Utusan Online - Jenayah |
Kes integriti di Kelantan naik Posted: Kes integriti di Kelantan naikOleh AZRAN FITRI RAHIM KOTA BHARU 31 Okt. – Kerajaan Pas Kelantan kecewa dengan peningkatan mendadak kes membabitkan masalah integriti di kalangan kakitangan awam negeri ini. Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim berkata, pada tahun lalu, sebanyak 309 kes disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membabitkan kakitangan awam negeri ini. Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak jika dibandingkan pada 2009 yang mencatatkan sebanyak 200 kes penyelewengan, salah laku dan salah guna kuasa. "Saya juga banyak menerima surat layang mengenai integriti kakitangan awam negeri, jika sekali tidak apa tetapi jika banyak surat ditujukan kepada individu yang sama maka saya akan memanggil individu terbabit untuk siasatan. "Malah ada segelintir kakitangan awam hidup di luar kemampuan daripada gaji yang diperoleh, ini juga ada laporan, kita telah tubuhkan jawatankuasa khusus untuk memantau kakitangan yang gaya hidup mereka mewah di luar kemampuan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini. Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Zainuddin berkata, selain itu, beliau turut memandang serius masalah lewat dan tidak hadir bertugas tanpa sebarang alasan. "Ada setengah orang kata, ini isu kecil tetapi bagi saya besar, saya akan minta pihak audit supaya mengambil gambar tempat duduk yang kosong, kita akan buat macam untuk perangkap had laju. "Ini pun integriti, perlu hadir ke pejabat awal, ini kerenah lama, saya bukan tidak faham isu ini atau masalah yang dihadapi tetapi ia sering digunakan sebagai alasan tanpa mahu berubah," katanya. Beliau turut menegur sikap kakitangan awam yang tidak mesra ketika berurusan dengan orang ramai. "Integriti penting untuk membantu pelanggan dan menguruskan tanggungjawab yang diberikan dengan lebih baik, tetapi ada kakitangan kita muncung sebab jadi pegawai kerajaan, sampai jiran yang datang pejabat pun tidak kenal, sebab kita ego. "Kerja ini adalah anugerah Allah. Tidak perlu untuk ego atau rasa bangga. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan terus memantapkan integriti dan memerangi gejala rasuah, penyelewengan dan kerenah birokrasi," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Renggam Boy terlibat pelbagai kes jenayah tumpas di stesen bas Posted: Renggam Boy terlibat pelbagai kes jenayah tumpas di stesen basMOHD. Fawzi Arshad (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di IPD Kluang, Johor semalam. KLUANG 31 Okt. - Seorang suspek yang paling dikehendaki di daerah ini kerana terlibat dalam lebih 26 kes jenayah ditahan polis dalam serbuan di stesen bas di Renggam dekat sini baru-baru ini. Suspek yang dikenali sebagai Renggam Boy terlibat dalam pelbagai kes jenayah termasuk pecah rumah, jenayah kekerasan, samun dan pengedaran dadah di daerah ini sejak 2009. Berusia 27 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan, suspek bagaimanapun mampu hidup mewah hasil kegiatan jenayah dilakukannya, malah memiliki sebuah kereta BMW. Renggam Boy pernah ditahan di Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam pada tahun 2009 dan hasil penangkapan itu, suspek yang mengetuai kumpulan penjenayah Renggam Boy telah mendedahkan penglibatan rakan-rakannya. Berikutan pendedahan itu, tiga daripada ahli kumpulannya itu ditahan dan dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat manakala Renggam Boy ditahan di Simpang Renggam tetapi dibebaskan awal tahun lalu. Setelah dibebaskan, Renggam Boy kembali mengganas namun polis berjaya menghidu kegiatan suspek dan menahannya dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi di pekan Renggam pada 28 Oktober lalu. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad berkata, suspek ditahan bersama empat peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 382 gram dan tiga peket plastik mengandungi 10.15 gram syabu. "Suspek berada dalam senarai orang yang amat dikehendaki dan dalam serbuan itu kita turut merampas sebuah kereta BMW milik suspek untuk siasatan lanjut," katanya. Mohd. Fawzi berkata, suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung jika disabit kesalahan. Katanya, siasatan juga akan dijalankan berhubung penglibatan suspek dalam lima lagi kes samun, pecah rumah, pergaduhan dan memiliki senjata. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan