Utusan Online - Politik |
Pembangkang terdesak - Ismail Sabri Posted: Pembangkang terdesak - Ismail SabriISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di Taman Minland, Bera, Pahang semalam. BERA 23 Okt. - Serangan pembangkang ke atas program Menu Rakyat 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia menunjukkan mereka semakin tercabar apabila pelan transformasi kerajaan sama ada dari segi ekonomi atau politik diterima baik oleh rakyat. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan pembangkang melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kedua-dua program itu hanya memperlihatkan sikap terdesak mereka dalam mencari isu bagi memburuk-burukkan kerajaan. Sedangkan kata beliau, apa yang dilakukan kerajaan termasuk menerusi pengenalan dua program itu amat berfaedah kepada rakyat. "Sebab itulah Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) sampai pergi makan Menu Rakyat 1Malaysia dan kemudian buat pelbagai tuduhan terhadap menu tersebut. "Perkara kecil seperti ini juga hendak dijadikan isu oleh pembangkang. Ini menunjukkan mereka sudah kekeringan isu hingga Menu Rakyat 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia pun hendak diserang," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali kepada 300 orang di Taman Minland di sini hari ini. Tian Chua pada sidang akhbar di bangunan Parlimen baru-baru ini mempertikaikan harga Menu Rakyat 1Malaysia yang didakwanya tidak sama seperti diuar-uarkan kementerian berkenaan. Dalam pada itu, Ismail Sabri meminta pengusaha kedai runcit yang merasakan bahawa Kedai Rakyat 1Malaysia akan memberi kesan kepada mereka supaya menjual barangan berjenama 1Malaysia di premis mereka. "Kalau hendak bertanding dengan harga barang di Kedai Rakyat 1Malaysia ini memang susah. "Namun jika peniaga ini menjual barangan 1Malaysia di dalam kedai mereka tentu tidak akan berlaku persaingan lagi," katanya. Beliau berharap para peniaga tidak terpengaruh dengan tohmahan pembangkang bahawa Kedai Rakyat 1Malaysia akan membunuh kedai-kedai runcit yang ada kerana mereka boleh juga terlibat dalam menjual produk-produk 1Malaysia di premis masing-masing. |
Posted: Guan Eng jangan salahkan BNSUBANG 23 Okt. - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng perlu membuat laporan polis berhubung dakwaan beberapa blog yang mengaitkan anaknya dengan kejadian mencabul kehormatan seorang gadis berumur 16 tahun baru-baru ini. Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah itu lebih wajar dilakukan daripada menjadikan kejadian tersebut isu politik. "Saya berasa simpati dengan apa yang berlaku terhadap keluarga dia (Guan Eng) tetapi Guan Eng, Lim Kit Siang dan DAP seolah-olah ingin mempolitikkan kejadian ini. "Jangan salahkan Barisan Nasional (BN) dengan kejadian ini kerana bukan BN yang siarkan sebaliknya penulis blog. Kenapa salahkan BN," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan penutup Konvensyen Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) Kebangsaan 2011 di sini hari ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan