Utusan Online - Kota |
Jejambat dibuka awal bulan depan Posted: Jejambat dibuka awal bulan depanOleh SITI AISHAH YUSOFF SERDANG 28 Okt. - Projek jejambat di Jalan Serdang Raya-Lebuh raya Bukit Jalil di sini dijangka siap sepenuhnya dan boleh digunakan pada minggu pertama bulan depan. Ketua Penyelaras Kawasan Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, projek yang terbengkalai sejak lima tahun lepas itu kini berada di peringkat akhir pembinaan. "Pihak kontraktor sedang mencuba sedaya-upaya untuk menyiapkan projek pembinaan jejambat tersebut untuk dibuka sebelum sambutan Hari Raya Haji. "Projek ini yang bermula pada Disember 2006 dan pada mulanya dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2008 tetapi tergendala berikutan berlaku beberapa masalah teknikal," katanya di sini hari ini. Pian Hon berkata, projek menaik taraf persimpangan bernilai RM14.2 juta itu sering mendapat desakan daripada komuniti sekitar kawasan itu supaya disiapkan segera. "Ini kerana jejambat itu mampu melancarkan aliran trafik, seterusnya mengurangkan kesesakan lalu-lintas yang terpaksa dihadapi setiap hari di situ," katanya. Sementara itu, Pian Hon berkata, selepas isu jejambat itu selesai, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) perlu melihat usaha menaik taraf Jalan Serdang Raya yang didakwa berisiko tinggi untuk berlaku kemalangan. "Terdapat sebanyak 62 simpang di sepanjang jalan tersebut yang perlu dilalui pengguna setiap hari dan ia bukan sahaja punca kesesakan tetapi juga kemalangan. "Kajian perlu dijalankan segera bagi mewujudkan sistem lalu lintas yang lebih baik di kawasan itu supaya ia mampu menyokong aliran trafik dari jejambat yang bakal dibuka itu," jelasnya. Apabila jejambat sepanjang 250 meter itu siap kelak, lampu isyarat untuk keluar dari Jalan Serdang Raya yang dikatakan punca kesesakan di kawasan itu tidak akan digunakan lagi. |
'Bus stand Klang' akhirnya ditutup 1 November Posted: 'Bus stand Klang' akhirnya ditutup 1 NovemberPasarama Kota atau lebih dikenali 'bus stand Klang' akan ditutup 1 November bagi memberi laluan pembinaan stesen My Rapid Transit (MRT) Pasar Seni bawah tanah. KUALA LUMPUR 28 Okt. - Pasarama Kota atau lebih dikenali oleh kebanyakan warga kota sebagai 'bus stand Klang' akan ditutup mulai 1 November depan bagi tujuan pembinaan stesen My Rapid Transit (MRT) Pasar Seni bawah tanah yang baru. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam kenyataannya memberitahu, semua perkhidmatan bas yang beroperasi dari terminal tersebut akan dihentikan operasinya selepas pelepasan terakhir pada 31 Oktober ini. "Syarikat bas Cityliner serta Causeway Link yang beroperasi di Pasarama Kota akan memulakan operasinya pada awal November depan di lokasi yang baru iaitu di Pudu Sentral (Puduraya). "Syarikat bas Seranas atau Wawasan Sutera yang beroperasi di Jalan Sultan Mohamed turut terlibat dalam penutupan ini dan juga akan memulakan operasi di Pudu Sentral," menurut kenyataan itu. Selain itu, syarikat bas RapidKL akan memulakan operasi barunya di Jalan Sultan Mohamed iaitu di luar Pasarama Kota. "Penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan bas ke Klang, Pelabuhan Klang dan Banting perlu menaiki bas di Pudu Sentral (dahulu dikenali sebagai Puduraya)," menurut kenyataan itu. Sebarang maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi pengusaha bas RapidKL 03-78852585, Cityliner 03-55129424 atau Causeway Link 07-360 2244. "Segala kesulitan yang timbul melalui penutupan ini amat dikesali dan penutupan ini bertujuan untuk membina pengangkutan awam yang moden bagi kemudahan pengguna," kata kenyataan itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan