Utusan Online - Sukan |
Posted: Remaja kita juara duniaOleh TAN MING WAI
KUALA LUMPUR - Skuad badminton remaja negara mencipta sejarah apabila buat kali pertama menjuarai acara berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Taipei, semalam. Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan utama di sebalik ketiadaan juara tujuh kali, China, menepati ramalan menewaskan juara 2006 Korea Selatan 3-0 untuk menjulang kejuaraan tersebut pada cubaan kesembilan. Meskipun Kejohanan Remaja Dunia dimulakan pada 1992, acara berpasukan campuran hanya diperkenalkan pada 2000 dan diadakan secara dwitahunan sehingga 2006 sebelum ia bertukar kepada acara tahunan mulai 2007. Kecuali edisi 2000 dan 2007, Malaysia tidak pernah gagal menaiki podium, malah sekali muncul naib juara pada 2009 di Alor Setar apabila ketika itu tumbang 0-3 pada perlawanan akhir kepada China. Di Taipei semalam, Malaysia tidak mensia-siakan ketidakhadiran China untuk menebus kekecewaan dua tahun lalu dan misi tersebut disempurnakan oleh penyandang juara perseorangan lelaki remaja Asia, Zulfadli Zulkifli, Sonia Cheah Su Ya dan Nelson Heg Wei Keat-Teo Ee Yi dalam acara masing-masing. Bintang muda kian meningkat, Zulfadli yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), bangkit dari kekalahan set pembukaan untuk menghadiahkan mata pertama untuk kem negara dengan menewaskan Lee Hong-Je 17-21, 21-11, 21-14. Korea Selatan menjangkakan mata akan hadir daripada barisan wanitanya tetapi ia tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, Sonia meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa menerusi kemenangan 25-23, 21-12 ke atas Kim Hyo Min, pemain yang secara mengejutnya dipertaruhkan Korea Selatan dalam final walaupun tidak beraksi di peringkat kumpulan dan separuh akhir. Set pertama berlangsung sengit menyaksikan Sonia dan Hyo Min terikat 22-22 dengan pemain kita itu tiga kali menyelamatkan mata akhir sebelum memenangi set getir itu. Sonia meningkatkan permainan pada set berikutnya apabila menang mudah 21-12, sekali gus memastikan Malaysia memperoleh mata kedua menerusi acara perseorangan wanita itu. Gandingan Nelson-Ee Yi, walaupun tercicir set pertama, nyata tidak mengecewakan apabila muncul hero menghadiahkan mata kemenangan dengan membenam cabaran Choi Sol Kyu-Jun Bong Chan 16-21, 21-18, 21-12. Diharapkan kejayaan menjulang gelaran berpasukan akan menyuntik semangat Zulfadli dan rakan-rakan dalam acara individu yang akan membuka tirai hari ini. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Irfan tekad buru cabaran baruOleh Iswan Shafiq Mat Isa
KUALA TERENGGANU - Setelah dua musim bersama Terengganu dan membantu memberi nafas baru kepada bola sepak negeri, jurulatihnya, Irfan Bakti mengambil keputusan untuk berundur semalam. Irfan yang kontraknya berakhir 30 November ini belum memutuskan pasukan yang akan dibimbingnya tetapi spekulasi mengaitkannya dengan Selangor. Menurut Irfan, ke mana hala tujunya nanti akan diputuskan dalam sehari dua lagi. Biarpun ia saat menyedihkan baginya, Irfan menyifatkan sudah sampai masanya dia meninggalkan pasukan itu untuk mencari cabaran baru walaupun mengejutkan para penyokong. ''Setelah mencapai persetujuan antara saya dan pengurusan, jadi saya mengundur diri, tidak lagi menyambung kontrak saya yang akan berakhir 30 November ini dan persefahaman ini adalah yang terbaik bagi saya dan pengurusan," ujarnya. Beliau dalam nada terharu berterima kasih kepada pengurusan yang dianggap telah berbakti kepadanya dan juga kepada pemain-pemain bersama sokongan padu peminat, yang mana hasilnya tahun ini sebagai tahun terbaik untuk Terengganu. Irfan menegaskan, langkahnya mengundur diri tiada kaitan dengan kegagalan menjulang Piala Malaysia dan juga soal pengurusan serta ganjaran. ''Kontrak saya habis 31 November. Jadi dengan cara baik saya meninggalkan pasukan itu sahaja. cukuplah dua tahun saya di sini dan saya akan cuba cari pasukan baru kerana saya sukakan cabaran," ujarnya. Menurut Irfan, beliau meninggalkan Terengganu dengan rasa bangga kerana membantu mencapai naib juara Piala Malaysia, naib juara Liga dan juara Piala FA. Katanya, tugas jurulatih baru bagi Terengganu akan menjadi lebih mudah dengan barisan pemain yang boleh terus digilap untuk kekal sebagai pasukan gergasi bola sepak negara. ''Pemain-pemain sudah disusun di situ. Hanya perlu sikit 'touch-up' saja. Tambahan pula pemain import akan datang. Pemain-pemain yang ada bersifat profesional dan saya berbangga memiliki kelompok pemain sebegitu," ujarnya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan