menaiki bas yang sama, namun hanya memerhatikan dari jauh dan langsung tidak menegur sang dara sebelum turun di perhentian yang sama dan masing-masing berpisah di persimpangan jalan. Itulah dua perkara yang menjadi detik perkenalan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Ibrahim Ahmad, 48, dan isterinya, Roshidah Ahmad, 45. Menurut Ibrahim, pasti meletus hilai tawa andainya ada di antara mereka mengungkit kisah tersebut. Ini kerana apabila diingati kembali terasa amat menggelikan hati. Bercerita lanjut Ibrahim, berkata, dia diperkenalkan dengan isteri melalui sepupu Roshidah yang juga kawan baiknya sewaktu berniaga burger di pekan Penanti. Namun, mereka tidak pernah bersua muka, sebaliknya hanya telefon awam menjadi penghubung sehinggalah dia mengambil keputusan untuk menatap sendiri wajah gadis pujaan hati yang ketika itu belajar di Bagan Ajam. Masa dulu, telefon awam menjadi talian komunikasi yang penting. Setiap hari, dia (Roshidah) dan saya akan berbual menggunakan telefon awam. Suatu hari, dia berjanji akan menghubungi saya pada pukul dua petang keesokan harinya. Saya pula tahu dia akan buat panggilan dari sebuah pondok telefon awam di Bagan Ajam. Disebabkan saya nak tengok wajahnya buat pertama kali, saya minta seorang rakan menyamar menjadi saya untuk menjawap panggilan darinya di Penanti. Saya pula naik motosikal menuju ke pondok telefon awam di Bagan Ajam. Saya berdiri di belakangnya dan berpura-pura menunggu giliran untuk menggunakan telefon tersebut. Dengan cara itu, dapatlah saya lihat wajahnya," kata Ibrahim tersenyum. Tambahnya, dia juga pernah menaiki bas yang sama dengan Roshidah ketika pulang dari Bagan Ajam dan turun di tempat yang sama sebelum menuju ke rumah sepupu Roshidah, manakala isterinya meneruskan langkah pulang ke rumah. Roshidah yang tersenyum kemudian mencelah, rahsia suaminya itu hanya terbongkar apabila dia menyambung persekolahan di Guar Perahu. Selepas dua tahun menjalinkan hubungan, mereka akhirnya diijabkabulkan pada 28 Oktober 1990 dan kini bahagia dengan kehadiran empat puteri iaitu Norhamiza, 22; Nornadia, 18; Noradila, 13, dan Norsofiya Umairah, 4. Jelas Ibrahim, selepas berkahwin, isterinya banyak membantu menguruskan perniagaan burger miliknya. Kehadiran anak-anak menambah rezeki buatnya sehingga pernah menjadi pengedar daging burger terbesar di utara Semenanjung. Selepas itu, mereka mengusahakan kedai runcit dan menjadi usahawan bumiputera pertama di pekan Penanti yang menjual daging burger sehingga pukul dua pagi. Ibrahim juga membuka sebuah restoran di Mengkuang dan kini serius menjadi kontraktor. Disebabkan perniagaan daging burger ini jugalah, saya lebih dikenali sebagai Ad Burger dalam kalangan penduduk setempat," ujarnya. Ditanya mengenai keistimewaan Ibrahim di mata Roshidah, jawapannya amat ringkas iaitu Ibrahim seorang yang lucu serta menghiburkan. Malah katanya, rumah itu pasti akan sunyi sekiranya Ibrahim terpaksa ke luar kawasan atau sibuk dengan tugasan perniagaan. Itulah sebabnya, mereka akan memaksimumkan aktiviti masa lapang sekeluarga termasuk keluar menikmati hidangan kegemaran atau bercuti ke destinasi pelancongan dalam dan luar negara. Ibrahim menambah, kerjayanya yang sibuk menyebabkan masa bersama keluarga agak terhad dan untuk lebih santai, dia membina kolam memancing di belakang rumahnya. Jelasnya, biarpun kolam itu pada mulanya khas untuk keluarga, namun kini ia dibuka untuk orang awam serta menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah memancing udang dan ikan air tawar. Walaupun saya sentiasa sibuk, keluarga tetap berada di tempat paling utama di hati saya," katanya mengakhiri perbualan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan