Utusan Online - Rencana |
Posted: Jangan undang kemurkaan AllahOleh SAIFULIZAM MOHAMAD NEGARA digemparkan dengan tindakan berani 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menganjurkan program Seksualiti Merdeka 2011 iaitu satu program yang dibimbangi menggalakkan seks bebas. Walaupun Perlembagaan dalam perkara 3 (1) memperuntukkan bahawa Islam merupakan agama Persekutuan dan menjadi tonggak kepada tertubuhnya Malaysia, ia tidak menjadi penghalang kepada kesemua NGO terbabit menunjukkan 'belang' mereka menganjurkan program yang menjijikkan itu. Bagaimanapun program yang bertujuan memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mendapat bantahan keras daripada pelbagai pihak bukan sahaja di kalangan masyarakat Islam malah komuniti bukan Islam. Mereka mahu program seperti itu dihentikan dan pihak penganjur antaranya bekas Presiden Majlis Peguam yang juga Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk S.Ambiga dikenakan tindakan undang-undang kerana perbuatan itu bertentangan dengan Perlembagaan selain berlawanan dengan fitrah manusia. Seperti mana kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin tujuan penganjur program itu adalah untuk menunjukkan mereka selari dengan amalan hak asasi manusia berdasarkan prinsip-prinsip antarabangsa meskipun sedar ia tidak mungkin berlaku kerana Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara Islam. Jelas, program yang memperjuangkan seks bebas hukumnya haram dan ia dinyatakan sendiri di dalam al-Quran khususnya mereka yang mengamalkan hubungan sejenis. Harus diingat perbuatan memperjuangkan LGBT atau apa-apa perjuangan yang berlawanan dengan ketetapan hukum Allah SWT sebenarnya hanya akan mengundang kemurkaanNya. Berdasarkan sejarah umat terdahulu, Allah pernah menurunkan mala petaka ke atas mereka sehingga kaum-kaum tersebut dilenyapkan daripada muka bumi ini. Puncanya kaum-kaum itu ingkar kepada perintah Allah termasuk golongan yang mengamalkan seks bebas dan seks sejenis. Pada masa itu tiada siapa yang boleh menghalangNya kerana sesungguhnya Allah Maha Berkuasa daripada segala-galanya dan kehebatan kekuasaan Allah terlalu banyak disebutkan di dalam al-Quran. Cuba lihat bala yang menimpa kaum Nabi Luth dan kemusnahan bandar Pompeii ekoran berlakunya gejala seks bebas serta hubungan seks sejenis. Tidak dinafikan dua kisah ini sering dipaparkan untuk bacaan umum sama ada di majalah, akhbar mahu pun buku tetapi penulis mahu memaparkan semula dua kisah ini kerana ia amat berkaitan dengan penganjuran seks bebas serta memperjuangkan hak LGBT oleh 20 NGO terlibat. Kisah pertama ialah mengenai sejarah umat Nabi Luth. Nabi Luth A.S hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim A.S dan baginda diutus sebagai rasul kepada satu kaum yang berjiran dengan kaum Nabi Ibrahim. Seperti mana yang disebut di dalam al-Quran kaum Nabi Luth membudayakan perbuatan yang bercanggah dengan syariat serta fitrah manusia iaitu melakukan hubungan jenis antara lelaki dan lelaki juga dikenali dengan liwat. Ekoran budaya tersebut, Nabi Luth dengan segala kudratnya menyeru semua umatnya meninggalkan perbuatan terkutuk itu dengan mengingatkan kepada mereka amaran serta peringatan yang telah disampaikan oleh Allah. Bagaimanapun kaum Nabi Luth yang angkuh itu menolak seruan tersebut dengan terus melakukan perbuatan liwat sesama lelaki dan paling malang mereka turut menafikan kerasulan Nabi Luth. Seruan Nabi Luth disambut dengan pelbagai ugutan dan cemuhan daripada kaumnya. Mereka tidak mahu Nabi Luth menganggu budaya liwat yang begitu digemari mereka ketika itu. Nabi Luth dikecam hanya disebabkan baginda menunjukkan kepada umatnya ke jalan yang benar. Cuba lihat maksud surah al-A'Araf ayat 80-81; Dan Nabi Luth (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya ''Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun penduduk alam ini sebelum kamu''. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Bagaimanapun ingatan yang diberikan oleh Nabi Luth itu dijawab sinis oleh kaumnya. Perkara ini disebut di dalam al-Quran di dalam surah yang sama ayat ke 82; Dan tidak ada jawapan daripada kaumnya selain mereka berkata ''Usirlah mereka (Nabi Luth dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang yang mendakwa mensucikan diri. Setelah menerima jawapan daripada kaumnya, Nabi Luth memohon berdoa kepada Allah dan ia dinyatakan di dalam surah as-Syuara ayat 169; (Nabi Luth berdoa) ''Ya Allah selamatkanlah aku serta keluargaku dari (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan''. Akhirnya melalui perutusan dua malaikat, Nabi Luth sekeluarga serta pengikut-pengikut yang setia dibawa keluar ke satu tempat lain kerana Allah mahu memusnahkan umatnya yang durhaka itu. Kaum Nabi Luth yang begitu biadab sebelum itu telah mengepung rumah baginda kerana mahu bertemu dengan dua orang tetamu terdiri daripada dua malaikat berkenaan. Mereka mahu melakukan perbuatan yang dimurkai oleh Allah. Ekoran itu, Nabi Luth seperti mana dalam surat al-Hijr ayat ke 68-69 berkata ; ''Sesungguhnya mereka ini tetamu aku. Maka janganlah kamu memberi malu kepadaku. Dan takutlah kamu kepada Allah, serta janganlah kamu menghina aku.'' Berikutan kebiadapan tersebut, Allah segera menyelamatkan Nabi Luth sekeluarga dan pengikut-pengikutnya yang taat melalui perutusan dua malaikat tersebut, kaum baginda kemudian dimusnahkan dalam malapetaka yang dahsyat pada sebelah pagi. Surah al-Hijr ayat 73-74 menceritakan segala-galanya: Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan kaum Lut tunggang-terbalik (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah terbakar.'' Inilah akibat mereka yang mengingkari perintah Allah dengan melakukan perbuatan hubungan sejenis sesama lelaki. Peristiwa ini dianggarkan berlaku kira-kira 1,800 sebelum masihi dan kesan sejarah kebinasaan kaum Nabi Luth terdapat di kawasan Laut Mati di sempadan Jordan-Israel. Kisah kedua adalah mengenai bala bencana yang diturunkan oleh Allah kepada masyarakat yang tinggal di bandar Pompeii kerana berlakunya seks bebas hingga ke peringkat melakukannya secara terbuka. Pompeii ialah simbol keruntuhan Empayar Rom yang terlibat dengan kegiatan seks melampaui batas. Kemusnahan yang berlaku ke atas rakyat bandar itu serupa dengan balasan dialami oleh umat Nabi Luth. Kehancuran masyarakat di kawasan itu adalah akibat daripada letupan gunung berapi Vesuvius terletak di bandar Naples, Itali. Kehilangan bandar Pompeii akibat malapetaka itu bukan tanpa sebarang sebab. Rekod sejarah menunjukkan bandar tersebut menjadi pusat memuaskan nafsu dan perbuatan melampau batas kemanusiaan Jumlah rumah pelacuran tidak terhitung banyaknya. Mereka juga mengikut tradisi daripada kepercayaan Mithra yang mempercayai alat-alat kelamin dan persetubuhan tidak sepatutnya terlindung tetapi hendaklah dilakukan tempat terbuka, Bagaimanapun perlakuan mereka mendapat kemurkaan Allah dan ia dibuktikan dengan letusan gunung Vesuvius dan lavanya menyapu bersih penduduk di kawasan itu dengan tidak seorang pun terselamat. Dengan sekelip mata mereka menjadi batu. Malah berdasarkan beberapa penemuan terdapat mereka yang sedang melakukan hubungan seks turut menjadi batu. Dua contoh di atas menunjukkan bukti kemurkaan Allah terhadap mereka yang sengaja mencabar ketetapan Allah dan kedua-duanya merupakan bukti sejarah yang wajar dijadikan iktibar. Sehubungan itu, kepada pihak berkuasa mereka perlu membanteras kegiatan seks bebas dan perjuangan LGBT hingga ke akar umbi tanpa sebarang kompromi. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan kerana ia juga merupakan amanah daripada Allah. Pusat-pusat pelacuran, homoseks dan apa jua pusat seks bebas di negara ini hendaklah dimusnahkan kerana kewujudan kegiatan maksiat seperti ini hanya akan mengundang kemurkaan Allah sekali gus memberi kesan buruk kepada negara. Kepada orang Islam yang terlibat dengan kegiatan LGBT serta seks bebas, bertaubatlah sebelum nyawa ditarik oleh Malaikat Maut. Kembalilah ke pangkal jalan. Apa yang anda lakukan itu dosanya amat besar. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Sidang DUN sebelum PRU-13?Oleh HELMI MOHD. FOAD Lebih 500 orang berkumpul di pekarangan masjid negeri untuk menyokong tindakan Jabatan Agama Islam (JAIS) dan membantah kegiatan pihak tertentu yang didakwa cuba memurtadkan orang Islam di Shah Alam, Selangor, Ogos lalu. SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor iaitu mesyuarat ketika penggal keempat membuka tirainya hari ini. Sidang akan berlangsung hingga 18 November ini. Bagi pemerhati politik, ini merupakan sidang DUN yang begitu penting sama ada di pihak kerajaan negeri yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP serta Pas manakala Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang. Ini kerana sidang DUN kali ini diadakan ketika gendang Pilihan Raya Umum (PRU) semakin kuat dipalu. Ada yang menyatakan mungkin ini adalah sidang terakhir sekiranya pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih untuk membubarkan Parlimen sebelum Mac tahun depan. Bagaimanapun tidak dipastikan sama ada pakatan PKR, DAP dan Pas akan turut serta membubarkan DUN atau mahu terus menunggu mandat tamat pada 2013. Setelah Kerajaan Pusat membentangkan bajetnya yang dilihat memberi pukulan kepada parti-parti pembangkang, kini giliran kerajaan negeri pula akan membentang bajetnya. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah pasti menghadapi laluan sukar kerana pasti banyak perkara yang perlu ditawarkan kepada rakyat terutama dari sudut kebajikan. Beliau pasti terbeban dengan tuduhan-tuduhan negatif penyokong parti dan sekutunya yang menganggap Bajet 2012 adalah gula-gula politik sedangkan Abdul Khalid pula mahu menawarkan apa ketika rakyat menanti-nanti imbuhan daripada kerajaan PKR, DAP dan Pas. Abdul Khalid sudah pasti akan memastikan bajetnya tersebut memberi impak positif menjelang PRU-13 termasuk menjamin populariti kepimpinannya tidak merudum. Ini kerana Menteri Besar itu sedar beliau hanya mempunyai cengkaman pentadbiran sahaja tetapi cengkaman dan penguasaan politik dibayangi oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. Belum tentu beliau akan terus kekal menerajui negeri ini sekiranya PKR berjaya mengekalkan kerusi yang banyak pada PRU akan datang kerana Pas dan DAP juga sudah pasti mengintai tempat kerusi panas Menteri Besar. Bajet kali ini menjadi tapak ujian pada Abdul Khalid untuk memastikan ekonomi Selangor akan terus mantap. Beliau turut menghadapi masalah besar sekiranya pertumbuhan ekonomi Selangor tidak mantap selain prestasi anak-anak syarikat terus merudum. Apatah lagi tahun depan dikatakan kerajaan negeri mahu memperkenalkan skim gaji minimum yang acap kali mereka laung-laungkan sebagai modal politik dan pilihan raya. Kalau prestasi ekonomi tidak mantap bagaimana mereka mahu melaksanakan skim tersebut. Justeru, menjadi tugas besar BN selaku pembangkang di negeri ini untuk melakukan proses 'semak dan imbang' terhadap pelbagai janji-janji pilihan raya umum 2008 setelah genap tiga tahun tujuh bulan tempoh pentadbiran pakatan PKR, DAP dan Pas di negeri ini selain strategi bajet mereka sejak 2009 iaitu Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), Negeri Maju Rakyat Sejahtera (2010) dan Hasil Negeri Untuk Rakyat (2011). Isu-isu yang berlaku sepanjang tempoh tersebut akan memberikan impak kepada setinggi mana tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan parti pembangkang di Selangor berdasarkan bidang-bidang tumpuan yang diberikan iaitu dari segi kredibiliti, efektif, keberkesanan dan tadbir urus. Sebenarnya memang mudah membuat pelbagai janji yang manis-manis tetapi apabila sudah mendapat tampuk kuasa dan menghadapi realiti politik dan masalah akar umbi ia tidak semudah dijangkakan. BN yang mendapat suntikan daripada Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beberapa kali melengkapkan pusingan program turun padang ke negeri selain pukulan Bajet 2012 yang sekali gus menenggelamkan sinar 'Buku Jingga' harus mengambil peluang ini untuk menampilkan perdebatan yang berkualiti dalam sidang kali ini bagi mendedahkan kepincangan pentadbiran kerajaan negeri di bawah teraju PKR, DAP dan Pas. Isu terbaru berkaitan laporan Ketua Audit Negara 2010 dijangka menjadi topik hangat. Jangan pembangkang hanya menghalakan peluru bagi memburukkan Kerajaan Pusat dengan bermodalkan laporan audit tersebut sedangkan kerajaan negeri juga perlu melihat kepincangan yang didedahkan dalam laporan yang sama. Jangan menjadi paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Ini termasuk membabitkan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Bhd. (KDEB). Pengauditan yang dijalankan antara Ogos hingga Disember 2010 mendapati secara keseluruhannya prestasi kewangan KDEB adalah tidak memuaskan kerana terdapat kerugian sebelum cukai pada 2009 berjumlah RM122.25 juta berbanding keuntungan sebelum cukai pada 2008 berjumlah RM34.45 juta. Pengurusan aktiviti utama KDEB dan prestasi kewangan tiga syarikat subsidiari KDEB juga tidak memuaskan pada 2009 yang mana terdapat kerugian selepas cukai berjumlah antara RM1.08 juta hingga RM139.23 juta. Menurut laporan itu lagi, selain itu, terdapat beberapa kelemahan tadbir urus korporat seperti mesyuarat Lembaga Pengarah yang tidak diadakan mengikut kekerapan, Audit Dalaman tidak ditubuhkan dan Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan yang tidak berfungsi. KDEB juga, jelas laporan itu, tidak membayar dividen kepada kerajaan negeri. Kerajaan memberikan alasan bahawa program pemberian air percuma 20 meter padu tidak mempunyai kaitan dengan kerugian KDEB. Namun setakat ini tiada sebarang sebab pula diberikan tentang faktor kerugian kalau bukan sebab air. Adakah faktor ketidakcekapan pengurusan baru KDEB? Kerana berdasarkan perjanjian dengan kerajaan negeri pada September 2008, KDEB telah diberikan pinjaman RM200 juta dengan faedah empat peratus setahun. Difahamkan kerugian KDEB pada 2009 kerana menanggung kos program air percuma bernilai RM131.47 juta di samping perbelanjaan penajaan gaji Persatuan Bola Sepak Selangor sebanyak RM4.1 juta sedangkan kedua-duanya bukan aktiviti KDEB. Program air percuma sepatutnya perlu diperjelaskan oleh Perbendaharaan Negeri Selangor. Pinjaman KDEB daripada kerajaan negeri adalah tidak wajar kerana syarikat tersebut perlu berhutang. Namun demi janji PRU-12, kerajaan negeri terpaksa meneruskan program air percuma meskipun tidak mampu dalam tempoh jangka panjang. Akhirnya KDEB tidak dapat bertahan dan pembayaran perlu diberhentikan. Kalau tidak anak syarikat kerajaan negeri itu akan terus mengalami kerugian. Pendedahan Laporan Audit Negara terhadap anak syarikat kerajaan negeri, Woldwide Holdings Bhd., PKPS Agro Industries dan Tourism Selangor Sdn. Bhd. juga memerlukan satu bedah siasat secara terbuka dalam sidang kali ini. Selain itu, kepimpinan Abdul Khalid juga tidak dapat lari daripada kepincangan yang pernah didedahkan sendiri oleh laporan audit dalaman kerajaan negeri berkaitan Yayasan Selangor dan juga kemelut yang menimpa Universiti Selangor (Unisel). Isu-isu melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar termasuk melibatkan pelantikan pasukan penasihat dan perunding luar dengan gaji lumayan hingga mengetepikan kemampuan pegawai sedia ada. Soal pengurusan hasil pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. juga sebenarnya masih menjadi tanya tanya. Sedangkan rakyat ingin tahu sejauh mana kebenaran hasil pasir yang dilombong secara agresif itu benar-benar masuk ke kantung rakyat. Ini kerana membincangkannya pada masa ini menjadi sub judice sementalah ia masih dalam pendengaran Jawatankuasa SELCAT. Mungkin dalam sidang DUN kali wakil-wakil rakyat BN akan menimbulkan kembali isu pasir. Seharusnya kerajaan negeri bersikap telus sejajar dengan Enakmen Kebebasan Maklumat yang telah diluluskan pada tahun lalu. Diharapkan persidangan kali ini tiada wakil rakyat yang terpaksa diarahkan keluar dewan persidangan sekiranya perdebatan menjadi hangat. Dari segi program pembasmian kemiskinan pula, langkah kerajaan negeri menaikkan paras pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM1,500 sebulan membuatkan kadar kemiskinan rakyat negeri ini berada pada paras 30 peratus iaitu melibatkan kira-kira 1.56 juta orang daripada keseluruhan 5.2 juta rakyat negeri ini. Selama tiga tahun tujuh bulan berapa peratuskah kadar itu dapat diturunkan? Soalnya setakat ini tidak kelihatan lagi program pembasmian secara agresif dilakukan sama ada di bandar atau luar bandar selain jumlah rumah kos rendah yang dibina terlalu jauh daripada mencukupi. Rakyat juga sering gusar dengan suasana politik di negeri yang dirasakan tidak selesa. Banyak isu sebenarnya dicipta oleh sikap kepimpinan parti-parti pembangkang tetapi sering kali BN dan UMNO yang menjadi kambing hitam. Tiga parti yang berlainan ideologi selain mempunyai kepentingan berbeza meliputi agama, bahasa, budaya dan kepentingan etnik - menyebabkan banyak isu yang dibangkit hingga menjadikan suasana negeri ini tidak tenteram. Bermula isu penjualan arak, isu kalimah Allah, bercambahnya hotel-hotel bajet, isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang didakwa sebuah gereja di Petaling Jaya dan akhirnya momokan terhadap Perhimpunan Selamatkan Akidah di Stadium Shah Alam. Kesemuanya menyaksikan pelbagai percanggahan di kalangan rakan-rakan dalam barisan Exco. Sampai sekarang Abdul Khalid tidak berani mendedahkan apakah status premis Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) yang membuatkan JAIS telah dihentam kiri dan kanan. Dalam konteks Bajet 2012, rakyat sedang menunggu sejauh semua realistiknya tawaran-tawaran yang ingin diberikan oleh Abdul Khalid. Sebab itu pentingnya rakyat menilai sejauh mana janji-janji yang dahulu terlaksana sebelum janji-janji baru ditaburkan kerana ini mungkin juga merupakan bajet pilihan raya bagi parti-parti pembangkang. Kerajaan negeri juga perlu memastikan selepas bajet ini diluluskan, tiada permohonan peruntukan tambahan yang terlalu tinggi. Jika tidak strategi pengurusan perbelanjaan cekap dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri bakal menjadi retorik semata-mata. Ingatlah rakyat sudah semakin sedar dan celik jika terdapat sebarang pembohongan dan tipu daya. Tunggu saja PRU-13. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan