Utusan Online - Selatan |
- Pusat Sehenti Perumahan Negeri
- Keluarga penuntut maut terima cek pampasan
- Klinik Waqaf An-Nur ringan beban rakyat
Pusat Sehenti Perumahan Negeri Posted: Pusat Sehenti Perumahan NegeriOleh Norizan Abdul Muhid MOHD. Ali Rustam menurunkan tandatangan pada plak semasa merasmikan Pusat Sehenti Perumahan Negeri Melaka yang bertujuan memudahkan orang ramai membeli rumah di Melaka Mall, Ayer Keroh, semalam. MELAKA 28 Okt. - Kerajaan negeri memperkenalkan Pusat Sehenti Perumahan Negeri Melaka iaitu yang pertama diwujudkan di negara ini khusus untuk membantu golongan bumiputera mendapatkan rumah mengikut keperluan mereka. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, usaha itu diharap mampu mengatasi masalah isu lambakan kuota perumahan bumiputera di pasaran yang gagal dijual sejak beberapa tahun lalu. Menurutnya, pusat itu yang beroperasi di tingkat bawah pusat beli-belah Melaka Mall, Ayer Keroh di sini akan diurus oleh Lembaga Perumahan Melaka. "Pusat ini akan menjadi tempat sehenti bagi segala urusan tawaran dan belian rumah antara pembeli dan agensi yang terlibat. Dengan itu orang ramai tidak perlu pergi ke banyak tempat untuk mendapatkan maklumat atau mengadakan urusan jual beli rumah," katanya merasmikan Pusat Sehenti Perumahan Negeri Melaka di sini hari ini. Beliau berkata, pada masa ini pusat itu menawarkan 1,602 unit rumah bernilai RM386 juta dengan harga rumah antara RM35,000 hingga RM550,000 seunit di seluruh negeri dan orang ramai boleh melayari laman web http://LPM.Melaka.Gov.my bagi mendapatkan butiran lengkap mengenainya. Menurut Mohd. Ali, pusat tersebut akan menjadi kaunter jualan rumah mewakili semua syarikat pemaju dan menyalurkan pelbagai maklumat lengkap mengenai projek perumahan yang diperlukan oleh orang ramai. Usaha itu, katanya, diyakini mampu mengatasi masalah kuota 1,600 unit rumah bernilai RM230 juta untuk golongan bumiputera yang masih gagal dijual ketika ini. "Pelbagai usaha telah diambil termasuk mewujudkan agensi bagi menjual kuota rumah bumiputera antaranya Pertam dan Hartanah Bumiputera Melaka, namun gagal. "Melalui Pusat Sehenti Perumahan Negeri Melaka, kita akan gerakkan semua agensi terlibat untuk menemui golongan pekerja yang berpotensi untuk 'dipujuk' membeli kuota sedia ada," kata beliau. Jelasnya, sekiranya usaha itu membuahkan hasil, kesemua 1,600 unit rumah kuota bumiputera dijangka dapat dijual dalam tempoh tiga bulan akan datang. Full content generated by Get Full RSS. |
Keluarga penuntut maut terima cek pampasan Posted: Keluarga penuntut maut terima cek pampasanDR. Arshad Kasim (tengah) bertanyakan sesuatu kepada Sa-zali Hussian (kanan) selepas menyerahkan cek pampasan di Politeknik Merlimau, Jasin, semalam. MELAKA 28 Okt. - Keluarga dua penuntut Politeknik Merlimau yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 26, Lebuh AMJ Melaka-Muar, di Jasin pada 25 Ogos lalu menerima pampasan masing-masing berjumlah RM21,000 dan RM31,000. Cek daripada Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok, Etiqa Takaful itu disampaikan Pengarah Politeknik Merlimau, Dr. Arshad Kasim kepada waris mangsa dalam satu majlis di politeknik itu hari ini. Bapa kedua-dua penuntut terbabit, Abdul Majid Kassim, 51, dan Sa-zali Hussian, 53, menerima pampasan itu bagi pihak anak mereka iaitu Mohammad Izuan dan Farah Nabila masing-masing berusia 20 tahun. Mereka yang merupakan penuntut semester lima Diploma Kejuruteraan Awam terbunuh selepas kereta yang dipandu Mohammad Izuan dirempuh sebuah kenderaan lain ketika dalam perjalanan pulang ke Merlimau selepas membeli keperluan menyambut Hari Raya Aidilfitri di bandar Melaka. Dalam kejadian pukul 3.20 pagi itu, Farah Nabila yang duduk di sebelah Mohammad Izuan turut maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan yang lain. Pada majlis penyerahan cek berkenaan, suasana hiba menyelubungi kedua-dua waris penuntut terbabit apabila detik-detik kejadian yang menimpa anak mereka diceritakan kembali oleh pengerusi majlis. Menurut Abdul Majid, pemergian Mohammad Izuan merupakan kehilangan besar kepada keluarganya dan sehingga kini dia masih bersedih apabila terkenangkan anaknya itu. "Saya dan keluarga reda kerana ini merupakan ketentuan Ilahi dan sesungguhnya apa yang berlaku itu ada hikmahnya," katanya selepas majlis penyerahan cek tersebut. Bagaimanapun, dia bersyukur bebannya diringankan dengan penerimaan pampasan RM31,000 itu dan berterima kasih kepada Etiqa Takaful yang menguruskan pemberian cek berkenaan. Full content generated by Get Full RSS. |
Klinik Waqaf An-Nur ringan beban rakyat Posted: Klinik Waqaf An-Nur ringan beban rakyatREMBAU 28 Okt. - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bercadang mendirikan klinik wakaf yang dinamakan Klinik Waqaf An-Nur di setiap daerah di negeri ini sebelum 2016. Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri meringankan beban rakyat yang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup. Beliau yang juga Menteri Besar berkata, dengan kadar bayaran hanya RM5 untuk rawatan pesakit luar, pembukaan lebih banyak klinik wakaf di negeri ini bakal memberi faedah yang besar kepada rakyat. "Kerajaan menyedari beban yang perlu ditanggung oleh rakyat terutama kos sara hidup yang semakin meningkat. "Kerana itu kerajaan sentiasa mencari jalan bagi meringankan beban tersebut termasuk menawarkan rawatan perubatan yang murah di Klinik Waqaf An-Nur ini," katanya ketika berucap merasmikan Klinik dan Pusat Dialisis Waqaf An-Nur MAINS di Senawang dekat sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Operasi KPJ Healthcare Berhad, Amiruddin Abdul Satar. Klinik Waqaf An-Nur yang menggunakan konsep wakaf ditubuhkan dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad bersama MAINS pada 6 Oktober 2003. Pada 22 Jun 2004, pusat dialisis dibuka dengan kemudahan enam unit mesin hemodialisis. Sehingga kini, lebih 30,000 orang telah mendapatkan rawatan di klinik berkenaan dengan Baitulmal MAINS menanggung kos rawatan bagi mereka yang miskin atau tidak berkemampuan. Mohamad memberitahu, sebuah premis di pekan Rembau sedang dinaik taraf untuk dijadikan klinik tersebut yang dijangka beroperasi pada suku pertama tahun depan. "Sepanjang tahun lalu, Baitulmal telah menanggung rawatan perubatan untuk 1,118 orang termasuk bukan Islam dengan kos kira-kira RM1.68 juta dan RM1.78 juta dibelanjakan untuk rawatan hemodialisis untuk 114 orang," katanya. Pada majlis hari ini, Kumpulan Perbadanan Johor (JCorp) menyumbang RM76,000 bagi membeli dua lagi mesin dialisis untuk klinik tersebut, manakala Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) menyumbang sebanyak RM48,000. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan