Utusan Online - Utara |
- Perak latih 360 kaunselor bimbing golongan remaja
- 300 penduduk susah, masalah kesihatan dibantu
- Penduduk rayu atasi masalah banjir
Perak latih 360 kaunselor bimbing golongan remaja Posted: Perak latih 360 kaunselor bimbing golongan remajaOleh KHAIRUL ABIDIN NUAR khairul.nuar@utusan.com.my HAMIDAH Osman (tujuh dari kiri) bersama para penerima sumbangan ketika majlis penyerahan cek kepada NGO di Ipoh, Perak, kelmarin. - utusan/Roy Azis Abd Aziz IPOH 30 Okt. - Kerajaan negeri akan melatih 360 kaunselor bagi membantu usaha membimbing golongan remaja mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial seperti kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi. Pengerusi Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, inisiatif baru itu akan turut melibatkan latihan serta kursus selama sehari yang akan digerakkan Jabatan Pembangunan Wanita Perak mulai bulan depan. "Sebanyak 30 wakil melibatkan guru kaunseling, guru disiplin, kaunselor hospital dan warden asrama bagi setiap daerah akan dilatih termasuk 60 pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita terpilih. "Oleh itu, bermula Disember ini, kita akan mempunyai 360 kaunselor terlatih bagi fasa pertama dan bilangan ini akan ditambah pada tahun depan," katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis taklimat pelaksanaan program Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Perak di sini, semalam. Pada majlis tersebut, Hamidah turut menyampaikan cek bernilai RM552,000 kepada 168 NGO wanita Perak bagi melaksanakan tiga kempen yang bakal dilaksanakan di 24 kawasan Parlimen seluruh Perak mulai bulan depan. Tiga program tersebut adalah Kempen Rumah Harmoni: Keluarga Tanpa Keganasan, Kempen Wanita Sihat-Keluarga Tanpa Diabetes dan Kempen Akhlak Mulia-Gadis Bermaruah. Dalam pada itu, Hamidah berkata, kempen yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu akan melibatkan 19,200 peserta. Tambah beliau, pelaksanaan ketiga-tiga kempen tersebut amat penting terutamanya bagi mengatasi masalah penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga serta penyakit diabetes yang semakin meningkat. "Dalam kes penderaan kanak-kanak misalnya, negeri Perak telah mencatatkan peratusan tinggi pada tahun lalu iaitu sebanyak 331 daripada 3,257 kes (22 peratus) yang dilaporkan di seluruh negara. "Angka ini begitu serius kerana secara puratanya, setiap negeri tidak seharusnya melebihi tujuh peratus sahaja," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
300 penduduk susah, masalah kesihatan dibantu Posted: 300 penduduk susah, masalah kesihatan dibantuALOR SETAR 30 Okt. - Kira-kira 300 penduduk kurang bernasib baik dan menghadapi masalah kesihatan di sekitar Parlimen Alor Setar menerima bantuan menerusi Program Jasa Prihatin anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang bermula sejak dua bulan lalu. Pegawai Jasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata, Abdul Kadir Mohamad berkata, sebanyak 100 bantuan masing-masing telah disalurkan di kawasan DUN itu, Alor Mengkudu dan Kota Darul Aman. Katanya, setiap kali turun ke lapangan, pegawai Jasa akan disertai para pemimpin masyarakat setempat bagi membolehkan mereka mendekati orang ramai serta memahami masalah yang dihadapi mereka. "Program yang telah dua bulan berlangsung ini akan berterusan bagi memastikan orang susah dan penduduk yang mengalami masalah kesihatan mendapat bantuan dan perhatian sewajarnya," katanya di sini, hari ini. Abdul Kadir memberitahu, bagi kawasan Parlimen Alor Setar, program berkenaan mendapat sokongan kuat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah yang memberikan kerjasama erat termasuk meredah kampung bersama pegawai Jasa untuk menyampaikan sendiri bantuan berkenaan. Katanya, pendekatan yang digunakan oleh Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berbentuk mesra rakyat iaitu berkunjung dari rumah ke rumah bagi bertemu dan bertanya khabar penduduk termasuk dengan menunggang motosikal. "Dalam program yang diadakan di Kampung Suka Menanti, Ahmad Bashah menyampaikan bantuan berupa barangan makanan dan wang kepada enam warga emas yang sakit," katanya. |
Penduduk rayu atasi masalah banjir Posted: Penduduk rayu atasi masalah banjirTELUK INTAN 30 Okt. - Penduduk beberapa perkampungan di sekitar Changkat Jong di sini merayu pihak berkuasa terutamanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan itu. Mereka bimbang, jika masalah banjir yang melanda kampung terbabit tidak diatasi segera, ia mungkin akan melibatkan kerosakan harta benda lebih teruk serta risiko kehilangan nyawa. Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan, Datuk Idris Hashim berkata, rata-rata penduduk kawasan itu berharap masalah tersebut diatasi segera termasuk menaik taraf sistem pengairan dan perparitan di perkampungan berkenaan. "Kejadian banjir semakin meresahkan penduduk kerana paras air ketika banjir semakin meningkat sekali gus meningkatkan risiko keselamatan lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh. "Kita berharap tindakan segera diambil termasuk menimbang keperluan menaik taraf sistem perparitan sedia ada bagi menampung limpahan air setiap kali hujan lebat," katanya. Beliau yang juga Pengerusi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang) kawasan itu berkata demikian ketika meninjau keadaan mangsa banjir di sekitar perkampungan tersebut semalam. Dalam kejadian banjir itu, ratusan rumah ditenggelami air setinggi dua meter sehingga menyebabkan penduduk mengalami kerugian akibat harta benda rosak selain kemusnahan tanaman pertanian. Idris berkata, langkah segera wajar diambil kerana pihaknya bimbang kejadian seumpama itu akan menjejaskan kegiatan ekonomi penduduk selain mendatangkan kerugian kepada para peniaga. "Kita dapat lihat bagaimana banyak tanaman petani yang rosak dan mereka terpaksa menanggung kerugian. Selain itu, laluan trafik juga terjejas sehingga banyak kenderaan terperangkap," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan