Utusan Online - Utara |
- RM700,000 selesai isu rakyat
- Mesti bayar RM1 juta dalam tempoh 15 hari
- MB Kedah didesak dedah perbelanjaan RM170 juta
Posted: RM700,000 selesai isu rakyatOleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI Zambry Abd. Kadir (empat dari kiri) beramah-mesra dengan seorang peniaga sayur di Pekan Tanjung Piandang semasa lawatan dua hari ke kawasan DUN Kuala Kurau di Parit Buntar, semalam. PARIT BUNTAR 29 Sept. – Kerajaan negeri meluluskan peruntukan serta-merta berjumlah lebih RM700,000 bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk semasa lawatan dua hari Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau di sini bermula semalam. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM250,000 diperuntukkan untuk menyelesaikan 212 aduan berkaitan kemudahan asas seperti jalan raya, lampu jalan, jambatan dan pengairan. Sebanyak RM150,000 lagi diperuntukkan untuk membaiki kebocoran bumbung Masjid Jamek Tanjung Piandang, RM10,000 untuk memasang lampu jalan di Surau Kampung Raja Bashah dan masing-masing RM50,000 untuk membina pagar di Tanah Perkuburan Islam di Bagan Tiang dan Parit Tok Hin. Di samping itu, Zambry juga meluluskan peruntukan RM175,000 untuk persatuan ibu bapa dan guru sekolah rendah dan menengah Tamil di kawasan itu menjalankan aktiviti mereka. Semasa lawatan itu, Menteri Besar juga berjaya meyakinkan sebuah syarikat untuk menyerahkan tanah kepada kerajaan negeri untuk pembinaan perkampungan bagi menempatkan lebih 300 penduduk setinggan di Bagan Tiang di sini. Ketika ditemui pada majlis itu, Zambry berkata, kerajaan negeri juga sedang mengkaji masalah yang dihadapi oleh 200 keluarga setinggan Cina di kawasan itu. "Walaupun semua masalah mungkin kelihatan kecil tetapi kita telah mengambil tindakan segera bagi menyelesaikannya kerana ia mempengaruhi kehidupan seharian rakyat," ujarnya. "Kami mencuba yang terbaik untuk menyelesaikan masalah semua rakyat dengan segera berbanding pembangkang yang suka membuat janji tetapi tidak dapat menunaikannya," katanya. |
Mesti bayar RM1 juta dalam tempoh 15 hari Posted: Mesti bayar RM1 juta dalam tempoh 15 hariALOR SETAR 29 Sept. - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memberi tempoh 15 hari kepada lebih 1,000 pemilik rumah dan rumah kedai di Taman Wira, Mergong di sini untuk menjelaskan tunggakan cukai pintu yang mencecah RM1 juta. Ketua Bahagian Hasil MBAS, Azalina Abdu Rahman berkata, pihaknya telah menyerahkan Notis E kepada pemilik rumah dan rumah kedai yang belum menjelaskan bayaran cukai pintu secara pos. "Hari ini juga kami telah pergi ke rumah pemilik di Taman Wira untuk menyerahkan Notis E secara terus kepada mereka kerana tunggakan cukai pintu mereka telah mencapai RM2,000. "Bagi mereka yang masih enggan membayar cukai tersebut, pihak MBAS akan menyita barang di rumah mereka sehingga cukai tersebut dibayar," katanya kepada pemberita di Taman Wira di sini, hari ini. Menurutnya, bagi mereka yang menyewa pula, mereka diminta memaklumkan kepada pemilik rumah untuk membayar cukai pintu dengan segera bagi mengelak barang milik penyewa disita oleh MBAS kerana kegagalan pemilik membayar cukai pintu. "Jumlah cukai pintu bagi rumah kediaman ialah RM83, manakala untuk rumah kedai ialah RM1,004 setahun. "Ada yang tidak bayar sehingga menjadi berbelas ribu ringgit dan pihak kami terpaksa mengambil tindakan tegas untuk memastikan pemilik membayar cukai yang tertunggak," ujarnya. Tambah Azalina, selain Taman Wira, terdapat beberapa taman perumahan lain yang mempunyai jumlah cukai pintu tertunggak yang tinggi. "Di Taman Bersatu, Kuala Kedah di sini, jumlah cukai yang tertunggak kira-kira RM600,000 dan di Taman Nuri pula mencapai RM400,000. "Kami akan membuka kaunter bergerak mulai awal bulan depan bagi memudahkan orang ramai membayar cukai pintu mereka," jelasnya. |
MB Kedah didesak dedah perbelanjaan RM170 juta Posted: MB Kedah didesak dedah perbelanjaan RM170 jutaSUNGAI PETANI 29 Sept. - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak diminta mendedahkan butir-butir perbelanjaan yang telah digunakan atau sebaliknya untuk projek membaiki jalan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan pada tahun lalu. Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof berkata, langkah itu penting bagi membolehkan rakyat mengetahui perkara sebenar di samping membuktikan sikap ketelusan seperti mana yang selalu dilaung-laungkan mereka sebelum memerintah kerajaan negeri dahulu. "Semasa menjadi pembangkang, Pas dan sekutunya menuntut agar kerajaan Barisan Nasional (BN) telus dalam setiap perkara yang dilakukan lebih-lebih lagi soal melibatkan peruntukan kewangan. "Sekarang mereka sudah memerintah, jadi kita dan rakyat umumnya minta mereka tunjukkan sejauh mana ketelusan itu dipraktikkan. "Jika benar-benar mentadbir dengan penuh integriti, mereka kena dedahkan ke mana pergi lebihan peruntukan baiki jalan lebih RM100 juta yang tidak digunakan tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan duit raya kepada lebih 150 nelayan di Pulau Sayak, Kota Kuala Muda dekat sini, hari ini. Shahanim mengulas gesaan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid kelmarin yang mendesak agar kerajaan negeri tidak 'tutup mulut' dalam isu peruntukan berkenaan. Tahun lalu, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan RM170 juta untuk tujuan membaiki jalan. Bagaimanapun, kerajaan negeri Kedah dikatakan hanya menggunakan RM54 juta daripada jumlah itu. Difahamkan, selebihnya telah dimasukkan ke dalam sebuah tabung amanah Kerajaan Kedah yang tidak diperincikan. Shahanim yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani berkata, kegagalannya membelanjakan peruntukan membaiki jalan itu telah menimbulkan kesusahan kepada rakyat. "Wakil rakyat mereka selalu memberitahu orang kampung kata tak ada peruntukan sedangkan Kerajaan Pusat sudah salurkannya. "Tindakan ini menyusahkan rakyat kerana mereka menanti jalan negeri yang rosak tetapi tak dilaksana," katanya. Sehubungan itu, beliau berharap, rakyat negeri ini boleh menilai secara matang betapa Pas sudah tidak boleh diyakini lagi dalam mentadbir dan menyelesaikan masalah penduduk. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan