Utusan Online - Keluarga |
Rumah tampal sarang penagih wanita Posted: Rumah tampal sarang penagih wanitaOleh ROSMAH DAIN Sebahagian penghuni tetap 'rumah tampal'. IBU kota Kuala Lumpur berdiri megah dengan bangunan-bangunan pencakar langit sebagai bukti pembangunan yang begitu pesat. Kenderaannya pula bertali arus dengan urusan perniagaan yang sentiasa sibuk. Tapi pernahkah anda melalui kawasan di sekitar Kampung Periuk (berhampiran Jalan Dewan Sultan Sulaiman), Jalan Tuanku Abdul Rahman? Bagi yang pernah lalu-lalang di situ pastinya terpandang pada sebuah rumah usang di bawah bukit yang sedikit terlindung daripada pandangan mata. Popular dengan panggilan 'rumah tampal' oleh masyarakat gelandangan ibu kota, pondok buruk itu sebenarnya menjadi sarang kepada penagih yang setiap hari melepak di situ bersama rakan-rakan untuk bersantai sambil menghisap najis dadah. Terletak di tepi pinggiran Kampung Periuk, tidak ramai yang tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam rumah tampal itu. Kalau ada yang tahu pun mungkin mereka hanya buat tidak kisah sahaja. Rumah tersebut diperbuat daripada papan lama disambungkan antara satu sama lain atas tanah rizab sebuah agensi kerajaan. Apabila penghuninya semakin bertambah mereka memperbesarkan rumah berkenaan umpama pangsapuri, berbilik-bilik. Sekali imbas rumah berkenaan dibina seperti rumah rakit, bertangga, dengan kepingan papan yang perlu dititi sekiranya mahu ke bilik lain. Bagi yang pertama kali melangkah ke situ akan merasakan persekitaran di situ seumpama rumah setinggan di kota Jakarta. Kedudukannya agak menghadap ke bawah tebing dan jika hendak menuruni tangga, penghuninya sudah tentu perlu berhati-hati kerana keadaan tangga yang agak usang dan semakin mereput. Di tepi rumah pula diletakkan satu tong besar khas untuk penghuninya mandi dan melepaskan hajat besar. Di kiri dan kanan lorong diletakkan barang-barang lama, baju-baju buruk dan sebagainya yang menjadikan keadaan di situ tidak terjaga dan kotor. Keadaan tempat yang malap dan suram serta lembap menjadikan kawasan itu amat tidak sesuai untuk didiami. Tapi apa yang nak dikisahkan, asalkan ada tempat berlindung, bagi penghuninya itu semua sudah memadai. Malah bagi rumah tampal itu ibarat sebuah hotel lima bintang dan syurga untuk mereka melampiaskan kemaruk dadah. Sebahagian penghuninya yang terdiri daripada golongan wanita, menjadikannya sebagai markas untuk mereka dan rakan-rakan melepak pada siang hari sambil menghisap dadah dan merokok. Pada waktu malam mereka akan melakukan kerja-kerja seperti melacur. Mereka akan keluar pada waktu petang atau senja dan balik pada awal pagi. Kemudiannya pada siang hari, mereka jarang keluar. Masa dihabiskan dengan tidur dan melayan perasaan. Selain itu bilik-bilik itu juga didatangi rakan-rakan yang dikenali untuk melepas gian, semuanya dijemput kerana kawasan itu 'infrastrukturnya' percuma. Selain penagih wanita, kelihatan penagih lelaki turut sama tidur di ruang berukuran 16 kaki persegi di setiap bilik di situ. |
Posted: Robohkan segera!KEMELUT 'rumah tampal' yang menjadi sarang penagih sebenarnya telah lama mendapat perhatian daripada Penyelia Rumah Sinar Salam, Arfidar Abd. Latif yang juga merupakan seorang aktivis wanita dan masyarakat gelandangan. Jelasnya, rumah itu telah lama ditinggalkan apabila penghuninya berpindah dan kesempatan itu diambil oleh para penagih, gelandangan dan pelacur yang mahukan tempat perlindungan. ''Mereka ini kreatif, bila dah dapat tempat mereka pun bawa papan-papan yang mereka jumpa, mulalah usaha membaik pulih rumah berkenaan sehinggakan pondok itu menjadi besar namun bertampal compang-camping. ''Peliknya biarpun tempat itu tiada elektrik, tetapi ada pula air yang mereka ambil dari saluran secara haram," katanya. Apabila ditanya sama ada tempat itu pernah diserbu polis, Arfidar menambah, bukan tidak pernah operasi diadakan menahan para penagih di situ, tetapi apa yang berlaku sebaik sahaja mereka dibebaskan dari penjara, mereka akan kembali semula ke rumah tampal. Arfidar turut menggesa agar pihak-pihak yang terlibat dalam bidang pembasmian jenayah dan badan-badan tertentu turun padang untuk melihat sendiri keadaan rumah tampal berkenaan. ''Bandingkan sekitar kawasan Chow Kit tahun 1980, 1990 dan 2000 sehingga kini. Melalui operasi 'pembersihan', Chow Kit kini bukan lagi seperti satu waktu dahulu yang kita kenal, tiada lagi rumah-rumah hotel papan yang dijadikan port-port pelacur dan kawasan jenayah sosial. '' Masalahnya kenapa rumah tampal seperti itu boleh kekal pula, kalau boleh robohkanlah sebab ia sekarang sudah menjadi sarang dadah. ''Saya rasa tidak 'sedap' hati dengan rumah tampal ini, apabila sewenang-wenangnya pelacur atau manusia gelandangan tinggal di situ. "Sepatutnya perkara seperti ini sudah lama dibanteras kerana dengan adanya kawasan ini kita hanya memberi ruang dan peluang mereka melakukan maksiat, penagihan dadah, gelandangan, pelacuran dan perjudian," katanya. Justeru dia meminta agar pihak berkaitan yang membanteras gejala sosial serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melihat kawasan yang dikatakan membawa kepada gejala sosial yang tidak sihat ini. Dalam pada itu dia menjelaskan, penghuni rumah tampal ini terutamanya golongan wanita menjadi mangsa disebabkan dipinggirkan keluarga. ''Justeru saya menasihatkan kepada sanak-saudara dan adik-beradik kena ambil tahu di mana saudara-mara mereka yang tidak balik bertahun-tahun itu berada. ''Biar sejahat manapun mereka, ahli keluarga perlu prihatin dengan nasib mereka. Jika tidak kesudahannya nasib mereka akan merempat. " Jika terjadi seperti itu ke mana mereka akan pergi? Simpatilah dengan nasib mereka. Bawalah mereka pulang, layanlah mereka sebaiknya," katanya. Tegas Arfidar, sebenarnya golongan itu ada hati hendak berubah. Tetapi tiada daya kerana tidak tahu mana hendak dituju setelah tiada keluarga mahukan mereka lagi di samping rasa rendah diri. Namun menurutnya, golongan itu sebenarnya mempunyai tempat di Rumah Sinar Salam asalkan mereka ada kekuatan untuk berubah. Justeru dia menggesa agar mereka datang ke Rumah Sinar salam untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan. Ujarnya, projek usaha sama memujuk mereka untuk kembali ke pangkuan masyarakat yang dijalankan oleh Rumah Sinar Salam masih berjalan dan pastinya akan memakan masa yang lama. Ia juga sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit di samping perbelanjaan lain yang terpaksa diuruskan Rumah Sinar Salam. Namun Arfidar berjanji, tidak akan putus asa dalam menasihati golongan seperti ini untuk kembali semula ke pangkal jalan. Dalam pada itu dia turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada para pemberi sumbangan berbentuk dana untuk kegunaan out-reach Rumah Sinar Salam seperti Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) terutama kepada Ketua Pengarahnya, Puan Seri Zuraidah Mohamed yang turut turun padang meninjau keadaan rumah tampal, Majlis Agama Islam, Baitulmal, Time.com dan badan-badan korporat yang tidak terlepas pandang dalam hal-hal yang melibatkan gejala sosial. Bagi Yayasan Salam pula penghargaan diberikan kerana membantu dalam hal pengurusan Rumah Sinar Salam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan