Utusan Online - Rencana |
Posted: PRU-13: Bersediakah Gerakan?Oleh THOMAS CHONG KUMPULAN veteran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pasti masih mengingati bagaimana lagu kemenangan berkumandang pada pilihan raya umum 1969 menyaksikan parti politik berusia setahun itu tiba-tiba muncul sebagai sebuah parti berpengaruh. Selain memenangi kerusi Parlimen yang agak signifikan di kawasan bandar, Gerakan turut mengejutkan ramai pihak ketika itu apabila merampas Pulau Pinang daripada Perikatan. Masih segar di kalangan ramai veteran Gerakan bagaimana parti itu berjaya bertapak di Selangor dan Perak sehingga masing-masing pemimpin dari Perikatan dan DAP berusaha mengajak Gerakan untuk membentuk kerajaan campuran. Generasi yang lebih muda pula masih mengingati bagaimana calon Gerakan menyingkirkan gergasi pembangkang, Lim Kit dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan Dewan Rakyat pada 1999. Tatkala siri kejayaan Gerakan meninggalkan legasi yang signifikan, parti muda itu terus mendapat perhatian di dalam Barisan Nasional (BN). Dalam pilihan raya umum 2008 yang lalu umpamanya, Gerakan diberi mandat untuk bertanding di lebih banyak kerusi Parlimen berbanding MIC, walaupun MIC secara tradisinya dilihat sebagai pemimpin ketiga paling berpengaruh dalam BN. Namun begitu, kegemilangan Gerakan sejak 1969 termusnah semalaman pada 8 Mac 2008 apabila parti itu kehilangan satu persatu kerusi yang ditandinginya. Selain kehilangan Pulau Pinang, Gerakan turut tewas teruk di dua kubu kuatnya di Kuala Lumpur iaitu Segambut dan Batu apabila ia tewas masing-masing kepada calon DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Akhirnya, Gerakan hanya mampu bertahan di dua kerusi Parlimen iaitu Simpang Renggam di Johor dan Gerik di Perak (kerusi yang dipinjamkan oleh UMNO kepada Gerakan). Pendekatan kepelbagaian kaum yang diamalkan oleh Gerakan tidak pernah mencapai kejayaan di mana majoriti ahlinya adalah keturunan Cina diikuti India, malangnya ia tidak pernah mendapat jumlah penyertaan memberangsang dari kaum Melayu. Walaupun kepelbagaian kaum tidak menjadi keunikan Gerakan, namun kepelbagaian latar belakang pemimpin parti itu telah mencorak perkembangan parti itu pada awal penubuhannya. Penubuhan Gerakan banyak dipengaruhi oleh idea perjuangan kesamarataan antara masyarakat majmuk yang dikongsi oleh beberapa tokoh akademik termasuk dua pakar sains sosial, Syed Hussein Alatas (bekas Naib Canselor Universiti Malaya) dan Profesor Wang Gung Wu. Namun barisan kepimpinan Gerakan tidak terhad kepada mereka yang berlatar belakang akademik semata-mata, malahan ia turut mendapat sambutan di kalangan ramai bekas penyokong Parti Buruh yang berfahaman kiri dan radikal. Salah seorang pemimpin penting yang terlibat dalam pembentukan Gerakan ialah Dr. Tan Chee Khoon yang pernah memimpin Parti Buruh. Tidak setakat itu, Gerakan turut menerima pengaruh ideologi MCA melalui bekas pemimpin MCA seperti Tun Dr. Lim Keng Yaik dan Tun Dr. Lim Chong Eu. Tidak dilupakan, bekas Timbalan Presiden Gerakan Datuk Seri Kerk Choo Ting adalah berasal dari Dong Jiao Jong, beliau dikatakan menyertai Gerakan bagi meneruskan perjuangan kepentingan sekolah-sekolah vernakular Cina melalui kerajaan. Pengadunan berjaya antara ideologi yang berbeza yang melambangkan suara dari kumpulan akademik, intelektual, politik sayap kiri dan kanan telah menjadikan Gerakan sebagai satu parti parti popular sejak 1970-an. Tokoh akademik seperti Syed Hussein yang pernah menjadi Presiden Gerakan telah meninggalkan parti itu tidak lama selepas penubuhannya. Namun demikian, penyertaan tokoh-tokoh akademik banyak menyumbang kepada populariti Gerakan terutama di kalangan kumpulan intelek. Selepas hampir tiga dekad dipimpin oleh dua pemimpin yang berasal dari MCA, kepimpinan Gerakan sekali lagi dipegang oleh seorang pemimpin yang berlatarbelakang akademik. Presiden sedia ada iaitu Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pernah berkhidmat sebagai pensyarah Sekolah Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM). Malangnya, Tsu Koon telah ditewaskan dalam kerusi Parlimen Batu Kawan oleh seorang lagi ahli akademik, Dr. P. Ramasamy yang kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Apa yang mendukacita Gerakan pada ketika ini adalah parti tersebut seakan-akan gagal menerima hakikat ketewasan yang menimpa parti itu dan presidennya pada 2008. Pucuk pimpinan dan anggota Gerakan nampaknya masih tercari-cari formula untuk memulihkan kekuatan parti, terutamanya dalam usaha untuk berperang dengan DAP bagi menawan hati pengundi Cina di Pulau Pinang. Berlainan dengan MCA yang sedikit sebanyak telah kembali bersatu daripada konflik dalaman, Gerakan sebaliknya terus dibelenggu masalah dalaman terutamanya oleh pihak yang tidak senang dengan gaya kepimpinan Tsu Koon. MCA telah melalui perjalanan politik yang berliku sejak sebelum merdeka lagi dengan berdepan pelbagai isu rumit termasuk berkaitan kampung baru Cina, keadaan ini agak berlainan dengan Gerakan yang berjaya menjadi parti pemerintah selepas setahun penubuhan. Dari segi khidmat masyarakat, MCA juga mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, Gerakan sebaliknya mempunyai pengalaman yang secara relatif lebih cetek. Selepas tsunami politik 2008, Gerakan gagal menyelaraskan emosi untuk memainkan peranan baru sebagai parti pembangkang di Pulau Pinang. Keadaan ini agak berbeza dengan UMNO yang menggunakan setiap peluang yang ada untuk mengkritik kerajaan DAP di Pulau Pinang. Kegagalan Gerakan untuk memain peranan pembangkang secara berkesan turut didorong oleh konflik dalaman Gerakan sendiri yang seterusnya mendorong beberapa pemimpin penting bersikap lebih pasif daripada yang dijangkakan. Persidangan Perwakilan Nasional yang diadakan pada 15 dan 16 Oktober ini justeru menjadi medan paling penting untuk Gerakan sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja. Persidangan tersebut menawarkan peluang terakhir untuk ahli Gerakan untuk bersatu demi keberlangsungan parti itu pada pilihan raya akan datang. Sekiranya Gerakan berjaya mencipta kemenangan melalui pengadunan kumpulan intelek, akademik dan pelbagai idea politik termasuk ideologi sayap kiri pada 1960-an dan 1970-an, parti itu perlu mencipta satu lagi keajaiban pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Sememangnya idea-idea akademik daripada Gerakan perlu diselarikan dengan khidmat masyarakat yang bersungguh-sungguh di peringkat akar umbi bagi menawan hati pengundi. Dengan rentak pilihan raya yang semakin rancak, Gerakan tiada pilihan tetapi mesti keluar daripada trauma 2008 dan bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan bersemangat. Full content generated by Get Full RSS. |
Demonstrasi: Cabaran besar menguji keakraban Indonesia, Malaysia Posted: Demonstrasi: Cabaran besar menguji keakraban Indonesia, MalaysiaAntara ragam demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia, Kuningan, Jakarta Selatan yang dilakukan anggota kumpulan Forum Betawi Rempug (FBR) pada Rabu lalu. APA lagi salah Malaysia sehingga ada pihak berkepentingan di negara jiran kita, Indonesia memilih untuk mengecam, menghina dan memperlekehkan kedaulatan kita? Tidakkah terdetik perasaan di dalam hati mereka rasa malu atau bersalah dengan berteriak, menjerit serta berdemonstrasi di jalanan dengan mendakwa satu demi satu kesilapan yang tidak dilakukan oleh Malaysia? Ada benarnya, tidak semua di kalangan lebih 230 juta rakyat Indonesia yang memiliki sentimen kurang senang dengan tetangga paling akrab dengan mereka. Jumlah yang tidak senang dengan kejayaan Malaysia mungkin terlalu kecil jumlah peratusannya jika dibandingkan dengan populasi republik itu. Sudah lama kita bersaudara. Bahkan, ramai di kalangan rakyat Indonesia berkahwin dengan rakyat Malaysia. Begitu juga sebaliknya. Hubungan ekonomi dan politik antara dua negara itu juga terlalu kukuh. Indonesia adalah teman paling dekat dengan Malaysia. Itu realitinya. Dalam pada itu, yang kurang senang dengan hubungan luar biasa ini tentunya emosi mereka dijentik dengan provokasi pihak ketiga. Entah apa yang mencetuskan rasa cemburu yang tidak berkesudahan itu. Tetapi, apakah itu menghalalkan mereka untuk terus mengambil tindakan kurang manis dengan mencetuskan suasana kurang elok di kalangan rakyatnya? Kita sendiri selama ini mengaku bersaudara. Rakyat Indonesia dan Malaysia berbangga dengan perkongsian budaya serumpun. Adat hidup berjiran, kecil hati dan salah faham sering terjadi. Dalam konteks ini, kita sedia maklum kalau ada sekalipun perselisihan pendapat, bukankah lebih manis salah faham itu diselesaikan secara diplomasi di meja rundingan? Lagi pun hubungan kerajaan kedua-dua negara sangat akrab dan utuh yang seharusnya tidak dicemari dengan anasir-anasir jahat. Bukankah, jalan perdamaian sentiasa terbuka seperti mana yang telah diamalkan sejak sekian lama oleh kerajaan kedua-dua negara? Kerana marah, mereka memilih melontar batu dan melemparkan kayu ke arah bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Tidak cukup itu, imej Malaysia dicemari dengan bahasa-bahasa kesat yang dilemparkan oleh penunjuk perasaan. Itukah nilai peradaban bangsa Timur yang selama ini kita bangga-banggakan? Wahai jiranku Indonesia. Tiada siapa yang memperoleh keuntungan daripada demonstrasi jalanan sehingga wilayah kedaulatan kami dicemari dengan tindakan tunjuk perasaan. Lihat saja contoh terbaru demonstrasi yang anda lakukan di Kedutaan Besar Malaysia di Jalan Rasuna Said, Jakarta pada hari Rabu dan Khamis lalu. Dua kumpulan pertubuhan bukan kerajaan, Forum Betawi Rempug (FBR) dan Laskar Merah Putih (LMP) mendabik dada berteriak di bawah terik matahari semata-mata kerana mahu memburukkan Malaysia. Anda berkumpul di situ meluahkan kemarahan kononnya kami (Malaysia) mengambil tanah seluas lebih 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat. Seperti yang kita sedia maklum, dakwaan ini dibuat oleh Naib Ketua Komisi 1, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), T.B. Hasanuddin kononnya, Indonesia kehilangan 1,400 hektar di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu. Rakyat Malaysia terkejut dengan dakwaan itu. Begitu juga dengan pemerintah kami yang tertanya-tanya apa motif pendakwaan berkenaan dibuat terhadap kami yang tidak tahu apa-apa mengenai hal itu. Mujur ada beberapa menteri kabinet Indonesia yang segera tampil menyangkal dakwaan tidak berasas itu. Menteri Koordinasi Politik, Undang-Undang dan Hubungan Keselamatan, Djoko Suyanto bersama-sama dengan Menteri Luar, Marty Natalegawa, Menteri Dalam Negeri, Gamawan Fauzi dan Menteri Pertahanan, Purnomo Yusgiantoro tampil mempertahankan Malaysia "Tidak timbul sebarang pertikaian sempadan antara Indonesia dan Malaysia kerana kedua-dua negara merujuk pada perjanjian persefahaman yang dibuat semasa era pemerintahan Belanda dan British pada tahun 1891, 1915 dan 1928," jelas Marty Natalegawa menemplak dakwaan tidak berasas itu. Tidakkah itu sudah cukup menterjemahkan bahawa dakwaan terbaru yang mereka lemparkan kepada Malaysia tidak benar? Kepada mereka yang bijaksana tentunya dapat merumuskan bahawa dakwaan sedemikian hanya akan membuatkan si penuduh itu saling tidak ubah seperti menepuk air dalam dulang, terpercik kena muka sendiri. Percayalah, seandainya berlaku perubahan sempadan tanpa sengaja atau dibuat oleh individu-individu tertentu, ia boleh ditangani secara diplomasi. Bukankah, Malaysia dan Indonesia memiliki pasukan peninjau yang sedia bekerjasama turun ke kawasan berkenaan untuk menetapkan batu perbatasan itu? Sesungguhnya, seluruh rakyat Indonesia khususnya dan Malaysia umumnya yang waras akal fikiran mereka tidak akan memilih pertengkaran di jalanan untuk menyelesaikan masalah. Hanya mereka yang dangkal dan mahu melihat persengketaan sahaja yang rela berbuat demikian. Sesebuah negara akan lemah jika bangsanya memilih untuk bersengketa. Kemajuan juga akan mudah terbantut jika sebarang keputusan dibuat bersandarkan pada emosi bukan berteraskan pertimbangan yang rasional. Justeru, hal inilah yang sering menjadi ujian dan cabaran buat Indonesia dan Malaysia. Selama berdekad-dekad kemesraan dan keakraban dua sahabat terjalin. Tentunya amat rugi jika nilai persahabatan yang murni itu dicemari dengan insiden demonstrasi serta tuduhan palsu. Cukup-cukuplah salah faham dibawa ke jalanan. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan