Jumaat, 7 Oktober 2011

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bangkit isu Felda Plantation

Posted:

Bangkit isu Felda Plantation

Bangkit isu Felda Plantation

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 7 Okt. – Kesukaran untuk mempengaruhi warga Felda menyebabkan pembangkang terpaksa mencipta pelbagai isu bagi memastikan golongan terbabit memberi sokongan kepada mereka.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Abu Jimi Samat yakin usaha pembangkang itu akan gagal kerana pelbagai dakwaan terhadap pengurusan Felda sebelum ini tidak berasas.

"Saya yakin warga Felda juga menyedari nikmat yang diperoleh dan tahu mereka termasuk generasi kedua Felda tidak akan diabaikan.

"Felda sendiri sudah pasti mempunyai kaedah penyelesaian untuk keperluan generasi kedua Felda seperti keperluan generasi pertama dahulu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) yang diketuai Presidennya, Mazlan Aliman mengedar borang kepada generasi kedua dan ketiga Felda kononnya untuk membolehkan mereka memperoleh tanah milik Felda Plantation apabila pembangkang berkuasa kelak.

Abu Jimi berkata, warga Felda khususnya generasi baru perlu menjauhkan diri daripada Anak yang hanya pandai berjanji kerana niat sebenar lebih kepada kepentingan politik semata-mata.

"Semua hal berkaitan dengan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan Felda bukan di bawah kuasa Anak," katanya.

Menurut beliau, kerajaan dan Felda ada cara serta strategi untuk memakmurkan warga Felda dalam pelbagai bidang seperti yang terbukti dan dinikmati mereka sekarang.

Operasi turunkan iklan ah long

Posted:

Operasi turunkan iklan ah long

Operasi turunkan iklan ah long


Pegawai polis, Razif Mohd. Wahi menanggalkan kertas pelekat iklan ah long yang dilekatkan di telefon awam ketika membersihnya di Taman Indera Mahkota, Kuantan, kelmarin. - BERNAMA


KUANTAN 7 Okt. - Sebanyak 261 poster iklan ah long di sekitar bandar ini berjaya diturunkan dalam operasi bersepadu melibatkan antara polis dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof berkata, dalam operasi itu, pelekat iklan ah long yang dipasang di merata-rata tempat turut ditanggalkan.

"Operasi ditumpukan di sekitar pusat bandar, kawasan Air Putih, Indera Mahkota dan Semambu termasuk taman-taman perumahan di sini.

"Usaha ini yang dimulakan sejak Jun lalu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang kegiatan ceti haram," katanya di sini.

Operasi membuang iklan ah long yang bermula sejak pukul 10.30 pagi dan berakhir kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu diketuai Asisten Supritendan Zaizul Rizal Zakaria bersama lima anggota dan lima pegawai MPK.

Katanya, langkah itu dilakukan bagi mengelak orang awam berurusan dengan ceti haram melalui nombor telefon yang dipamer pada iklan dan poster tersebut.

Kata Jasmani, pada tahun ini hanya satu laporan polis dibuat berhubung kes melibatkan ah long iaitu pada bulan lalu dan kes berkenaan masih dalam siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sindiket ini diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan segera," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan perbuatan menampal pelekat atau poster iklan perkhidmatan pinjaman wang di tempat awam menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Jeti KPEP rangsang bidang akuakultur

Posted:

Jeti KPEP rangsang bidang akuakultur

Jeti KPEP rangsang bidang akuakultur

KUALA LIPIS 7 Okt. - Projek Jeti Komuniti Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPEP) bernilai RM200,000 merupakan kemudahan penting dalam memacu sektor perikanan air tawar di santuari Sungai Kuala Serau, Hulu Jelai dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jeti KPEP yang dibina menerusi peruntukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu juga antara kemudahan pemuliharaan ikan air tawar di santuari tersebut.

Menurutnya, dengan terbinanya jeti itu, ia mampu menjadi pemangkin dalam usaha kerajaan meningkatkan pendapatan penduduk berasaskan bidang akuakultur dan pelancongan.

''Kerajaan negeri menerusi Jabatan Perikanan sememangnya komited dalam menjayakan projek perikanan air tawar kerana ia dapat memelihara pelbagai spesies ikan air tawar yang bermutu tinggi agar tidak pupus pada masa akan datang," katanya di Kuala Serau, dekat sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Jabatan Perikanan juga menubuhkan Jawatankuasa Perikanan Darat membabitkan penglibatan penduduk setempat yang berkemahiran dalam bidang akuakultur.

Wan Rosdy yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands berkata, penduduk yang menganggotai jawatankuasa berkenaan turut diberi latihan dan kemudahan bot untuk tujuan pemantauan.

Sehubungan itu, katanya, kegiatan akuakultur di Kuala Serau mampu merangsang penduduk di situ memajukan bidang ternakan air tawar di kolam kawasan tanah terbiar dan sangkar di sungai berkenaan untuk menjana pendapatan.

"Projek santuari ikan air tawar Sungai Kuala Serau juga merupakan lokasi baru pusat pelancongan di Hulu Jelai berasaskan keindahan alam sekitar, sungai dan pembangunan sektor pertanian," ujarnya.

Beliau berkata, usaha penambahan benih ikan seperti lampam dan kelah akan dilaksanakan secara berperingkat di santuari Sungai Kuala Serau dan anak sungai berdekatan agar pembiakan lebih terancang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved