Utusan Online - Johor |
Posted: Jumlah peserta IKIT melonjakOleh MOHAMAD FIKRI ROSLY Sebahagian ibu tunggal yang hadir pada majlis dialog Memperkasakan Ibu Tunggal di Hotel 11@Century, Johor Bahru semalam. JOHOR BAHRU 6 Okt. - Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (IKIT) semakin mendapat perhatian daripada golongan tersebut dengan bilangan penyertaan pada tahun ini dijangka mengatasi jumlah peserta sejak ia dimulakan pada 2008 hingga tahun lalu. Pengarah Bahagian Perancangan Pembangunan Wanita di Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Azman Mamat berkata, sehingga bulan lalu, seramai 890 ibu tunggal telah mendaftarkan diri untuk menyertai IKIT sementara 70 pemohon dari Sarawak dan 40 ibu tunggal dari Kelantan sedang dalam proses menunggu kelulusan. "Sejak dimulakan sehingga tahun lalu, program IKIT mencatatkan sejumlah 960 peserta. Ramai yang ingin turut serta dalam program ini kerana selain dianjurkan secara percuma, ibu tunggal turut diberi elaun bantuan sepanjang mengikuti latihan. "Apa pun keutamaan tetap diberikan kepada ibu tunggal yang miskin, sesuai dengan tujuannya untuk memberi latihan kemahiran dan membimbing golongan ini sehingga menjadi usahawan berjaya," katanya pada majlis dialog Memperkasakan Ibu Tunggal di Taman Abad, di sini, semalam. Tambah Azman, JPW yakin dengan kemampuan menampung pertambahan jumlah peserta yang mendadak kerana banyak peruntukan telah ditetapkan untuk menjayakan IKIT sepanjang tahun ini. Program anjuran Pejabat Pembangunan Wanita negeri itu melibatkan dialog dengan wakil Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Guaman, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Johor Bahru dan Majlis Amanah Rakyat (Mara). Terdahulu ketika ditemui pemberita, Azman turut menyatakan harapan untuk mendengar berita gembira agar berlaku pertambahan peruntukan kepada JPW dalam Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, petang esok. "Sejak penubuhannya sedekad lalu, hampir 600,000 wanita menerima manfaat melalui pelbagai program pengupayaan dan memperkasakan wanita dalam bidang kesejahteraan diri, pengetahuan undang-undang dan kemahiran keusahawan," kata beliau lagi. Jelasnya, sepanjang tempoh itu, sejumlah RM45.6 juta telah dibelanjakan bagi melaksanakan program seperti IKIT, Inkubator Keusahawanan Wanita (Ikeunita), Agronita, Jejak Bestari, Program Wanita Bijaksana, Wanita Sejahtera dan pelbagai lagi program di bawah Geran 1Azam. Justeru itu, Azman menyeru golongan ibu tunggal yang masih merasakan diri mereka tidak terbela agar tampil menyertai persatuanpersatuan yang ada agar sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai program yang dapat membantu mereka memajukan diri dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata. |
Pegawai, anggota polis perlu tingkatkan ilmu Posted: Pegawai, anggota polis perlu tingkatkan ilmuJOHOR BAHRU 6 Okt. - Semua pegawai dan anggota polis di negeri ini digesa untuk meningkatkan nilai diri dan ilmu masing-masing supaya mudah mendapat pengiktirafan terutama dalam bentuk kenaikan pangkat. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, perkara itu digariskan di bawah Para 50 Perintah AM Bab 'A' berkaitan kenaikan pangkat yang menyatakan seorang pegawai dipilih untuk kenaikan pangkat semata-mata atas kebolehannya. Beliau berkata, kebolehan yang dimaksudkan itu merangkumi kecekapan yang ditunjukkan dalam tugasan, keperibadian, kelulusan serta pengalaman yang sesuai dengan jawatan yang bakal diisi. "Meskipun kenaikan pangkat ini adalah secara berasaskan tempoh perkhidmatan, semua yang terlibat adalah anggota terpilih serta memenuhi syarat yang ditetapkan dan kriteria tersebut berasaskan kepada prestasi, disiplin dan keperibadian," katanya pada Majlis Pemakaian Pangkat Korporal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. Seramai 502 anggota dari seluruh negeri ini terlibat dengan proses kenaikan pangkat tersebut yang berkuat kuasa 25 Mac tahun lalu. Sementara itu, Koperal B. Rajendra Prakash, 48, melahirkan rasa gembira dengan kenaikan pangkat tersebut dan ia menjadi pendorong kepadanya untuk terus melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang. "Sebagai anggota polis, kita seharusnya melaksanakan tugasan yang diberikan dengan sempurna dan sedia menerima arahan pada bila-bila masa," katanya yang kini berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara. Bagi Koperal Harminder Singh Pritam Singh, 44, kenaikan pangkat itu merupakan sebahagian daripada keprihatinan kerajaan terhadap pengorbanan pihak polis di negara ini. Katanya, kenaikan pangkat secara berasaskan tempoh perkhidmatan itu diharap akan diteruskan ke semua peringkat bagi menyuntik semangat para pegawai dan anggota supaya terus berkhidmat dengan cemerlang. "Usaha ini juga secara tidak langsung akan dapat menarik minat lebih ramai golongan muda terutamanya bukan bumiputera untuk menyertai pasukan polis pada masa akan datang," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan