Utusan Online - Keluarga |
Posted: Penangan air buah 'pior'NORZITA Bakar mengalu-alukan kedatangan pelanggan ke Restoran Air Buah Pior di Bukit Tok Beng, Seberang Takir, Kuala Terengganu. SELEPAS penat menyusuri kawasan pinggiran Kuala Terengganu untuk bersantai pada lewat petang atau malam, ramai dalam kalangan warga bandar raya ini pasti teringatkan air buah untuk menghilangkan dahaga. Tentunya air buah dicari untuk membasahi tekak, sambil menikmati keropok lekor, ikan atau sotong celup tepung yang digoreng, selain roti canai atau nasi dagang. Sebenarnya, banyak pilihan gerai dan restoran termasuk di kawasan Seberang Takir yang lebih popular dengan air buahnya dengan aneka pilihan terutama di Restoran Air Buah Pior di Kampung Bukit Tok Beng boleh disinggahi. Ia mungkin sekadar sebuah restoran biasa tetapi mampu menampung sehingga 150 pelanggan dalam satu masa. Perkataan 'pior' itu adalah daripada perkataan Inggeris 'pure' yang bermaksud tulen. Terletak tidak jauh dari pantai Teluk Ketapang dan jeti bot penambang Seberang Takir, restoran itu beroperasi setiap hari kecuali Isnin, dibuka mulai pukul lima petang hingga lewat malam dan kerap penuh dengan pelanggan. Pengusahanya, Norzita Bakar, 41, berkata, populariti air buah yang begitu sinonim dengan Seberang Takir menyebabkan ia menjadi hidangan wajib di kebanyakan kedai makan dan restoran di sekitar kawasan itu. Beroperasi sejak 12 tahun lalu, katanya, restoran itu menghidangkan lebih 30 jenis jus buah segar dan pekat seperti mempelam, pisang, nenas, epal, betik, lobak merah, nangka, laici, asam jawa, tomato, oren dan kurma. "Paling kerap ditempah pelanggan adalah air buah naga, durian belanda dan mempelam. Ada juga jus yang disediakan mengikut musim seperti durian, rambutan, ciku dan cempedak," katanya ketika ditemui S2. Menurut isteri kepada Azman Mohamad, 42, ini pengunjung diberi pilihan untuk dihidangkan dengan tiga saiz gelas iaitu gelas besar satu liter, gelas sedang setengah liter dan gelas kecil 200 mililiter. Selain jus buah, turut disediakan adalah pelbagai juadah lain seperti laksam, sate, nasi lemak, nasi minyak, mi goreng, mi sup, pulut lepa, sata, laksa Terengganu dan keropok lekor. Restoran yang bermula dengan hanya dua buah meja itu beroperasi dengan bantuan suaminya dan 12 orang pekerja. "Biasanya waktu cuti atau hujung minggu kedatangan pelanggan berganda. Kalau tiga buah bas pelancong datang singgah, kerusi pasti penuh. "Ada kalanya waktu begini, kami terpaksa beroperasi sehingga pukul 2 pagi. Kalau hari biasa, pukul 12 tengah malam, kami dah tutup," katanya. Penangan Air Buah Pior yang pekat dengan rasa asli membuatkan pengunjung mahu datang lagi. Norzita memberitahu, tidak ada rahsia istimewa kerana sesiapa sahaja boleh menghasilkan air buah ini di restoran mereka atau di rumah masing-masing. "Dahulu masa mula-mula berniaga, ramai yang beranggapan perniagaan ini tidak bertahan lama kerana tidak mampu menandingi populariti restoran air buah yang lain, selain kedudukan restoran ini terletak di jalan mati ke Kampung Seberang Takir. "Apa yang penting, kalau kita kata air buah di sini adalah 'pior', maka pelanggan akan merasa yang 'pior' sahaja. Janji kita dengan pelanggan yang lebih penting dan itulah rahsia populariti restoran ini," katanya. |
Posted: Dilamar melalui suratOleh MERAN ABU BAKAR PERKAHWINAN yang dibina selama 36 tahun dikurniakan lima orang cahaya mata. CITA-CITA asal Azizah Liza Che Long atau Chef Liza ingin menjadi pramugari. Impian itu hampir terlaksana apabila beliau diterima menjadi pramugari dengan syarikat Penerbangan Malaysia. Namun cita-cita tersebut perlu diketepikan kerana lelaki yang menaruh hati terhadapnya (kini menjadi suaminya) tidak bersetuju. ''Abang kata kalau saya menjadi pramugari, kita putus,'' kata Chef Liza mengenang semula peristiwa lebih 30 tahun dahulu. Beliau yang ditemui di Laman Chef Liza berhadapan Sekolah Kebangsaan Seri Delima, Kampung Batu, Kuala Lumpur menambah, beliau akur dengan kata-kata tersebut dan memilih kerjaya sebagai guru iaitu kerjaya yang sama dengan pekerjaan suaminya Chef Liza yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, mendirikan rumah tangga dengan Zainol Ariffin pada tahun 1975. Kini telah 36 tahun usia perkahwinan mereka dan kedua-duanya disifatkan sebagai pasangan yang bahagia. ''Saya mengenali abang semasa menuntut di tingkatan tiga. Masa itu, abang sudah pun menjadi guru. Setiap kali lalu di depan rumah, abang akan melambai kepada saya, tapi ketika itu saya tidak ada apa-apa perasaan terhadapnya. ''Selepas tamat sekolah, saya diterima menjadi guru. Abang menghantar surat melamar saya dan kami berkahwin,'' ujarnya. Dikurniakan lima orang cahaya mata, Azrin Zaira, 35 tahun, Azrin Zuliana dan kembarnya Azrin Zuliani, 31 tahun, Azrin Aznita dan Muhammad Azrul Afifi, 20 tahun, Chef Liza dan suaminya cukup bersyukur dan gembira kerana pada usia sekarang, mereka masih dikelilingi anak-anak dan seorang cucu, Muhammad Azraf Redza, dua tahun setengah. ''Saya tidak dapat membayangkan jika tiada anak-anak bersama saya,'' katanya sebak sambil mengesat air mata yang mula bergenang di hujung kelopak mata. Chef Liza, 54, bersara awal daripada tugasnya sebagai guru di Kedah kerana ingin berhijrah pada kehidupan yang lebih baik. Ketika itu, usianya baru 45 tahun dan mereka sekeluarga kemudian berpindah ke Kuala Lumpur. Menurutnya, walaupun beliau sukakan bidang perguruan, namun beliau terpaksa meletakkan jawatan kerana ingin memajukan diri dan menumpukan kepada bidang masakan yang diminati. Namun suaminya masih terus menjadi guru dan bersara pada usia wajib kira-kira tujuh tahun lalu. Berkat usaha gigihnya, Chef Liza kini memiliki Akademi Memasak Chef Liza yang diusahakan bersama anak-anak, Laman Chef Liza pula untuk mengajar memasak kepada yang berminat, manakala Studio Chef Liza menerbitkan rancangan-rancangan masakan. Berkongsi cerita mengenai kebahagiaan dan rahsia rumah tangga mereka berkekalan hingga ke hari ini, Chef Liza berkata, mungkin kerana sikap suaminya yang sentiasa cool, tidak pernah naik angin dan sabar. Kerana sikap cool tersebut, suaminya menganggap semua peristiwa sama sahaja dan tiada yang istimewa. ''Abang bukan seorang yang romantik baik sebelum berkahwin sehinggalah ke hari ini. Dia tidak pernah memberikan bunga pada hari jadi saya atau ulang tahun perkahwinan. "Memang ada hadiah yang dia beri tetapi tidak menepati kehendak saya dan lama-lama dia kata saya sajalah yang beli. Tetapi dia banyak membelikan buku resipi untuk saya. ''Kalau saya merajuk atau naik angin pun, dia tidak akan pujuk sehingga kemarahan saya reda sendiri. Sungguhpun demikian, saya tetap sayangkan dia kerana dia tidak pernah marah. ''Saya rasa rumah tangga saya bahagia kerana sifat sabar suami, kami anak beranak sentiasa bersama dan kami tidak pernah bergaduh besar. Saya juga rasa hanya maut yang akan memisahkan kami berdua,'' kata Chef Liza lagi. Bertanya kepada suaminya apa yang membuatkan beliau tertarik kepada Chef Liza, katanya mungkin kerana sudah berkawan lama dan menjadi semakin rapat ditambah pula dengan jodoh yang telah ditentukan Tuhan. Tambah Chef Liza lagi, suaminya begitu memahami minatnya dan tidak pernah menghalang beliau mengejar cita-cita dan mempelajari teknik memasak hingga ke luar negara. Pun demikian, beliau tidak pernah mengambil kesempatan di atas kepercayaan suaminya. Chef Liza pernah mengikuti kursus membuat dan menghias kek, menghias pastri, royal ising dan membuat coklat hingga ke United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat dan Jakarta. Daripada usahawan memasak dan membuat kek, beliau kini aktif menerbitkan rancangan memasak di televisyen. Di antara rancangan memasak yang pernah diterbitkan ialah Kulinari Daisy bersama Chef Liza, Selera Ramadan, Enak bersama Ramly dan Selera Ramadan bersama MM Vita Oil. Rancangan terbarunya ialah Akademi Seni Kulinari yang mengandungi 13 episod yang akan menemui penonton pada tahun depan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan