Utusan Online - Selatan |
- UTeM, Jerman berkongsi ICT
- 1,300 pelajar duduki asrama baru UiTM Bandaraya
- Taman Botanikal dimajukan
Posted: UTeM, Jerman berkongsi ICTOleh AMRAN MULUP PROF. Dr. Karl Stoffel (dua kanan) dan Prof. Dr. Helmuth Gesch (kiri) mendengar penjelasan pensyarah UTeM ketika melawat Kampus UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini. MELAKA 4 Okt. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan merangka kerjasama strategik dalam program kejuruteraan dengan Universiti Applied Honchscule Landshut (HLU) dari Jerman. Kerjasama itu bakal dijalinkan selepas UTeM menerima kunjungan delegasi daripada HLU diketuai oleh Presidennya, Prof. Dr. Karl Stoffel dan Naib Presidennya, Prof. Dr. Helmuth Gesch. Pengarah Pejabat Antarabangsa UTeM, Prof. Dr. Nanna Suryana Herman berkata, HLU berminat menjalinkan kerjasama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), mekanikal dan pembuatan. Menurutnya, antara objektif utama lawatan tersebut adalah untuk merangka kerjasama yang bersesuaian dalam Program Sarjana Kejuruteraan produk elektrik dan elektronik. ''HLU berminat menjalin kerjasama dengan UTeM setelah diperkenalkan oleh Duta Jerman ke negara ini, Dr. Guenter Grubber. ''Grubber adalah antara yang terlibat dalam beberapa program kerjasama strategik sebelum ini antara UTeM dengan beberapa industri dari Jerman," katanya di sini, baru-baru ini. HLU adalah salah sebuah universiti di Jerman yang memberi tumpuan dalam bidang Sains Gunaan berteraskan kejuruteraan selain bidang ICT, mekanikal dan pembuatan. Sementara itu, Dr. Karl Stoffel berkata, HLU tertarik dengan kemudahan fasiliti yang terdapat di UTeM yang disifatkan lengkap dengan makmal-makmal berteknologi tinggi sesuai dengan keperluan semasa industri. ''Sememangnya elemen-elemen ini amat bersesuaian selaku universiti teknikal yang berprestij yang menyamai konsep universiti teknikal yang ada di Jerman," ujarnya. Sehubungan itu, beliau merasakan hubungan strategik dengan UTeM perlu dijalin secara kerjasama pada masa akan datang bagi memanfaatkan konsep universiti teknikal seperti antara kedua-dua universiti. |
1,300 pelajar duduki asrama baru UiTM Bandaraya Posted: 1,300 pelajar duduki asrama baru UiTM BandarayaSEBAHAGIAN 400 pelajar dan kakitangan UiTM bersama Mohd. Ali Rustam pada majlis tahlil dan kesyukuran kerana pembinaan asrama pelajar telah siap dan dapat diduduki di Kampus Bandaraya UiTM, baru-baru ini. MELAKA 4 Okt. - Kemelut pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya yang menghadapi masalah kekurangan tempat penginapan sebelum ini sudah berakhir. Masalah yang dihadapi sejak beberapa tahun lalu selesai apabila dua daripada empat blok asrama 17 tingkat yang dibina oleh Yayasan Melaka telah siap dan mula diduduki pelajar baru sejak pertengahan September lalu. Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam lega apabila masalah kekurangan tempat penginapan yang dihadapi sejak beberapa tahun lalu sudah dapat diatasi. Menurutnya, buat masa ini, kira-kira 1,300 pelajar baru lelaki dan perempuan ditempatkan di asrama tersebut dengan kadar bayaran sewa RM150 sebulan. ''Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam kerana membolehkan pembinaan asrama 17 tingkat sebanyak empat blok dapat disiapkan dan digunakan oleh pelajar baru. ''Walaupun pada masa ini UiTM menyewa daripada Yayasan Melaka dengan kadar sewa RM150 sebulan ini cukup melegakan kerana tidak timbul lagi masalah kekurangan tempat penginapan pelajar," katanya di sini. Bulan lalu, kira-kira 400 pelajar termasuk tenaga pengajar UiTM Kampus Bandar menghadiri majlis tahlil dan kesyukuran anjuran Yayasan Melaka yang turut dihadiri oleh Mohd. Ali. Ketua Menteri dalam ucapannya pada majlis tersebut berkata, dengan adanya asrama baru yang lebih selesa dan selamat, beliau yakin pelajar akan lebih tenteram berbanding sebelum ini. ''Kerajaan negeri memandang serius terhadap kebajikan penuntut UiTM di Kampus Bandaraya, berkaitan permasalahan asrama di kawasan bandar. ''Dengan terbinanya empat blok asrama oleh Yayasan Melaka, saya yakin UiTM Kampus Bandaraya akan menjadi salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terbesar bukan sahaja di negeri ini tetapi di Malaysia," ujarnya. Mohd. Ali menegaskan, kerajaan negeri menerusi Yayasan Melaka akan membina beberapa kemudahan lain berhampiran asrama tersebut seperti membina masjid, kedai, restoran, gimnasium, hotel untuk kemudahan pelajar di masa akan datang. Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri berharap penambahan bangunan asrama baru membolehkan lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di negeri ini sekali gus menjadikan Melaka sebagai pusat pendidikan utama di negara ini seperti negara maju lain. |
Posted: Taman Botanikal dimajukanOleh AMRAN MULUP MOHD. Ali Rustam mengendalikan jentera jengkaut semasa merasmikan projek naik taraf Taman Botanikal menerusi peruntukan sebanyak RM30 juta di Ayer Keroh Melaka, semalam. MELAKA 4 Okt. – Taman Botanikal di Ayer Keroh di sini yang kelihatan lesu bakal diberi wajah baru dengan menaik tarafnya supaya menjadi produk pelancongan yang lebih menarik menerusi pemberian peruntukan RM30 juta. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, menerusi peruntukan di bawah projek fasa 11, pembangunan yang akan dibina meliputi menaik taraf seluruh landskap taman itu, membaik pulih calet, membina menara tinjau serta jalan baru dan menaik taraf sistem pencahayaan. Menurutnya, sebahagian daripada peruntukan tersebut akan digunakan untuk pembinaan Taman Burung terbesar di Asia di kawasan seluas 1.8 hektar melibatkan kos sebanyak RM16 juta. "Taman burung ini adalah produk yang bakal menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara memandangkan ia satu-satunya taman burung terbesar di Asia berbanding Jurong Bird Park di Singapura. "Ia mampu mempopularkan semula Taman Botanikal kerana menempatkan kira-kira 300 spesies burung dan enam burung kakak tua serta beberapa spesies dari rantau Asia," katanya selepas majlis pecah tanah pembangunan landskap dan kemudahan pelancongan taman itu di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Sapiah Haron dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad. Mohd. Ali berkata, pembangunan Taman Botanikal dan Taman Burung meliputi kawasan seluas 92.5 hektar itu adalah menerusi peruntukan daripada Kementerian Pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang akan diselaraskan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN). Beliau menambah, kerja-kerja pembinaan akan dijalankan oleh Syarikat Terbit Serba Boleh Sdn. Bhd. dan diselia oleh MPHTJ. "Kerajaan negeri memberi tempoh 20 bulan untuk pembangunan Taman Botanikal dan Taman Burung untuk disiapkan sepenuhnya," katanya lagi. Bagi memastikan projek tersebut berjalan lancar, beliau meminta MPHTJ memantau kontraktor agar mereka dapat melaksanakan kerja dengan sempurna. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan