Utusan Online - Mahkamah |
Posted: Rayuan 4 penuntut UKM dibenarOleh NORLIZAH ABAS PUTRAJAYA 31 Okt. - Mahasiswa kini dibenar menzahirkan sokongan atau bangkangan terhadap kegiatan parti politik sama ada dalam atau luar negara selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU), terbatal dan melanggar Perlembagaan. Dengan keputusan bersejarah itu, seksyen tersebut yang sebelum ini menyekat para penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat atau menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap parti-parti politik, diputuskan sebagai tidak sah di sisi undang-undang. Keputusan majoriti 2-1 itu dicapai oleh panel tiga hakim selepas membenarkan rayuan empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor, April tahun lalu. Hakim Datuk Wira Low Hop Bing yang mengetuai sidang menolak rayuan penuntut-penuntut jurusan Sains Politik itu, manakala Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus dan Hakim Datuk Linton Albert membenarkannya. Bagaimanapun, penghakiman yang dikategorikan sebagai nas undang-undang itu belum muktamad kerana pihak responden terdiri daripada Kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan. Muhammad Hilman Idham, 22, Woon King Chai, 23, Muhammad Ismail Aminuddin, 23, dan Azlin Shafina Mohamad Adza, 23, ditahan polis ketika kempen berkenaan dan dihadapkan ke lembaga disiplin UKM pada 3 Jun tahun lalu. Mereka kemudiannya memfailkan saman pemula bagi mencabar tindakan tatatertib terhadap mereka serta perisytiharan bahawa seksyen berkenaan tidak sah. Ia bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 28 September tahun lalu. Muhammad Hilman ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu kejutan yang memberi ruang kepada golongan mahasiswa meluahkan kebebasan bersuara. Hakim Mohd. Hishamudin ketika membacakan penghakiman bertulisnya berpendapat, larangan menerusi Seksyen 15(5)(a) itu tidak munasabah kerana ia menyekat kebebasan bersuara mahasiswa ke arah pembangunan minda yang sihat dan bersifat kritikal. Pada hemat beliau, universiti sepatutnya menjadi tapak melahirkan golongan pemikir, bukannya institusi yang hanya berperanan mengeluarkan mahasiswa yang dilatih sebagai robot. Sehubungan itu, beliau tidak nampak bagaimana larangan terhadap golongan penuntut yang melahirkan sokongan atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik boleh mengganggu ketenteraman awam. ''Saya tidak faham dengan cara apa mereka boleh dikaitkan dengan aktiviti yang menggugat ketenteraman awam? Bukankah, parti politik merupakan entiti yang sah? Bukankah pemimpin politik termasuk menteri juga menganggotai parti politik?'' ujar Hakim Mohd. Hishamudin. Sehubungan itu, beliau menyifatkan seksyen berkenaan sebagai tidak rasional kerana secara ironinya menyatakan para mahasiswa tidak boleh melahirkan apa-apa sokongan kerana tindakan itu boleh ditafsirkan dari segi undang-undang sebagai menyokong atau membangkang parti politik. Sementara itu, Hakim Linton dalam penghakimannya turut berpendapat, peruntukan undang-undang yang melarang penglibatan mahasiswa sedangkan ia merupakan aspek yang penting dalam pembentukan demokrasi, tidak wajar dikategorikan sebagai munasabah. Beliau berpendirian, apa gambaran yang lebih baik untuk membayangkan ketidakmunasabahan seksyen itu apabila mahasiswa dihadapkan kepada lembaga disiplin yang berkemungkinan menghadapi tindakan disingkir dari universiti, hanya kerana kehadiran mereka ketika kempen pilihan raya. Sementara itu, Hakim Hop Bing ketika membacakan penghakimannya berpendapat, sekatan melalui akta tersebut adalah munasabah dan sah kerana ia termasuk di bawah skop yang ditakrifkan di bawah Perkara 10(1)(a) dan Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Beliau membuat perhitungan sedemikian selepas berpendapat, larangan itu penting bagi mengatur perkara berkaitan hal ehwal perhubungan pelajar berkaitan penglibatan mereka dalam arena politik. Hakim Hop Bing beralasan, ia penting bagi menghalang penyerapan ideologi politik termasuk yang bersifat melampau di kalangan mahasiswa yang mudah terpengaruh dan menjadi sasaran tekanan daripada rakan sebaya. Full content generated by Get Full RSS. |
Saman fitnah: Nadia diarah bayar Lisdawati Posted: Saman fitnah: Nadia diarah bayar LisdawatiKUALA LUMPUR 31 Okt. - Mahkamah Sesyen Sivil di sini hari ini memerintahkan pelakon Nadia Mustafar membayar ganti rugi RM50,000 kepada pelakon Lisdawati selepas mendapati Nadia memberi wawancara berunsur fitnah, enam tahun lalu. Hakim Yong Zarida Sazali turut memerintahkan supaya Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafa, 35, membayar faedah sebanyak empat peratus bermula dari tarikh penghakiman hingga penyelesaian kes dan kos mengikut skala. Lisdawati, 33, atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin menyaman Nadia, 35, kerana mendakwa pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu telah memberi wawancara berunsur fitnah terhadapnya dalam artikel yang ditulis oleh wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani. Hanif telah meninggal dunia akibat penyakit tibi pada 18 Julai 2009 di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan. Artikel yang bertajuk Hutang - Nadia Mustafar serang Lisdawati? disiarkan oleh majalah mingguan berkenaan bertarikh 8-14 Januari 2005. Dalam tuntutannya itu, Lisdawati memohon ganti rugi sebanyak RM250,000 serta faedah lapan peratus dan kos-kos lain ekoran penyiaran wawancara tersebut yang didakwa telah menyebabkan imej dan 'periuk nasi' aktres itu terjejas. Kedua-dua pelakon itu tidak hadir ketika keputusan dibacakan namun mereka diwakili peguam masing-masing. Lisdawati sebagai plaintif diwakili oleh peguam Sangeet Kaur Deo, manakala Nadia selaku defendan pula diwakili oleh peguam-peguam, Siti Noor Julaini Shahar dan Mohd. Lustfi Yaakub. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan