Utusan Online - Luar Negara |
Posted: 300 tahanan politik dibebasYANGON 12 Okt. - Myanmar hari ini membebaskan sekurang-kurangnya 300 tahanan politik termasuk beberapa tokoh penentang kerajaan. Pembebasan itu bermakna 1,800 lagi tahanan politik masih meringkuk di dalam penjara di negara ini, yang kini mula mengambil dasar lebih terbuka selepas setengah abad diperintah oleh junta tentera. Antara yang dibebaskan adalah Zarganar, pelawak yang dipenjarakan kerana mengkritik tentang junta tentera. Beliau dibebaskan dari tahanan di Myitkyiha, Kachin. Turut dibebaskan, Jeneral Hsay Htin, pemimpin Tentera Negeri Shan, Hsay Htin yang dihukum penjara 160 tahun di penjara Rakhine. Seorang pegawai kanan penjara memberitahu Reuters, kira-kira 300 penentang kerajaan adalah antara 6,359 tahanan yang dibebaskan hari ini di bawah pengampunan menyeluruh. "Kami berharap ramai lagi akan dibebaskan dan saya benar-benar berterima kasih kerana tahanan politik dibebaskan," kata pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi. Suu Kyi sendiri dibebaskan daripada tahanan di rumah selama 15 tahun, pada tahun lalu. Selepas langkah-langkah luar biasa diambil dalam beberapa bulan lalu, termasuk pelonggaran kawalan ke atas media dan dialog lanjutan dengan Suu Kyi, bilangan yang dibebaskan hari ini tidak sebanyak yang diharapkan oleh beberapa pihak. "Agak mengecewakan kerana berdasarkan langkah-langkah positif yang diambil sejak beberapa bulan lalu, kami menjangka bilangan yang dibebaskan hari ini adalah jauh lebih besar," kata penyelidik Amnesty International berpangkalan di Bangkok, Benjamin Zawacki. Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton berkata, beliau menyambut baik 'tanda-tanda positif' pembaharuan yang ditunjukkan oleh Myanmar tetapi masih terlalu awal untuk mengumumkan tindak balas Washington. AS, Eropah dan Australia mahu Myanmar membebaskan kira-kira 2,100 tahanan politik di negara ini sebelum mereka bersedia untuk menimbangkan penarikan balik sekatan yang telah melumpuhkan Myanmar dan mendorongnya menjalin hubungan lebih erat dengan China. - Reuters Full content generated by Get Full RSS. |
Peniaga jangan naik harga barangan – PM Thai Posted: Peniaga jangan naik harga barangan – PM ThaiPemandangan dari udara merakamkan sebatang jalan utama di wilayah Nonthaburi dinaiki air akibat banjir. Sekurang- kurangnya 269 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh akibat musim monsun di BANGKOK 12 Okt. – Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra hari ini memberi amaran kepada pemilik perniagaan supaya jangan mengambil kesempatan daripada banjir di negara ini untuk menaikkan harga barangan. Amaran itu dikeluarkan ketika pembelian panik berlaku di kalangan warga Bangkok yang berebut-rebut membeli barangan keperluan kerana bimbang ibu negara ini akan ditenggelami air beberapa hari lagi akibat hujan musim monsun. Yingluck yang menjadi Perdana Menteri pada Ogos lalu berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Perdagangan supaya memantau harga barangan runcit. "Saya ingin merayu kepada pengusaha perniagaan supaya menjual barangan pada harga kos kerana penduduk kini menderita. "Menaikkan harga barangan akan membawa kepada perbuatan menyorok barangan dan ini tidak akan membantu menyelesaikan masalah," katanya kepada wartawan di sebuah pusat krisis banjir di lapangan terbang Don Muang, Bangkok. Sekurang-kurangnya 281 orang maut akibat hujan lebat musim monsun, banjir dan tanah runtuh sejak akhir Julai lalu dan 26 daripada 77 wilayah Thai kini ditenggelami air, menurut Jabatan Pencegahan dan Pemulihan Bencana. Kawasan dataran utara, timur laut dan tengah semuanya teruk terjejas dan Bangkok yang terletak hanya dua meter di atas paras laut berada dalam bahaya apabila air melimpah dari takungan-takungan di utara dan menyebabkan paras sungai Chao Phraya terus meningkat. Yingluck berkata, pembinaan benteng banjir di tiga kawasan pinggir Bangkok dijangka siap mengikut jadual hari ini. Pegawai bandar raya Bangkok yakin pembinaan benteng dan penggunaan terusan untuk mengalirkan air dari ibu negara ini boleh mencegah banjir buruk tetapi Gabenor Sukhumbhand Paribatra sudah mengarahkan semua 50 daerah menyiapkan pelan perpindahan sebagai langkah berjaga-jaga. Selain memaksa kilang-kilang di kawasan perindustrian utama Thai ditutup, banjir turut merosakkan kira-kira 1.55 juta hektar tanah pertanian termasuk tanaman padi, menyebabkan kerajaan mengurangkan anggaran pengeluaran beras daripada 25 juta tan kepada 21 juta tan. – Reuters |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan